Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 14 Disember 2011

Hormati kedudukan agama Islam, titah Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU 14 Dis. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak agar terus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Baginda bertitah, ini adalah untuk mengekalkan keharmonian dan mengelakkan daripada timbulnya kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggung jawab yang masih berusaha menimbulkan soal agama.

"Sejarah membuktikan pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan mana-mana golongan atau puak walaupun berlainan agama dan keturunan.

"Terengganu misalnya, adalah negeri yang terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

"Sejak itu, Islam telah menjadi agama anutan majoriti rakyat Terengganu namun, dalam masa yang sama, penganut agama lain masih bebas mengamalkan pegangan hidup mereka selagi tidak menjejaskan keamanan di negeri ini,” titah baginda dalam majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah di sini hari ini.

Sultan Mizan yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 juga bertitah, perpaduan di kalangan umat Islam akan menjamin kedaulatan dan membina benteng kukuh agar agama Islam tidak disendakan. - BERNAMA

read more...

Sultan Kedah catat sejarah


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyerahkan surat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Khas Mesyuarat Raja-Raja Ke-227 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 13 Dis. – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama ialah dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.


Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen, hari ini. Tuanku berdua kemudiannya berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. - BERNAMA


Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara merdeka pada 31 Ogos 1957.

Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lepas.

Upacara bermula pada pukul 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun di Dataran Parlimen diiringi Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor serta Muhyiddin Yassin dan isteri, Noorainee Abdul Rahman sebelum berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - AFP


Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian Diraja Kedah yang dikenali sebagai Sikap terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi saksi.

Istiadat hari ini juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menandatangani Surat Pengisytiharan Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


Ia diikuti bacaan doa dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetapkan.

Ini disusuli istiadat menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Istiadat diteruskan dengan Sultan Muhammad V menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca pengisytiharan tersebut.


TUANKU Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun bersalaman dengan Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah sebelum berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi upacara mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, semalam. - UTUSAN/Halim Khalid


Istiadat hari ini dihadiri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Temenggong, Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir kesemua empat Yang Dipertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan. – BERNAMA

read more...

Kagumi Sultan Kedah


GAMBAR lukisan hitam putih Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang terdapat di Muzium Diraja Kedah di Alor Setar, Kedah.

ALOR SETAR 13 Dis. – Pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan kali kedua jawatan itu bagi baginda amat bermakna kepada bekas operator telefon Istana Negara, Zulkapli Othman dan keluarganya.

Malah membawa kembali kenangan manis buat Zulkapli dan keluarganya yang pernah berkhidmat dengan Tuanku Abdul Halim semasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Zulkapli, 55, dari Alor Gunung, Pumpong dekat sini berkata, pada masa itu beliau berumur 18 tahun dan masih belajar, bertugas sebagai operator telefon bagi syif malam iaitu dari pukul 10 malam hingga 7 pagi selama dua tahun dari 1973 hingga 1975.

Sementara itu arwah ayahnya pula, Othman Ismail merupakan pekerja Istana Kedah yang dibawa oleh baginda ke Istana Negara untuk menguruskan mengenai pakaian protokol baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Arwah neneknya pula Jamaliah Awang yang bertugas sebagai tukang masak di Istana Kedah turut dibawa ke Istana Negara untuk penyediaan santapan raja, katanya di sini hari ini.

Zulkapli berkata, bagaimanapun neneknya meninggal dunia setelah bertugas dua tahun di Istana Negara. — BERNAMA

read more...

Keprihatinan Tuanku Abdul Halim



KE BAWAH Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1946 hingga 1949.

Semasa menuntut di situ, baginda pernah bersemayam di asrama Kolej Sultan Abdul Hamid dan bergaul dengan pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.

Guru dan rakan sekolah menyifatkan baginda seorang yang berhemah tinggi, seorang yang bertolak-ansur dan tidak pernah berbangga diri, biarpun baginda ketika itu bakal raja Kedah.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof, baginda yang aktif dalam pasukan seragam kerap mengikuti perkhemahan termasuk di Gunung Jerai bersama-sama rakan-rakannya.

Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, baginda berangkat ke England pada Februari 1949 untuk melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Semasa di England iaitu pada 6 Ogos 1949, baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah.

Sekembali ke tanah air pada tahun 1955, baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada bulan Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Hasil perkahwinan diraja itu, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Datuk Seri Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Sultan Badlishah telah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga Julai 1957.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menaiki takhta pada 14 Julai 1958 setelah ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah mangkat.

Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Setar.

Menurut sejarah, baginda merupakan Sultan Kedah Ke-2 ditabalkan mengikut istiadat. Sultan sebelumnya ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan ke-22 (1804 hingga 1845) yang juga berlangsung di Balai Besar.

Istiadat perlantikan

Wan Shamsudin memberitahu, perlantikan Sultan Ahmad Tajuddin mengikut istiadat tercatat dalam manuskrip bertulisan jawi yang diterbitkan pada tahun 1805.

Tuanku Sultan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 antara tahun 1970 hingga 1975.

Pada 21 September 1970, baginda dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Malik (Tuanku Bendahara yang kemudiannya bergelar Raja Muda) telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kedah.

Pada ketika ini juga ayahanda saudara Tuanku, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan seorang putera raja yang berhemah tinggi. Baginda terkenal dengan pertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun. Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian hal ehwal agama dan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda.

Keprihatinan baginda jelas terbukti apabila baginda berangkat setiap hari ke Wisma Darul Aman, Alor Setar iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda mahu merapatkan diri dengan kerajaan untuk memudahkan para pentadbir berunding dengan baginda tanpa mengambil masa menghadap di istana.

Menurut Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Menteri Besar boleh memberikan maklumat dengan mudah kepada baginda jika ada perkara mustahak yang perlu dibincangkan dan diselesaikan khususnya dalam menjaga keprihatinan rakyat jelata yang berada di bawah naungan baginda.

Hal itu diakui oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kata beliau, baginda amat mengambil berat tentang pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.


GAMBAR lukisan hitam putih Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang terdapat di Muzium Diraja Kedah di Alor Setar, Kedah.


Mesra rakyat

Baginda amat prihatin dengan tiga perkara iaitu hal berkaitan agama, Perkhidmatan Tadbir Awam Kedah (KCS) dan adat istiadat Melayu.

Tambahnya, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat ke pejabat kira-kira pukul 9 pagi dan pulang ke istana untuk bersantap dan kadangkala baginda berangkat semula ke pejabat pada sebelah petang.

“Sekiranya tiada urusan rasmi, baginda berkenan berangkat ke pejabat kerana semua fail dan dokumen berkaitan bidang kuasa baginda disimpan di sini,” kata Azizan.

Menurut Azizan, apabila bercakap baginda tidak lokek dengan senyuman dan teguran. Bahkan, baginda seorang yang penuh berhemah dan penuh diplomasi.

“Baginda seorang raja yang mesra dan tahu banyak perkara, jadi kita tidak boleh bohong baginda,” katanya memberitahu beliau merupakan menteri besar ke-11 di bawah pemerintahan Tuanku Abdul Halim.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang pelantikan Yang Mulia Che Puan Haminah Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baharu dengan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Istiadat pelantikan itu disambut gembira oleh seluruh rakyat Kedah. Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Selain golf, semasa muda Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah juga gemar bermain tenis dan billiard sehingga kini. Baginda masih bergiat aktif bersukan, namun baginda turut mempunyai hobi lain iaitu fotografi dan melancong.

Baginda juga telah berangkat ke Eropah pada tahun 1950 dan 1954 selain mengelilingi dunia pada tahun 1963.

Baginda juga amat berminat memelihara haiwan. Di Istana Anak Bukit, terdapat taman haiwan yang menempatkan pelbagai jenis burung kegemaran baginda dan haiwan lain seperti rusa dan kuda.

