HANOI 21 Jun - Kapal tentera laut Vietnam dan China menjalankan rondaan bersama selama dua hari di Teluk Tonkin kelmarin dan semalam.
Perkembangan itu mungkin menandakan ketegangan berhubung sempadan maritim antara kedua-dua negara yang dipertikaikan semakin reda.
Hubungan antara dua negara seteru lama itu bertambah tegang sejak sebulan lalu selepas meletusnya perbalahan dalam isu berlarutan mengenai kedaulatan di Laut China Selatan, yang termasuk tuntutan ke atas Teluk Tonkin.
Dua kapal tentera laut Vietnam dan dua dari China melakukan rondaan bersama sejauh lebih 550 kilometer dari 19 hingga 20 Jun lalu di sepanjang sempadan perairan antara kedua-dua negara di Teluk itu, lapor akhbar rasmi, Vietnam News hari ini.
"Rondaan itu bertujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman di laut, menyelia kegiatan bot nelayan dan memastikan perjanjian mengenai kerjasama perikanan dan perbatasan sempadan di perairan tersebut dipatuhi," katanya.
Akhbar Tentera Rakyat kendalian Kementerian Pertahanan Vietnam berkata, kedua-dua pihak juga menjalankan latihan komunikasi termasuk penghantaran isyarat bendera dan cahaya.
Kapal-kapal Vietnam itu dijadual singgah di pelabuhan China selepas latihan tersebut.
Menurut laporan, rondaan bersama itu adalah yang ke-11 di Teluk Tonkin sejak dimulakan lima tahun lalu.
Kedua-dua negara telah mencapai banyak kemajuan dalam menyelesaikan tuntutan bertindan di teluk itu.
Namun begitu, kedua-dua pihak sejak beberapa minggu lepas saling menuduh antara satu sama lain menceroboh kawasan perairan masing-masing di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perkapalan utama dan dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas. - Reuters
0 ulasan: on "China-Vietnam ronda bersama di Teluk Tonkin"
Catat Ulasan