|
|
WASHINGTON 1 Sept. – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dan syarikat aeroangkasa, ATK Aerospace Systems berjaya melakukan ujian terhadap enjin roket paling berkuasa yang pernah dicipta walaupun kebolehannya menyertai misi ke program angkasa lepas masih belum dapat dibuktikan.
Bunyi yang kuat dan api yang sangat marak dapat dilihat ketika ujian enjin dikenali sebagai Demonstration Motor 2 (DM-2) tanpa penerbangan yang diadakan selama dua minit itu di kawasan gurun di Utah.
Enjin DM-2 merupakan peringkat awal pembinaan roket Ares I untuk menghasilkan lonjakan berkuasa tinggi terhadap kapal angkasa Orion yang menurut perancangan NASA akan digunakan untuk menghantar semula angkasawan ke bulan menjelang 2020.
Dalam pada itu, ujian kedua DM-2 pula dilakukan untuk melihat sama ada ia mampu beroperasi pada suhu rendah selain untuk meneliti prestasinya.
Ujian kedua itu dibantu dengan alat pemantau berteknologi tinggi sebanyak 760 buah yang menunjukkan prestasi sebenar enjin tersebut.
“Setiap suhu yang meningkat menandakan bahan dorong akan dibakar dengan lebih cepat.
“Hanya dengan ujian yang jitu sahaja mampu untuk memahami bagaimana prestasi motornya bertindak balas terhadap keadaan operasi yang berbeza-beza,” kata pengurus penyelidik projek Ares, Alex Priskos.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengarahkan agar projek Buruj yang menelan kos yang tinggi itu dikaji semula.
Sebaliknya, pentadbiran presiden mencadangkan agar NASA memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan dalam program jangka panjang untuk melancarkan misi angkasawan lebih jauh ke dalam sistem solar kita, termasuk ke planet Marikh.
Agensi angkasa AS juga disarankan agar bekerjasama dengan syarikat korporat untuk meneruskan misi menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). – AFP
0 ulasan: on "Ujian roket paling berkuasa"
Catat Ulasan