Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Memaparkan catatan dengan label OGKL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label OGKL. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Februari 2013

Santai mendaki Gunung Kosciuszko

PARA pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Kosciuszko di Australia. 

KEINDAHAN alam semula jadi di Taman Negara Gunung Kosciuszko (TNGK) di New South Wales, Australia memang mengujakan sesiapa sahaja yang berpeluang menjejakkan kaki ke situ.

Pada musim sejuk, kawasan itu dipenuhi pemain ski, manakala pada musim-musim lain, taman negara itu menerima pengunjung daripada pelbagai kategori termasuk golongan pendaki.


Menariknya, sesiapa sahaja yang mempunyai kesihatan yang baik mampu menjejaki puncak Gunung Kosciuszko.

Sungguhpun ia merupakan gunung tertinggi di Australia, namun pendakian begitu mudah sehinggakan ada yang membawa anak kecil ke puncak.

Ada juga yang mendaki dengan hanya memakai seluar jean sambil 'berlenggang kangkung' menuju ke puncak di ketinggian 2,228 meter (7,310 kaki) itu.

Itulah antara pemandangan yang dilihat penulis yang mendaki Gunung Kosciuszko bersama rakan-rakan dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) pada November 2012.


Apa yang menjadikan jejak ke puncak Kosciuszko mudah adalah kerana terdapatnya laluan pelantar ke puncak.

Para pendaki hanya perlu berjalan di atas pelantar tersebut sambil menikmati pemandangan indah di kiri dan kanan laluan tanpa perlu mengotorkan kasut.


Pelantar besi sejauh 6.5 kilometer itu bermula dari stesen terakhir chair lift. Stesen itu dibuka dari pukul 9 pagi sehingga 4.30 petang, setiap hari. Jika pendaki terlepas chair lift yang terakhir, maka pendaki terpaksa berjalan kaki menuruni lereng gunung menuju ke taman negara.

Alhamdulillah, kesemua 21 pendaki dari Kelab OGKL berjaya menamatkan pendakian sebelum pukul 4.30 petang pada 17 November lalu.

Ringkasnya, pendakian kami bermula pada pukul 10.30 pagi. Masing-masing berjalan mengikut rentak kaki sendiri. Ada yang jauh di hadapan dan ada yang berjalan santai sambil menghayati keindahan alam sekeliling.


Agak melucukan juga tatkala melihat gelagat rakan-rakan yang pertama kali memegang salji. Pengalaman kali pertama 'berguling' di atas permukaan bersalji pasti akan dikenang sepanjang hayat.


Berjalan seorang diri di laluan ini tidak menakutkan sebagaimana berjalan di dalam hutan tebal. Ini kerana tiada sebatang pokok pun yang menghalang laluan, selain kerap berselisih dengan pelancong lain. Rumput dan bunga berwarna kuning yang menghiasi hamparan tanah lapang menambah keindahan alam.


Nun jauh di ufuk, kelihatan barisan gunung-ganang dan bukit bukau yang dipenuhi tompokan putih salji. Tidak banyak salji kelihatan kerana kami mendaki pada musim panas.
Penulis tiba di puncak sekitar pukul 1.10 petang. Terdapat batu tanda di puncak dan ketika penulis tiba, sekumpulan pelancong 'mat salleh' bersama anak-anak kecil sedang bergambar.


Sementara menunggu giliran untuk bergambar di batu tanda itu, kami menikmati bekalan sandwic yang dibawa. 

Sambil menjamu selera, mata meliar melihat sekeliling. Panorama kawasan pergunungan yang memutih dan membiru di hujung ufuk amat mempesonakan. Tidak puas rasanya duduk sejam dua di puncak.

Namun memikirkan kami perlu 'mengejar' chair lift terakhir, sebaik sahaja selesai sesi bergambar, kami beransur-ansur meninggalkan puncak.


Di taman negara, kami singgah di kedai cenderahati, sebelum menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di parkir kereta. Lewat petang, kami meninggalkan TNGK menuju ke destinasi pelancongan popular, Blue Mountains.

Perjalanan ke Blue Mountains dari TNGK memakan masa hampir 13 jam. Kami tiba pada pukul 7 pagi keesokan harinya. Oleh kerana penat dan mengantuk, maka kereta yang kami sewa dipandu secara bergilir-gilir.







Blue Mountains adalah kawasan lembah pergunungan yang luas. Terdapat banyak produk pelancongan berunsurkan alam semula jadi termasuk air terjun dan batu yang dikenali Three Sisters. Di sebalik formasi batu itu, tersembunyi kisah legenda Orang Asli Australia.




