Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 4 Julai 2011

Cinta lewat usia

Benarkah usia mempengaruhi hasrat cinta seseorang?





DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.

Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.

Usia 30-an

Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.

Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.

* Tentukan batas waktu

Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.

Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.

Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.

Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.

* Fleksibel

Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.

Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.

Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.

Usia 40-an

Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.

* Perbaiki keterampilan bercinta

Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.

Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.

* Elak bercinta selepas cerai

Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.

Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:

nAdakah anda menganggap semua lelaki tidak guna?

nAtau adakah semua wanita materialistik?

nAdakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?

nAdakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?

Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.

* Hati-hati dengan buah hati

Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.

Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul.
read more...

Nikah, sunah Rasul yang abaikan

Ahmad Baei Jaafar

Perkataan nikah berasal daripada bahasa Arab yang bererti cantum atau temu. Jadi, di segi bahasa apa sahaja yang dicantumkan boleh dikatakan nikah. Dalam bahasa Melayu dikenali dengan perkataan kahwin. Malah ada yang lebih suka mencantumkan menjadi nikah kahwin.

Dalam bidang pertanian kita jumpa dengan istilah durian kawin, mempelam kawin dan banyak lagi. Walaupun disebut kawin hakikatnya kahwin. Maka durian kawin ini melalui proses cantuman benih atau DNA pokok durian yang lain. Lalu dengan itu terjadilah durian 24 dan sebagainya.

Tetapi dalam kehidupan manusia, lelaki dan perempuan perlu dicantumkan dalam satu ikatan. Itulah yang dinamakan nikah kahwin. Dengan proses perkahwinan itulah akan terbentuknya keluarga yang harmoni. Namun ada juga perkahwinan yang menemui kegagalan lalu terjadilah perceraian pada pertengahan jalan. Mengapa terjadinya begitu?

Pada ruangan dan keluaran ini kita akan dalami bab nikah berdasarkan catatan kitab fiqah. Harapannya, perbincangan pada setiap edisi akan memberi jawapan bagaimana membina keluarga harmoni. Pembaca boleh mengikuti bahasannya pada setiap keluaran dengan teliti.

Nikah pada syara’

Nikah atau kahwin dalam konteks agama Islam ialah suatu akad yang mengandungi jaminan hubungan dua insan lalu menghalalkan persetubuhan.

Islam meletakkan perkahwinan suatu yang penting dalam membina hubungan kemasyarakatan. Firman Allah:

Maksudnya: “dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dalam kalangan hamba-hamba kamu baik lelaki mahu perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.
“dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya;” (Surah Al-Nur : 32-33)

Dengan perkahwinan hubungan manusia yang terlarang menjadi halal, dan dengan perkahwinan bercambah biak lagi umat manusia di muka bumi ini. Dengan perkahwinan juga mereka yang miskin boleh menjadi kaya dan dimurahkan rezeki. Dan pada masa yang sama, umat Islam akan berada dalam keadaan aman daripada gangguan lelaki yang jahat.

Selain itu, Rasulullah sendiri berkahwin dan beranak pinak. Atas dasar itu, perkahwinan sudah dikira sebagai sunah rasulullah. Banyak hadis yang menjelaskan hal ini yang antaranya ialah:

مَنْ أَحَبَّ فِطْرَتِي فَلْيَسْتَسِنَّ بِسُنَّتِي وَمِنْ سُنَّتِي الْنِكَاحُ

Maksudnya: Sesiapa yang sukakan fitrahku maka contohilah sunahku, dan sebahagian daripada sunahku ialah bernikah.

Dalam hadis yang lain rasulullah bersabda:

اَلنِّكَاحُ سُنَّتِي فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيسَ مِنِّي

Maksudnya: Nikah adalah sunahku, maka sesiapa yang membenci sunahku maka dia bukanlah dalam golongan umatku.

Berdasarkan itu, tiada alasan lagi bagi umat Islam yang tidak mahu berkahwin. Dalam masyarakat kita ada sesetengah lelaki dan perempuan yang kerana gagal dalam percintaan, bertindak tidak mahu berkahwin walaupun mereka mampu. Ingatlah peringatan hadis rasulullah ini adalah serius, apakah golongaan ini sanggup tidak dianggap umat rasulullah.

