Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Khamis, 11 November 2010

Zaid Ibrahim, PKR, desakan terhadap Anwar

KEMELUT dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang semakin terang lagi bersuluh sekarang mengundang pelbagai pandangan orang ramai terutama para penulis blog, apatah lagi dengan pengunduran Zaid Ibrahim daripada bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR serta desakan beberapa pihak agar penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada arena politik.

Antara penulis blog yang mengulas isu tersebut ialah Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot.com) yang berkata, beliau sendiri sudah berkali-kali menasihati Anwar agar berhenti dari dunia politik dan menumpukan perhatian menyelesaikan masalah peribadinya.

Kini Zaid Ibrahim dan seorang lagi calon Timbalan Presiden parti, Mustaffa Kamil Ayub turut membuat desakan serupa terhadap Anwar dan juga 'anak emasnya' Azmin Ali.

"Kalau macam itu punya desakan Anwar-Azmin buat pekak badak juga, dan teman yakin dema (mereka) akan buat pekak-badak je, memang PKR ni akan 'hancus mancus' yop. Teman (saya) ingat akan bungkus bulan Februari atau Mac tahun 2011, rupanya lagi awal yop.

"Apa pun, yang jelas PKR menjadi takut nak mengambil tindakan terhadap Zaid. Sebab mereka tahu sebagaimana kami Konsensus Bebas semua tahu, rahsia dan pembohongan serta kepalsuan mereka dalam poket je. Kami baru lepaskan sikit dah habis gabrah," katanya.

Justeru, beliau menasihati Zaid agar menyertai Pas kerana percaya parti itu akan memberi ruang kepada Zaid yang lebih berminat melakukan reformasi, sekali gus membantu membuang kudis-kudis buta yang ada dalam Pas.

Musram Rakun (musramrakunman.blogspot.com) berkata, rakyat kini sudah semakin faham bahawa PKR hanya mengutamakan jawatan dalam parti agar melalui jawatan tersebut akan menentukan kedudukan mereka dalam kabinet Anwar.

"Semakin tinggi jawatan dalam parti, maka semakin kananlah jawatan dalam kabinet. Mereka mula mengangan-angan tentang jawatan, sebab itu melalui pemilihan kepimpinan, mereka mencuba semua cara termasuk memanipulasi pengundian, agar individu-individu yang disukai Anwar akan menang," katanya.

Jelas beliau, Anwar mahu semua pengikut setianya seperti Azmin dan Tian Chua memenangi jawatan yang ditandingi kerana menyedari calon-calon lain tidak menunjukkan kesetiaan mereka terhadap Anwar, terutama jika penasihat PKR itu masuk penjara lagi.

Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) pula berkata, PKR diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan apabila satu persatu orang kuat atau mereka yang benar-benar serius untuk membawa perubahan dalam arena politik negara meninggalkan parti itu.

Kata beliau, kemasukan Zaid dalam PKR setelah keluar daripada UMNO tidak lebih satu strategi politik Anwar untuk mencapai cita-cita peribadinya tetapi ternyata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan mudah untuk mengikut telunjuk orang lain.

"Kepada orang Melayu yang masih berada dalam PKR dan yang masih ingin berjuang atas kepercayaan untuk menggalak politik yang progresif terutama di kalangan orang Melayu, mereka harus diingatkan bahawa PKR bukan wadahnya.

"Orang Melayu PKR ada dua pilihan, iaitu sama ada menyokong UMNO atau Pas. Kedua-dua parti ini perlu kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu/Islam dan terpulanglah kepada mereka untuk memilih yang mana satu, tetapi yang pasti bukan PKR atau mana-mana parti lain yang terbukti gagal memperjuangkan kepentingan Melayu/Islam. Tepuk dada, tanya selera," katanya.

Sementara itu Muhammad Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) pula berkata, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin tidak perlu memohon maaf terhadap Anwar atas pandangan beliau agar Ketua Pembangkang itu berundur dari arena politik kerana dia memberi pandangan berdasarkan sifat kemanusiaan dan persaudaraan Islam.

