Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 13 Disember 2011

Jemaah Pemangku Sultan Kedah dilantik


JEMAAH Pemangku Sultan Kedah, (dari kanan) Tunku Annuar Sultan Badlishah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.


ALOR SETAR 12 Dis. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit hari ini.

Pelantikan jemaah itu diadakan ekoran keberangkatan Tuanku Abdul Halim yang melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun bermula esok.

Ia membabitkan tiga adinda baginda iaitu Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Tunku Annuar turut dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan Kedah itu selaras dengan Perkara 18(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Bahagian Yang Kedua yang memperuntukkan bahawa seorang Pemangku Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan dilantik bagi menjalankan kewajipan baginda sebagai raja dalam negeri.

Istiadat pemasyhuran bermula kira-kira pukul 10 pagi selepas Tuanku Abdul Halim dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun berangkat masuk ke Balai Penghadapan diiringi oleh pegawai membawa alat kebesaran diraja, juru iring tentera dan polis didahului oleh Ketua Istiadat, Datuk Bijaya Indera.

Ia diikuti bacaan watikah pemasyhuran perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan oleh Datuk Seraja Setia, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir.

Keempat-empat anggota jemaah mengangkat sumpah di hadapan singgahsana Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Azman Husin dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Sheikh Yahya Jusoh.

Istiadat berakhir dengan tembakan meriam sembilan das diikuti bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Tuanku Abdul Halim akan berangkat bagi menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Ini adalah kali kedua baginda dipilih melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah pada 1970 iaitu dari 21 September 1970 sehingga 20 September 1975.

read more...

Timbalan Yang di-Pertuan Agong : Sultan Muhammad V dekat di hati rakyat

KOTA BHARU 12 Dis. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.

Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita', telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita'.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju 'gumbang', berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada masa lapang gemar membaca, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda adalah Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) dan turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 27. - BERNAMA

read more...

Ketibaan Tuanku disambut meriah di Kuala Terengganu


TUANKU Mizan Zainal Abidin bersalaman dengan para pembesar negeri yang menyambut ketibaan baginda dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. – BERNAMA


KUALA TERENGGANU 12 Dis. – Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kira-kira pukul 2.02 petang ini dari Kuala Lumpur.

Keberangkatan balik Seri Paduka berdua ke Terengganu adalah berikutan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selama lima tahun.

Seri Paduka berdua tiba dengan pesawat khas yang diiringi dua pesawat pejuang Sukhoi dan disambut meriah dengan penuh adat istiadat diraja.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail kemudian mengetuai para tetamu menghadap Tuanku Mizan bagi memohon limpah perkenan sebelum berangkat turun dari pesawat berkenaan.

Sejurus selepas itu Mufti Terengganu, Datuk Dr. Alias Abdullah memimpin bacaan doa selamat sebelum disusuli 21 das tembakan meriam serentak dengan nyanyian lagu Negaraku.

Tuanku Mizan kemudian menerima menghadap Ketua Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja untuk memeriksa perbarisan pasukan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Lagu Negaraku dipersembahkan sekali lagi sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Istana Maziah diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertindak sebagai Menteri Pengiring.

Kenamaan lain yang turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhammad merangkap Pegawai Pengiring Seri Paduka.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudian diraikan pada majlis santapan petang yang dihadiri kira-kira 300 tetamu di istana berkenaan sebelum berangkat meninggalkan majlis untuk ke Istana Nur Nadirah, di sini.

read more...

Keberangkatan balik Tuanku Mizan


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah melambaikan tangan kepada para pemimpin negara dan rakyat ketika berangkat balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketibaan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah di Dataran Parlimen sempena Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja.

Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman sambil diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota daripada Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah yang berpakaian rasmi kemudiannya diiringi oleh Najib dan Muhyiddin bersama isteri masing-masing ke pentas diraja dan melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja oleh kawalan kehormat dan disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam dari Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd. Ali.

Pada masa sama, panji peribadi Yang di-Pertuan Agong berwarna hijau dan kuning turut dikibarkan sambil diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Mizan kemudiannya berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai yang diketuai oleh Leftenan Mohd. Nor Azizan Yahya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh kemudiannya memimpin bacaan doa selamat dan disusuli tabik Hormat Diraja serta lagu Negaraku sekali lagi.

Pasangan diraja itu kemudian bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, ahli-ahli Parlimen, serta wakil kedutaan asing sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Sementara itu di kiri, kanan jalan menuju ke bangunan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum berbaris panjang sambil mengibarkan bendera Malaysia untuk mengucapkan selamat berangkat balik kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007.

read more...

Rabu, 30 November 2011

Cinta adalah warna warni

Cinta seperti matahari, ia tetap bercahaya. Walau malam menjelma, cahayanya pada bulan tetap menerangi kekadang ia juga gerhana tetapi akan kembali jua kecerahannya.