 
 

Dalam kalangan kami, ada yang berjalan kaki ke air terjun untuk bergambar, manakala penulis bersama tiga rakan memilih pakej 4 dalam 1 yang berharga AUD28 (RM92.40). Melalui pakej itu, kami mengembara dengan menaiki Skyway, Cableway, Railway dan Walkway.


Puas menghayati kehijauan alam di Blue Mountains, kami menaiki semula kereta yang disewa menuju ke Sydney. Sekitar pukul 9.30 malam, kami mendaftar masuk di Maze Backpackers. Kemudahan penginapan di sini terdiri daripada bilik-bilik yang mempunyai dua dan empat katil dua tingkat.


Oleh kerana penginapan ini berkonsepkan hostel, maka penulis bersama tiga rakan wanita lain berkongsi bilik dengan dua pelancong lelaki 'mat salleh'. Setiap penghuni dikenakan bayaran AUD30 (RM99) semalam. Kami menginap di sini selama dua malam.

Bilik mandi dan tandas terletak di luar bilik penginapan dan dikongsi bersama penghuni hostel yang lain. Kemudahan dapur untuk memasak disediakan di tingkat satu.

Walaupun sekadar bertaraf hostel, namun kami tidak merungut kerana ia sesuai dengan bajet kami. 

 

Jika berpeluang lagi ke negara kanggaru ini, penulis pasti ke Melbourne yang dikatakan memiliki lebih banyak gunung-gunung menarik untuk didaki.
read more...

Rabu, 4 Julai 2012

Ogkl : Kosciuszko pelengkap koleksi

MEMUTIH...salji di laluan ke puncak gunung.

TIDAK lengkap jiwa seseorang pendaki gunung tegar jika gagal menyempurnakan koleksi pendakian di semua Seven Summits, iaitu tujuh puncak gunung paling tinggi di setiap benua.

Perasaan serupa turut dialami penulis, justeru peluang mendaki Gunung Kosciuszko - gunung tertinggi di benua kecil Australia - pasti tidak dilepaskan.
PANDUAN...papan tanda laluan ke puncak Gunung Kosciuszko.

MUDAH...rangkaian ski lift membantu pendaki ke puncak Kosciuszko.

BERSANTAI...sebahagian laluan besi yang disediakan sepanjang pendakian ke puncak Kosciuszko.

PERMUKAAN RATA...kawasan pergunungan Kosciuszko.

PANORAMA INDAH...tumbuhan hutan menghiasi lanskap pergunungan Kosciuszko.

BERJAYA...anggota ekspedisi bergambar di puncak Gunung Kosciuszko.

KASUT TAK KOTOR...beberapa jambatan besi dibina di sepanjang laluan untuk pendaki melepasi anak sungai di pergunungan Kosciuszko.

SUDAH HAMPIR...meredah salji sebelum tiba di puncak Kosciuszko.

Setinggi 2,228 meter dari paras laut dan terletak di pergunungan salji Taman Negara Kosciuszko di wilayah New South Wales, gunung itu diberi nama oleh penjelajah dari Poland, Paulus Strzelecki, sempena nama pejuang kemerdekaan Poland, Tadeusz Kosciuszko pada 1840.

Selain Kosciuszko, enam lagi gunung dalam senarai Seven Summits ialah Kilimanjaro (Tanzania/ Afrika), Vinson Massif (Antartika), Everest (Asia), Elbrus (Russia/ Eropah), McKinley (Amerika Syarikat/ Amerika Utara) dan Aconcagua (Argentina/ Amerika Selatan).

Bagaimanapun, bagi benua Australia, satu lagi gunung yang berada dalam senarai Seven Summits ialah Puncak Jaya atau Carstensz Pyramid di Papua, Indonesia.

Berbalik kepada Gunung Kosciuszko, gunung itu adalah tempat latihan pendakian penulis dan rakan yang juga ahli Kelab Eksplorasi Tujuh Benua, KE7B, Kelab Kaki Redah TV3 dan Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur, OGKL, baru-baru ini.

Tujuan latihan adalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pergunungan sejuk dan bersalji, sebagai persediaan semua pendaki yang akan ke Everest Base Camp.

Ini kali pertama ahli daripada tiga kelab berbeza bergabung melakukan pendakian di Kosciuszko.

Keseluruhannya, kumpulan kami seramai 13 orang diketuai pendaki berpengalaman, Muhammad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin. Turut serta, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Melbourne jam 2.30 pagi waktu Australia, kumpulan kami terus menaiki van yang disewa dan kereta milik seorang rakan kami bernama Qushairy yang juga pelajar universiti di Adelaide. Kami menuju ke Kanchoban Lake dan menyewa dua kabin untuk bermalam.