Beliau percaya, Dr. Asri melihat Anwar semakin letih dan tidak bermaya lagi dalam mengharungi kemelut politik di negara ini kerana tenaganya semakin kehabisan manakala langkahnya juga semakin tempang.

"Saya percaya Dr. Asri bercakap secara jujur, tatkala mencadangkan agar Anwar bersara daripada dunia politik - memandangkan umur Anwar juga sudah semakin tua, adalah lebih baik menumpukan perhatian terhadap amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Memadailah selama ini Malaysia telah punah, gara-gara fitnah yang dibawa oleh Anwar.

"Tiada satu pun kerajaan yang serba sempurna di dunia ini. Begitu juga dengan Malaysia. Tiada gunanya Anwar Ibrahim terus-menerus membongkar dan mengaibkan kepimpinan negara semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri, sedangkan hakikatnya Malaysia semakin baik dan aman di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Katanya, dalam usia Anwar yang semakin ke penghujung senja, adalah lebih baik beliau mendekati tikar sejadah dan meninggalkan segala pengaruh, dunia kemegahan dan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

read more...

Wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita?

"KENAPA sekarang dan tidak dahulu?" Pertanyaan itu sebenarnya soalan seorang warga emas berbangsa Cina, beragama Islam yang juga adalah emak saya. Sungguhpun beliau sudah memeluk Islam lebih 30 tahun lalu, namun beliau tetap seorang Cina.

Sebagai seorang Cina, emak selalu berbahas kerana saya membela Melayu, emak tetap membela Cina. Semalam, saya dipancing dengan dua soalan daripada emak. Soalan pertama: Apakah salah budak sekolah hingga dirotan kerana membawa bekal daging babi ke sekolah? Soalan kedua: Mengapa kini ramai pengetua Melayu bertindak racist, kenapa tidak dari dahulu?

Jawapan saya pada soalan pertama -- budak tersebut adalah mangsa dan beliau langsung tidak bersalah. Malah, mimpi ngeri yang beliau alami akan mengubahnya dari dalam diri, menjadi seorang yang bencikan Malaysia. Jika nasibnya baik, sudah pasti dia akan berhijrah dari Malaysia, negara yang dibencinya.

Soalan kedua sebenarnya adalah soalan bonus, kerana jawapannya akan menjelaskan semua perilaku orang Melayu biasa yang digelar sebagai rasis.

Jawapan "kenapa sekarang dan tidak dahulu," adalah kerana sekarang Cina dan India begitu lantang mempersoalkan hak Melayu dan Raja-raja. Lebih berani lagi, Cina dan India juga begitu terbuka mencabar kesucian agama Islam termasuk isu Kalimah Allah, Namewee mempersendakan laungan azan, berucap dalam masjid, membaca petikan al-Quran, kes kepala babi di Masjid, menyimbah cat ke surau kerana ditegur, menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet, mempersendakan solat, menderma wang judi, menggunakan wang zakat, menyaman kerajaan kerana tidak membenarkan kad pengenalan Lina Joy dibuang perkataan agama Islam, menuduh Islam sebagai pengganas dengan melakukan ethnic cleansing dan banyak lagi.

Kesemua perlakuan Cina dan India ini langsung tidak dikenakan tindakan. Pada saat ini, undi Cina dan India adalah 'Tuhan' kepada parti politik terutama Pas yang kelihatan begitu menyembah dua kaum itu supaya beri undi kepada mereka.

Kerajaan pula terpaksa mengikut rentak Pas dengan berlembut terhadap Cina dan India dan semua pihak yang mencabar Islam dibiarkan bebas. Perkembangan ini masih dapat mendiamkan Melayu, tetapi apakah Cina dan India benar-benar fikir Melayu diam bererti Melayu takut?

Oleh kerana kerajaan dan pemimpin politik Islam dari pakatan pembangkang tidak mampu mempertahankan kesucian Islam, maka sebagai rakyat biasa, sebagai hamba kepada Allah, pengetua di Johor, di Kedah, dua beradik membakar gereja dan ramai lagi telah bertindak sendiri.