Baginda sendiri mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan setiap hari. Baginda seorang yang mencintai alam semula jadi dan sentiasa memberi perhatian kepada pemuliharaan flora dan fauna.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah, (tengah), Tuanku Haminah (kiri) dan Tunku Puteri Intan Safinaz bergambar di Cameron Highlands pada tahun 2007.


Pada 7 April 1994, baginda telah dipersembahkan dengan watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga kini. Baginda juga menjadi penaung diraja kepada pelbagai persatuan dan badan-badan bukan kerajaan di seluruh negeri Kedah.

Menyentuh soal Sultan Berjiwa Rakyat, Wan Shamsudin yang menjangkau usia 79 tahun ini ada kisahnya tersendiri.

Ujarnya, baginda tidak memilih makanan, malah sedia santap sebarang jenis makanan yang disajikan.

Katanya, beliau ada pengalaman mengenai hal itu ketika menjadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Sultan Abdul Hamid pada satu ketika dulu.

“Saya tanya baginda mahu makan apa pada majlis jamuan itu. Baginda bertitah, beta suka makan apa yang rakyat makan.

“Tuanku suka makan mi abu dan popia. Jadi saya pun bawa peniaga makanan itu pada majlis itu untuk dihidangkan kepada baginda,” katanya.

read more...

Bekas Agung : Tuanku Mizan raja berjiwa rakyat


SEGAK dan tampan, kehebatan Tuanku Mizan juga dikagumi kerana begitu dekat di hati rakyat jelata.


BAGINDA berbeza daripada gambaran tipikal seorang raja di dunia. Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, berdedikasi, berkarisma, bertenaga, gigih dan aktif. Demikian karakter yang menggambarkan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Baginda yang baru menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 semalam juga berjaya melaksanakan tugas-tugas sebagai pemerintah negara dengan begitu cemerlang dan berkesan.

Sememangnya, susur-galur hidup Tuanku Mizan sangat menarik untuk disingkap.

Tuanku Mizan mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 45 tahun iaitu selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga pada usia 40 tahun. Bahkan, menariknya baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang lahir selepas merdeka.

Menjengah usia 17 tahun, baginda telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Terengganu pada 6 November 1979.

Tuanku Mizan dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Dalam lipatan sejarah, baginda juga adalah sultan termuda di negara ini pada usia 36 tahun.

Kehidupan Tuanku Mizan, 49, yang merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara tidak terbatas di istana semata-mata.

Sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di England, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. Pengalaman selama setahun itu membenihkan pengalaman berharga kepada baginda.

Galas tanggungjawab

Aura sebagai seorang pemimpin terserlah sejak Tuanku Mizan masih muda. Baginda dikatakan sanggup meredah hutan dan turun padang bersama kakitangannya berpanas ke merata kampung bagi mengetahui cara-cara mengukur tanah.

Ketabahan baginda menghadapi dugaan dan cabaran diperkukuhkan dengan latihan ketenteraan, termasuk kursus pegawai kadet selama enam bulan di Akademi Tentera Diraja Sandhurts, England iaitu dari Mei hingga Disember 1983.

Setelah menamatkan pengajian di U.S. International University-Europe (kini dikenali sebagai Alliant International University) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Hubungan Antarabangsa), baginda dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 sehingga 10 Julai 1989.

Kemudian, Tuanku Mizan telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991. Dalam tempoh itu juga sebagai Ketua Agama Islam, baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.


SULTAN MIZAN bergambar di hadapan pesawat Sukhoi SU-30MKM sebelum berlepas menaiki pesawat itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.


Pada 28 Mac 1996, baginda telah selamat diijabkabulkan dengan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Bahtera kehidupan baginda berdua diserikan dengan empat orang cahaya mata.

