Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Khamis, 26 Ogos 2010

Dua penjenayah mati ditembak


Anggota polis memeriksa mayat seorang penjenayah yang ditembak mati di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat semalam.


KUALA LANGAT – Keseronokan tiga lelaki yang berjaya merompak wang berjumlah RM6,000 di pejabat syarikat pengangkutan bas Cityliner di pekan Banting dekat sini semalam berakhir dengan dua daripada mereka ditembak mati setengah jam selepas mereka melakukan jenayah itu.

Semasa rompakan pada pukul 12 tengah malam, dua pekerja syarikat Cityliner tersebut sedang menutup pejabat mereka sebelum didatangi tiga penjenayah itu.

Salah seorang penjenayah itu melepaskan dua das tembakan amaran sebelum mereka melarikan wang tunai berjumlah RM6,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian rompakan itu pada pukul 12.20 berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek di Kampung Sungai Lang Dalam iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi rompakan.

“Suspek memecut laju kereta itu menyebabkan ia terbabas ke kawasan tali air.

“Salah seorang suspek keluar dari kereta dan melepaskan dua das tembakan ke arah polis,” kata beliau di sini semalam.

Ekoran tindakan agresif itu, polis terpaksa membalas tembakan penjenayah itu menyebabkan dua daripada tiga suspek yang menaiki kereta tersebut mati.

read more...

Pertahan warisan merdeka

Tanyalah kepada generasi pasca merdeka, apakah kemerdekaan yang mereka fahami pada hari ini. Kita pasti akan mendengar jawapan merdeka ialah apabila negara bebas dari penaklukan dan cengkaman penjajah. Tidak ada yang salah pada jawapan ini kerana jawapan tersebut adalah benar.

Namun bagi golongan pasca merdeka ini, adakah kita benar-benar memahami perjuangan mendapatkan kemerdekaan tersebut? Suka duka yang ditempoh generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan untuk kita dan anak-anak yang tercinta.

Berjuang bukan sekadar mengangkat senjata. Berjuang bukan sekadar berpadu suara. Berjuang bergabung minda dan tenaga demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Kedatangan tarikh keramat bagi negara pada tahun 2010 ini bagai satu rahmat kerana jatuhnya pada bulan yang sungguh mulia bagi umat Islam, bulan Ramadan.

Bulan di mana semua pintu keberkatan, kebaikan dan kemuliaan dibuka seluas-luasnya bagi manusia menginsafi dan memperbaiki diri agar kita menyedari bahawa nikmat kemerdekaan itu sungguh besar, biarpun bukan kita yang berusaha mendapatkannya.

Kemakmuran bulan Ramadan yang dinikmati hari ini memperlihatkan rakyat berbilang agama semakin matang dalam menghormati tuntutan bulan yang mulia ini.

Dalam kebanyakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan, kita pasti melihat kelibat rakan-rakan yang berlainan agama memberi penghormatan dan sokongan dengan menghadirkan diri. Nikmat rezeki dikongsi dengan harapan agar penyatuan ini berkekalan untuk selama-lamanya.

Usia negara yang menginjak kepada 53 tahun seharusnya menyedarkan kita bahawa biarpun tidak sama, tidak bermakna kita goyah. Biar berbeza pendapat, tidak bermakna tidak boleh sepakat.

Semangat kekitaan perlu disemai kerana bumi yang bertuah ini bukanlah tempat untuk beradu siapa lebih kaya, siapa lebih berkuasa. Benar, kita berbeza daripada mereka. Namun kekuatan kita yang sebenar ialah, kita ada satu sama lain.

Dunia tanpa sempadan hari ini adalah cabaran utama generasi pasca merdeka dalam memikul tanggungjawab untuk mencorakkan negara. Andai kita lemah, lemahlah negara. Andai kita buta sejarah, hancurlah perpaduan yang disemai datuk nenek kita terdahulu.

Modenisasi bukan alasan untuk lupa bertutur dalam bahasa kabangsaan, lupa bertatasusila ketimuran dan lupa kepada asal usul terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia.

