Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Khamis, 11 November 2010

RINTIHAN ASKAR INFANTRI

BUKANLAH saya cemburu dengan insentif yang diterima oleh guru dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tetapi, renung-renungkan juga nasib kami sebagai askar infantri. Harap Panglima Angkatan Tentera (PAT) sudi mendengar rintihan kami. Guru dan PDRM bekerja di kampung, pekan dan bandar, tetapi kami (38 unit infantri) bekerja jauh tersorok dari pandangan masyarakat. Kami menjalankan operasi di pulau selama tiga bulan dan di sempadan selama dua bulan tanpa kemudahan asas. Kami cuma dibekalkan makanan untuk 14 hari tetapi cukup untuk seminggu sahaja. Selebihnya kami terpaksa membeli sendiri makanan lain. Makanan yang disediakan oleh Angkatan Tentera Malaysia terlalu banyak pengawet yang memudaratkan kesihatan.

Justeru, setiap kali operasi, perbelanjaan makanan tambahan yang terpaksa kami beli melebihi RM100 bagi seorang anggota sebulan.

Kami juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri selama dua ke tiga bulan tanpa sebarang berita. Apabila kami pergi operasi maka akan ada dua dapur memasak iaitu satu di rumah dan satu lagi di tempat operasi. Ini membuatkan perbelanjaan menjadi lebih sekali ganda daripada biasa. Sekiranya isteri bekerja, mungkin tidak terasa tetapi kalau sebaliknya?

Kami juga berada di sempadan selama dua bulan tanpa kemudahan asas dan perhubungan.

Renungkanlah seketika peranan kami. Apakah kami tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada keamanan negara. Apakah kami tidak layak untuk mendapat sedikit perhatian seperti PDRM dan guru? Kepada pegawai kanan ATM, renungkanlah sedikit nasib kami.

BULAN MADU

Unit Infantri

read more...

Malaysia diminta tambah anggota pengaman di Lebanon


Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed memeriksa perbarisan sempena pembubaran Malcon East 5 di Kuantan, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 4 Nov. - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta Malaysia menambah bilangan pegawai dan anggotanya dalam misi pengaman di Lebanon pada masa akan datang.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, permintaan itu menunjukkan PBB mengiktiraf kemampuan negara dalam melaksanakan misi pengaman di negara bergolak tersebut.

"Saya gembira kerana anggota tentera kita diperakui dan terbukti mampu beroperasi dalam misi serta persekitaran, bentuk muka bumi dan iklim yang berlainan.

"Justeru, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi ini satu platform ke arah memperkasa keupayaan bagi melaksanakan pelbagai bentuk operasi di luar negara dengan lebih komited," katanya.

Beliau berucap sempena majlis penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bangsa-bangsa Bersatu dan pembubaran Kontinjen Malaysia East 5 (Malcon East 5) di padang kawad Rejimen Pertama Kor Amor Diraja (1KAD), Kem Batu 10, di sini. hari ini.

Pasukan Malcon East 5 yang ditempatkan di Kaoukaba, Lebanon dianggotai 35 anggota dan 265 lain-lain pangkat termasuk 20 wanita diketuai Leftenan Kolonel Subari Tomo kembali ke tanah air pada Oktober lalu.

Menurut Raja Mohamed Affandi, beliau yakin penglibatan ATM di Lebanon mendatangkan banyak pengajaran dan pendedahan yang boleh dijadikan panduan pada masa depan.

"Saya amat berpuas hati kerana komitmen dalam misi Misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) telah berfungsi sebagai penanda aras bagi mengukur kemampuan dan daya ketahanan trup kita termasuklah Malcon East 5 dalam pelaksanaan misi di bumi asing," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya sedang membuat analisis dan pertimbangan sama ada menghantar pasukan tambahan ke Afghanistan atau sebaliknya.

"Berdasarkan laporan itu, kita akan putuskan apa yang diperlukan oleh kerajaan Afghanistan termasuk membantu membina semula prasarana kesihatan dan melaksanakan misi perubatan di beberapa wilayah di sana," ujarnya.

read more...

Misi Malcon Isaf ke Afghanistan


Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Rodzali Daud (tengah) bergambar dengan anggota kumpulan induk Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) sebelum berlepas ke Afghanistan dari Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Udara TUDM Subang baru-baru ini.


