TEKS UCAPAN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA SEMASA UPACARA PERBARISAN
SEMPENA HARI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA KE-79
DI PANGKALAN UDARA SUBANG
PADA 18 SEPTEMBER 2012
بسم الله الرحمن الرحيم
YANG BERBAHAGIA LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ BIN HAJI JAAFAR, PANGLIMA TENTERA LAUT, DAN PUAN SRI SARAH BTE AB GHAFFAR,
YANG BERBAHAGIA JENERAL TAN SRI DATO’ SRI RODZALI BIN DAUD TUDM, PANGLIMA TENTERA UDARA, DAN PUAN SRI DATIN SRI ASNAH BTE DIN,
YANG
BERBAHAGIA LEFTENAN JENERAL DATO’ SERI PANGLIMA HAJI AHMAD HASBULLAH
BIN HAJI MOHD NAWAWI, MEWAKILI PANGLIMA TENTERA DARAT, DAN DATIN SERI
HAJJAH NOOR AKMAR BTE YAACOB,
YANG BERBAHAGIA MANTAN PANGLIMA-PANGLIMA ANGKATAN TENTERA DAN ISTERI,
PARA PANGLIMA, PERWIRA, BINTARA, PERTANDA PERAJURIT DAN HADIRIN YANG SAYA KASIHI SEKALIAN,
ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮﷲﺍﺔﻣﺣﺭﻮﻢﻜﻳﻟﻋﻡﻼﺴﻠﺍ
Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan
ke hadrat allah subhanahu wataala, serta selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihiwassalam. Berkat limpahan rahmatnya maka
dapat kita bersama-sama pada pagi yang penuh bermakna ini di perbarisan
bersempena dengan sambutan hari angkatan tentera malaysia ke-79.
Terlebih dahulu, saya dengan besar hatinya mengalu-alukan kehadiran dif-dif
kehormat, terutamanya mantan-mantan panglima. Setinggi-tinggi penghargaan dan
ucapan terima kasih atas kesudian tan sri-tan sri melapangkan masa untuk
bersama-sama kami meraikan acara sambutan ini. Sesungguhnya, kami amat
menyanjung tinggi sokongan padu yang disumbangkan kepada angkatan tentera
malaysia selama ini. Sesungguhnya, segala jasa bakti yang telah disumbang
merupakan legasi yang menjadi landasan kepada pembangunan angkatan tentera.
Selaku generasi pewaris, kami amat berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin
terdahulu yang telah mempelopori inisiatif ke arah pembangunan angkatan tentera
malaysia ke tahap yang membanggakan ini. Justeru itu, saya bersama ketiga-tiga
panglima perkhidmatan, darat, laut dan udara, akan terus komited untuk
merealisasikan visi dan misi angkatan yang telah kukuh terencana di atas
landasan yang dibina.
Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,
Dalam kita menyambut hari yang penuh bermakna ini, marilah kita sama-sama
mendoakan agar roh para pahlawan yang telah gugur dicucuri rahmat serta
ditempatkan di kalangan para syuhada. Kita juga turut mendoakan agar para balu,
anggota yang tercedera dan hilang upaya serta keluarga mereka, akan sentiasa
diberikan ketabahan dalam menempuhi kehidupan seharian. Sesungguhnya, segala
pengorbanan dan khidmat bakti yang telah mereka curahkan sentiasa dikenang dan
mendapat penghargaan tertinggi daripada negara. Justeru itu, marilah kita
bertafakur sejenak bagi mengenangi jasa bakti mereka yang telah gugur. Bagi
mereka yang beragama islam, sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah,
al-fatihah... Amin.
Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi
sekalian,
Kita seharusnya bersyukur ke hadrat allah subhanahu wataala kerana negara yang
tercinta ini sentiasa dilimpahi dengan rahmat keamanan dan kemakmuran. Sesungguhnya,
nikmat yang kita kecapi ini adalah hasil daripada usaha gigih yang telah
dicurahkan oleh pelbagai pihak, terutamanya komitmen jitu antara ketiga-tiga
cabang perkhidmatan angkatan tentera malysia, iaitu darat, laut dan udara.