Sifat amarah mereka meningkat setiap kali Cina dan India menghina Allah, Rasul dan agama Islam.

Kenapa tidak dahulu pengetua yang sudah menginjak usia 50 tahun ini bertindak sedemikian? Kerana dahulu, Pas adalah jaguh mempertahankan Islam dan kerajaan pula begitu tegas terhadap mana-mana individu yang dilihat bukan sahaja mengancam, tetapi memprovokasi agama lain.

Soalan akhir kepada emak saya, jika Namewee, Cina dan India, Dr. Chua Soi Lek, Lina Joy murtad, gereja yang memohon guna kalimah Allah, wakil rakyat Cina masuk ke masjid dan membaca petikan al-Quran tidak memulakan dahulu tindakan provokasi mereka, apakah Melayu yang lemah lembut ini akan memulakannya?

Lebih malang lagi Melayu yang disiat-siat kesabarannya, setiap kali orang Melayu atau akhbar Melayu mengeluarkan kenyataan, mereka akan dikenakan tindakan tetapi bila Cina, India dan akhbar mereka, jawapan yang kita dapat adalah sedang disiasat.

Tepuk dada, tanyalah selera wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita? Tetapi percayalah, pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik, yakni marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang yang sudah termaktub dan tertulis hak Melayu dan marilah kita menghormati kesucian semua agama di Malaysia. Jika tidak, buruk padahnya.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

Batu Caves, Selangor.

read more...

Nilai-nilai kemanusiaan ibadat haji

Permulaan ibadat haji telah berlangsung lebih 3,600 tahun lalu. Ketika itu, Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya, Nabi Ismail a.s. sedang membangunkan kembali Kaabah telah diperintahkan oleh Allah SWT agar mewartakan kewajipan mengerjakan haji.

Prinsip-prinsip haji yang digariskan ialah (1) mengakui Keesaan Allah SWT dan menolak sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai syirik, (2) yakin akan adanya balasan Allah SWT dalam kehidupan, dan (3) yakin adanya nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat sejagat.

Atas tiga prinsip itulah setiap kali tibanya musim haji, setiap orang Islam dikatakan mempunyai kemuncak pengabdiannya kepada Allah SWT. Setiap orang Islam akan meninggalkan segala rutin hidupnya untuk beberapa hari dengan menumpukan kekuatan fizikal dan mental untuk menyempurnakan ritual tersebut.

Berdasarkan bukti ibadat haji menumbuhkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan kemuncak kehidupan, telah memperlihatkan bahawa hubungan dan Keesaan Allah SWT amat harmonis sekali. Manusia akan merasakan bahawa kehidupannya sebelum menjadi tetamu 'Rumah Allah' penuh resah dan gelisah. Setelah selesai mengerjakan ibadat haji, setiap mereka yang balik menceritakan ketenangan dan kebersihan diri yang telah mereka rasakan.

Dalam perjalanan menyempurnakan ibadat haji, setiap manusia dilihat sama dari segi fizikal kerana memakai pakaian yang sama, mengerjakan ritual yang sama dan berada dalam saf yang sama bagi mendapat keredaan Allah SWT. Meskipun secara latar belakang sosio-ekonomi, nyata setiap Muslim itu berbeza, tetapi dalam soal ibadat dalam Islam, ia tetap sama.

Kesamaan itulah yang merupakan nilai kemanusiaan yang tertinggi. Di sisi Allah SWT, kekayaan yang dimilik oleh manusia tidak dilihat sebagai faktor penentu dalam pengadilan 'tawaran ke syurga.' Apa yang menjadi kayu ukur terpenting dan paling asas sekali ketakwaan dan keimanan seseorang itu sepanjang hidupnya, termasuk tidak meninggalkan sembahyang, puasa, berbuat baik kepada semua makhluk dan menjauhkan diri dari sifat-sifat negatif.