Cinta adalah santapan jiwa. Jiwa tanpa cinta bagai rumah yang kosong. Cinta tanpa menjiwai bagai layang-layang putus tali.

Cintu adalah buta…cinta tidak mengenal usia, paras rupa, mahupun kekayaan dan harta karun, tetapi dari keikhlasan dari hati setiap insan antara satu sama lain.

Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Sayang tidak bermaksud cinta. Suka tidak serasi dengan cinta. Kagum tidak bererti cinta. Bangga tidak semestinya cinta. Cinta adalah CINTA .



Cinta itu seperti sinar matahari, memberi TANPA mengharap kembali. Cinta itu seperti sinar matahari, TIDAK MEMILIH siapa yang ia sinari. Cinta itu seperti sinar matahari yang MEMBERI KEHANGATAN DI HATI..

Cinta umpama ‘treasure hunt’. Cita cita dan tujuan kita satu untuk menuju ke penamat yang paling mengembirakan. Namun di dalam perjalanan kita akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Andainya tidak mampu meneruskan, kita akan tersungkur dan hadiah utamanya akan di kebas oang lain. Tetapi tak usahlah kecewa. Walaupun hadiahnya tidak kita perolehi, tetapi keseronokannya kita sudah rasa. Jadi bercintalah sepenuh hati. Namun jangan letakkan harapan terlalu tinggi.

Kekecewaan terlalu pahit untuk ditelan, terlalu payah untuk dilupakan namun dalam cinta pasti akan merasai kecewa dan dikecewakan walau bukan itu matlamat dalam setiap percintaan.

Kadangkala orang yang paling mencintaimu adalah orang yang tak pernah menyatakan cintanya padamu kerana orang itu takut kau berpaling dan menjauhinya. Dan bila dia suatu masa hilang dari pandanganmu….kau akan menyedari dia adalah cinta yang tidak pernah kau sedari….

Cinta suatu yang indah, cinta boleh buat kita gundah, cinta buat hati berdarah dan cinta jua boleh membawa kesalan yang tak sudah.

read more...

Tips dan Panduan Memilih Jodoh

Mencari Pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.

cari jodoh

Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.

Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih. Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan, saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust. Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

“Begin with the end in mind”, adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.

Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell..

“Aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku.”

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.

Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?

Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?

Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.

Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.

Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?

Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

“Maka pilihlah yang memiliki agama.. Nescaya sejahtera hidupmu”, pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

“Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!”, kata seorang pelajar ‘bidang bukan agama’.

Doa Cari Jodoh

Penyakit “Tidak Jelas”

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit “tidak jelas”, apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred ‘A’ yang digarap dalam subjek “PengeTAHUan Agama Islam” menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

“Yang memiliki agama” itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan “jenama TAHU agama” tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHUdan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang ‘teachable”.

Hanya ‘Beragama’?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.

Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.

Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.

Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.

Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh… atas nama berkahwin kerana beragama.

doa pendekat jodoh

Ini adalah doa dan cara percepatkan jodoh :)

Kredit : Pakar Cinta

read more...

Tips untuk menjadi suami penyayang

Untuk hidup bahagia dalam berumahtangga, suami dan isteri (kedua-duanya, bukan 1 pihak saja) mestilah faham tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Suami mesti tahu apakah hak-hak isteri yang perlu dia penuhi. Begitu juga isteri, mesti tahu tanggungjawab dan peranannya sebagai seorang isteri. Isteri perlu taat kepada perintah suami (dengar cakap) selagimana suruhan suaminya itu tidak bercanggah dengan syariat.

Para suami mestilah bijak untuk hargai dan melayan isterinya. Antara tanggungjawab dan peranan suami ialah;

  • Memenuhi hak-hak dalam rumahtangganya (cari nafkah halal, menyediakan tempat tinggal, makan minum, pakaian dan sebagainya)
  • Ikram @ melayan anak-anak depan isteri
  • Bawa keluarga jalan-jalan, beriadah @ melancong
  • Puji masakan isteri
  • Puji isteri apabila nampak kebaikan dia
  • Bercerita di malam hari
  • Beri hadiah kepada isteri
  • Hiasi diri dengan akhlak (Contohnya bercakap lemah lembut dengan isteri…)
  • Sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebahagiaan rumahtangganya
  • Masak untuk isteri sekali sekali
Berikut pula beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan dititik beratkan oleh suami untuk menjadi suami penyayang :

1. Bersikap tegas
Tegas, tapi lemah lembut terhadap isteri. Ingatlah isteri bukan orang gaji yang anda boleh perintahkan sesuka hati. Isteri amat perlukan layanan lembut dari suaminya, bukannya selalu meninggikan suara bila bercakap dan tak mahu mendengar isi hati isteri.

