Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 4 September 2010

Media Indonesia palu gendang perang

DENGAN bersongkok hitam, berbaju batik merah terang berjalur ungu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) kelihatan segak dan tenang ketika menyampaikan pidato menyatakan pendirian Kerajaan Indonesia dalam hubungannya dengan Malaysia.

Dalam ucapan selama 18 minit tanpa ada sekalipun nadanya bertukar tinggi atau melenting, beliau tegas dan yakin menyatakan keakraban hubungan yang terjalin dengan Malaysia – dari sudut politik, ekonomi dan diplomatik – tidak dapat dipisahkan.

Satu persatu rasional di sebalik keputusan yang dibuat pemerintah terhadap isu berbangkit antara Indonesia dan Malaysia diperjelaskan SBY. Tiada langsung perkataan ganyang, perang atau konotasi jahat terbit daripada mulut pemimpin itu, melambangkan kebijaksanaan bekas jeneral berkenaan menghadapi dan menguruskan hubungan luar.

Beliau juga meminta warga Indonesia menjauhi segala tindakan kekerasan dalam menghadapi isu hubungan Indonesia-Malaysia kerana menganggap ia akan mengusutkan lagi keadaan.

“Saya mengerti keprihatinan dan emosi yang saudara (rakyat) rasakan. Apa yang dilakukan pemerintah sekarang juga cermin daripada keprihatinan kita. Saya mengajak untuk menjauhi tindakan berlebihan seperti aksi kekerasan kerana ia hanya akan menambah masalah yang ada.

“Kekerasan akan memacu kekerasan yang lain. Harapan saya agar perkara ini diselesai dengan cepat dan tepat tanpa aksi kekerasan,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung ke seluruh Indonesia.

Mungkin dalam minda pemimpin utama Indonesia itu, rayuan dan gesaannya dapat diterima rakyat, namun apa yang mengejutkan ialah reaksi media cetak dan elektronik negara itu yang keesokannya menyiarkan laporan menyifatkan pidato SBY sebagai tidak tegas, mendatar dan lesu.

Akhbar dan televisyen swasta di Indonesia secara total menyelar kandungan ucapan berkenaan dan melabel pemerintah Indonesia sebagai lemah, mengikut telunjuk Malaysia serta menjatuhkan maruah bangsa dan negara. Sepanjang malam, disiarkan pula laporan dan segmen komentar penganalisis politik, pemimpin rakyat dan pakar hubungan antarabangsa yang juga menjurus ke arah menghentam SBY.

Ada penganalisis lantang menuntut Indonesia tidak lagi berlembut dengan Malaysia, sebaliknya mengambil langkah luar biasa, termasuk melancarkan perang.

Segmen disiarkan kerap mengulang tayang video menggambarkan kekuatan Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan membandingkannya dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala penganalisis melontarkan pendapat penuh unsur emosi dan mendorong supaya Malaysia diajar menghormati Indonesia dengan jalan berperang.

Majalah politik mingguan turut mengambil kesempatan membuat laporan negatif terhadap Malaysia sambil menyelitkan fakta mengelirukan dengan harapan untuk melihat hubungan kedua-dua negara terus keruh tanpa kesudahan.

Antara isu dibangkitkan ialah kenangan kempen Ganyang Malaysia dipelopori Presiden Sukarno pada 1960-an, isu Ambalat, penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan terbaru, penahanan tiga pegawai perikanan Indonesia.

Segala-gala yang boleh mencetuskan konflik antara kedua-dua negara dijaja dan dieksploitasi sepenuhnya. Pasti tujuannya amat jelas untuk memberi imej jahat kepada Malaysia, manakala Indonesia pula digambarkan sebagai mangsa kejahatan itu sehingga sanggup memalukan pemimpin utama mereka sendiri.

Secara tiba-tiba juga diterbitkan dalam surat khabar kononnya hasil kaji selidik menunjukkan kadar sokongan kepada SBY terus merosot dan kaitannya tidak lain tidak bukan kerana pendirian pemimpin itu yang dituduh lemah dalam menangani isu hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Kandungan pidato SBY turut dijadikan alasan oleh kumpulan tunjuk perasaan untuk mengadakan demonstrasi dan melakukan aksi sweeping rakyat serta segala kepentingan Malaysia di Indonesia.

Kumpulan yang selalunya berjumlah kurang 50 orang itu terus mengapi-apikan sentimen anti-Malaysia, Ganyang Malaysia dan sweeping, tetapi anehnya aksi mereka tidak begitu mendapat sambutan majoriti rakyat Indonesia, khasnya di Jakarta.

Malah, majoriti rakyat Indonesia sendiri mencemuh aksi agresif sedemikian, lantaran rapat umum atau tunjuk perasaan yang didalangi kumpulan terbabit pantas menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dalam tempoh lama, kadang-kadang berlanjutan sehingga tengah malam.

Penulis sempat mendapatkan reaksi pemandu teksi, peniaga di Mangga Dua, pelayan hotel, pengawal keselamatan, polis malah gelandangan yang semuanya percaya Indonesia dan Malaysia saling memerlukan atas dasar serumpun, berkongsi bangsa dan bahasa, malah lebih penting satu iman.

Bagi mereka, kumpulan yang mengadakan tunjuk perasaan adalah orang gila yang tidak tahu mencari kerja bagi menyara kehidupan.

“Ini semua kerja gila pak, hanya menyusahkan orang lain, merosakkan hubungan malah memalukan rakyat Indonesia. Kita negara serumpun... punya satu bahasa, bangsa dan satu iman. Perang hanya kerja gila, yang penting kita perlu meneruskan hidup dengan aman tanpa perang,” kata Jufry, pemandu teksi syarikat Bluebird.

Sejauh mana hubungan akrab ini dapat bertahan, bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin kedua-dua negara menangani konflik yang timbul serta kepintaran mereka dalam berdepan cabaran global yang ada kala dicetuskan pihak ketiga yang sengaja mahu melaga-lagakan dua negara berjiran dan mungkin beroleh keuntungan di sebalik pertelingkahan itu.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Media Indonesia palu gendang perang"

Catat Ulasan