Pelbagai ancaman dan isu keselamatan telah dapat kita tangani secara
profesional, berkesan dan penuh berhemah. Keberhasilannya ialah, usaha dan
petunjuk yang konsisten angkatan tentera malaysia dalam menangani pelbagai
cabaran, telah meneguhkan keyakinan kerajaan dan rakyat serta rakan-rakan
global; bahawa malaysia mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi dari aspek
keutuhan kekuatan dan integriti pertahanan. Ianya juga sesuai dengan tema
sambutan tahun ini iaitu “komitmen kami, keyakinan anda”.
Namun begitu, jangan sekali-kali kita leka, dibuai dengan keamanan dan
kemakmuran yang kita kecapi kini, malah hendaklah kita sentiasa bersedia untuk
menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya, keamanan
yang kita kecapi ini akan terjejas bilamana isu-isu tertentu tidak ditangani
dengan bijaksana. Sebagai tunjang pertahanan negara, kita juga mesti sentiasa
peka terhadap perkembangan geo-strategik serantau dan global.
Kita sedar bahawa kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran adalah penyumbang
utama kepada keberhasilan agenda-agenda pembangunan nasional yang seterusnya
memacu kestabilan dan kemajuan negara, yang akan membawa kesejahteraan kepada
rakyat. Justeru itu, angkatan tentera malaysia akan terus kekal berdiri teguh
bersama-sama kerajaan sebagai perisai negara dalam memastikan kedaulatan,
keselamatan dan kemakmuran bumi tercinta ini akan sentiasa terpelihara.
Sejajar dengan itu, angkatan tentera malaysia akan terus komited memberi
keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin.
Demi untuk mengekalkan tahap komitmen yang tinggi dalam memeliharai keyakinan
kerajaan dan rakyat, maka agenda transformasi angkatan yang telah direncana ke
arah mewujudkan angkatan objektif melalui Blueprint Pembangunan Strategik 4D
MAF akan terus digerakkan dengan penuh kegigihan oleh semua lapisan
pemerintahan dan pengurusan.
Sesungguhnya, pembangunan keupayaan ini akan dilaksanakan secara berterusan
walaupun ianya akan melibatkan kos yang tinggi. Pun begitu, pembangunan
keupayaan ini akan dilaksanakan secara kreatif serta inovatif dengan pengurusan
sumber dan sistem logistik yang efisyen dan efektif. Dengan yang demikian, saya
berkehendakkan agar sistem pengurusan strategik angkatan tentera malaysia dan
seterusnya sistem-sistem pengurusan setiap perkhidmatan untuk sentiasa
dipermantapkan.
Demi keutuhan kesiapsiagaan keupayaan tempur angkatan, saya juga menyeru agar
semua perkhidmatan menentukan modal insan, aset dan doktrin sentiasa berada
pada tahap pengoperasian yang tertinggi. Setiap anggota hendaklah terus
diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran, sesuai dengan kepakaran
masing-masing. Eksesais-eksesais di peringkat perkhidmatan dan antara
perkhidmatan hendaklah dilaksanakan secara konsisten. Dengan ini kita akan
dapat mengevaluasi kemampuan kemahiran individu, unit dan formasi,
kebolehgunaan aset serta keberkesanan doktrin sedia ada, dan seterusnya dapat
merencana penambahbaikan keupayaan angkatan dengan lebih berkesan.
Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,
Sebagai warga angkatan tentera malaysia, kita adalah sebahagian daripada
masyarakat. Justeru itu, kita akan sentiasa bersama dengan rakyat dalam
melaksanakan apa jua agenda pembangunan negara. Sejarah telah membuktikan
bahawa keselamatan dan pembangunan telah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat
secara menyeluruh. Sokongan padu kerajaan dan rakyat telah dapat membantu kita
dalam menangani ancaman insurgensi. Dalam konteks kini, sumbangan angkatan
tentera malaysia terhadap usaha-usaha kerajaan ke arah pembangunan negara bangsa
atau nation building dilunaskan melalui beberapa inisiatif dan program di bawah
strategi lautan biru kebangsaan. Memandangkan usaha ini menunjukkan hasil yang
positif bukan sahaja kepada kita malah kepada negara keseluruhannya, maka
angkatan tentera malaysia akan terus menyumbang kepada program ini demi
kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Walaupun tugas menjayakan agenda
negara ini merupakan peranan sekunder angkatan tentera malaysia, namun fungsi
utamanya dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak akan sekali-kali
diabaikan. Jelas terbukti bahawa inisiatif ini seiring dengan strategi
pertahanan negara melalui konsep pertahanan menyeluruh ataupun hanruh yang
jelas menekankan bahawa pertahanan negara adalah bukan hak mutlak angkatan
tentera malaysia semata-mata, malah ianya menjadi tanggungjawab bersama seluruh
rakyat malaysia.
