Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Memaparkan catatan dengan label Seks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seks. Papar semua catatan

Khamis, 1 November 2012

Usah bercinta dengan isteri atau suami orang


CINTA dan kasih sayang itu anugerah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka". (Maryam, ayat 96). 

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan. 

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."

Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri juga bukan luar biasa. 

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain. 

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari). 

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang. 

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh. 

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak. 

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak. 

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada. 

Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita. 

Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang. 

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada. 

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih. 

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya. 

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama. 

Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan. 

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi. 

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri. 

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian. 

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya. 

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi. 

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda. 

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.
read more...

Rumahtangga : Seks bukan kunci utama bahagia

SAYA percaya, ramai yang beranggapan seks adalah segala-galanya dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kalau hubungan seks baik, akan bahagialah rumah tangga.

Benarkah begitu? Adakah ia punca utama kepada peningkatan kes perceraian setiap tahun?

Hakikatnya, perkahwinan bukan untuk melampiaskan nafsu seks atau keseronokan semata-mata. Perkahwinan sebenarnya satu ikatan, tugas dan amanah yang perlu dipikul serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ya, saya akui, salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan adalah bagi membenarkan satu hubungan antara lelaki dan wanita.

Dalam Islam, melalui perkahwinan hubungan tersebut bukan saja dibenarkan, malah pelakunya akan diberikan pahala sama seperti melakukan ibadat suruhan Ilahi.

Namun perlu diingat, bukan itu sahaja tujuan dan hikmah perkahwinan. Malah, kalau dilihat kepada hikmah perkahwinan yang tersenarai, kita telah diajar sejak di bangku sekolah lagi, 'keseronokan' itu adalah tujuan terakhir.

Ini petikan daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia, telitilah sendiri :

Menyenaraikan hikmah perkahwinan:

* Melahirkan zuriat yang bersih.
* Memupuk perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.
* Mengelakkan perbuatan maksiat.
* Melahirkan perasaan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah Allah.
*  Memenuhi tuntutan rohani dan jasmani yang menjadi fitrah manusia melalui jalan halal.

Apabila seks menjadi hikmah terakhir dalam pensyariatan, jelaslah seks bukanlah kunci utama kebahagiaan. Lantas, di manakah terletaknya kunci bahagia rumah tangga?

Dua kunci utama

Seperti sebuah rumah, tidak cukup jika dikunci menggunakan satu kunci sahaja. Keselamatannya masih diragui. Paling kurang, ia memerlukan dua kunci iaitu satu kunci biasa dan satu lagi kunci mangga, barulah keselamatan lebih terjamin.

Sama dengan sebuah perkahwinan, ada dua kunci utama yang menjadi tulang belakang dalam usaha mewujudkan bahagia iaitu : 

* Peranan yang dilaksanakan oleh suami dan isteri
* Isteri yang solehah

Peranan suami dan isteri

Suami dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri di samping tanggungjawab bersama yang perlu dilaksanakan. 

Tanggungjawab suami adalah hak isteri. Tanggungjawab isteri pula adalah hak suami. Suami perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar isteri mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Isteri juga perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar suami mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami adalah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah serta keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri dan bersikap romantik terhadap isteri. 

Suami juga perlu bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa menunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri. 

Sementara itu, tanggungjawab seorang isteri pula termasuklah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami serta keluarga, menghormati suami dan menyenangkan hati suami.

Selain itu, tanggungjawab bersama bagi suami dan isteri pula adalah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.

Sekiranya segala peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dalam suasana penuh toleransi tanpa mengambil kesempatan, bahagia akan wujud walaupun hubungan intim bukan di takhta pertama. 

Isteri solehah 

Sukar diakui, tetapi satu hakikat yang perlu diterima adalah isteri yang solehah sebenarnya kunci utama kebahagiaan hidup berumah tangga. 

Bukan niat mahu memihak kepada kaum Hawa. Tanyalah pada mana-mana kaunselor sekalipun termasuk kaunselor lelaki, pasti semuanya mengakui, isteri adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.

Imbas semula asal usul kejadian manusia. Allah menciptakan Hawa sebagai teman hidup Adam apabila Adam mengadu dirinya keseorangan dan kesepian dalam syurga.

Sebab itulah juga, alim ulama mengatakan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. 

Wanita solehah adalah wanita yang menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malah, jika wanita itu seorang isteri, beliau isteri yang taat kepada suaminya selagi si suami tidak menyuruhnya melakukan kemaksiatan kepada Allah dan tidak melarangnya daripada melakukan suruhan Allah.

Ya sesungguhnya, isteri merupakan kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Apa sahaja ujian dan dugaan yang mendatang dalam rumah tangga, sekiranya si isteri bersabar, bukan sekadar bersabar, tetapi berdoa memohon pertolongan Yang Maha Esa, insya-Allah, akan tiba masanya kebahagiaan yang diinginkan akan menjelma di depan mata.

Tiada yang mustahil kerana memang diakui, wanita bukan insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang hebat, tetapi sukar dilihat.

Lantaran, saya menyeru kepada semua wanita bernama isteri, anda penentu kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga. 

Peranan anda penting! Jika sayangkan perkahwinan, lakukan peranan anda dengan sebaiknya dengan diiringi doa. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengurniakan.
read more...