Semasa mengerjakan haji, setiap hati seorang Muslim dipenuhi dengan rasa bangga berada di Rumah Allah kerana menyahut seruan-Nya. Ketika itu, manusia memahami secara jelas dan sedar bahawa setiap makhluk sedang diberikan perlindungan, kesejahteraan dan jaminan keselamatan oleh Allah SWT.

Para jemaah yang tidak dapat mengekalkan matlamat suci dan arah tuju tersebut telah melanggar pantang larang.

Ketika ayat 197 surah Al-Baqarah yang berbicara tentang larangan bertengkar diturunkan, sebahagian sahabat Nabi menduga bahawa larangan tersebut mencakupi larangan berniaga kerana disitu sering berlaku pertengkaran. Dugaan mereka diluruskan oleh al-Quran, firman-Nya yang bermaksud; "Tidak ada dosa bagi kamu mencari kurnia Ilahi (rezeki perniagaan pada musim haji). (Surah al-Baqarah ayat 198).

Dalam bidang politik juga demikian sehingga ada yang berpendapat bahawa haji adalah ibadah murni yang tidak sah bila dikeruhkan dengan aktiviti keduniaan, lebih-lebih lagi politik. Memang, kalau yang dimaksud untuk meraih keuntungan duniawi semata-mata, maka ia jelas dilarang. Apatah lagi ia boleh mengakibatkan terganggunya kekhusyukan beribadah.

Ketundukan manusia kepada Keesaan Allah SWT akan menajamkan lagi kesedaran nikmatnya menjadi seorang Muslim. Makna dari ritual ini menjelaskan bahawa nilai-nilai kemanusiaan dan pengalaman menikmati nilai-nilai tersebut tidak hanya terbatas dari persamaan nilai memakai pakaian yang sama, ia turut mengandungi makna yang lebih besar kepada setiap orang.

Nilai ini pula berbeza antara seseorang, dan ia ikut mempengaruhi kesan spiritual yang mendalam sehingga mampu menggelorakan minat mereka yang mendengarnya dan belum mengerjakan ibadat haji.

Menurut M Quraish Shihab, seorang pakar tafsir al-Quran, nilai-nilai kemanusiaan yang terpancar daripada ritual tersebut terlalu luhur. Ia bermula dengan kesedaran mengenai fitrah manusia sendiri dan kesediaan manusia untuk menyesuaikan diri dengan kehadirannya sebagai makhluk di muka bumi. Manusia lebih memahami jati dirinya di sisi Allah SWT. Manusia akan terus bersyukur di atas limpahan kurnia-Nya.

Berasaskan nilai-nilai kemanusiaanlah telah menyedarkan manusia mengenai arah dan tujuan setelah diciptakan oleh Allah SWT dengan selengkap dan sesempurna kejadian. Nilai-nilai kemanusiaan itu juga menjadikan manusia mempunyai nilai moral yang tinggi dan berbeza dengan lain-lain makhluk hidup di atas pentas dunia.

Manusia mempunyai moral yang tinggi dan boleh memimpin sesama sendiri, malah menundukkan makhluk yang lain. Manusia mampu menguasai binatang buas sehingga menjadikannya sebagai sumber rezeki.

Setiap manusia memerlukan interaksi, dan setiap interaksi tersebut mestilah berdasarkan prinsip ukhwah dan persaudaraan yang sejati. Dalam mengharungi proses tersebut, nilai-nilai kemanusiaan ikut memasukkan prinsip-prinsip memanusiakan orang lain.

Ini bererti, setiap kali kita melihat adanya keburukan berlaku, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membuat pembetulan. Namun, kaedah melakukan pembetulan juga perlu dipelajari agar ia tidak menjadi konflik dan persengketaan yang boleh menyebabkan pertumpahan darah. Ritual sedemikian turut dialami oleh setiap orang Islam sepanjang tempoh mengerjakan ibadat haji, mungkin berbeza adalah situasi dan konteksnya.

Pengalaman dalam mengerjakan haji juga ialah membangkitkan nilai-nilai kemanusiaan melalui persaudaraan sesama Islam. Bukan sahaja saling membantu, malah saling memaafkan tanpa perlu menunggu saat tertentu seperti mana berlaku dalam masyarakat kita.