MISI bantuan kemanusiaan ke Afghanistan diteruskan lagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penghantaran skuad induk Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) bagi membantu negara yang mengalami kemusnahan akibat peperangan itu membangun semula.

Kumpulan induk berkenaan terdiri daripada 30 anggota meliputi dua doktor wanita ATM yang ditugaskan membantu serta memantau keadaan kesihatan penduduk di sana dan menyediakan kemudahan perubatan untuk mereka.

Kumpulan itu merupakan pasukan Malcon Isaf kedua yang akan menjayakan misi kemanusiaan selama sembilan bulan di wilayah Bamyan, Afghanistan setelah ATM menghantar 10 orang skuad pendahuluan untuk memantau keadaan di sana terlebih dahulu pada 16 Julai lalu.

Penghantaran Malcon Isaf adalah untuk misi bantuan kemanusiaan yang lebih memfokuskan pada bantuan dari segi perubatan meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan.

Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud ketika menghantar kumpulan induk berkenaan ke Afghanistan pada 19 Oktober lalu menegaskan, Malcon Isaf bukan sahaja sekadar misi kemanusiaan tetapi turut memikul tanggungjawab serta peranan sebagai medium ke arah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan.

Justeru beliau menyeru anggota terlibat melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka dengan jujur, dedikasi dan juga profesional.

‘‘Setiap anggota perlu mempunyai sifat bekerja secara berpasukan demi memastikan Malcon Isaf dapat berfungsi dengan penuh efektif dan efisien pada setiap masa.

‘‘Saya juga berharap segala persiapan rapi serta latihan integrasi yang telah dijalani oleh kesemua 30 anggota ini akan dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan tugas selain keadaan persekitaran seperti faktor cuaca di sana nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis penghantaran Malcon Isaf tersebut ialah Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman.

Selain itu, Rodzali turut memberi penekanan agar kumpulan induk Malcon Isaf tersebut menjaga disiplin serta budi bahasa, keramahan dan kemesraan agar kontinjen negara akan dipandang tinggi serta disenangi oleh semua pihak apabila berada di Afghanistan nanti.

Tambahnya, beliau berharap dalam keghairahan anggota skuad Malcon Isaf menjalankan tugas, keselamatan diri jangan diabaikan dan perlu memastikan semua prosedur keselamatan sewaktu berada di sana dipatuhi termasuk ‘Rules Of Engagement’ bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.

Sementara itu, bagi Kapten Elias Md. Radzi yang kali pertama menyertai misi kemanusiaan ATM ke luar negara berkata, dia sangat bersyukur kerana menjadi salah seorang yang terpilih kerana merasakan ia satu penghargaan yang besar untuk membantu membangunkan negara seagama yang telah musnah akibat peperangan.

‘‘Sepanjang lapan tahun berkhidmat bersama ATM, ini merupakan kali pertama saya menyertai misi ke luar negara dan begitu bersemangat untuk membantu golongan yang sangat memerlukan di sana.

‘‘Selain itu, saya juga sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan sepanjang menjalani misi tersebut serta akan memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara di sana nanti,” jelasnya.

Kapten Dr. Ummi Kalthom pula berpendapat, peluang untuk menyertai misi kemanusiaan ini tidak akan diabai serta dilepaskan.

Katanya yang pernah mengikuti misi kemanusiaan ATM ke luar negara sebelum ini, dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk dikongsi bersama ahli pasukan yang lain dan juga penduduk di wilayah Bamyan nanti.

‘‘Saya pernah menyertai misi Sahara Barat sekitar tahun 2008-2009 lalu selama enam bulan. Kali ini saya dengan bantuan 13 paramedik di dalam skuad ini akan menggunakan sebaiknya pengalaman daripada misi tersebut dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama perubatan kepada penduduk di wilayah Bamyan,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd. Farihin Abdullah, suami kepada Nuraidila Ganti yang menyertai misi kali ini berkata, dia berbangga kerana isterinya telah dipilih untuk mewakili negara bagi membantu negara yang kini berada dalam kesusahan.

Katanya, walaupun terpaksa berjauhan dengan isteri untuk tempoh enam hingga sembilan bulan, dia tetap menyokong isterinya dan mendoakan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik di sana nanti selain selamat pulang ke tanah air apabila selesai misi tersebut.

read more...

Kumpulan induk Malcon East 5 selamat pulang


JAMIL Osman (dua dari kiri) bersalaman dengan anggota pasukan Malcon East 5 di Pangkalan Udara Subang, semalam.