Analisis geo-strategik juga masih menunjukkan bahawa ancaman keselamatan bukan
tradisional akan terus mempengaruhi keadaan keselamatan serantau. Mengambil
kira keadaan keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks, maka kita
dituntut agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menghadapi sebarang
kemungkinan. Usaha-usaha kita dalam menangani isu-isu yang timbul memerlukan
tindakan yang praktikal dan kolektif bersama-sama dengan negara-negara sahabat.
Angkatan tentera malaysia berperanan mengukuhkan kesepakatan antara negara dan
akan meneruskan usaha ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan rakan
serantau dan luar rantau, sejajar dengan prinsip diplomasi ketenteraan yang
diperkasakan melalui mekanisme langkah-langkah pembinaan keyakinan. Saya
menegaskan bahawa inisiatif dan kegiatan yang dilaksanakan ini telah berjaya
meningkatkan persefahaman serta mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan antara
negara. Justeru itu, demi untuk keamanan sejagat angkatan tentera malaysia akan
terus memperkasakan inisiatif ini.
Sebagai warga angkatan tentera malaysia, kita juga berbangga dengan
pengiktirafan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat dunia atas
khidmat cemerlang kita dalam misi-misi samada melalui peraturan bilateral atau
multilateral, seperti pertubuhan bangsa-bangsa bersatu. Pada masa ini, hampir
seribu warga angkatan tentera malaysia sedang bertugas dalam misi-misi operasi
pengamanan di seluruh pelusuk dunia. Angkatan tentera malaysia juga akan terus
berganding bahu menghulurkan bantuan apabila diperlukan melalui operasi bantuan
kemanusiaan dan bencana alam, seperti yang telah dibuktikan di acheh, sumatera
barat dan pakistan. Selain itu juga, kejayaan pelaksanaan operasi
anti-pelanunan di teluk aden telah memartabatkan keupayaan angkatan tentera
malaysia di kaca mata dunia. Kesemuanya ini juga jelas membuktikan bahawa kita
mempunyai keupayaan dan kemampuan yang setaraf dengan angkatan tentera
negara-negara maju.
Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,
Tiada ertinya kita mempunyai angkatan yang perkasa jika ianya tidak bersatu.
Kesatuan adalah tunjang kepada konsep kesepaduan yang menjadi pendokong ke arah
memperkasakan kebersamaan angkatan kita. Saya menyeru sekalian peringkat
pemerintahan agar memperkukuhkan saf dan barisan warga angkatan tentera
malaysia keseluruhannya. Ingin saya mengingatkan warga angkatan tentera
malaysia sekalian agar tidak sekali-kali membenarkan ketumbukan kita digugat oleh
apa jua unsur-unsur negatif. Kita hendaklah sentiasa menentukan agar tiada
anasir yang boleh menyelinap masuk ke dalam institusi yang murni ini untuk
memecah-belahkan keutuhan kita. Dalam hal ini, ingin saya tegaskan supaya kita
hendaklah bersikap sensitif dan sentiasa bijak dalam menapis dan menangkis apa
jua yang disebarkan, dan tidak mudah terpengaruh dengan isu sensasi yang
sengaja dijadikan gimik demi agenda pihak-pihak tertentu.
Dalam nada yang sama juga, ingin saya tegaskan bahawa kita sebagai warga yang
bertanggungjawab hendaklah sentiasa peka dan menghayati dengan sedalam-dalamnya
akan ikrar kesatria yang setiap daripada kita lafazkan berkali-kali. Kita juga
hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan etos-etos pahlawan yang telah kita
serapi selama ini.