Hari kedua, seawal jam 7 pagi kami terus menuju ke kaki gunung, iaitu sebuah pekan kecil bernama Thredbo. Perjalanan melalui laluan berliku dan mengambil masa tiga jam dari Kanchoban Lake.

Sebaik tiba di Thredbo, semua pendaki tidak sabar-sabar hendak memulakan pendakian selepas melihat sendiri keindahan kawasan pergunungan Kosciuszko yang diwarnai landskap pokok pain yang menghijau.

Ketika kunjungan kami, keadaan cuaca di negara kanggaru ini masih dingin dengan suhu lebih kurang 10 darjah Celsius. Sesetengah kawasan pergunungan masih dilitupi salji.

Bagi semua pendaki, raut wajah masing-masing penuh keceriaan dan langsung tidak menampakkan tanda kerisauan kerana tahu keadaan laluan pendakian yang boleh disifatkan langsung tidak mencabar fizikal dan mental.

Ini kerana sebahagian laluan ke puncak Gunung Kosciuszko disediakan perkhidmatan ski lift hingga ke pertengahan gunung. Daripada stesen hentian ski lift itu, baru pendaki memulakan pendakian berjalan kaki sejauh enam kilometer.

Begitupun, laluannya tidak teruk dan tidak menegak. Trek besi selebar dua meter disediakan di sepanjang laluan itu, sekali gus memudahkan lagi pendaki mendaki tanpa sedikitpun mengotorkan kasut.

Bak kata semua pendaki, ekspedisi ke gunung tertinggi di benua kecil Australia itu sungguh santai. Malah, boleh dikatakan pendakian langsung tidak mengeluarkan peluh. Sudahlah gunung tidak tinggi, suhu pula cukup dingin dengan salji di kiri kanan trek laluan pendakian yang landai.

Selepas membeli tiket ski lift, semua pendaki dikehendaki naik berdua atau bertiga bagi setiap kerusi. Tiba di stesen pertengahan gunung, kami terus memulakan perjalanan ke puncak Kosciuszko. Walaupun perjalanan tidak sukar, kami perlu juga mengejar masa untuk kembali semula ke stesen ski lift untuk turun ke kaki gunung kerana perkhidmatan ski lift hanya beroperasi hingga jam 6 petang.

Jika kami lewat turun dari puncak gunung, kami akan terlepas menaiki ski lift dan terpaksa berjalan kaki turun ke kaki gunung yang akan mengambil masa kira-kira satu setengah jam perjalanan.

Apapun, perjalanan merentas trek besi dalam kedinginan suhu yang cukup selesa (tidak terlalu sejuk), membuatkan semua pendaki ambil kesempatan ‘makan angin’ ketika pendakian ke puncak Kosciuszko.

Kebanyakan pendaki terutama ahli Kelab OGKL seperti Sri, Otai, Afiq, Amir dan Abang Zul, baru pertama mendaki gunung bersalji. Kesempatan mendaki di gunung bersalji sungguh bermakna buat mereka. Masing-masing bergambar sakan sepanjang perjalanan. Pelbagai aksi dan gaya dapat dilihat. Lebih-lebih lagi apabila tiba di kawasan dan laluan yang dilitupi salji.

Selepas lebih dua jam merentas trek besi, kami tiba di lereng terakhir untuk ke puncak Kosciuszko. Di situ, kami perlu mendaki sedikit dalam jarak kira-kira 200 meter meredah laluan bersalji sepenuhnya dan tidak ada lagi trek besi disediakan.

Sebaik tiba di puncak lereng itu, kami hanya perlu berjalan kira-kira 500 meter saja lagi dan akhirnya tiba di puncak Kosciuszko. Semua pendaki mengambil kesempatan merakam gambar sebanyak mungkin. Tidak ketinggalan, poster pemidang ucapan tahniah daripada salah satu syarikat penaja Projek Eksplorasi Tujuh Puncak, Tujuh Benua, Tujuh Nilai iaitu pengeluar minyak wangi Munif Hijjaz Sdn Bhd, turut dibentangkan di puncak gunung secara beramai-ramai.

Dari puncak Kosciuszko, ternyata panoramanya cukup mempesonakan. Dengan salji keputihan menutup beberapa lagi puncak gunung di sekitarnya, sungguh asyik mata memandang. Itulah panorama dan pemandangan yang dicari setiap pendaki gunung.
Jika dalam keadaan kepenatan dan keletihan sekalipun, sebaik tiba di puncak mana-mana gunung, rasa kepuasan berada di puncak gunung akan membuatkan segala penat dan letih terasa bagai hilang sekelip mata.