Kecelaruan tafsiran modenisasi ini menyebabkan ia menjadi punca kepada masyarakat bersikap hedonisme dan individualistik. Kesenangan dan kenikmatan duniawi menjadi matlamat utama biarpun menyimpang daripada ajaran agama dan budaya.

Penjajahan sejak sebelum merdeka rupanya masih belum tamat. Kita melihat lahirnya ramai generasi yang berkiblatkan wang yang tidak mempeduli kesan buruk cara hidup tersebut atas alasan modenisasi.

Kita juga terpanar melihat ramainya anak-anak lahir tanpa bapa dengan alasan kebebasan hidup individu. Inikah kenikmatan kemerdekaan yang kita dambakan?

Atas alasan lebih telus dan adil yang lemah tetap jauh tertinggal kerana tidak punya kekuatan daya bersaing. Manakala yang kaya bertambah kaya. Begitulah keadilan dalam kapitalisme yang berjaya menguasai minda lalu membutakan mata hati kita untuk melihat bahawa hidup bernegara bukanlah sekadar memenuhi 'satu perut' semata-mata. 'Cukup makan sudah' jangan dijadikan budaya hidup.

Menjadi sebahagian dari golongan belia pasca merdeka menuntut kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari kesenangan dan kekayaan supaya yang lebih itu dapat kita kongsi bersama mereka yang tidak berpeluang menikmatinya.

Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan dengan sebanyak-banyaknya namun harus menjadi ummatan wasatan dengan menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Bahkan, memelihara kekayaan harta benda di dunia ini merupakan salah satu daripada lima objektif syariah yang perlu dijaga oleh umat Islam.

Sesungguhnya mempertahankan sesuatu itu lebih payah daripada usaha mendapatkannya. Begitulah jua dengan kemerdekaan bagi negara ini dan perpaduan di antara semua kaumnya.

Bukan sehari dua masa diambil untuk menyemaikannya. Tetapi hanya dengan sekelip mata kita boleh memusnahkannya.

Semua ini bakal terjadi sekiranya perasaan saling menghormati kian hilang, diganti perasaan curiga apatah lagi jika agama dibuat taruhan. Tidak mustahil apa yang kita miliki pada hari ini tidak akan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Lalu apakah sebenarnya kemerdekaan yang kita, generasi pasca merdeka fahami. Cukupkah memadai pengertiannya sebagai kebebasan daripada cengkaman penjajah?

Apakah kemerdekaan itu perlu bergantung kepada sejauh mana negara menyerap modenisasi dan liberalisasi yang bertunjangkan acuan Barat? Atau mungkin jua kemerdekaan itu hanya perlu dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata dan bukan pada pembangunan rohani rakyatnya?

Kemerdekaan adalah satu perjuangan yang belum selesai. Perjuangan yang sentiasa menuntut kepada kemakmuran, kekuasaan dan keselesaan tetapi bukanlah hanya untuk kehidupan kita semata-mata dan bukan jua bagi kepentingan orang yang tertentu sahaja.

Perjuangan ini sebenarnya bekalan buat anak-anak kita pada masa akan datang. Tidak malukah kita kepada generasi terdahulu yang bermati-matian demi kita berjuang untuk mewariskan bumi ini kepada kita yang belum pun lahir?

Tidak malukah kita meminjam tanah air ini daripada generasi akan datang dan pulangkan kepada mereka dalam keadaan kusut dan berpecah-pecah? Tepuk dada tanyalah minda, merdekakah sudah diri kita?

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

read more...

Nuzul Quran dalam etika ummah


urusan ibadat umat Islam tidak wajar dicampuradukkan dengan politik. - Gambar hiasan


Peringatan Nuzul Quran bagi kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar abad yang lalu. Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan tanggal 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610 M.

Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari penghabisan turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 dari tarikh kelahiran Nabi.

Pada saat itu Nabi SAW sedang berwukuf di Padang Arafah dalam menyelenggarakan haji yang terkenal dikenali Haji Wada'. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan Nabi pun setelah Haji Wada' selama 18 hari, baginda wafat iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.

