Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Memaparkan catatan dengan label China. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label China. Papar semua catatan

Selasa, 26 Julai 2011

Jet pejuang China kejar pesawat pengintip AS

TAIPEI 25 Julai - Dua jet pejuang China menceroboh ruang udara Taiwan ketika cuba mengusir pesawat pengintip Amerika Syarikat (AS) dalam satu insiden hujung bulan lepas, lapor media Taiwan yang memetik Kementerian Pertahanan hari ini.

Menurut akhbar United Daily News, dalam insiden tersebut, sebuah daripada jet China tidak meninggalkan ruang udara Taiwan, memaksa dua jet negara ini diterbangkan untuk memintasnya.

Katanya, insiden tersebut berlaku pada hujung bulan lepas apabila dua jet SU-27 tentera China cuba mengusir pesawat pengintip U2 milik AS.

Tambahnya, Pesawat UA dilaporkan terbang di persisiran Selat Taiwan untuk mengumpul maklumat mengenai Tanah Besar China.

Satu daripada jet China melintasi ruang udara Selat Taiwan yang dianggap sebagai sempadan di antara ruang udara Taiwan dan China.

"Penceroboh (jet China) tidak berpusing semula sehingga dua jet F-16 milik Tentera Udara Taiwan dihantar untuk memintasnya," kata sumber tentera yang tidak mahu dinamakan.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, dua jet SU-27 China secara terang-terangan terbang ke tengah kawasan Selat Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan sebagai provokasi namun menimbulkan kebimbangan.

"Tentera China perlu berlatih supaya tidak melanggar batasan, atau insiden yang tidak diingini boleh berlaku," kata Shuai Hua-min, penggubal undang-undang yang berkhidmat dengan parti pemerintah, Kuomintang.

Kejadian tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap kepercayaan antara kedua-dua negara, walaupun hubungan tersebut dijalinkan sejak Presiden Ma Ying-jeou dari Parti Koumintang yang mesra dengan China, mengambil tampuk perintahan pada 2008. - AFP

read more...

Jumaat, 1 Julai 2011

Spratly: China ulangi pendirian tegas hak kedaulatannya tidak boleh dipertikai

BEIJING 29 Jun - China hari ini mengulangi pendiriannya bahawa ia memiliki 'kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan' terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan, selepas Amerika Syarikat (AS) berikrar akan membantu Filipina yang mempunyai tuntutannya sendiri di kawasan sama.

Seorang jurucakap bagi Pejabat Hal-Ehwal Taiwan, Yang Yi juga mengulangi pendirian Beijing bahawa melindungi kedaulatan pulau-pulau di perairan yang dipercayai kaya dengan sumber asli itu menjadi 'tanggungjawab bersama' Beijing dan Taipei.

"China memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan dan perairan di sekitarnya," kata Yi kepada wartawan, menurut satu transkrip rasmi.

China, Filipina, Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan mempunyai tuntutan bertindih terhadap seluruh atau sebahagian Laut China Selatan, yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas selain menjadi laluan perkapalan penting bagi perdagangan dunia.

Vietnam dan Filipina baru-baru ini menuduh China mengambil tindakan semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap kepulauan-kepulauan dan perairan di Laut China Selatan.

Sebagai respons, China mendakwa mahu menyelesaikan pertikaian wilayah secara aman tetapi enggan berganjak daripada tuntutannya terhadap seluruh laut tersebut, termasuk perairan dalam lingkungan zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina.

AS dan Filipina semalam melancarkan latihan bersama tentera laut di perairan Filipina berhampiran dengan Laut China Selatan.

Komander Armada Ketujuh tentera laut AS, Laksamana Madya Scott Van Buskirk menggambarkan AS dan Filipina sebagai 'sekutu', menandakan komitmen paling kukuh dan paling berkekalan yang boleh diberikan oleh kedua-dua negara.

