


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membalas tabik hormat sempena Perbarisan Istiadat Memuliakan Baginda Tuanku di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi baru-baru ini. SPB YDP Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah melakar sejarah di lantik sebagai SPB YDP Agong dan sebagai Pemerintah Tertinggi ATM buat kali kedua. Semua warga ATM berdoa ke hadrat Illahi semoga SPB YDP Agong dan SPB Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia dan dikurniakan taufik, hidayah dan keberkatan untuk memerintah Kerajaan Malaysia dan ATM ke arah kemajuan, kegemilangan dan kesejahteraan yang berterusan serta selamat bersemayam di atas singgahsana memayungi Malaysia dan jajahan takluknya serta rakyat jelata dalam keadaan selamat, aman dan sentosa.
Daulat Tuanku...
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mempamerkan satu perbarisan yang dapat dibanggakan ketika Perbarisan Istiadat Memuliakan SPB YDP Agong ke XIV selaku Pemerintah Tertinggi ATM baru-baru ini di Dataran PTD. Lima kontingen, Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Amor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah begembeling tenaga untuk mempersembahkan satu perbarisan penuh adat istiadat ATM. Perbarisan mempersembahkan "Hormat Diraja", lagu " Negaraku" dimainkan dan diikuti 21 das Tembakan Kehormatan serta Terbang Lintas Hormat oleh pesawat helikopter ATM.
Seri Paduka Baginda yang di Pertuan Agong XIV Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia berserta Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli untuk bergambar bersama-sama YBhg Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-panglima Perkhidmatan bersama-sama isteri masing-masing di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Angkatan Tentera Malaysia melalui Panglima Angkatan Tentera telah menyampaikan cendera kenangan dalam lukisan Istana Negara, Jalan Duta kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong XIV, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan untuk mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2 Disember 2011 (Jumaat) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera dan isteri, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Isteri, Panglima-panglima Perkhidmatan dan isteri serta Pegawai-pegawai Kanan ATM. Makan malam tersebut terlah diiringi oleh Pancaragam TUDM.
Baginda juga telah berkenan menerima tabik hormat sebelum melakukan pemeriksaan perbarisan dan menyaksikan upacara berjalan lalu dari kontijen perbarisan yang di sertai oleh pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Turur hadir di acara yang penuh istiadat ketenteraan tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, ketiga-tiga Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan ATM.
Perbarisan tersebut telah diketuai oleh Pegawai Memerintah 12 RAMD.
SELANGOR – Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), DYMM Tuanku Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’Adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menyaksikan Perlawanan Akhir Piala Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah antara pasukan 19 RAMD MEK dengan pasukan 9 RAMD PARA yang berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi,Selangor.
Perlawanan sengit yang berlangsung selama 90 minit itu telah berjaya dibuktikan dengan kemenangan pasukan 19 RAMD MEK yang mengalahkan juara bertahan selama 2 tahun berturut-turut iaitu pasukan 9 RAMD PARA dengan 1-0.Turut memeriahkan acara adalah dengan persembahan Pancaragam Pusat RAMD semasa waktu rehat.
DYMM Tuanku Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al Haj Abdul Halim Mu’Adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada pasukan 19 RAMD MEK dan turut serta menyampaikan piala kemenangan kepada penjaring terbanyak dan pemain terbaik.Turut hadir pada acara tersebut adalah Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Dato’ Zulkiple Bin Hj Kassim dan Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Yang Berbahagia Prof Ir Othman bin A. Karim
SEJAK Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, terlalu banyak perubahan dan pembangunan dilakukan bagi memartabatkan negara di peringkat antarabangsa.
Namun, sepanjang menyusuri arus perubahan dan kemodenan, Malaysia masih mengekalkan sistem yang diamalkan sejak kurun yang ke-15.
Pastinya, sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem pemerintahan beraja yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara. Lagipun umum mengetahui bahawa Malaysia yang mempunyai 14 buah negeri mempraktikkan sistem Raja Berperlembagaan.
Hari ini, sudah lima dekad sistem Raja Berperlembagaan memainkan peranan dalam kestabilan dan keamanan pada negara.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menjelaskan, tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sama ada di bawah Perlembagaan atau di bawah Undang-Undang Persekutuan, hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selain perlembagaan ini.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.
Secara amnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang dipilih menerusi Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan buah negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Setiap raja dari sembilan negeri itu mempunyai peluang untuk menjadi ketua negara dengan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Secara keseluruhan, Malaysia dipayungi Yang di-Pertuan Agong tetapi sembilan buah negeri beraja ditunjangi raja atau sultan negeri, manakala empat buah lagi negeri pula diketuai Yang di-Pertua Negeri.
Namun sistem beraja di Negeri Sembilan paling unik berbanding negeri-negeri beraja yang lain. Rajanya tidak dipanggil sultan atau raja, sebaliknya digelar Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Selain itu, sistem di negeri tersebut pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.
Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, dalam hierarki masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, raja merupakan golongan yang menduduki kedudukan teratas.
Ketinggian darjat raja dalam masyarakat telah memberikan mereka kuasa pemerintahan utama. Malah, kedaulatan dan kuasa raja berkekalan dan terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 181 (1).
"Biar zaman semakin canggih dan moden, asalkan kita tidak lupa asal-usul dan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu. Peranan raja dan sultan masih lagi diperlukan dan relevan bagi melindungi rakyat dan negeri yang diperintah. Sebab itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menjaga kedudukan raja atau sultan sampai bila-bila," kata Ramlah.