Akrab dengan rakyat

Tuanku Mizan disifatkan sebagai pemerintah yang sangat prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian rakyat jelata. Bahkan, bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi dengan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu.

Justeru, jolokan Raja Berjiwa Rakyat kepada Tuanku Mizan sangat bertepatan untuk baginda.

Sebagai satu landasan untuk terus meringankan beban rakyat, baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai 2005.

Yayasan itu membuka ruang seluas-luasnya untuk baginda terlibat dalam kerja-kerja amal dalam menaiktaraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Tuanku Mizan dikatakan begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan yayasan tersebut. Baginda bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.

Transformasi

Semasa masih bergelar Yang di-Pertuan Agong, baginda juga telah melakukan transformasi terhadap tatacara Istana Negara berurusan dengan rakyat dan kerajaan.

Transformasi itu bermula dengan rombakan dalam pentadbiran istana sendiri apabila hampir 80 peratus pegawai-pegawai kanan telah digantikan dengan mereka yang dipilih oleh Tuanku Mizan sendiri.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan Tuanku Mizan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-224 di Istana Negara.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan berkata, tiada lagi majlis larut malam yang akan dihadiri oleh Tuanku Mizan. Majlis-majlis mesti dimulakan pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

Baginda tidak mahu rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan pulang lewat hanya disebabkan baginda, sedangkan mereka perlu bekerja pada keesokan harinya.

Dalam hubungan diplomasi pula, lawatan baginda ke Kemboja, Laos, Kuwait dan banyak lagi telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan global. Pendekatan itu juga menjadikan Malaysia sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Lawatan kerja Tuanku Mizan selama empat hari ke benua Antartika pada pertengahan November lalu menggambarkan kesungguhan dan komitmen baginda kepada negara.

“Lawatan Seri Paduka itu dilihat akan memperkukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik Antartika di samping mengeratkan hubungan dua hala dengan New Zealand,” ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Sesungguhnya, sepanjang perkhidmatan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berjaya menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Mulai hari ini, baginda kembali bersemayam memerintah negeri Terengganu selepas lima tahun mentadbir Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13.

read more...

Selasa, 13 Disember 2011

Keberangkatan pulang Tuanku Mizan berlangsung dengan penuh istiadat diraja

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melakukan tabik hormat kepada panji-panji ketika memeriksa kawalan kehormat di Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang ke Terengganu di Dataran Parlimen hari ini. -fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melakukan tabik hormat kepada panji-panji ketika memeriksa kawalan kehormat di Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang ke Terengganu di Dataran Parlimen hari ini. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi ini, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada pukul 11 pagi.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai 'muskat' turut menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Muskat, persalinan yang berasal dari kerajaan tua Muscat yang kini dikenali sebagai Oman, merupakan baju labuh separas paha dan berlengan panjang yang diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.

Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.

Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Zaffar Ismail.

Ketika itu juga lagu 'Negara Ku' dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.

Ketibaan pasangan diraja itu di Dataran Parlimen yang diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja, disambut Najib dan isteri.

Baginda berdua kemudian diiring ke peterana, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan kawalan kehormat, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahya.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35 tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah.

Perarakan berwarna-warni itu diiringi 30 pemalu gendang dan disertai 300 pengiring berpakaian tradisional rakyat Malaysia, hulubalang dan inang istana bergerak mendahului kenderaan yang membawa pasangan diraja ke pintu kompleks.

Ketibaan baginda berdua di pintu utama kompleks itu disambut Najib dan isteri, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.

Setiba baginda berdua ke peterana khas di kompleks itu, seramai 40 pesilat membuat persembahan, diikuti jamuan ringan sebelum baginda berangkat ke pesawat khas.

Ini disusuli persembahan 'Daulat Tuanku' oleh peserta perarakan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebelum baginda berdua menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke Terengganu.

Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 1.15 petang.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, manakala Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, 42, dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah pada 1970 iaitu dari 21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975.

Baginda akan berangkat bagi menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok. -- BERNAMA

read more...