Mereka yang gagal dalam percintaan sama adalah ditipu kekasih atau setelah berkahwin kemudiannya dikecewakan suami atau setelah bertunang kemudiannya dibatalkan semula, janganlah kegagalan itu menutup segala peluang yang terbuka di hadapan. Sedarlah semua itu bukan jodoh anda, dan dia tidak sesuai dengan anda. Bukankah Allah itu adil.

Oleh sebab itu, setelah gagal satu perkahwinan, cari lagi. Wanita boleh cari lelaki dan lelaki memang patutlah mencari perempuan. Dengan cara ini mereka akan selamat daripada dibenci Rasulullah. Mereka tetap akan dikira sebagai umat Muhammad.

Sunah Rasulullah dalam rumah tangga

Selain berkahwin untuk memperoleh sunah rasulullah, kehidupan rasulullah dalam keluarga juga perlu dicontohi. Maknanya tidak cukup dengan berkahwin, beroleh pahala ikut sunah, sedangkan mereka tidak mengikut perjalanan rasulullah dalam rumah tangga Baginda. Dalam hal ini, setiap pasangan yang berkahwin perlu tahu sikap rasulullah sebagai suami, bagaimana rasulullah menyelesaikan masalah rumah tangga, dan bagaimana baginda mendidik isteri dan anak-anak.

1. Rasulullah sebagai suami; Rasulullah amat baik terhadap isterinya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berbuat baiklah bahkan berbuat baik terhadap isteri kamu, sesungguhnya aku (Rasulullah) lebih bersikap baik terhadap isteri berbanding kamu.”

Sunat Rasulullah ini sering diabaikan oleh suami. Banyak yang kita lihat suami mendera isterinya, tidak adil terhadap isteri, dan tidak memberi nafkah yang sepatutnya.

2. Rasulullah dalam rumah tangga; sebagai pemimpin baginda mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak. Baginda membantu isteri dengan tidak menyusahkannya. Inilah juga sunah yang sering diabaikan oleh suami.

3. Penyelesai masalah; jika berlaku masalah dalam kalangan isteri baginda segera menyelesaikannya dengan memanggil secara bersemuka. Baginda tidak membiarkan isu itu berlarutan hingga menimbulkan fitnah. Tindakan bijak itu menjadikan baginda disegani oleh isteri dan Sahabat. Di manakah kita dalam hal ini?

Umat Islam yang boleh mengamalkan sunah rasulullah ini, mereka akan hidup bahagia. Hal kerana mereka tetap sebagai umat Rasulullah. Berdasarkan ini jugalah, kita lihat pada hari ini umat Islam sering berhadapan masalah yang tidak sudah-sudah. Hakikatnya mereka sudah tidak mengikut sunah rasulullah sekali gus telah dikeluarkan daripada senarai umat Rasulullah.

Hukum nikah

Nikah berdasarkan perintah Allah dalam ayat 32 surah al-Nur, adalah harus. Walaupun perkahwinan dianggap penting tetapi masih diberi peluang kepada mereka sama ada hendak berkahwin atau tidak. Siapa yang hendak berkahwin, silakan, dan siapa yang tidak mahu berkahwin, silakan. Tepuk dada tanya selera.

Walau bagaimanapun setiap yang harus itu kekadang boleh berubah kepada empat hukum lain mengikut keperluan manusia.

1. Wajib; wajib berkahwin mereka yang nafsu syahwatnya tidak dapat dikawal, dan boleh bila-bila masa untuk melakukan dosa zina.

2. Sunat; Sunat berkahwin pada orang yang ad keinginan kepada wanita, dan dia pula cukup berkemampuan belanja untuk isteri. Jika dia tidak berkemampuan haruslah ditangguhkan dahulu, pilihan ini lebih daripada terus berkahwin. Jika nafsu syahwatnya mendesak bolehlah dipejamkan atau dilemahkan dengan berpuasa.

