Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 28 Ogos 2012

Pakaian tentera pengganti baju raya



ANGGOTA-ANGGOTA tentera meronda dengan bot tempur sempadan Malaysia-Thailand.

DARI jauh ku pohonkan ampun maaf

Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa

Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

Restu ayah bonda kuharap selalu
Demi anakmu yang kini jauh

Seperti mana lirik lagu yang didendangkan Allahyarham Sudirman itu, begitulah juga kata-kata yang mampu diungkapkan sebahagian anggota tentera yang terpaksa bertugas di sempadan negara pada hari raya ini.

Walaupun berhari raya jauh di perbatasan sudah menjadi lumrah hidup sebagai anggota tentera, namun sebagai insan biasa sudah tentu jauh di sudut hati akan tetap diulit rasa rindu terhadap keluarga tersayang yang berada jauh di kampung halaman.






Ini bukan sahaja melibatkan mereka yang tidak pernah bertugas pada hari raya tetapi yang paling terasa sekali tentulah mereka yang kali pertama menyambut raya dengan berjauhan dari sekeluarga sedangkan inilah pertama kali bergelar suami atau ayah.


Begitulah, demi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara, semua kepentingan diri rela diketepikan sebaliknya arahan bertugas disahut dengan penuh bangga dan tanggungjawab.

Bersama rakan-rakan setugas di tengah belantara, tuntutan puasa dan seruan merayakan kemenangan melawan nafsu sebaik munculnya fajar 1 Syawal tetap dilaksanakan selaras yang dikehendaki agama.


Malah dalam keadaan serba sederhana, takbir tetap dilaungkan dengan penuh bangga memecah kesunyian rimba menandakan kemenangan telah dicapai walau di dalam lubuk hati, hanya Tuhan yang tahu sejauh mana rindu mencengkam sebaik terdengar pujian-pujian kepada Ilahi.


Hanya ketupat dan lemang - dua hidangan wajib di hari raya menjadi pengubat rindu dan sebagai mengimbau nostalgia, ada yang turut menyalakan pelita sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan kemeriahan Syawal di kampung.


Atau jika masih kuat rasa kesyahduan terhadap insan yang tersayang, kad raya yang menjadi pengganti diri akan ditatap, dibaca berulang kali, sekurangnya dapat mengusik kenangan lalu walau sekadar khayalan dalam ingatan.




Situasi seperti inilah yang dapat dilihat di Pos - Pos Kawalan Rejimen Sempadan. Hanya mereka yang faham tugas, peranan dan tanggungjawap seorang anggota tentera di sempadan sahaja dapat menyelami suka duka anggota tentera yang bertugas jauh di hutan ketika umat Islam berpuasa dan menyambut hari raya.


Mereka yang terdiri daripada anggota 8 Briged Batalion Infantri dibawah Markaz 2 Divisyen itu ditugaskan mengawal keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand yang hanya dipisahkan Sungai yang sederhana luasnya.


Justeru apabila umat Islam yang lain bertakbir dan berpakaian indah pada 1 Syawal, anggota berkenaan bakal berpakaian celoreng pengganti baju raya sambil menyandang senjata api.


Namun walau tugas di perbatasan yang sangat mencabar tambahan pula kawasan seperti itu tentunya cukup berisiko, semangat juang mereka tetap utuh.


Demi tugas, cintakan negara dan semangat keperwiraan yang tinggi ternyata berjaya menyuntik motivasi anggota untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.




Sudah menjadi lumrah anggota yang bertugas di perbatasan, para anggota yang bertugas di pos kawalan pada musim perayaan, mereka akan diberikan bungkusan kuih yang ternyata mampu melahirkan senyuman di wajah anggota yang terlibat kerana sekurang-kurangnya dapat juga merasakan kuih dan biskut yang sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri.


Tambah-tambahan buat anggota pertama kali menyambutnya jauh dari kampung halaman, menerima semua ini dengan perasaan bangga kerana dapat menyumbangkan kepada keamanan negara bagi membolehkan rakyat Malaysia yang lain bergembira di hari mulia.


Dari pihak keluarga, mereka tentu macam susah sikit terutama isteri kerana dia juga terpaksa berjauhan dari keluarganya, tapi semuanya akan faham dengan tugas sebagai seorang perajurit yang sanggup gadaikan nyawa dari anasir jahat demi negara tercinta. Berbekalkan semangat keperwiraan yang tinggi, amanah warisan pejuang terdahulu dan ikrar kesatriaan dalam pasukan tentera.