Ayat yang terakhir menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

"Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-ucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu."

Kalau kita sekarang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!"

Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud: (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Meskipun kata-kata 'malam' disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi. Ia dinamakan 'malam' yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril a.s.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata 'salam' akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian

Oleh sebab kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam, merapatkan hubungan silaturrahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman."

(Surah al-Anfal: Ayat 1)

Pengabaian sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi ciri-ciri Mukmin yang sejati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa akan datang suatu zaman di mana orang berkumpul di masjid untuk sembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturrahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan solat.

Sebagai umat yang satu, kita dapat saksikan bahawa setiap umat Islam mengerjakan ibadat yang sama, iaitu bersembahyang sebanyak lima kali sehari dan mengarahkan kiblat yang satu. Kita tidak akan dapat nilai-nilai kesatuan ini dalam agama lain, walaupun mereka melaksanakan ritual yang sama, tetapi arah mereka tidak bertemu di satu pusat atau tempat.

Bagi umat Islam setiap kali bersembahyang, sama ada sembahyang itu merupakan fardu atau sunat, kiblatnya adalah tetap sama, iaitu Kaabah.

Sewaktu melakukan ibadat haji, di tanah suci Makkah al-Mukarramah umpamanya ia turut membuktikan lingkaran ibadat dalam satu kesatuan.

Setiap umat Islam mengelilingi Kaabah dalam posisi ibadat yang dinamakan tawaf, dan ini dilakukan secara beramai-ramai.

Dalam melaksanakan tawaf itu, setiap umat Islam berpakaian ihram, yang tentunya memberikan makna sebuah kehidupan yang sederhana, pakaian yang tidak berjahit, berwarna putih dan membaca ayat-ayat yang sama, walaupun dari segi fizikalnya umat Islam itu berlainan keturunan tetapi mempunyai niat yang sama, iaitu niat kerana Allah SWT, tawaf tujuh kali, sembahyang sama bilangan rakaatnya mengikut sembahyang fardu yang dilakukan dan seterusnya melakukan segala rukun dan syarat ibadat itu dalam bentuk yang sama.

Inilah hakikat yang cuba disampaikan melalui falsafah kesatuan umat. Ia dijelmakan dalam bentuk amalan, ritual dan perilaku seharian, maka dengan itulah Islam mudah mendapat tempat, kerana amalan yang dipertanggungjawabkan itu adalah mudah dan amat sederhana sekali.

Akhir-akhir ini, falsafah kedinamikan dan kesatuan walaupun masih kekal, terdapat sedikit penyimpangan mula diperlakukan oleh sesetengah pejuang Islam yang bersandarkan keinginan politik. Mereka sanggup menghindarkan diri dari pembentukan jemaah, sebaliknya mengasingkan diri dengan perjuangan tertentu.

Pengakuan seorang khatib jemputan yang memasukkan nama Lim Guan Eng dalam bacaan doa kedua khutbah Jumaat yang disampaikannya sejak dua tahun lalu memberikan gambaran bahawa telah berlaku secara terang-terangan usaha untuk mempersendakan kesucian agama Islam oleh orang Islam sendiri.

Meskipun secara jelas maksud sebenar doa yang disampaikannya itu masih dipertikaikan, ramai umat Islam menganggap ia satu petanda betapa terdesaknya khatib tersebut sehingga sanggup meminggirkan kedudukan Ketua Agama Islam secara rasmi dan sah dari segi peraturan dengan menukarkannya dengan pemimpin bukan Islam yang cuba menggunakan kebijaksanaan pemimpin Islam sebagai topeng politiknya.

Gambaran apa yang berlaku di Pulau Pinang itu nampaknya sudah melampaui tahap politik yang matang, ia memberikan gambaran tahap politik menjadi semakin rendah dan kotor.

Maka tidaklah keterlaluan apabila ada pandangan mengatakan agama telah dikotorkan oleh tuntutan politik yang disengajakan oleh pihak tertentu bagi tujuan mengekalkan kuasa dan membina imej dengan mencampurkan urusan ibadat.