SUBANG 29 Okt. - Kumpulan induk Malcon East 5 (ME5) terdiri daripada 200 anggota yang berkhidmat di bawah Misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) selamat pulang ke tanah air hari ini setelah berada sembilan bulan di negara bergolak itu.

Kumpulan pengaman negara itu berada di Lebanon sejak Januari lalu dan menjalankan misi-misi keamanan bagi membantu membangunkan negara tersebut yang musnah akibat peperangan.

Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman berkata, beliau berbangga dengan prestasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua anggota kumpulan induk ME5 sehingga mendapat pujian negara-negara yang terlibat dalam misi keamanan itu.

Beliau juga bersyukur kerana sepanjang misi ME5 di sana, tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun negara tersebut sedang bergolak dan berlaku peperangan.

''Saya sangat bersyukur kerana semua anggota yang menyertai misi ke Lebanon dapat pulang tanpa sebarang kecederaan kerana kita faham keadaan di negara itu yang sering berlaku peperangan dengan Israel," katanya ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan kumpulan itu di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Roslan Saad dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Yusoff.

Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai misi ME5 adalah seramai 300 orang termasuk 10 anggota wanita.

Seramai 100 anggota pendahuluan ME5 selamat pulang ke tanah air pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Jamil berharap prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh anggota ME5 dapat diteruskan selepas ini dalam misi-misi keamanan yang lain agar ATM akan terus dipandang tinggi dan disegani di peringkat antarabangsa.

read more...

Terus pertahan kedaulatan bangsa, agama dan negara


Sultan Abdul Halim memeriksa perbarisan sewaktu merasmikan Istiadat Perbarisan Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengingatkan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mengotakan ikrar terus mempertahankan kedaulatan bangsa, agama dan negara.

Baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua RAMD juga berharap kekuatan tempur rejimen tersebut dapat ditingkatkan supaya keamanan dan keselamatan negara terjamin.

"Beta mengingatkan semua anggota RAMD supaya jangan sekali-kali leka dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat dan juga negara kerana kelak negara sendiri yang akan rugi.

"Beta mahu semua anggota menunjukkan disiplin serta komitmen seperti yang dipamerkan di hadapan beta pada hari ini agar rakyat dapat terus menghirup udara merdeka sampai bila-bila," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen bagi Batalion 1 dan 8 RAMD di sini, hari ini.

Turut hadir Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin dan timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Istiadat tersebut telah mencatat sejarah baru kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pertama kali ia menggabungkan dua batalion dalam satu istiadat pertukaran panji-panji.

Seramai 350 anggota daripada kedua-dua batalion hadir pada istiadat tersebut.

Titah baginda, kedua-dua batalion terlibat juga perlu menyemai sikap bersatu padu walaupun berada dalam pasukan yang berlainan dan perlu sentiasa menghormati kesucian panji-panji yang menjadi inspirasi serta kekuatan semangat setiap anggota pasukan.

"Panji-panji perlu dipertahankan dengan seluruh jiwa dan raga kerana mempertahankannya bermakna mempertahankan negara sendiri.

"Beta berasa bangga dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh RAMD selama ini dan mahu ia diteruskan bagi memastikan negara terpelihara daripada gangguan anasir jahat," titah baginda.

Baginda bertitah, kedua-dua batalion itu juga perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang datang pada masa hadapan.

read more...

Tembakan Herman harumkan Tentera Darat

leh AMRAN MULUP
Gambar GAIE UCHEL

HERMAN Majur mencium piala kejuaraan sambil dijulang rakannya apabila dinobatkan juara Carbine Individu Lelaki pada Kejohanan Menembak Tentera Darat ASEAN.


LATIHAN intensif selama 10 bulan membawa kejayaan kepada Lans Koperal Herman Majur, 27, apabila dinobatkan juara Kategori Carbine Individu Lelaki pada Kejohanan Menembak Tentera Darat ASEAN (AARM) di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka baru-baru ini.

Herman yang berasal dari Tambunan, Sabah dan bertugas di Rejimen Renjer Diraja Kem Majidee, Johor menyifatkan kejayaan itu amat membanggakan kerana berjaya mengharumkan nama Tentera Darat.

‘‘Saya tidak sangka boleh muncul juara. Kejayaan ini adalah berkat latihan selama 10 bulan yang saya jalani untuk menghadapi AARM.