Namun bagi sesetengah anggota tentera apabila semakin dekat tiba hari raya, rasa sayu sikit itu ada juga tambahan pula apabila wajah ibu bapa terkenang di mata sambil terdengar takbir raya yang dilaungkan di tengah rimba ini.


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 kepada :


Tentera Darat Malaysia “Gagah Setia”


Tentera Laut Diraja Malaysia “Sedia Berkorban”


Tentera Udara Diraja Malaysia “Sentiasa Di Angkasaraya”


Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ke-79 Angkatan Tentera Malaysia pada 16 September 2012.


Angkatan Tentera Malaysia “Tunggak Kedaulatan Negara”

read more...

Selasa, 14 Ogos 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H



Jika kesilapan semalam belum terampun, “MOHON DIMAAFKAN”

Jika kesilapan hari ini menyakiti hati, “MOGA DILUPAI”


Jika kesilapan esok mendatang, “HARAP JANGANLAH DIBAWA KE HARI PENGADILAN”


"Ya Allah, di penghujung Ramadhan yang barakah ini dan menjelang Syawal yang mulia. Ku mohon KAU berkati dan muliakan saudara seIslamku ini. Anugerahkan kebahagiaan untuk dirinya dan keluarga mereka, kurniakanlah ia segala kekuatan iman, limpahi dan berkati rezekinya, makbulkan segala hajat dan doa mereka. Amin".

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kawan2
yang mengenali diri ini dimana jua anda berada.

Ampun Maaf Dipinta, Maaf Zahir & Batin
.
Dari Naim dan Keluarga.
Jika anda berhajat untuk membuat Badal Haji untuk arwah ahli keluarga anda, kami bersedia membantu waris-waris yang berminat untuk melaksanakan Upah Haji untuk arwah ibu/bapa, saudara mara terdekat, orang tua yang sudah lanjut usia yang tidak mampu lagi mengerjakan haji dan juga orang sakit yang sudah tiada harapan untuk sembuh.

Kami bersedia untuk bertemu dengan anda sekiranya perlu atau anda masih boleh berurusan dengan kami melalui atas talian (Online). Ini akan memudahkan anda dan anda tidak perlu bersusah-payah untuk bertemu dengan kami terutama bagi mereka yang terikat dengan pelbagai aktiviti harian.


BORANG PENDAFTARAN UPAH HAJI ONLINE



Untuk keterangan lanjut sila hubungi pihak kami.

“ Keselesaan Anda Keutamaan Kami “

Imarah Umrahajj Management Services
Mohammad Nakhaie
H/P : 012-777 7190

read more...

Sabtu, 11 Ogos 2012

Tazkirah Malam Lailatulqadar : Takdir yang baik





Kelayakan minimum
untuk mendapatkan lailatulqadar ialah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah tetapi kadar ganjaran diterima seseorang itu sudah pastinya tidak sama bergantung kepada ilmu, iman dan amal.

Setiap amalan perlu disokong oleh ilmu untuk melengkapkan iman dan seterusnya diterjemahkan melalui amalan.

Ti
ga elemen penting itu sukar untuk seseorang bertemu dan mendapat ganjaran disediakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang sanggup berusaha iaitu bonus ibadat seribu bulan yang bersamaan 83 tahun.

“Ilmu itu ialah ilmu akidah, syariah dan akhlak yang memberi kesedaran kita adalah ‘kuli’ Allah dan bersedia melakukan apa saja diperintahkan tuannya. Oleh itu, tidak kira bila lailatulqadar, sebagai kuli kita akan sanggup bekerja untuknya.

“Pentingnya juga lailatulqadar kerana Allah ingin meningkatkan semangat hamba-Nya tatkala stamina makin berkurangan apabila tiba akhir Ramadan, Allah menjanjikan bonus 1000 bulan”.


Pada malam lailatulqadar 70,000 malaikat diketuai Jibril turun ke bumi dengan izin Allah untuk menjalankan tugas masing-masing termasuk menetapkan takdir seseorang termasuk rezeki, jodoh, maut, suka, duka yang disebut sebagai qada’ dan qadar.


Justeru, umat Islam
dinasihatkan membersihkan rumah mereka sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan malaikat. Walaupun tidak semua malaikat akan berkunjung, sekurang-kurangnya jika malaikat rahmat singgah di rumah kita sudah memadai.

Bagi mendapatkan takdir yang baik seseorang itu perlu terlebih dulu memenuhi prasyarat iaitu menjadi baik dengan melakukan semua suruhan Allah.