"Perikatan kita berteraskan kepentingan AS yang mendalam dan berterusan dalam memastikan kebebasan dan keselamatan Republik Filipina," katanya. - AFP

read more...

Isnin, 27 Jun 2011

Spratly: China-Vietnam runding

BEIJING 26 Jun – China dan Vietnam hari ini berikrar untuk menyelesaikan perbalahan maritim melalui rundingan damai, memberi tanda ketegangan ekoran tuntutan bertindih ke atas kawasan perairan di Laut China Selatan antara kedua-dua negara itu semakin berkurangan.

Kementerian Luar China dalam laman webnya berkata, ahli Majlis Negara berhubung Hubungan Luar, Dai Bingguo dan Menteri Luar Vietnam, Ho Xuan Son mengadakan pertemuan di Beijing selepas Xuan Son bertemu rakan sejawatannya dari China, Zhang Zhijun.

‘‘Kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perbalahan berhubung tuntutan itu secara aman melalui rundingan,’’ kata kementerian itu.

Ia berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengukuhkan kawalan tinjauan pendapat bagi membendung perkataan dan tindakan yang akan menjejaskan keyakinan dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Di Honolulu, Amerika Syarikat (AS) semalam meminta China membantu mengurangkan ketegangan di Laut Cina Selatan dengan membuka pintu dialog ketika negara-negara Pasifik bersiap sedia mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

Pegawai kanan AS, Kurt Campbell berkata, pihaknya menyambut baik jika China memainkan peranan lebih besar dalam perkara itu dan ia telah disampaikan kepada negara itu dalam pertemuan di sini.

‘‘Kami telah mengadakan perbincangan jelas berhubung isu ini.

‘‘Kami mahu ketegangan ini diselesaikan. Kami mahu mengekalkan keamanan dan kestabilan, selain ingin mengadakan satu dialog bersama semua negara yang terlibat,’’ katanya selepas pertemuan itu di sini.

Beberapa kejadian berlaku di Laut Cina Selatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang telah meningkatkan ketegangan.

Vietnam mengadakan latihan tembakan peluru hidup, manakala Filipina mengarahkan kapal-kapal tentera lautnya ke sempadan perairan negara itu selepas menuduh China mengambil tindakan agresif.

Pertemuan AS-China itu buat pertama kali memberi fokus kepada isu di rantau Asia Pasifik. – AFP/Reuters

read more...

Sabtu, 25 Jun 2011

McCain gesa AS bantu ASEAN hadapi China

WASHINGTON 21 Jun - Anggota kanan Parti Republikan, Senator John McCain menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sokongan ketenteraan dan politik kepada negara anggota ASEAN untuk menghadapi China dalam pertikaian semakin meningkat di Laut China Selatan.

Menurutnya, AS perlu membantu anggota ASEAN untuk membangunkan dan menempatkan sistem amaran awal serta bot peronda perairan pantai di kawasan yang menimbulkan pertikaian.

Kata bekas kapten tentera laut AS itu, Washington perlu juga menggunakan diplomasi untuk membantu negara ASEAN menyelesaikan pertikaian sesama mereka dan 'mengambil pendirian lebih bersatu'.

Beliau mengalu-alukan perjanjian yang dicapai antara Malaysia dengan Brunei pada Mac 2009 sebagai satu contoh.

"China cuba mengeksploitasi perpecahan di kalangan anggota ASEAN untuk melaga-lagakan mereka bagi memajukan agendanya sendiri," kata McCain pada majlis makan malam anjuran Pusat Kajian Strategi dan Antarabangsa, di sini.

McCain, pendukung dasar ketenteraan lebih tegas, menyambut baik pendirian pentadbiran Presiden Barack Obama mempertahankan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, tetapi beliau mahu White House mengambil langkah lebih tegas.

Katanya, negara lain perlu mengetahui tuntutan mana yang diterima dan mana yang ditolak oleh AS, dan bentuk tindakan yang bersedia diambil oleh AS untuk membantu, terutamanya dalam mempertahankan sekutu rapat, Filipina.