Kami bersantai di puncak Kosciuszko hampir satu jam. Perjalanan turun paling menyeronokkan. Sebahagian kami mencuba teknik menuruni cerun secara menggelongsor. Caranya, guna beg galas yang dikosongkan dan dijadikan alas punggung untuk duduk sambil menggelongsor turun dari puncak gunung.

Namun, ada juga yang gagal apabila menggelongsor berguling-guling kerana pergerakan terlalu laju. Keadaan itu menyebabkan kami tergelak sama sendiri melihatkan keadaan rakan-rakan lain yang tidak dapat mengawal diri ketika menuruni cerun puncak gunung itu.

Tiba di kaki gunung, hujan mula melanda. Kami bernasib baik kerana tiba tepat pada waktunya. Jika tidak, kami mungkin berdepan masalah kesejukan dan pakaian basah kerana semuanya tidak membawa baju hujan.

Apapun, pendakian ke puncak Kosciuszko meninggalkan seribu satu kenangan kepada semua ahli kelab. Paling menggembirakan, dapat menjejakkan kaki di puncak salah satu gunung yang tersenarai tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, secara santai dan langsung tidak mencabar fizikal dan mental. Berbanding gunung lain yang sememangnya cukup mencabar selain mendatangkan bahaya kepada pendaki.

Bagi saya, gunung Kosciuszko amat sesuai kepada semua golongan termasuk yang bukan dari kalangan bergelar pendaki untuk menikmati suasana pergunungan bersalji.

Tak sabar nak mendaki Gunung Kosciuszko pada 15 - 21 November 2012 bersama 24 Pendaki Kelab OGKL.
read more...

Isnin, 11 Jun 2012

Ogkl : Ekspedisi Jejak Gunung Peninjau

Oleh FAIZAL SAMAT
PARA peserta di puncak Gunung Peninjau di Chemor, Perak.

ADA awal April lalu, seramai 24 peserta termasuk penulis telah menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Peninjau yang dianjurkan oleh Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL). Gunung ini terletak di Hutan Simpan Kledang Saiong, Ulu Chepor, Chemor, Perak. Ia mempunyai ketinggian 1058 meter (3471 kaki) dari paras laut.

Walaupun tidak setinggi puncak gunung lain di Malaysia, namun cabaran menjejaki puncak Gunung Peninjau tidak kurang hebatnya. Ini kerana pelbagai halangan terpaksa ditempuh peserta. Gunung Peninjau juga pernah dijadikan 'gunung angkat' oleh Kelab Rakan Muda dan Persekutuan Mendaki Malaysia.

Ekspedisi dua hari satu malam ini diketuai oleh pemandu arah, Yassir Ishak, 36, atau dikenali dengan panggilan Pak Sheikh, manakala ketua program pula ialah Abdul Jalil Abdul Hamid, 31. Mereka dibantu beberapa ahli jawatankuasa kelab yang dilantik bagi menjayakan ekspedisi tersebut. Berikut catatan perjalanan kami.

Hari Pertama: Seawal pukul 7 pagi pada 7 April 2012, para peserta mula berkumpul di hadapan Heritage Cafe, Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Setelah mendengar taklimat perjalanan, para peserta mula bergerak secara berkonvoi dengan menaiki kereta menuju ke lokasi permulaan mendaki di kawasan perkelahan Ulu Chepor, Chemor, Perak.

Sebanyak lima buah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) telah digunakan. Konvoi kami menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan hampir dua jam perjalanan, sebelum memasuki Plaza Tol Ipoh Selatan, seterusnya ke pekan Chemor. Setibanya di pekan itu, kami melapor diri di balai polis untuk memaklumkan tentang pendakian, selain 'menapau' makan tengah hari.

Apabila semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan menuju ke lokasi permulaan mendaki. Sebelum mendaki, kami menikmati hidangan tengah hari yang dibeli tadi, mendengar taklimat pendakian dan melakukan senaman ringan serta bacaan doa. Pada awal pendakian, kami menempuh denai hutan di tepi sungai. Deruan air terjun yang deras di kawasan jeram sepanjang laluan mengiringi perjalanan.

Kemudian kami memasuki sebuah laluan gua kecil yang terbentuk secara semula jadi oleh gabungan dua bongkah batuan sungai yang agak besar. Sasaran kami pada hari pertama adalah tiba di lokasi tapak perkhemahan untuk bermalam.

BEBERAPA ahli jawatankuasa program sibuk menyiapkan hidangan makan malam.

