Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 14 Disember 2011

ATM : Lima pesawat disenarai pendek ganti MiG-29N


Anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU), Laskar Udara Mohd. Yusuof Ahmad Khalid (kiri) dan Laskar Udara Mohd. Shahrulaizat mengawal pesawat pejuang yang mengambil bahagian pada LIMA 2011 di Langkawi, semalam. - BERNAMA


LANGKAWI - Kementerian Pertahanan telah menyenarai pendek lima pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) bagi menggantikan MiG-29N yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain varian Sukhoi buatan Rusia, empat lagi pesawat tempur kini dalam perhatian kerajaan, namun beliau enggan mendedahkannya.

Bagaimanapun kata beliau, khidmat MiG-29N masih diteruskan sehingga kerajaan membuat pengumuman rasmi mengenai penggantian pesawat buatan Rusia itu.

"Kami telah mengenal pasti beberapa jenis pesawat tempur untuk menggantikan MiG dan kesemua aspek teknikal lima pesawat tersebut telah siap dilakukan.

"Apa yang paling penting adalah pembelian MRCA baru itu nanti perlu dilengkapkan dengan program pemindahan teknologi dan projek timbal balas yang menguntungkan penggiat industri pertahanan negara serta kerajaan secara keseluruhan," katanya pada sidang akhbar di atas kapal KD Jebat di sini hari ini.

Sementara itu Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar memberitahu, hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memperoleh kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) yang disuarakan sejak beberapa tahun lalu terpaksa ditangguh sementara ekoran kekangan ekonomi.

Namun katanya, program perolehan MRSS yang sepatutnya dibuat dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-10 itu masih dalam perhatian.

"Projek perolehan kapal perang pesisir pantai (LCS) pula kini masih di peringkat perbincangan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat ini," kata beliau.

read more...

TDM : Rejimen Sempadan Sabah, Sarawak belum muktamad


SEBAHAGIAN Tentera Nasional Indonesia (TNI) merakamkan gambar kenangan bersama Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tengah) berjabat tangan dengan J. Suryo Probowo ketika jamuan lawatan operasi di Pos Biawak, Lundu, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


LUNDU - Cadangan menubuhkan Rejimen Sempadan di Sabah dan Sarawak bagi mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia belum dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat kajian.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, berikutan cadangan itu melibatkan perkara dasar, penubuhan rejimen tersebut tidak semudah yang disangkakan.

"Selepas mengambil kira keperluan semasa bagi menangani isu keselamatan yang timbul di perbatasan, kita tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkannya pada masa depan.

"Bagaimanapun, ia masih dalam proses perbincangan, terutama hal-hal berkaitan pengukuhan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Kepala Staf Umum Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Jeneral J. Suryo Probowo di Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak dekat sini hari ini.

Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah.

Pada sesi lawatan itu, Raja Mohamed Affandi dan J. Suryo turut meluangkan masa menanam empat batang anak pokok sebagai simbolik hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini ATM dan TNI memiliki enam pos gabungan bersama di Sarawak dan dua di Sabah bagi menjaga kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan Barat.

Mengenai cadangan supaya ATM mewujudkan pos kawalan seumpamanya di Teluk Melano, Sematan, beliau menjelaskan, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penyelaras Kawalan Operasi (COCC) Malaysia-Indonesia terlebih dahulu.

"Sekiranya diluluskan di peringkat COCC, ia akan dibawa kepada HLC (Jawatankuasa Peringkat Tertinggi) sebelum diputuskan oleh menteri masing-masing," katanya.

read more...

TDM : Cabaran baru Rejimen Semboyan Diraja


Rejimen Semboyan Diraja telah berjaya menjadi sebuah kor tentera yang berkesan dalam menyediakan keperluan dan kemudahan komunikasi kepada ATM.


SEJAK ditubuhkan pada 15 November 1952, Rejimen Semboyan Diraja (RSD) telah berjaya menjadi sebuah kor tentera yang berkesan dalam menyediakan keperluan dan kemudahan komunikasi kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam tempoh 59 tahun itu, RSD membesar dan berkembang sejajar dengan arus pemodenan semasa terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) supaya tanggungjawab hakiki dalam melindungi dan mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Namun, senario peperangan zaman ini yang menjurus kepada Pusat Operasi Rangkaian (NCO) telah mengubah definisi kejayaan sesebuah misi itu ke satu peringkat yang lebih mencabar.

Kini kejayaan tersebut bergantung kepada kelancaran komunikasi di peringkat strategik, operasi dan taktikal yang lebih menyeluruh.

Semestinya keperluan itu menuntut kepada kemahiran RSD menangani ancaman peperangan bukan konvensional seperti peperangan siber, peperangan elektronik dan peperangan maklumat.