Menjelaskan lanjut mengenai peranan raja negeri, Ramlah memberitahu, mereka berkuasa melantik seorang Menteri Besar atas budi bicara. Pada masa yang sama, Raja Negeri juga berhak menolak calon Menteri Besar sekiranya tidak menepati kriteria dan kurang yakin kredibiliti meskipun individu berkenaan merupakan ahli pada sebuah parti yang memenangi majoriti 2/3 dalam pilihan raya.
Selain itu, Raja Negeri boleh menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri, bertindak sebagai ketua agama atau berhubung dengan adat Melayu serta melantik waris atau waris-waris, isteri, pemangku raja atau jemaah pemangku raja.
Antaranya termasuklah melantik pemegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu.
SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan kedudukan tertinggi di negara ini yang dipegang selama lima tahun oleh salah seorang daripada sembilan Raja-Raja Melayu di Malaysia.
Sistem Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen ini merupakan satu-satunya sistem giliran ketua negara di dunia yang tidak diwarisi tetapi dipilih dan ditabalkan oleh Majlis Raja-Raja mengikut beberapa syarat tersurat dan tersirat.
Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kuasa mutlak terhadap proses pemilihan ini bagi memastikan hanya salah seorang daripada anggotanya yang layak diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Uniknya sistem giliran kelayakan ini kerana ia bukannya satu sistem pilihan raya menerusi kempen mahupun lantikan jawatan awam.
Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut senarai giliran Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri paling kanan mengikut Sultan yang terdahulu ditabalkan di negeri baginda.
Senarai kelayakan itu kemudian ditapis mengikut negeri-negeri yang belum diberi peluang sehingga lengkap kitaran kepada sembilan negeri terbabit.
Namun, Sultan yang di bawah umur tidak layak untuk disenaraikan dalam kitaran giliran sementara Sultan yang terpilih juga berhak menolak pencalonannya.
Majlis Raja-Raja juga boleh menetapkan seseorang Sultan tidak layak untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong atas apa jua alasan dengan undi sulit sokongan lima daripada sembilan ahlinya.
Kedudukan Yang di-Pertuan Agong juga hanya boleh dikosongkan selepas tamat tempoh pengal lima tahun, kemangkatan atau dipecat oleh Majlis Raja-Raja.
Seperti mana kedudukan Sultan sebagai ketua negeri dan Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara di peringkat Persekutuan sementara Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.
Selaku pemegang kuasa eksekutif negara, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak berdasarkan nasihat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri, Menteri atau Kabinet.
Seri Paduka akan melantik anggota Kabinet dan pengarah di kementerian atas nasihat Perdana Menteri; penubuhan suruhanjaya dan jawatankuasa khas atas nasihat Majlis Raja-Raja; melantik Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Malaya serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak atas nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja; serta melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak atas nasihat Ketua Menteri negeri berkenaan.
Namun, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk bertindak atas keputusan sendiri dalam beberapa perkara utama tanpa memerlukan persetujuan pihak lain, termasuk dalam melantik Perdana Menteri, membubarkan (atau menolak pembubaran) Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum dan memanggil persidangan Majlis Raja-Raja.
Seri Paduka turut bertindak selaku ketua agama Islam Kerajaan Persekutuan termasuk untuk empat negeri yang tiada Sultan, tiga Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta ketua agama Islam untuk negeri baginda sendiri.
Yang di-Pertuan Agong juga merupakan Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan berkuasa melantik Ketua Angkatan Tentera serta ketua tentera bagi tiga cabang ketenteraan negara, di samping berhak memberi keampunan kesalahan selepas semua rayuan di mahkamah ditolak.
Sejarah baru negara tercatat pada 12 dan 13 Disember 2011 apabila berlangsung istiadat keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dan istiadat ketibaan Seri Paduka ke-14.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang telah dipilih dan ditabal semalam selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14 menjadi Sultan pertama diangkat selaku Seri Paduka buat kali kedua.
Baginda yang pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima antara 21 September 1970 hingga 20 September 1975 juga telah memegang kedudukan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Tuanku Abdul Halim juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan di Istana Negara yang baru bernilai RM800 juta di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir bersemayam di Istana Negara lama di Jalan Istana yang telah digunakan sejak negara merdeka.
Selepas 54 tahun, kesinambungan sistem pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini tidak boleh dipisahkan lagi daripada identiti Malaysia sebagai negara berdaulat.
Segala sejarah negara terus dipayungi Raja-Raja Melayu dan tanpa baginda Sultan sekalian, maka akan pincanglah negara bernama Malaysia ini.
KUALA TERENGGANU 14 Dis. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak agar terus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Baginda bertitah, ini adalah untuk mengekalkan keharmonian dan mengelakkan daripada timbulnya kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggung jawab yang masih berusaha menimbulkan soal agama.
"Sejarah membuktikan pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan mana-mana golongan atau puak walaupun berlainan agama dan keturunan.
"Terengganu misalnya, adalah negeri yang terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.
"Sejak itu, Islam telah menjadi agama anutan majoriti rakyat Terengganu namun, dalam masa yang sama, penganut agama lain masih bebas mengamalkan pegangan hidup mereka selagi tidak menjejaskan keamanan di negeri ini,” titah baginda dalam majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah di sini hari ini.
Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 juga bertitah, perpaduan di kalangan umat Islam akan menjamin kedaulatan dan membina benteng kukuh agar agama Islam tidak disendakan. - BERNAMA