Pada peringkat kedua pendakian, laluan yang ditempuh adalah di tepi tebing sungai yang telah lama tidak digunakan. Kami juga mula mendaki denai hutan yang agak curam. Memandangkan Gunung Peninjau ini jarang didaki, maka laluan denai hutan dipenuhi dengan semak dan paku resam, selain balak tumbang menghalang perjalanan.

Tanah gambut yang licin membuatkan setiap peserta berhati-hati setiap kali melangkah. Langkah kami terhenti apabila laluan yang mahu ditempuh perlu ditebas. Parang dihayun dan bermulalah tugas membersihkan laluan yang dilakukan oleh pemandu arah dan dibantu oleh beberapa peserta.

Hampir sejam laluan kami terhenti. Tanpa berlengah, kami meneruskan perjalanan sebaik sahaja laluan mulai 'cerah'. Pokok balak yang menghalang perjalanan memaksa kami merangkak dan meniti di atasnya. Selain itu, kami juga diminta berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling agar tidak terpegang tumbuhan berduri yang terdapat di kiri dan kanan laluan.

Setelah hampir empat jam mendaki, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan. Memandangkan hari semakin lewat petang, kami segera mendirikan khemah. Beberapa peserta mula membersihkan diri di sungai berhampiran. Senja berlalu dan setelah selesai solat Maghrib, kami mula memasak untuk makan malam dengan menu yang cukup istimewa.

Cuaca yang kering memudahkan unggun api dinyalakan bagi menerangi kawasan perkhemahan. Bagi mengisi masa terluang, sesi unggun api mula dilakukan oleh beberapa peserta yang berdiri mengelilinginya sambil bercerita mengenai pengalaman pendakian masing-masing.

Sebelum makan malam, semua peserta berkumpul bagi menjayakan program 'taaruf' iaitu sesi perkenalan antara setiap peserta. Tujuan program ini adalah untuk mengenali dan mengeratkan lagi silaturahim antara setiap peserta.

Hari Kedua: Setelah sarapan dan menyediakan hidangan tengah hari, kami mula mengatur langkah untuk menjejaki puncak Gunung Peninjau yang berada kira-kira dua jam pendakian dari kawasan perkhemahan. Peluh mula membasahi tubuh tatkala mendaki di laluan yang agak curam. Ada di antara laluan memaksa kami menggunakan tali keselamatan yang disediakan. Tidak kurang juga, ada peserta terpaksa merangkak dan berpaut pada akar-akar pokok untuk meneruskan perjalanan.

Laluan yang mencanak ini membuatkan seorang peserta mengalami kekejangan otot. Bantuan kecemasan segera diberi. Alat Pertolongan Cemas (First Aid Kit) yang dibawa digunakan untuk melegakan kesakitan yang ditanggung peserta terbabit. Setelah hampir dua jam memerah tenaga dan keringat, akhirnya puncak Gunung Peninjau berjaya dijejaki. Riak gembira dan keceriaan jelas terpancar pada wajah setiap peserta.

SESI unggun api yang meriah dengan pelbagai cerita daripada para peserta program.

Di puncak gunung ini, terdapat sebuah penanda puncak berbentuk segitiga yang diperbuat daripada besi dan zink. Tidak berapa jauh dari puncak ini terdapat kawasan untuk melihat pemandangan sekeliling. Kami dapat melihat pemandangan pekan Chemor, bandar raya Ipoh dan gunung kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Korbu (2,183 meter/7,162 kaki) dari paras laut.

Beberapa peserta tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di sini. Kami mengambil beberapa keping foto berkumpulan sebagai kenang-kenangan sebelum turun ke tapak perkhemahan untuk makan tengah hari.

Kemudian kami mula berkemas untuk turun ke kawasan perkelahan Ulu Chepor. Kami singgah di sebuah jeram untuk mandi-manda. Kesegaran air jeram membuatkan para peserta tidak melepaskan peluang untuk berendam di dalam sebuah kolam semula jadi. Aksi 'terjun tiruk' turut dilakukan oleh beberapa peserta. Ada juga yang mencuba nasib menaikkan beberapa ekor ikan air tawar yang menghuni sungai.

Tepat pukul 6 petang, kami meninggalkan kawasan perkelahan Ulu Chepor untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.

Untuk ekspedisi mendaki gunung yang akan datang, Kelab OGKL menganjurkan program mendaki Gunung Tiong di Johor pada 16 dan 17 Jun 2012. Untuk maklumat lanjut, bolehlah melayari www.ogkl.com.my atau e-melcrew@ogkl.com.my atau laman sosial ogkl http://groups.to/ogkl/

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rekreasi&pg=rk_01.htm

read more...