Persoalannya kini, adakah rejimen tersebut bersedia menyahut cabaran tersebut? Ini kerana pengurusan aspek sumber manusia, latihan dan perolehan sistem komunikasi ke arah NCO perlu diteliti semula sebagai langkah utama persediaan menghadapi ancaman tersebut.

Menjawab persoalan itu, Pengerusi RSD, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, tugas dan tanggungjawab kini perlu difokuskan secara sinergi dalam mendukung peranan ATM ke arah pembangunan negara.

Jelasnya, perkara tersebut perlu diselaraskan di setiap peringkat bagi memastikan peranan rejimen tersebut benar-benar berkesan.

"Sebagai salah satu kor teknikal tentera darat, kita seharusnya mempelopori dan menerajui bidang teknologi komunikasi.

"Dengan kepakaran yang ada, kita mampu mereka bentuk pelbagai projek inovasi teknologi komunikasi. Kemampuan berinovasi memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang yang berkaitan.

"Saya percaya RSD tidak kekurangan kepakaran teknikal dalam teknologi komunikasi. Apa yang perlu adalah daya gerak dan usaha yang ikhlas.

"Saya berharap RSD akan berusaha secara berterusan ke arah ini dan menjadikan rejimen ini sebagai pakar rujuk dalam bidang komunikasi," ujar orang nombor satu rejimen tersebut pada majlis Sambutan RSD kali ke-59 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi baru-baru ini.

Perbarisan yang disertai 400 pegawai dan anggota RSD sekitar Lembah Klang itu turut dihadiri Ketua Pegawai Semboyan, Brigadier Jeneral Ahmad Hadiatullah Maknun Ridzuan dan Ketua Pengarah Peperangan Informasi RSD, Brigadier Jeneral Datuk Noordin Mohd. Yusoff.

Pada majlis tersebut, Zulkiflee telah menerima tabik hormat daripada perbarisan yang diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Akop.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, kecemerlangan kepimpinan bukan sahaja diukur dengan pangkat yang disandang, namun kebolehan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi adalah sandaran utama.

Tidak cukup dengan itu, tegasnya, menentukan arahan pihak atasan diterjemahkan dalam bentuk tindakan juga merupakan satu keutamaan termasuk keupayaan membaca hasrat Pemerintah atau Ability to read the Commander's Intent yang perlu ada pada setiap pemimpin.

Selain daripada itu, kata Zulkiflee, kebolehan memotivasikan anggota yang dipimpin juga perlu diberi perhatian disebabkan lapisan muda rejimen tersebut kini dianggotai oleh Generasi Y.

Oleh itu, katanya, gaya dan cara kepimpinan perlu disesuaikan dengan keadaan sekarang seperti mengubah corak kepimpinan supaya ia selaras dengan perubahan teknologi dan persekitaran sekeliling.

"Inilah yang saya maksudkan dengan pembangunan pemimpin. Saya menyeru kepada semua pemimpin di setiap peringkat agar memperbaiki kelemahan yang ada serta bersikap inovatif dan proaktif demi mengekalkan kecemerlangan warga Rejimen Semboyan Diraja.

"Dengan kepakaran yang ada, kita mampu mereka bentuk pelbagai projek inovasi teknologi komunikasi. Kemampuan berinovasi memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang yang berkaitan.

"Saya percaya RSD tidak kekurangan kepakaran teknikal dalam teknologi komunikasi. Apa yang perlu adalah daya gerak dan usaha yang ikhlas," jelas beliau.

Zulkiflee turut berharap RSD akan berusaha secara berterusan ke arah menjadikan rejimen berkenaan pakar rujuk dalam bidang komunikasi.

read more...

TDM : Eksesais tingkatkan kekuatan TDM, TDDB


Zulkifli Zainal Abidin bersalaman dengan salah seorang anggota Tentera Darat Diraja Brunei pada majlis penutup Eksesais Mertak Bersatu Siri 9 di Kota Belud, Sabah, semalam.


KOTA BELUD - Seramai 397 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama 140 anggota pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menyertai Eksesais Mertak Bersatu Siri 9 di Lapang Sasar Kota Belud selama sembilan hari yang akan berakhir esok.

Panglima TDM, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, eksesais yang diadakan setiap dua tahun sekali itu memberi impak positif kepada kekuatan dan kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara.

"Tujuan eksesais ini adalah melatih dan memahirkan anggota tentera kedua-dua negara dalam perancangan dan pelaksanaan tembakan bersama.

"Latihan seperti ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara tentera dengan tentera, pegawai dengan pegawai demi manfaat bersama," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup eksesais tersebut hari ini.

Turut hadir, Panglima TDDB, Brigedier Jeneral Datuk Seri Pahlawan Yussof Abd. Rahman; Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan Panglima 5 Briged, Datuk Abdul Halim Jalal.