Sepanjang mengerjakan ibadat haji, kita saling memaafkan ketika itu juga, sebaik sahaja kita sedar adanya kesilapan telah terjadi. Sebagai bukti kaitannya ibadat haji dengan nilai-nilai kemanusiaan ialah isi khutbah Nabi Muhammad SAW ketika melaksanakan Haji Wadha' (Haji Perpisahan). Dalam khutbah tersebut, Rasulullah SAW menekankan bahawa setiap dari jemaah agar dapat menghayati nilai-nilai persamaan (berpakaian dan mengamalkan ritual yang sama), menjaga tertib dan menghormati orang lain, larangan mengkhianati orang lain, tegahan menindas mereka yang lemah (sama ada dalam bentuk fizikal ataupun emosi) dan sentiasa optimis mengenai masa depan dan kehidupan yang kekal abadi.

Demikianlah, Tuhan memberi penghargaan kepada manusia sehingga Nabi Muhammad dalam khutbah wada'nya yang sangat terkenal, mukadimah baginda dimulai suatu pertanyaan yang bermaksud; ''Wahai umat manusia, tahukah kamu di hari apa kamu berada? Di bulan apa kamu berada? Dan di tempat mana kamu berada?'' Semua menjawab, ''Ya Rasulullah, kami berada di hari suci, di bulan suci dan di tempat yang suci." Lalu Rasulullah mengatakan, ''Oleh kerana itu ketahuilah bahawa darahmu, hartamu dan kehormatanmu itu suci sampai hari kiamat, sampai kamu menemui Tuhanmu."

Kemudian baginda menghuraikan banyak hal, termasuk bagaimana perlakuan yang baik kepada buruh, kepada orang yang bekerja untuk kita. Bagaimana perlakuan yang baik terhadap isteri pada waktu itu, dengan latar belakang Arab jahiliah wanita adalah salah satu komoditi di kalangan orang Arab. Bagaimana kita harus membebaskan hamba abdi. Bagaimana kita harus melakukan transaksi ekonomi dengan menghindari penindasan yang mengakibatkan kekayaan manusia adalah sedikit dan kemiskinan menjadi besar dan seterusnya.

Ketuhanan Yang Maha Esa, kemanusiaan, dan keyakinan adanya hari akhirat adalah makna-makna paling dalam bagi setiap amalan ibadah haji. Tanpa menghayatinya, ibadah tersebut tidak memiliki banyak erti bagi jiwa manusia. Dengan ketuhanan Yang Maha Esa, Nabi Ibrahim mengumandangkan bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam, bukan Tuhan satu ras dan bangsa, juga bukan Tuhan yang terbatas untuk satu tempoh masa tertentu.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia

read more...

Orang awam digesa daftar haji atau perlu tunggu 20 tahun

JOHOR BAHRU – Masyarakat Islam disarankan mendaftar segera untuk mengerjakan haji memandangkan jumlah senarai yang menunggu setakat ini dicatatkan sehingga tahun 2032.

Timbalan Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Johor, Azillah Itam berkata, kira-kira 30,000 bakal jemaah di negeri itu mendaftar untuk mengerjakan haji sehingga semalam.

“Kesedaran bagi mendaftarkan haji ini perlu ditekankan kepada orang awam kerana mereka perlu sedar, senarai panjang pemohon direkodkan sehingga tahun 2032.

"Jika mendaftar hari ini, secara kiraannya, mereka akan melakukan fardu haji 20 tahun lagi.

“Ramai daripada kita beranggapan sekiranya mempunyai akaun Tabung Haji, mereka secara automatik telah didaftarkan sebagai bakal jemaah. Ini adalah tanggapan yang tidak tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Azillah berkata, pemohon yang ingin mendaftar sebagai bakal jemaah disyaratkan mempunyai wang simpanan dalam akaun Tabung Haji sekurang-kurangnya RM1,300.

