Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 4 September 2010

Sambut Syawal tidak perlu membazir

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

JIKA diikutkan hati, segala-galanya mesti baru lebih-lebih lagi menjelang Syawal ini. Daripada pakaian berjenama, perabot rumah, langsir dan tidak kurang juga berangan-angan menukar kereta.

Situasi itu menggambarkan betapa nafsu dan keinginan manusia tidak pernah puas lalu ada saja yang diinginkan. Malah, kehendak tidak terbatas seperti ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan seseorang dibelenggu beban hutang.

Oleh itu, amalan mulia berhemah ketika berbelanja diseru oleh Islam. Pada masa sama, orang yang membazir bersahabat dengan syaitan sehingga dia jauh daripada rahmat serta petunjuk Allah.
Umat Islam dinasihat supaya tidak mengikut desakan nafsu membeli apa saja tanpa menilai kemampuan kewangan kerana kelak diri sendiri akan binasa.

Allah berfirman bermaksud: Sesungguhnya orang yang membazir adalah sahabat syaitan. Dan sesungguhnya syaitan kufur kepada Tuhannya, (Surah al-Isra: 27).

Menurut Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Sabuniy dalam kitab Safwatutafasir, orang yang membazir diumpamakan seperti teman syaitan kerana terbabit melakukan kerosakan dengan berbelanja pada jalan salah dan perkara maksiat.

Oleh itu, kata-kata biar papa asal bergaya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah perlu dijauhi kerana ia antara jarum halus tipu daya iblis sekali gus mencerminkan keadaan manusia yang gagal mengurus nafsu menjadi sasaran pendidikan pada Ramadan.

Perlu difahami syariat Islam yang murni tidak pernah menyekat kebebasan seseorang untuk berbelanja asalkan berkemampuan. Selain itu, persoalan dari mana harta diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan juga penting untuk menjadi renungan.

Lebih afdal jika amalan berbelanja dilakukan setelah selesai segala kewajipan sosial seperti membayar zakat dan memberi sedekah kepada yang memerlukan. Ingatlah, segala rezeki diperoleh adalah anugerah Allah yang diberi kepada sesiapa dikehendaki dan boleh ditarik pada bila-bila masa.

Pemberian itu pula hendaklah disyukuri dengan bersedia untuk menginfaqkan sedikit harta ke jalan Allah.

Suruhan berhemah juga tidak terhad ketika berbelanja. Skopnya luas sehingga menjangkau kepada sikap bertimbang rasa dan berhemah ketika di jalan raya. Ia penting dengan situasi kini di mana setiap hari banyak kemalangan maut dilaporkan.

Statistik kemalangan maut itu boleh meningkat menjelang musim perayaan jika semua tergesa-gesa pulang ke kampung tanpa memikirkan keselamatan diri serta orang lain.

Mengikut statistik laman web rasmi Jabatan Keselamatan Jalan raya Malaysia (JKJR), Ops Sikap ke-20 sempena Hari Raya Aidilfitiri 2009 mencatatkan 17,335 kes kemalangan jalan raya. Daripada jumlah itu, 261 kematian dicatatkan dengan purata 17.4 kes kemalangan sehari.

Sejak Ops Sikap dan pelbagai nama lain seperti Ops Pacak dan Ops Statik mula dilancarkan pada 2000, sebanyak 263,583 kes kemalangan jalan raya dicatatkan dan daripada jumlah itu 4252 nyawa terkorban di jalan raya.

Lihatlah betapa nyawa yang begitu berharga terkorban akibat kecuaian dan sikap buruk sesetengah pemandu kerana tidak berhemah serta memandu secara melulu. Keseronokan pulang berhari raya di kampung boleh bertukar menjadi duka kehilangan orang tersayang.

Komuniti pemandu dinasihat bertimbang rasa dan sentiasa bersabar apatah lagi kesediaan untuk berhemah berbalik kepada sikap pemandu sama ada ingin merealisasikan atau tidak.

Walau apapun, Muslimin diseru bersedia memecut gear laju bagi mengejar ganjaran besar menjelang perginya Ramadan. Kedatangan malam al-Qadar yang dinanti dan didambakan setiap orang beriman perlu dicari dengan bersungguh-sungguh.

Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad mengasingkan diri daripada isterinya dan meninggalkan tempat tidur demi mencari ganjaran pahala 1,000 bulan yang tiada pada bulan lain.

Jika itu dilakukan oleh Baginda Nabi SAW yang maksum mengapa tidak setiap individu Muslim memperelokkan niat mencari malam lailatul qadar dengan seluruh kudrat yang ada kerana kalaupun seseorang diberi nikmat umur melebihi 80 tahun belum tentu semuanya dalam keadaan beribadah.

Bayangkan betapa mulianya kedudukan seseorang di sisi Allah jika setiap kali Ramadan diberi nikmat bertemu lailatul qadar dan diampunkan segala dosa.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CiTU) UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Sambut Syawal tidak perlu membazir"

Catat Ulasan