Amatlah diharapkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh polis Pulau Pinang akan menemui satu petunjuk yang jelas dan dapat kita sama-sama membandingkan bagi meletakkan kembali kedudukan Islam sebagai agama yang mementingkan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan.

Dari hakikat ini umat Islam tidak harus menjadikan al-Quran sekadar alat kepentingan untuk memperolehi keuntungan duniawi atau kepentingan politik. Umat Islam perlu kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut dalam realiti kehidupan.

Apa yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu-lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid , sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud "Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.

Bukan dalam soal penghayatan sahaja bahkan manusia hari ini langsung telah hilang pedoman, hilangnya sifat perikemanusiaan sehingga bayi-bayi yang dilahirkan akibat perzinaan dibuang merata-rata tempat. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap bayi yang tidak berdosa, tidak akan masuk ke dalam hatinya cahaya keimanan.

Malah yang lahir adalah sifat kebinatangan yang rakus serta tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperolehi lailatulqadar. Untuk mencapainya, kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama 'meraikan' kehadiran Ramadhan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

read more...

Ambil pekerja tempatan

Tindakan biadab rakyat Indonesia membaling najis, memijak Jalur Gemilang kebanggaan kita dan operasi 'menyapu rakyat Malaysia' amat menghina. Jelas sekali rakyat Indonesia tidak tahu menghargai negara kita.

Saya ingin mencadangkan kerajaan kita melatih masyarakat tempatan kita yang hidup susah jauh di pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli untuk bekerja dalam sektor domestik, pembinaan dan perkilangan, menggantikan kebergantungan kita kepada rakyat Indonesia. Masih ramai masyarakat kita yang hidup lebih susah dan merempat berbanding rakyat Indonesia sendiri.

Kos pengambilan pekerja asing memakan belanja yang amat besar. Lebih baik wang tersebut disalurkan kepada rakyat kita sendiri dan dalam masa yang sama turut dapat membantu golongan ini menjana pendapatan keluarga.

Cukuplah dengan isu perpecahan kaum yang melanda negara. Saya yakin rakyat Indonesia akan terus meminta-minta dan terus bermaharajalela.

WARGANEGARA MALAYSIA

read more...

Najib kecewa tindakan hina Malaysia

PUTRAJAYA 26 Ogos - Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang bertindak memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Isnin lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet semalam selepas dimaklumkan kejadian itu.

''Beliau amat kecewa kerana menjadi satu kesalahan untuk mereka bertindak sedemikian rupa tetapi beliau menaruh kepercayaan bahawa pihak berkuasa Indonesia bertindak sewajarnya untuk menyelesaikan kejadian itu.

''Kita percaya rakyat Malaysia amat rasional dan mereka diminta bersabar serta jangan lakukan perkara yang sama seperti di Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama 24 orang Duta Belia Indonesia di Wisma Putra di sini hari ini.

Anifah memberitahu, kerajaan Indonesia sendiri telah memberi jaminan akan melindungi rakyat negara ini daripada sebarang gangguan atau ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

''Saya ada menghubungi Menteri Luar Indonesia tengah hari ini dan kita bersetuju bahawa jaminan itu perlu diberikan keutamaan.

''Bagaimanapun pada masa sama, kita akan terus beri tekanan kepada Indonesia supaya tindakan tegas diambil ke atas Bendera bagi membendung segala kegiatan melampau," katanya.

Sementara itu, Anifah memberitahu, tidak ada unsur perisikan yang telah dijalankan oleh Malaysia dalam mendapatkan kepastian bahawa sebuah parti politik Indonesia terbabit dengan kumpulan yang mengadakan demonstrasi tersebut.

read more...

Malaysia terus dihina

Malaysia terus dihina


PENUNJUK perasaan membakar bendera Malaysia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia Indonesia di Jakarta, semalam.


JAKARTA 26 Ogos – Penunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di sini terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak “ganyang Malaysia” bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.