McCain menyambut baik hubungan kerjasama dengan China dan tidak mencari konflik dengan kuasa besar Asia itu, tetapi beliau menyalahkan 'tindakan agresif' China dan 'tuntutan wilayahnya yang tidak berasas' sebagai punca ketegangan baru-baru ini.

China minggu lepas berkata, Beijing tidak akan menggunakan kekerasan di Laut China Selatan dan menggesa negara lain supaya 'meningkatkan usaha bagi memelihara keamanan dan kestabilan di rantau itu'. - AFP

read more...

China-Vietnam ronda bersama di Teluk Tonkin

HANOI 21 Jun - Kapal tentera laut Vietnam dan China menjalankan rondaan bersama selama dua hari di Teluk Tonkin kelmarin dan semalam.

Perkembangan itu mungkin menandakan ketegangan berhubung sempadan maritim antara kedua-dua negara yang dipertikaikan semakin reda.

Hubungan antara dua negara seteru lama itu bertambah tegang sejak sebulan lalu selepas meletusnya perbalahan dalam isu berlarutan mengenai kedaulatan di Laut China Selatan, yang termasuk tuntutan ke atas Teluk Tonkin.

Dua kapal tentera laut Vietnam dan dua dari China melakukan rondaan bersama sejauh lebih 550 kilometer dari 19 hingga 20 Jun lalu di sepanjang sempadan perairan antara kedua-dua negara di Teluk itu, lapor akhbar rasmi, Vietnam News hari ini.

"Rondaan itu bertujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman di laut, menyelia kegiatan bot nelayan dan memastikan perjanjian mengenai kerjasama perikanan dan perbatasan sempadan di perairan tersebut dipatuhi," katanya.

Akhbar Tentera Rakyat kendalian Kementerian Pertahanan Vietnam berkata, kedua-dua pihak juga menjalankan latihan komunikasi termasuk penghantaran isyarat bendera dan cahaya.

Kapal-kapal Vietnam itu dijadual singgah di pelabuhan China selepas latihan tersebut.

Menurut laporan, rondaan bersama itu adalah yang ke-11 di Teluk Tonkin sejak dimulakan lima tahun lalu.

Kedua-dua negara telah mencapai banyak kemajuan dalam menyelesaikan tuntutan bertindan di teluk itu.

Namun begitu, kedua-dua pihak sejak beberapa minggu lepas saling menuduh antara satu sama lain menceroboh kawasan perairan masing-masing di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perkapalan utama dan dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas. - Reuters

read more...

Selasa, 21 Jun 2011

Spratly: China digesa terbuka


KAPAL peronda Pentadbiran Keselamatan Maritim China, Haixun 31 berlabuh di Pusat Pelayaran Singapura, semalam. Ia adalah antara kapal maritim awam terbesar dihantar oleh China untuk melindungi 'hak dan kedaulatannya'. - REUTERS

SINGAPURA 20 Jun - Singapura menggesa China supaya lebih terbuka berhubung tuntutan wilayah maritimnya di Laut China Selatan dengan menyatakan kekaburan isu itu akan menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Menurut Kementerian Luar Singapura, walaupun republik ini tidak membuat tuntutan di Laut China Selatan, sebagai negara perdagangan utama, kepentingan Singapura mungkin terjejas berikutan isu pelayaran bebas di perairan tersebut.

Kenyataan Singapura itu dikeluarkan ketika kapal peronda awam terbesar China, Haixun 31 berlabuh di pelabuhannya selepas melalui Laut China Selatan.

"Kami rasa, adalah menjadi kepentingan China untuk menjelaskan tuntutannya di perairan itu dengan lebih terbuka memandangkan kekaburan dalam isu ini telah menimbulkan kebimbangan serius kepada masyarakat maritim antarabangsa.

"Singapura bukanlah satu daripada negara yang menuntut wilayah di perairan itu dan bersikap berkecuali terhadap tuntutan mana-mana negara," katanya.