Tuanku Mizan catat pelbagai pencapaian cemerlang

TUANKU Mizan Zainal Abidin yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 pada Isnin (semalam) mencatat pelbagai pencapaian cemerlang sepanjang menjadi ketua negara sejak lima tahun lepas, antaranya menjejak kaki ke Antartika.

Lawatan Seri Paduka Baginda dari 20 hingga 24 November 2011 ke benua itu adalah sempena langkah Malaysia menandatangani Triti Antartik 1959 pada 31 Oktober lepas, yang antara lain membolehkan saintis negara ini terlibat secara langsung dalam semua penyelidikan yang dijalankan di benua Antartika.

Malaysia adalah negara pertama dari Asia Tenggara dan negara Islam pertama menyertai perjanjian itu.

Tuanku Mizan, merupakan antara Raja Melayu termuda menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu pada usia 36 tahun pada 1988, dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 44 tahun selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail yang menjadi Yang di-Pertuan Agong pada usia 41 pada 1961.

Tuanku Mizan, 49, juga menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM yang dipandu pada kelajuan supersonik, iaitu melebihi kelajuan bunyi, selama 45 minit mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada 7 Februari 2011.

Pada 10 Mac 2011 pula, Seri Paduka Baginda menaiki KD Tunku Abdul Rahman, kapal selam negara yang pertama, dan menyelam pada kedalaman maksimum operasi di Laut China Selatan, serta melakukan simulasi tembakan terhadap sasaran dari kapal selam jenis Scorpene itu.

Tuanku Mizan yang terkenal dengan sikap rendah diri turut meluangkan masa seharian bersama anak-anak kapal bagi merasai kehidupan mereka di dalam kapal selam itu.

Sepanjang pemerintahan baginda, Tuanku Mizan turut membantu mempereratkan hubungan antara Malaysia dan negara luar. Selain menerima kunjungan pemimpin asing, baginda turut mengadakan lawatan ke beberapa negara asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata secara peribadi beliau menghargai keserasian berurusan dengan Tuanku Mizan dalam semua hal.

"Sesungguhnya di bawah pemerintahan Tuanku, urusan berjalan dengan licin dan lancar. Hakikat ini amat dihargai oleh anggota jemaah menteri, yang berasa amat senang dengan peranan Tuanku sebagai ketua negara," katanya pada Sabtu lepas dalam ucapan pada majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula dalam ucapannya pada majlis itu berkata selama lima tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda, Malaysia terus maju dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi.

"Sesungguhnya, pelbagai dasar dan amalan di bawah gagasan 1Malaysia membuktikan bahawa putik sudah menjadi buah, cita-cita sudah menjadi kenyataan dan didoakan, berkat sentuhan dan naungan Tuanku sebagai payung kedaulatan negara, keadaan ini terus berkekalan jua hendaknya," kata Rais.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman yang telah berkhidmat lebih dua tahun dengan Tuanku Mizan, berkata kegigihan yang ditunjukkan oleh baginda perlu diteladani oleh setiap rakyat di negara ini.

"Peringatan berulang kali kepada rakyat agar sentiasa menjaga hubungan baik sesama kaum, hormat menghormati dan bantu-membantu perlu dijadikan amalan bagi menjamin keharmonian negara," katanya ketika ditemui Bernama.

Awang Kechik berkata Tuanku Mizan sering memberi perhatian penuh kepada rakyat apabila setiap jemputan bagi acara-acara melibatkan rakyat sentiasa dipenuhi.

Tuanku Mizan yang mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Raja Nur Zahirah pada 1996, dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, 15, Tengku Mohammad Ismail, 13, Tengku Muhammad Mua'az, 11 dan Tengku Fatimatuz Zahra', 9.

Tuanku Mizan juga aktif dalam bidang sukan terutama sukan kuda lasak dan telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan termasuk di luar negara. - BERNAMA

read more...