Demonstrasi bermula kira-kira pukul 1 petang itu berakhir kira-kira dua jam kemudian dan tunjuk perasaan kali ini disertai oleh anggota Forum Kebangsaan Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Benteng) dan Forum Betawi Rempug.

Tunjuk perasaan menjadi kecoh apabila polis menangkap dua orang penunjuk perasaan yang membakar Jalur Gemilang, menyebabkan para penunjuk perasaan bertempiaran lari dan ada juga melempar buluh serta kasut ke arah polis.

Cuaca yang terlalu panas menyebabkan para penunjuk perasaan keletihan dan berkumpul di bawah pokok untuk berteduh dan pada masa yang sama ketua-ketua mereka juga seolah-olah telah kehilangan suara untuk berucap menggunakan alat pembesar suara.

Tunjuk perasaan pada mulanya mengecam penangkapan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia dekat perairan Johor, tempoh hari, akhirnya bertukar kepada tunjuk perasaan mengecam kepimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Tunjuk perasaan bertema ‘Panggung Merah Putih-Tegakkan Harga Diri Bangsa’ itu mendesak Malaysia supaya meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia kerana perbuatan menghina kedaulatan Indonesia.

Mereka juga mahu Malaysia menghormati hak asasi manusia serta memberi perlindungan undang-undang kepada seluruh rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Penunjuk perasaan juga mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas dan berani dalam menyelesaikan persoalan dengan Malaysia.

Mereka juga mahu kerajaan Indonesia mengambil alih semua ladang kelapa sawit milik syarikat Malaysia di seluruh Indonesia.

Pada Isnin lalu, 37 anggota Bendera mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia turut membawa bersama lima bungkus najis manusia.

Salah seorang daripada mereka sempat melemparkan bungkusan itu ke dalam pagar kedutaan manakala yang lainnya meletakkan najis tersebut di atas Jalur Gemilang dan memijaknya. – UTUSAN

read more...

Perhimpunan Bersih 2007

Ribuan orang berhimpun dan berarak di sekitar Kuala Lumpur.

Perhimpunan Bersih 2007 di Dataran Merdeka telah diadakan pada hari Sabtu, 10 November 2007 . Perhimpunan ini tidak mendapat permit Ibu pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur. Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan BERSIH yang turut disertai pelbagai parti pembangkang, NGO dan pertubuhan lain. Matlamat perhimpunan ini ialah untuk menuntut pilihan raya yang adil. Perhimpunan ini disertai oleh 100, 000 orang.[perlu rujukan]

Bersih menganjurkan perhimpunan ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur , Malaysia dengan sasaran 100,000 orang bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra.

Memarandum ini berkaitan dengan pendakwaan bahawa pilihan raya umum Malaysia lalu kendalian Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak bersih dan menyebelahi kerajaan Barisan Nasional.

BERSIH menggunakan slogan "Gelombang Kuning". Ketika perhimpunan ini diadakan, semua peserta memakai baju berwarna kuning. Amalan ini mirip dengan Orange Revolution di Ukraine, yang juga merupakan gerakan yang menuntut keadilan pilihan raya.

Tuntutan Bersih

Dalam Memarandum tersebut Bersih ada 4 tuntutan yang utama:

1. Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan;
2. Penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda;
3. Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara;
4. Akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihanraya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia.

Sebab permit tidak diluluskan

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berulang kali menegaskan agar orang ramai tidak ke Dataran Merdeka dengan berbaju kuning kerana perhimpunan ini tidak mendapat permit polis dan bermaksud perhimpunan ini haram untuk disertai.