Para pahlawan dan hadirin yang saya kasihi sekalian,
Saya penuh yakin bahawa dengan sokongan serta pengorbanan saudara dan saudari
sekalian, angkatan tentera malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan demi
kejayaan serta kekal relevan sebagai tunjang pertahanan negara. Keupayaan
angkatan tentera malaysia untuk bertindak sebagai angkatan pelbagai spektrum
akan meningkatkan lagi keupayaan cegah rintang kita. Sekali lagi saya menyeru
agar janganlah kita terlalu lena dengan kegemilangan lampau. Teruskan usaha
untuk membangunkan keupayaan, memperkasakan imej serta meningkatkan keyakinan
rakyat terhadap angkatan tentera malaysia. Saya juga dengan ini memberi jaminan
bahawa selaras dengan perlembagaan negara, angkatan tentera malaysia akan terus
berdiri teguh menyokong dan membantu kerajaan yang memerintah dalam
melaksanakan agenda nasional demi tanah air dan rakyat jelata. Sesungguhnya,
tekad ini dizahirkan dari kesedaran sejati bahawa tanpa sokongan penuh
masyarakat keseluruhannya, angkatan tentera malaysia tidak akan mampu
melaksanakan amanah negara dengan sebaik-baiknya.
Dalam pada itu, angkatan tentera malaysia juga tidak melupakan peranan badan
kebajikan keluarga angkatan tentera atau bakat sebagai satu entiti yang
berupaya meningkatkan kecemerlangan organisasi. Bakat memainkan peranan sebagai
saluran bagi keluarga anggota tentera menyuarakan keperluan mereka di samping
memberi sokongan kepada para suami menerusi pelbagai program dan aktivitinya.
Peranan bakat mampu meringankan bebanan para suami bagi membolehkan mereka
memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas. Kepada para ahli bakat sekelian,
teruskanlah usaha-usaha murni dalam membangunkan kesatuan puan-puan melalui
program-program yang direncanakan, serta berikanlah sumbangan masing-masing
dengan sebaik mungkin. Saya percaya bahawa dengan keprihatinan berpanjangan dan
sikap pro-aktif di kalangan ahli-ahlinya, kewujudan bakat akan menjadi nilai
tambah yang signifikan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan warga tentera
dan keluarga mereka.
Saya juga menyeru kepada semua warga ANGKATAN TENTERA MALAYSIA untuk
memperkukuhkan lagi institusi murni dan bermaruah ini, meningkatkan lagi tahap
profesionalisme kita serta menyuburkan iltizam untuk memacu kemajuan organisasi
ke tahap yang lebih tinggi. Sentiasalah berusaha memberi khidmat yang terbaik
dan meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi segala-segalanya kerana
kitalah perisai negara yang menjadi harapan negara dan rakyat, dan kitalah
pendokong utama pertahanan negara demi masa hadapan warisan bangsa malaysia.
Pada kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh warga ANGKATAN TENTERA MALAYSIA melafazkan
IKRAR TAAT SETIA yang tidak berbelah bahagi kepada SERI PADUKA BAGINDA YANG
DIPERTUAN AGONG selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Izinkan
juga saya bagi pihak seluruh barisan warga Angkatan Tentera Malaysia melafazkan
sokongan padu kepada kerajaan yang memerintah. Marilah kita memperbaharui
iltizam untuk bersatu padu demi menentukan jaminan keselamatan yang konsisten
kepada pentadbir negara dan seluruh rakyat melalui pelaksanaan tanggungjawab
dengan profesional, berdedikasi dan ikhlas. Akhir kata, semoga allah subhanahu
wataala memberkati segala usaha murni angkatan tentera malaysia dan
mengurniakan kita dengan segala kecemerlangan, perlindungan dan kekuatan yang
berterusan, InsyaAllah.
“KOMITMEN KAMI, KEYAKINAN ANDA”
“PERISAI NEGARA”
“SENTIASA BERSEPADU”
Sekian,
Saya Sudahi Dengan
وبرکاتهاللهورحمةعليکموالسلاموالحدايةفيقالتووبالله