Allah hanya akan menyambut dan memakbulkan semua doa serta hajat hamba-Nya dengan syarat mereka bertaubat.


“Bolehkah kita meminta kepada Allah tetapi suruhan Allah kita tidak patuh.
Sepatutnya jika kita hendak sesuatu yang baik kita terlebih dulu perlu berbuat baik. Jika kita banyak salah, bertaubat nasuha kerana orang yang bertaubat Allah pandang dengan belas kasihan”.

Mereka yang bertuah dan dapat ‘berjabat salam’ dengan Jibril pada malam itu akan meremang bulu roma dan gementar badannya tidak kira ketika itu mereka sedang bersolat, membaca al-Quran atau bermunajat kepada Allah.


Perasaan menjadi sayu dan mata berair mengingati akhirat, syurga, dosa serta dapat merasakan kemanisan ibadat. Hati bergetar atau berdebar seolah-oleh merasa rangsangan dan sentuhan istimewa.


Tanda fizikal untuk mengetahui sudah berlalunya malam lailatulqadar ialah apabila tiba waktu Subuh, malaikat akan naik semula ke langit dan suasana siang hari itu redup.


Mereka yang berjaya mendapat bonus kerohanian daripada malam lailatulqadar, hatinya menjadi kaya lalu tidak berasa lokek untuk melakukan semua perkara dengan ikhlas, sabar dan tenang.
read more...

Amaran, celaan sesiapa bangga buat dosa


Daripada Abu Hurairah katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain).

Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan pada waktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah menutupinya, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku melakukan begini dan begini’. Orang itu semalaman ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amaran dan celaan daripada Rasulullah SAW terhadap orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosanya kepada orang lain.



Orang Islam yang terlanjur melakukan dosa dilarang membuat hebahan supaya diketahui orang lain dan dinasihatkan bertaubat kepada Allah SWT.

Melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya menunjukkan seseorang itu memandang remeh dan memperkecilkan agama, merendah-rendahkan hak Allah dan Rasulnya serta golongan salih.


Sementara itu, bagi mereka yang melakukan kejahatan, jangan pula kita menghina mereka seperti sabda Nabi SAW: “Apabila seorang hamba perempuan melakukan zina dan telah nyata zinanya maka sebatlah ia (dengan 50 kali sebatan) tetapi janganlah menghinanya (dengan kata-kata kesat), kemudian jika dia berzina lagi (buat kali keduanya), maka sebatlah dia tetapi janganlah menghinanya. Kemudian jika dia berzina lagi buat kali ketiganya, maka juallah dia sekalipun dengan seutas tali daripada bulu (haiwan).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam mengajar umatnya tidak menghina seseorang sekalipun dia telah melakukan perbuatan yang buruk.


Kita disuruh memisahkan diri daripada golongan maksiat atau memulaukan mereka supaya tidak bergaul dan bermuamalat dengan mereka.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba di dunia melainkan Allah menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)


Islam mengajar umatnya tidak mendedahkan keburukan seseorang. Sesiapa yang menutup keburukan saudaranya nescaya Allah menutup keburukannya pada hari kiamat kerana ganjaran sesuai dengan amalan dilakukan.
read more...

Khamis, 9 Ogos 2012

Ramadhan hampir penghujung, kini persiapan Syawal

TIDAK berapa lama lagi iaitu dalam tempoh lebih dari seminggu sahaja lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri. Pada masa ini kita sedang memasuki fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang dijanjikan penuh dengan keberkatan bulan mulia ini.

Namun lazimnya sudah pasti juga ketika ini ramai yang tidak sabar mahu pulang ke kampung bagi merayakan hari kemenangan ini. Pelbagai persiapan telah mula disediakan bagi menyambut ketibaan Syawal kelak, sehingga ada kalanya persiapan hari raya ini mengatasi amal ibadah di bulan Ramadan ini.

Mungkin ada yang menyatakan artikel ini terlalu awal bagi membincangkan tentang hari raya kerana tempoh seminggu lebih lagi sebelum berhari raya namun saya berpandangan artikel ini ditulis bagi mengingati kita semua semasa mengadakan persiapan untuk berhari raya.

Jika artikel ini ditulis semasa hari raya ataupun tatkala hari raya terlalu hampir mungkin ia tidak dapat lagi berfungsi sebagai nasihat kepada kita semua termasuklah diri saya sendiri.