3. Makruh; makruh berkahwin pada orang yang tidak berkeinginan kepada isteri sejak awal kejadiannya atau sebab penyakit atau kerana sudah tua atau mati pucuk.

4. Haram; haram berkahwin mereka yang berkahwin dengan niat untuk merosakkan maruah isterinya.

Dengan lima hukum ini, umat Islam harus menilai diri sendiri apakah mereka tergolongan dalam golongan pertama, atau kedua, atau ketiga atau keempat. Jika termasuk dalam pertama dan kedua, teruskan niat itu. Mereka pasti diberi pahala yang berlipat kali ganda.

Tetapi jika mereka tergolong dalam golongan ketiga dan keempat, jauhilah daripada diri kita. Kalau makruh dilakukan akan menyebabkan seseorang itu terjebak dalam haram. Oleh sebab itu, jangan cuba melakukannya hanya atas alasan makruh. Ingalah makruh adalah perkara yang dibenci oleh Allah dan rasul-Nya.

Sanggupkan anda dibenci orang ramai?
read more...

Islam Lindungi Hak Isteri

TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.


Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu..." (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)

Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.

Sabda Nabi bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak."

Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.

Rasulullah bersabda: "Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba."

Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!

Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.

Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)

"Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan," katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.

Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.

"...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik..." (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)

"Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.

"Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya," katanya.

Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan."

Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

"Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)

Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.

Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).

Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li'an.

read more...

Guna Ordinan Darurat pastikan ketenteraman awam

TINDAKAN polis menahan beberapa individu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terlibat dalam anasir subversif merupakan langkah pencegahan.

Oleh itu janganlah kita mempertikai dan mempersoalkan tindakan polis menggunakan Ordinan Darurat terhadap golongan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan subversif.

Tindakan ini juga kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Penahanan enam orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1) Ordinan Darurat dibuat kerana polis menahan mereka bersama bukti.

Berdasarkan beberapa barangan yang dirampas menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan cubaan untuk menghidupkan fahaman komunis.

Jadi, pihak pembangkang jangan mengaburi fikiran rakyat dengan dakwaan penahanan mereka sebagai satu penghinaan terhadap amalan demokrasi dan institusi Parlimen.

Jangan sekadar pandai mengajar orang supaya menghormati demokrasi dan Parlimen, adakah selama ini pihak pembangkang menghormatinya.

Parti pembangkang boleh mengecam bahawa penggunaan Ordinan Darurat sebagai tidak masuk akal dan tidak rasional.

Pembangkang juga boleh persoalkan apakah ancaman yang dicetuskan mereka sehingga perlu ditahan 60 hari?

Pun begitu, apa akan jadi pada negara ini jika anasir subversif itu berjaya meresapi peserta himpunan haram Bersih? Apakah kita mahu para pemimpin sebegini yang sekongkol dengan pengikut fahaman komunis menjadi pemimpin negara kita?

Barangkali pihak pembangkang lupa tentang ungkapan 'mencegah lebih baik daripada mengubati.'

Ramai rakyat Malaysia akan setuju bahawa jika fahaman subversif ini tidak dibendung segera, ia akan menjadi barah yang semakin sulit untuk diubati.

Penganjuran himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini sebenarnya diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Ada kebenaran kata-kata Perdana Menteri bahawa bila ada demonstrasi seperti Bersih ini, ada orang mahu tumpang semangkuk, ada yang berfahaman komunis, ada yang kaki pengacau, ada yang suka berhimpun sebab suka keadaan liar dan yang boleh menaikkan semangat mereka dan sebagainya.

Rakyat Malaysia tidak perlukan warganegara seperti mereka yang sengaja ingin memporak-perandakan negara sendiri.

Oleh itu kita mahu pihak polis bertegas kepada sesiapa sahaja yang mengganggu gugat ketenteraman negara dan memalukan nama baik negara.

Inilah masanya peruntukan undang-undang, malah jika terpaksa menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat untuk menahan sesiapa sahaja yang ingin meneruskan perhimpunan haram menjelang 9 Julai ini.

