PENGORBANAN kami warga TUDM, juruterbang Nuri, khususnya apabila menceritakan kisah perjuangan menentang kedurjanaan pengganas komunis di suatu ketika dulu cukup menarik untuk dikongsi.
Menjelang saja Hari Pahlawan (31 Julai), Hari Merdeka (31 Ogos) dan Hari ATM (16 September) setiap tahun hanya sinonim dengan Tentera Darat Malaysia (TDM). Peranan krew Nuri terus dipinggirkan.
Ketika Ops Gubir 11 dan Selamat Sawadee (Kroh), Nuri menjadi sasaran pengganas komunis; ditembak sudah menjadi satu kebiasaan kepada kami.
Saya sendiri telah melihat lakaran yang menunjukkan juruterbang dijadikan sasaran. Mereka hanya dapat 'melumpuhkan' Nuri sekiranya juruterbang terbunuh.
Tanpa dedikasi krew Nuri, operasi menentang mereka akan tergendala. Walaupun kami ditembak dengan senjata ringan dan pelancar grenad M79, semangat kami tidak luntur malah lebih berkobar-kobar.
Rakan seperjuangan ada melihat risalah di Kroh yang menawarkan reward sekiranya dapat membunuh juruterbang Nuri.
Kegigihan dan dedikasi kami menaikkan moral warga TDM.
Mereka mengetahui bahawa 'Burung Besi' akan mengambil mereka dalam apa jua keadaan dan waktu sekali pun sekiranya mereka tercedera oleh pengganas komunis atau jerangkap samar.
Bayangkan, terbang (hovering) di waktu malam dengan lampu pesawat dan pendaratan (landing and hover lights) menyala terang benderang untuk menurun dan menaikkan (winch) askar yang kena tembak (arwah meninggal ketika berada dalam pesawat saya).
A real shooting duck. Untuk mendarat di Kroh, Land Rover terpaksa memasang lampu di landasan rumput (grass strip). Ada satu insiden Nuri telah ditugaskan untuk mengeluarkan seorang mangsa casevac (casualty evacution).
Ketika hovering, Nuri ditembak bertubi-tubi yang mengakibatkan seorang komando dalam Nuri terkorban. Arwah diterbangkan ke Kroh. Apabila keadaan reda, juruterbang telah terbang semula pesawat tersebut untuk mengambil casevac terbabit.
Perlu diingat, kami tidak berupaya untuk mempertahankan diri kami. Nyawa kami dalam belas ihsan pengganas komunis. Sasaran terlalu besar untuk tersasar.
Tidakkah peranan kami perlu diketahui oleh rakyat negara tercinta ini? Fikir-fikirkanlah.
MEJAR NOR IBRAHIM SULAIMAN
http://xnuripilot.blogspot.com
Jitra, Kedah.
0 ulasan: on "Kisah juruterbang Nuri di era komunis"
Catat Ulasan