Selepas genap sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan sebuah 'universiti' yang menyemai pendidikan jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh Universiti Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Tidak hairanlah jika kita perhatikan umat Islam sanggup menahan lapar dahaga sepanjang hari namun agak menyedihkan ada sesetengah pula hanya berpuasa tetapi tidak mengamalkan Rukun Islam yang lain seperti bersembahyang.

Dalam masyarakat Melayu berpuasa di bulan Ramadan amatlah dititikberatkan, ia dapat dimanifestasi dengan tindakan yang diambil terhadap umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan membawa mereka di dalam van jenazah sekeliling bandar.

Enakmen jenayah syariah negeri-negeri juga memperuntukkan adalah menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam sekiranya tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan di khalayak awam.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat menganjurkan iftar, berterawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi amalan khususiah yang dilakukan umat Islam.

Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, umat Islam akan pula meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri. Pastinya jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini.

Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari kemenangan itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya. Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Mengunjungi pusara ibunda khususnya menjadi kemestian di hari lebaran ini. Walaupun yang pergi tidak akan kembali sebagai tanda ingatan sekalung doa dan bacaan ayat-ayat suci dititipkan kepada mereka.

Saya sendiri akan berhari raya buat kali ketiganya tanpa bonda di sisi pada tahun ini. Sudah pastinya ia terlalu berlainan dengan tahun-tahun sebelum daripada ini.

read more...

Tazkirah Ramadhan : Jaminan Syurga

DI antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang mendapat perhatian dan pengkajian di kalangan ahli ilmu ialah tentang kemampuan baginda menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al Hafiz al Suyuti, al Qustallani dan al Zurqani dalam syarahnya bagi kitab al Mawahib al Ladunniyyah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi dan Allahlah Pengurnia."

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda? Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan diketahui sesiapapun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.

Ia merupakan ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. Jika ia dinisbahkan kepada nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi dan menyokong baginda.

Jaminan

Makna menjamin tanah syurga ialah Nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke dalam syurga. Jaminan ini telah diperoleh oleh orang-orang yang menyaksikan Perjanjian 'Aqabah.

Ubadah ibnu Somit r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Saya termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian 'Aqabah yang pertama. Dalam perjanjian tersebut, kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kami ada-adakan di antara kami dan tidak akan menderhakai Nabi SAW."

Baginda SAW bersabda: "Jika kalian menyempurnakan bai'ah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah, jika Dia menghendaki Dia akan menyeksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."

Dalam sahih Muslim disebutkan dengan jelas bahawa bai'ah tersebut disertakan dengan jaminan masuk syurga. 'Ubadah ibn Somit RA berkata: "Saya termasuk di antara pemimpin yang membai'ah Rasulullah SAW."

'Ubadah berkata lagi: "Kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kami dijanjikan syurga jika kami melakukan perkara-perkara tersebut."

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa menyempurnakan bai'ahnya, maka baginya balasan syurga."

Menurut riwayat Qatadah r.a., mereka yang berbai'ah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kami jika kami memenuhi bai'ah itu?" Baginda menjawab: "Syurga."

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (bai'ah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga."

Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu 'Abbas r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Disediakan bagi para nabi mimbar khusus daripada cahaya, mereka semua duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong) cuma mimbar saya. Iaitu saya tidak duduk di atasnya, tetapi saya berdiri di hadapan Tuhan dalam keadaan bimbang jika saya diutuskan ke syurga, sedangkan umat saya masih tercicir. Maka saya berkata "Wahai Tuhan! Umat saya, umat saya!" Allah berfirman: "Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku lakukan terhadap umatmu?" Saya pun menjawab: "Wahai Tuhan saya! Percepatkanlah hisab mereka." Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab. Di antara mereka, ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmat-Nya dan ada yang masuk ke dalam syurga dengan berkat syafaat.

Maka saya terus memberi syafaat sehinggalah saya memberikan tiket masuk ke syurga untuk beberapa orang yang telah dihalau masuk ke dalam neraka. Sehinggakan Malik malaikat penjaga neraka berkata: "Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali meninggalkan pada umatmu suatu peluang bencana (azab) pun untuk kemurkaan Tuhanmu."

read more...

Teladani puasa Rasulullah

AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.

Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.

Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;

Memantapkan niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Melaksanakan makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim). Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Imsak Rasulullah - Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

Mempercepat berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah Taala "hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya" (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

Memperbanyak membaca al-Quran - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim). Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

Memperbanyak sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,

"Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka."

read more...