“Persepsi orang ramai perlu diperbetulkan kerana kebanyakan mereka suka bersikap berlengah-lengah dengan alasan wang simpanan tidak mencukupi untuk mengerjakan haji dan hanya ingin mendaftarkan nama jika ada wang yang cukup,” katanya.

Azillah berkata, pendaftaran haji boleh dibuat di kaunter Tabung Haji seluruh negara, di Bank Rakyat ataupun di Bank Islam dan melalui laman sesawang www.tabunghaji.gov.my.

Mengikut perhitungan, jemaah perlu menunggu 10 hingga 20 tahun sebelum dipanggil bagi mengerjakan haji dan tempoh yang panjang tersebut dilihat tidak relevan bagi mereka yang kini berumur antara 50 dan 70 tahun, yang masih belum mendaftarkan diri.

"Bagi sesetengah kes, Tabung Haji memberi kelonggaran rayuan kepada bakal jemaah berusia 70 tahun ke atas, namun ia perlu melepasi saringan kesihatan dan persediaan ditetapkan sebelum melayakkan diri untuk mengerjakan haji," katanya.

Katanya, orang awam perlu sedar dan memaklumkan kepada Tabung Haji sekiranya ingin menolak, menangguhkan dan boleh memilih mana-mana tahun bagi mengerjakan haji, jika surat kelayakan terpilih dikeluarkan Tabung Haji.

"Kegagalan menjawab atau sikap lepas tangan antara penyebab diri mereka diletakkan dalam senarai menunggu yang panjang," katanya.

Azillah berkata, jika ramai dalam kalangan masyarakat berumur 40 hingga 50 tahun sedar dan mendaftarkan diri bagi mengerjakan haji, ia kerana faktor ekonomi yang semakin baik jika dibandingkan 10 tahun lalu.

Beliau juga menyambut baik usaha kerajaan mengehadkan sekurang-kurang lima tahun untuk mengerjakan haji semula bagi memberi peluang kepada bakal jemaah yang baru.

"Kos tambang haji kumpulan muhasasah bagi tahun ini adalah RM9,980 dan pakej bermula dari RM18,000," katanya.

Seramai 3,615 jemaah haji dari Johor direkodkan bagi tahun 2010, termasuk kira-kira 26,000 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah dari seluruh Malaysia ke Tanah Suci.
read more...

Perkhidmatan sheikh haji wujud sejak zaman Hang Tuah

Oleh Aiza Maslan @ Baharudin

ORANG Melayu sememangnya sudah maklum dan menggunakan perkhidmatan `sheikh haji' sejak beberapa kurun lalu. Sheikh haji adalah organisasi popular dan berperanan penting dalam hal-ehwal pengurusan haji.

Catatan awal mengenai sheikh haji terdapat dalam naskhah Melayu lama seawal abad ke-15 lagi. Hikayat Hang Tuah umpamanya memaparkan peranan dimainkan Malek R.s.t.l di Makkah dan Sheikh Jamaluddin di Madinah dalam menjaga kebajikan rombongan Hang Tuah.

Dalam Tuhfat al-Nafis turut digambarkan bagaimana rombongan Raja Ahmad dan Raja Ali Haji disambut serta ditawarkan perkhidmatan oleh Sheikh Ismail, Sheikh Ahmad Mushaffi dan wakil Sheikh Daud di Jeddah.

Raja Ahmad akhirnya memilih Sheikh Ahmad Mushaffi yang berketurunan Bugis bagi memudahkan interaksi antara mereka.

Sistem sheikh diwujudkan bagi memenuhi keperluan jemaah haji yang datang dari seluruh dunia untuk membimbing melaksanakan tuntutan haji, membantu memahami selok-belok kehidupan di Tanah Suci sekali gus menyediakan kemudahan penginapan, makan minum dan pengangkutan sepanjang musim haji.

Gelaran sheikh haji hanya digunakan oleh orang Melayu di Asia Tenggara, namun dalam persuratan dan urusan rasmi, istilah broker haji lebih kerap digunakan.