Hakikat yang kita harus terima ialah kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memelihara kesejahteraan rakyat.

Sumber : Utusan Online

read more...

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Mengenai Perhimpunan BERSIH 9 Julai


KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) - Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

- BERNAMA
read more...

Bersih : Tidak akan biarkan negara rosak - Ismail Omar


ISMAIL Omar (duduk) melihat sejenis senjata api yang dipamerkan semasa menghadiri majlis "Jom Cegah Jenayah" di Butterworth, semalam. Turut menghadiri majlis itu, Tajri Alwi dan Ayub Yaacob.


BUTTERWORTH 3 Julai - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar hari ini berikrar tidak akan sesekali membiarkan mana-mana anasir pihak ketiga memporak-perandakan keamanan negara melalui penganjuran perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) yang dirancang 9 Julai ini.

Ismail menegaskan, sebagai ketua sebuah jabatan yang diamanahkan menjaga keselamatan negara, beliau akan menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk memastikan keamanan yang dinikmati rakyat negara ini terus terpelihara.

Ia adalah kenyataan paling tegas daripada Ismail setakat ini selepas dilihat lebih berdiplomasi termasuk mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan itu baru-baru ini.

"Saya sudah nyatakan, kalau diteruskan juga, (perhimpunan) akan merosakkan ketenteraman (maka) pihak ketiga campur tangan. Mereka eksploitasi perhimpunan ini dan menyebabkan huru-hara, sebelum itu berlaku saya kena bertindak untuk mencegah.

"Itu sebabnya kita buat tangkapan awal kerana kalau nasi sudah menjadi bubur dan huru-hara sudah berlaku, maka sudah tiada gunanya lagi. Kita tidak mahu ada harta benda yang rosak malah mungkin melibatkan nyawa, kita tidak mahu semua ini berlaku.

"Di atas jawatan sebagai KPN saya bertanggungjawab menjaga keamanan yang kita kecapi ini dan akan gunakan segala peruntukan undang-undang untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan; Panglima 6 Briged Tentera Darat, Brigedier Jeneral Datuk Tajri Alwi; Timbalan Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub.

Ismail seterusnya mengingatkan setiap lapisan rakyat supaya tidak mencipta sebarang ruang yang boleh dimanipulasi pihak ketiga untuk menggugat keselamatan negara kerana hanya akan merugikan rakyat.

Ditanya mengenai gesaan pihak pembangkang yang mahu rundingan berhubung perhimpunan itu dibuka semula, Ismail berkata, pendirian pihaknya jelas bahawa perhimpunan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan risiko buruk.

"Peluang apa lagi? Saya dah kata berulang kali jangan kita bermain dengan risiko. Banyak cara untuk kita mendapat dan memberi pandangan, bukan cara berhimpun dan mencabar undang-undang," tegasnya.

Menjawab mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur demonstrasi menentang kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini, Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan satu unit khas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

"Kita akan bertindak mengikut undang-undang dan sampai masanya kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tuduh menuduh ini tidak baik, kita kena duduk bersama-sama jaga keamanan. Jangan kita panas keadaan sehingga orang bergaduh," jelasnya.

read more...

Bersih : Polis mampu kawal keadaan - ATM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan kemampuan polis melaksanakan undang-undang serta mengawal keselamatan negara dalam menangani perhimpunan haram yang dirancang 9 Julai ini.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya akan mengambil alih tugas mengawal negara sekiranya mendapat perintah daripada Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat.

"Kami mempunyai kuasa yang terhad. Oleh kerana itu, kami hanya akan bertindak jika perintah daripada Yang di-Pertuan Agong yang isytiharkan darurat barulah kami mangambil alih tugas mengawal negara," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai persediaan pasukan itu dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal perhimpunan haram yang dirancang diadakan pada 9 Julai ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap tidak ada perintah darurat dikeluarkan, yang menyebabkan pasukan itu mengambil alih tugas mengawal negara.

read more...