Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 4 September 2010

Rakyat kita bukan bangsa mudah melenting tak tentu fasal

MBM disifatkan badan bukan kerajaan (NGO) paling berani apabila menggantung hubungan dengan pertubuhan belia Indonesia? Apakah yang mendorong MBM berbuat demikian?

Sebelum MBM menyatakan pendirian tegas ini, kami sudah menghantar surat kepada pihak Kedutaan Besar Indonesia untuk menyatakan rasa dukacita serta bantahan terhadap peristiwa penghinaan ini. Surat bantahan sama turut dihantar ahli badan gabungan MBM sebanyak 40 pertubuhan di peringkat kebangsaan serta negeri. Maknanya, seluruh rakyat Malaysia sudah menyatakan bantahan serta rasa dukacita terhadap insiden ini. Namun, tindakan kami bersifat diplomatik, mengikut saluran yang betul dan adab serumpun etika perhubungan antara dua negara berdaulat seolah-olah tidak diambil peduli. Keadaan menjadi semakin runcing dan menyakitkan. Tidak cukup Jalur Gemilang dibakar dan dipijak, ia dilumur najis manusia. Sebagai orang Timur, kita amat memahami erti najis yang menjadi simbol penghinaan paling dahsyat. Rasa terhina ini dirasai setiap rakyat Malaysia apatah lagi kita sedang menyambut kemerdekaan ke-53. Apa semua ini? Adakah ini yang dijadikan pegangan lebih 200 juta penduduk negara yang selama ini dikatakan memegang jati diri terpuji, apatah lagi majoritinya adalah umat Islam yang seharusnya memahami pengertian Ramadan; iaitu bulan paling mulia yang seharusnya diisi dengan perbuatan baik dan diharamkan atas orang Islam menumpahkan darah atau melakukan peperangan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dan provokasi agresif ini juga diiringi oleh penyertaan meluas media negara yang membandingkan kekuatan ketenteraan. Ini tidak termasuk laman blog serta media sosial yang menghamburkan penghinaan. Sebagai gelombang ketiga masyarakat, kami mahu semua pihak memahami isu ini bukan boleh dibuat main-main. Justeru itu dalam konteks hubungan dua negara ini, MBM melihat tanggungjawab ini perlu dimainkan kerajaan Indonesia serta dibantu NGO di sana. MBM berharap rakan kepemimpinan di Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) dapat membantu serta mengambil tanggungjawab meredakan keadaan ini.

Bagaimana reaksi rakan belia di sana, termasuk pendirian mereka berhubung kempen anti-Malaysia ini? Apakah mereka berpendirian sama seperti kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA)

Saya menerima beberapa e-mel rakan penggerak belia Indonesia yang menyatakan rasa kesal akan kejadian ini. Namun ia bukanlah suara rasmi yang mampu menzahirkan ketegasan untuk menangani masalah ini. Saya tidak pernah sekali-kali menyatakan bahawa rakan di KNPI bersekongkol dengan kumpulan BENDERA kerana kami cukup mengenali KNPI sebagai rakan NGO yang begitu diplomatik serta prihatin berkaitan masalah bersama. Ini terbukti apabila dalam sesi Dialog MALINDO yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu kami dapat mencapai kata sepakat berkaitan beberapa isu besar yang melingkungi kedua-dua negara. Saya sekali lagi ingin menyatakan bahawa sebenarnya rakan NGO Belia di sana seperti KNPI amat mampu mengubah situasi ini. KNPI dianggotai gabungan NGO hebat seperti Pemuda Muhammadiyah, Persatuan Pemuda Tani, Persatuan Pemuda Masjid malah pertubuhan-pertubuhan belia di setiap wilayah yang membabitkan bilangan ahli yang ramai. Misalnya, Pertubuhan Pemuda Tani saja ada keahlian melebihi 10 juta orang. Mereka ada tenaga amat kuat bagi mempengaruhi kumpulan BENDERA ini.