Jemaah haji Tanah Melayu diletak di bawah pengawasan sheikh haji yang dikhususkan bagi taifah Asia Tenggara. Dengan pelaksanaan sistem taqrir yang menetapkan sheikh haji mengikut daerah tertentu mewujudkan gelaran sheikh haji mengikut kawasan seperti Sheikh Ahmad Lampong atau Sheikh Hussin Jambi.

Sheikh haji biasanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Jawa berdasarkan pengalaman mereka menetap di kawasan berkenaan atau mengahwini wanita daripada komuniti Melayu-Indonesia yang bermastautin di Hijaz.

Sheikh haji di Tanah Melayu sebahagian besarnya terdiri daripada keturunan Arab yang berkhidmat bagi pihak sheikh haji di Tanah Suci. Ada sebilangannya bergerak bebas tanpa terikat.

Mereka ini mengatur perjalanan jemaah haji, mendapat bayaran sagu hati daripada syarikat perkapalan, menemani jemaah haji ke Tanah Suci dan menyerahkan jemaah haji kepada sheikh haji Tanah Suci yang diwakili mereka.

Ada juga antara mereka menyerahkan jemaah haji kepada sheikh haji Tanah Suci yang menawarkan bayaran lebih tinggi. Kebanyakan mereka berpusat di Singapura, Pulau Pinang dan bergerak ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu serta negara jiran.

Jemaah haji Melayu biasanya bertemu sheikh haji ketika mereka mengadakan kempen di kampung.

Ada juga memilih sheikh haji berdasarkan syor oleh sanak-saudara dan rakan yang berpuas hati dengan perkhidmatan sheikh haji terbabit. Selain itu, guru pondok turut berperanan menentukan sheikh haji bagi pelajarnya yang akan menunaikan fardu haji.

Selepas pemilihan sheikh haji dan pembayaran dilakukan, kontrak itu tidak dapat diubah dan jemaah haji akan kekal di bawah pengawasan sheikh haji itu sehingga selesai musim haji.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang
read more...

Musim haji: Arab Saudi tidak tolak ancaman al-Qaeda

MEKAH 11 Nov - Kerajaan Arab Saudi tidak menolak kemungkinan al-Qaeda akan cuba menggugat keselamatan semasa ibadat haji musim ini, yang akan bermula minggu depan.

“Kita tidak boleh mempercayai mereka (al-Qaeda). Kami tidak menolak kemungkinan mereka (al-Qaeda) akan cuba menganggu keselamatan semasa musim haji,’’ kata Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef bin Abdul Aziz.

“Kami sudah bersedia terhadap sebarang kemungkinan tindakan daripada al-Qaeda. Insya Allah, tidak ada apa-apa yang akan berlaku memandangkan ini (Mekah) tempat suci,’’ katanya pada sidang media selepas perarakan pasukan keselamatan dan pertahanan awam sebagai persiapan menghadapi musim haji.

“Kami mampu untuk menangani sebarang kemungkinan,’’ tambah beliau.

Kira-kira 2.5 juta jemaah dijangka menunaikan haji tahun ini di Mekah. - AFP

read more...

282 terima pingat Darjah Kepahlawanan ATM

KUALA LUMPUR 11 Nov (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 282 penerima termasuk puteri Sultan Kedah dan dua pegawai kanan tentera asing.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini hari ini, puteri Sultan Kedah, Brigadier Jeneral Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dianugerahkan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).

Dua pegawai kanan tentera asing iaitu Setiausaha Tetap Pertahanan di Kementerian Pertahanan Thailand, General Apichart Penkiti dikurniakan pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat, manakala Pengarah Directorat Risikan Bersama, Ibupejabat Supreme Command, Pasukan Angkatan Tentera Diraja Thai dianugerahkan Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) Kehormat.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin pula dikurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) diikuti empat penerima yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) iaitu Panglima Group Artileri Pertahanan Udara, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak, Panglima Tiga Divisyen Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad dan Mejar Jeneral Datuk Ir Ibrahim Bahari dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Seramai 275 penerima lain dikurniakan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) Kehormat, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT). — Bernama

read more...