2. Memberikan pujian terhadap isteri
Walaupun sebenarnya isteri tak perlukan pujian, tetapi jika suami rajin memuji isterinya maka dia akan merasa yakin diri. Dan Rajinlah ungkapkan perkataan sayang dan cinta supaya isteri merasa yakin dan sentiasa merasa dihargai.

3. Menentukan batas tanggung jawab
Islam telah mengatur tanggung jawab suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang hahal, dan isteri pula berkewajipan melayan suami dan menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Jika isteri bekerja pandai-pandailah menolongnya apa yang patut. Yang lebih elok, bahagikan tugas2 yang bersesuaian..

4. Menghindari kritikan terhadap isteri
Jika ada sesuatu pada isteri yang anda tak berkenan, bincangkan secara baik bukan dengan mengkritik. Isteri akan hilang hormat terhadap anda.Suami tidak berhak bertindak kasar dan mengkritik serta menghina sewenang-wenangnya.

Suami yang terlalu banyak mengkritik akan meninggalkan kesan negatif terhadap isteri :

  • Perasaan isteri akan tertekan akibat menahan marah.
  • Menimbulkan pelbagai penyakit fizikal akibat perasaan kecewa dan tekanan batin.
  • Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama.
  • Akibat selalu dikritik dan tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirinya.
  • Untuk menyenangkan hati isteri akan menyalahkan anak-anak.
  • Jika perasaannya terlalu tertekan mungkin dia ingin perceraian.
5. Peka kepada sesuatu yang romantik
Jika semasa bercinta anda sanggup melakukan apa sahaja untuk dapat menarik hatinya, maka setelah berkahwin sepatutnya anda berusaha lebih lagi untuk menarik hati isteri dan bersikap romantik. Ramai lelaki beranggapan salah ‘dah dapat buat apalagi nak susah-susah…..’ Suami yang menganggap remeh hal ini akan menghilangkan rasa cinta dihati isteri sedikit demi sedikit.

6. Memahami isteri yang selalu ingin berada disamping suami
Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya, tak kiralah berapa lama usia perkahwinan anda. Malah semakin lama anda bersama sepatutnya semakin rapatlah hubungan anda bukannya saling menjauh. Kebersamaan boleh mengeratkan
kasih sayang.

7. Menjaga perasaan tenang dalam kehidupan isteri
Suami yang bertanggung jawab akan sentiasa memberikan perasaan aman dan tenteram terhadap isterinya. Dan selalu menyelesaikan masalah rumah tangga secepatnya.

8. Memahami gelora jiwa isteri
Wanita mudah mengalami perubahan emosi, suami mesti menerima hakikat perubahan emosi isterinya. Dan bertolak ansur agar jangan cepat menghukum isteri yang berubah angin tiba-tiba, mungkin hal ini disebabkan perubahan hormon dalam dirinya, janganlah dimarahi. Sebaiknya tanyakan secara lembut kenapa dia marah atau berubah emosi tiba-tiba.

9. Membina kerjasama yang baik
Suami mestilah boleh dibawa berbincang bukannya menggunakan kuasa veto dalam menentukan apa-apa yang diinginkannya.

10. Memenuhi keperluan peribadi isteri
Wanita mempunyai sifat yang khusus dan mempunyai keperluan peribadi masing-masing. Jangan bandingkan isteri anda dengan wanita lain yang tentunya memiliki keperluan peribadi yang lain dari isteri anda.

Semua perkara yang dituliskan ini memang nampak mudah saja untuk diamalkan. Namun, hakikatnya ramai para suami diluar sana yang seringkali lalai @ tidak serius dalam mempraktikkannya.

Realitinya, ramai para suami yang tak pandai nak menjaga hati isteri. Seorang suami yang baik perlulah bersimpati dan mempunyai rasa kasihan terhadap isteri. Tambahan pula dalam dunia moden sekarang ini, yang memerlukan isteri juga keluar bekerja sama seperti suami.

Kalau isteri tidak bekerja sekalipun, suami perlu memahami bahawa kerja seorang surirumah tak pernah habis dari pagi sampai malam. Cuba bayangkan tekanan perasaan yang mesti dihadapi isteri setiap hari. Mendidik @ melayan karenah anak, melayan suami, mengemas rumah, memasak, sapu lantai, basuh pinggan, gosok baju dan bermacam lagi kerja rumah.

Wajarkan seorang suami hanya duduk melepak, baring-baring depan TV, melayan facebook, membaca surat khabar, bermalas-malasan baring atas sofa dan minta dilayan isteri saja? Sedangkan isterinya juga penat bekerja ditambah dengan pelbagai kerja rumah yang perlu dibereskan.

Kepada semua para suami di luar sana, marilah kita sama-sama cuba untuk bertolak ansur dan saling membantu (suami & isteri) agar rumahtangga kita aman bahagia selamanya insyaAllah.

read more...