Setiap kali isu ini tercetus, Malaysia yang menjadi mangsa hanya terpaksa bersabar dengan tindak-tanduk provokasi mereka. Apakah wajar kita harus bersikap berdiam diri dan memerhatikan perkembangan itu berlaku di depan mata?

Inilah ujian kematangan bagi rakyat Malaysia. Saya bersyukur dan menyanjung tinggi akhlak rakyat Malaysia yang begitu tenang menghadapi situasi ini. Tanpa mengira latar belakang dan ideologi, kita sama-sama menyerahkan mandat ini kepada barisan kepemimpinan negara diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menanganinya secara diplomasi. Keadaan lebih buruk jika kerajaan diberi tekanan dan isu ini dijadikan modal pihak tertentu bagi mendapatkan publisiti atau sokongan. Soal hubungan dua hala Malaysia-Indonesia saling memerlukan dan mempunyai sejarah yang amat kuat ini bukan boleh diselesaikan secara mudah. Biarpun yakin dengan kebijaksanaan pemimpin dua negara ini, penyelesaiannya ada di tangan saudara kita di Indonesia. Kita rakyat Malaysia bukan bangsa yang mudah melenting tak tentu fasal walaupun sampai dianggap pengecut oleh segelintir rakyat Indonesia. Kita bukan bangsa pembalas dendam. Malah kalau kita mahu, kita boleh menjadikan isu seorang bayi yang mati di tangan seorang pembantu rumah di Selangor dua hari lalu sebagai bahan untuk membalas tindakan mereka tetapi inilah kehebatan rakyat Malaysia. Kita berpandangan jauh dan tidak mudah dibuai oleh emosi.

Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu dicaci dan Jalur Gemilang dipijak setiap kali mereka berasa tidak puas hati?

Ini hanya mampu dijawab oleh rakyat Indonesia. Sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mempraktikkan istilah yang sering dilaungkan ‘silaturahim atas nama serumpun,’ maka saya menuntut agar ia dizahirkan dengan penuh wibawa. Janganlah Malaysia dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali wujud masalah dalaman di negara itu. Menuding pihak lain memang mudah tetapi ia adalah satu tindakan tidak bijak dan penuh hina. Apatah lagi ia mampu memecah belahkan rakyat dan penghinaan kepada negara lain yang berdaulat. Perlu difahami bahawa peperangan besar dunia termasuk peperangan di antara beberapa negara sejak dulu banyak disebabkan konflik di antara negara tetangga. Ia bermula dengan isu kecil diperbesarkan sehingga menjadi konflik di antara dua negara. Lebih buruk, ia mengundang pembabitan pihak ketiga atas nama mempertahankan kepentingan ekonomi dan keselamatan. Dalam konteks Malaysia-Indonesia saya yakin semua pihak memahaminya betapa kita amat penting untuk kestabilan rantau ASEAN. Malah kita berkongsi ruang maritim yang paling sibuk di dunia memiliki impak ekonomi yang penting iaitu Selat Melaka.

Apakah tindakan diplomasi atau lemah lembut kerajaan Malaysia ini berbaloi dengan penghinaan yang kita terima? Apakah tindakan sewajarnya yang perlu diambil?

Tindakan kerajaan Malaysia adalah berasaskan kebijaksanaan untuk jangka panjang. Tidak ada dalam sejarah negara moden di mana peperangan dan tindakan fizikal atau kekerasan yang membawa manfaat kepada sesuatu negara. Membalas tindakan yang sama oleh kumpulan BENDERA hanya membawa kepada situasi ‘menang jadi arang, kalah jadi abu.’ MBM masih percaya kepada saluran diplomatik dan peruntukan undang-undang antarabangsa. MBM sentiasa membuka pintu rundingan, namun syaratnya hentikan dulu tindakan penghinaan serta ancaman kepada rakyat Malaysia

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Rakyat kita bukan bangsa mudah melenting tak tentu fasal"

Catat Ulasan