Republik ini melalui satu kenyataan berkata, sebagai sebuah negara perdagangan utama, Singapura mempunyai kepentingan sekiranya keadaan itu menjejaskan kebebasan belayar di semua laluan maritim antarabangsa termasuk di Laut China Selatan.

Ketegangan antara China dan negara-negara lain yang menuntut wilayah di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan semakin memuncak sejak akhir-akhir ini.

Filipina dan Vietnam terutamanya turut memperkukuh tuntutan masing-masing selepas tindakan agresif berterusan China di wilayah yang menjadi pertikaian, tetapi Beijing menegaskan ia mahu menyelesaikan isu itu secara aman.

Jumaat lalu, Manila berkata, pihaknya akan menghantar kapal tentera laut ke Laut China Selatan sehari selepas China mengumumkan misi menghantar kapal peronda Haixun 31.

Sementara itu, lebih 100 rakyat Vietnam berhimpun di luar Kedutaan China di Hanoi untuk minggu ketiga berturut-turut bagi membantah tindakan agresif China. - AFP

read more...

Jumaat, 17 Jun 2011

Spratly: Keadaan semakin tegang


TENTERA Vietnam meronda di pulau Phan Vinh, antara pulau kecil di Kepulauan Spratly pada 14 Jun lalu. - AFP

MANILA 17 Jun - Perebutan wilayah maritim di Laut China Selatan semakin tegang hari ini apabila beberapa negara terlibat memperkukuh tuntutan masing-masing, dua hari selepas China menghantar kapal peronda terbesarnya di perairan tersebut.

Tentera Laut Filipina hari ini berkata, pihaknya akan menghantar sebuah kapal perang ke Kepulauan Spratly bagi meronda di wilayah yang dituntutnya, bagaimanapun negara ini menafikan tindakan itu sebagai respons kepada langkah yang diambil China dua hari lalu.

"Tentera laut sering mengadakan rondaan di kawasan perairan. Ia adalah rondaan biasa," kata jurucakap Jabatan Pertahanan, Eduardo Batac tentang penghantaran kapal BRP Rajah Humabon bersama 68 pegawai dan anak kapal.

Sementara itu, China bakal memperkukuh agensi pengawasan maritimnya dengan menambah bilangan kapal serta 6,000 anggota menjelang 2020 dalam satu lagi langkah yang dijangka meningkatkan ketegangan dengan negara-negara jiran yang turut menuntut wilayah di perairan Laut China Selatan.

Menurut laporan akhbar China Daily, langkah memperbesar agensi Tentera Pengawasan Maritim China itu dibuat selepas pihaknya mengesan banyak pencerobohan laut dan udara berlaku di wilayah yang dituntutnya.

"Semakin banyak pencerobohan oleh kapal dan pesawat asing berlaku di perairan serta ruang udara China sejak beberapa tahun kebelakangan ini," lapor akhbar tersebut.

Laporan itu menyebut, agensi pengawasan martim itu telah mengesan sebanyak 1,303 pencerobohan kapal asing dan 214 oleh pesawat sepanjang tahun lalu, berbanding hanya 110 kes pada 2007.

Seorang pegawai agensi pengawasan yang berada di bawah Pentadbiran Lautan negara itu dipetik China Daily sebagai berkata, pihaknya akan memperoleh 16 pesawat dan 350 kapal menjelang rancangan lima tahun negara itu yang berakhir pada 2015 dan lebih 15,000 anggota menjelang 2020.

Satu lagi laporan akhbar tabloid Global Times hari ini melaporkan, China, baru-baru ini telah mengadakan latihan ketenteraan selama tiga hari di pulau tropika Hainan, selatan negara ini melibatkan 14 buah kapal.

Dalam perkembangan yang sama, Vietnam menyuarakan harapannya untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kepulauan Spratly dengan membangunan projek pelancongan di lima lokasi di sekitar pulau tersebut. - Reuters/AFP/dpa

read more...