‘‘Saya bangga dapat mengharumkan nama Tentera Darat dan nama negara kerana bukan mudah bersaing dengan penembak handalan dari Indonesia dan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup kejohanan tersebut.

Majlis penutup AARM ke-20 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin. Turut hadir, sembilan Panglima dan wakil Panglima Tentera Darat dari 10 negara ASEAN.

Herman yang masih bujang adalah antara 500 penembak yang menyertai kejohanan itu sejak bermula 17 Oktober lalu yang mempertandingkan 15 kategori.

‘‘Ini adalah penyertaan kali kelima saya dalam AARM dan tahun ini ia membawa kejayaan paling cemerlang kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Indonesia menguasai enam kategori yang dipertandingkan iaitu Pistol Individu Wanita, Pistol Berpasukan Lelaki, Machine Gun Individu Lelaki, Machine Gun Berpasukan, Rifle Berpasukan dan Rifle Menjatuhkan Plate Berpasukan.

Sementara itu, Thailand memenangi dua kategori menerusi acara Machine Gun Menjatuhkan Plate Berpasukan dan Carbine Berpasukan manakala Filipina muncul juara bagi acara Rifle Individu Lelaki.

Tahun depan, Indonesia akan menjadi tuan rumah AARM kali ke-21.

AARM merupakan acara sampingan yang diadakan sempena Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Darat ASEAN (ACAMM) bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan serantau.

Malaysia telah menjadi tuan rumah buat kali ketiga sejak AARM mula diperkenalkan pada 1991.

read more...

Panji-panji rejimen

Oleh SYUKRI SHAARI


Dua pegawai pembawa panji-panji diiringi empat anggota berpangkat sarjan daripada Rejimen Tentera Darat mengarak panji-panji pada Istiadat Perarakan Panji-panji Rejimen Batalion Pertama (kiri) dan Batalion Kelapan RAMD sempena majlis penukaran panji-panji di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.


TANGGAL 2 November 2010 menjadi tarikh keramat bagi Batalion 1 dan 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen bagi kedua-dua batalion itu.

Ia merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada RAMD tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kali pertama istiadat seperti itu menggabungkan dua ketumbukan tentera.

Istiadat pertukaran itu menandakan sudah tiba masanya panji-panji lama bagi kedua-dua batalion itu disemadikan, bersama pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh anggota pasukan tersebut dan memulakan semangat serta perjuangan baru.

Panji-panji menjadi simbol kekuatan, semangat juang, inspirasi serta kebanggaan kepada RAMD terutamanya semasa menjalankan tugas sama ada di dalam mahupun luar negara.

Acara yang penuh adat istiadat itu diadakan di Dataran Panglima Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan dihadiri 350 anggota Batalion 1 dan 8 RAMD bagi menjadi saksi permulaan era baru Panji-panji Rejimen bagi batalion tersebut seiring dengan perubahan persekitaran ketenteraan masa kini.

Penganugerahan panji-panji baru itu adalah sebagai tanda menghargai pengorbanan kedua-dua batalion dalam mempertahankan negara. Ia juga adalah tanda penghormatan dan kemegahan batalion RAMD.

Panji-panji Rejimen merupakan denyut nadi sesebuah batalion dan merupakan penggerak kekuatan anggotanya semasa menjalankan tugas.

Malah Tuanku Abdul Halim selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD ketika bertitah semasa istiadat pertukaran itu menggesa anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mempertahankan panji-panji yang diamanahkan seperti mereka mempertahankan nyawa dan negara sendiri.'

Titah baginda, panji-panji tersebut tidak boleh dibiarkan gugur ke tanah dan mesti dipastikan ia terus dikibarkan.

"Beta tidak mahu melihat panji-panji ini gugur. Beta mahu ia terus menjadi kebanggaan negara kerana ia juga merupakan simbol kekuatan negara kita,'' titah baginda.

Baginda juga mengingatkan semua anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mencontohi semangat juang anggota-anggota terdahulu yang sanggup gugur di medan perang demi mempertahankan panji-panji mereka.

"Ingatlah ramai wira negara yang gugur semasa mempertahankan panji-panji ini kerana mereka menjaganya dengan sepenuh jiwa raga seperti menjaga keluarga dan negara sendiri.

"Beta mahu ia terus menjadi inspirasi kepada semua anggota untuk terus berjuang demi agama, negara dan bangsa,'' titah baginda.

read more...