Antara sebab-sebab yang diberi oleh pihak polis ialah:

  1. Jika sekadar menghantar memorandum, tidaklah perlu perhimpunan sampai 100,000 orang dan kempen hingga 2-3 bulan sebelum itu. Perhimpunan ini cuba meniru gaya perhimpunan para sami dan orang ramai di Myanmar yang berbaju merah. (Kuning juga merupakan warna konfeti yang dipergunakan oleh para penyokong Corazon Aquino untuk menggulingkan Presiden Ferdinand Marcos di Filipina pada tahun 1986 [1][2]). Begitu juga dengan perhimpunan lorya jirga di Afghanistan hingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa akibat letupan bom.
  2. Melalui pengalaman lalu di Malaysia, perhimpunan yang dianjurkan oleh parti pembangkang akan berakhir dengan 'rusuhan' ala perkauman atau ala agama. Sedangkan Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang cukup sensitif dengan isu agama dan isu kaum.
  3. Perhimpunan di Dataran Merdeka bukanlah budaya di Malaysia. Malaysia tidak perlu mengimport budaya ini dari mana-mana negara kerana ia hanya akan menjejaskan keharmonian di Malaysia terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

BERSIH berpendapat bahawa adalah tidak adil bagi pihak polis tidak mengeluarkan permit untuk mengadakan perhimpunan ini kerana ia hanyalah menyuarakan suara rakyat di sini. Selepas perhimpunan, mereka mendakwa bahawa tindakan Polis (dengan langsung Kerajaan Malaysia) ialah punca keganasan dan kesesakan lalu lintas, bukan para penunjuk perasaan. Polis Malaysia juga dikritik kerana bertindak dengan kekerasan berlebihan terhadap peserta perhimpunan aman.[perlu rujukan]

Pendirian Suhakam

Suhakam ialah badan rujukan tentang hak asasi manusia di Malaysia. Datuk Sri Siva Subramaniam menyatakan bahawa tindakan-tindakan polis yang menyekat pelbagai laluan ke Dataran Merdeka, melepaskan tembakan air dan menangkap 245 lebih orang peserta tidak akan menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Polis berhak menentukan tahap keselamatan dan membuat keputusan yang sesuai demi kebaikan orang ramai dan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Rentetan Peristiwa

  • Pada 17 November 2007, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyatakan sebagai tidak manis dan satu fitnah jika Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara memperkenankan perhimpunan haram itu. Tidak elok nama Yang di-Pertuan Agong dibabitkan. Orang Islam tidak boleh menfitnah antara satu sama lain. Baginda yakin Tuanku mizan tidak terbabit sama sekali dengan perhimpunan berkenaan.[8]

Liputan Al Jazeera

Al Jazeera, sebuah agensi berita Timur Tengah yang mempunyai pusat penyiaran rantau Asia Pasifik di Kuala Lumpur, turut membuat liputan mengenai peristiwa Perhimpunan Bersih. Mereka melaporkan bahawa pihak pengaman bertindak ganas dengan menyembur bahan kimia pemedih mata sehingga mencederakan ramai orang.[9][10] Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, ketika diwawancara oleh Al Jazeera, menyindir mereka pula dan menyifatkan bahawa mereka sengaja membesar-besarkan cerita.[11]

Tangkapan

Pada 9 Disember 2007, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu telah ditahan oleh polis Perak diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC II Ismail Yatim . Kereta Naza Ria Mohamad Sabu ditahan berhampiran Pasar Raya Tesco di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuannya di Sunway City, Tambun, Perak. Mohamad Sabu dipercayai terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 10 November 2007.[12] Rumah Mohamad Sabu terletak di Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan turut ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih.[13]

Lihat juga

Rujukan

  1. ↑ ‘Ibu Lily’ menyokong pertandingan jawatan senator Aquino
  2. ↑ Desarapen: Lasang Pinoy 1: Konfeti Kuning Pancit Molo
  3. ↑ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=295633
  4. ↑ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=295471
  5. ↑ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=295471
  6. ↑ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=295633
  7. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm Utusan Malaysia Online: Baginda tidak perkenan
  8. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm
  9. ↑ http://english.aljazeera.net/NR/exeres/8370EBC1-682F-4B2B-BBB0-AE833B7F6FD3.htm
  10. ↑ http://www.youtube.com/watch?v=4Q6558tY58E
  11. ↑ http://www.youtube.com/watch?v=jfpYZ4IGenY
  12. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm
  13. ↑ http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/penyokong-pas-berkumpul-di-rumah-mohamad-sabu.html

Pautan luar

Al Jazeera

Lain-lain

read more...