Menurutnya, eksesais itu melibatkan latihan menembak mortar yang disertai platun mortar dari Batalion Infantri 1 Divisyen dan platun mortar dari Batalion TDDB.

"Eksesais ini berkonsepkan latihan medan dengan platun mortar kedua-dua tentera darat digabungkan untuk melaksanakan misi tembakan bantuan berdasarkan rancangan bantuan tembakan semasa operasi ofensif dan defensif dalam senario peperangan konvensional," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pengisian program tersebut bagi memberi nilai terbaik kepada setiap peserta pada masa akan datang.

Yussof dalam pada itu berkata, eksesais berkenaan amat bererti kerana memberi peluang dan ruang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai aspek.

"Bagi pihak kerajaan Brunei, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya TDM yang memberi peluang kepada TTDB membina semangat perjuangan antara kedua-dua angkatan tentera," katanya.

read more...

ATM : Malbatt 4 diakui sebagai kontinjen cukup hebat


Carlo Lamanna diberi taklimat dalam bilik gerakan Malbatt 4 di Tibnin, Lebanon.


KEHADIRAN Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) yang menyertai pasukan pengaman sementara Pertubihan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) bukan sahaja berjaya menambat hati penduduk di kawasan di bawah sektor tanggungjawabnya, tetapi turut diiktiraf oleh badan dunia itu.

Lawatan oleh Komander SECWEST, Brig. Jen. Carlo Lamanna baru-baru ini mengesahkan pengiktirafan itu apabila beliau berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan Malbatt 4.

Lawatan ke kem Malbatt 4 di Tibnin itu merupakan yang pertama oleh Lamanna ke kontinjen negara asing yang berkhidmat dalam SECWEST di bawah pemerintahan beliau.

Lamanna yang baru mengambilalih tugas pada 7 November lalu amat tertarik dan berpuas hati dengan perlaksanaan tugas operasi UNIFIL oleh pasukan Malbatt 4.

Pada lawatan itu beliau telah diberikan taklimat, melawat kawasan kem dan juga diberi penerangan mengenai kenderaan serta peralatan yang dimiliki oleh Malbatt 4 pada misi kali ini.

Beliau menyatakan rasa bangga dan puas hati dengan setiap aktiviti dan perancangan operasi yang telah dilaksanakan.

Lamanna juga memuji pencapaian yang dicapai oleh Malbatt 4 dalam tempoh yang singkat iaitu sejak mula bertugas pada 20 Oktober lalu.

Sebab itu, Lamanna memilih Malbatt 4 sebagai kontinjen asing yang pertama dilawatinya kerana ingin mengetahui secara lebih dekat tentang kepakaran dan keupayaan Malaysia.

Lagi pula katanya, nama Malaysia sering menjadi sebutan ramai dalam misi UNIFIL.

Hasil daripada lawatan tersebut, beliau mengakui Malbatt 4 merupakan kontinjen yang cukup hebat.

Kehebatan itu katanya, perlu diakui oleh kontinjen negara lain.

Beliau secara jujur mengakui keupayaan pasukan Malbatt 4 melaksanakan tugas dengan cemerlang disebabkan mutu kepimpinan, latihan yang jitu dan komitmen tinggi oleh semua anggota.

Sehubungan itu beliau meminta supaya kontinjen Malbatt 4 terus mengekalkan kecemerlangan yang dilaksanakan, di samping menghulurkan bantuan kepada kontinjen negara lain yang bertugas di sektor tanggungjawab di bawah naungan pemerintahan beliau.

Sementara itu, Timbalan Komander Malbatt 4. Left. Kol. E.D Mustafa Bakar berkata, ini merupakan kali pertama kontinjen Malaysia di pilih menjadi contoh dan mendapat pujian daripada UNIFIL.

Semua itu katanya, diperolehi hasil daripada prestasi yang ditunjukkan oleh setiap pegawai dan anggota Malbatt 4.

read more...

Kuasa Raja-Raja Melayu


MAJLIS Raja-Raja yang terdiri daripada raja dari sembilan buah negeri akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong.


SEJAK Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, terlalu banyak perubahan dan pembangunan dilakukan bagi memartabatkan negara di peringkat antarabangsa.

Namun, sepanjang menyusuri arus perubahan dan kemodenan, Malaysia masih mengekalkan sistem yang diamalkan sejak kurun yang ke-15.

Pastinya, sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem pemerintahan beraja yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara. Lagipun umum mengetahui bahawa Malaysia yang mempunyai 14 buah negeri mempraktikkan sistem Raja Berperlembagaan.

Hari ini, sudah lima dekad sistem Raja Berperlembagaan memainkan peranan dalam kestabilan dan keamanan pada negara.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menjelaskan, tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sama ada di bawah Perlembagaan atau di bawah Undang-Undang Persekutuan, hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selain perlembagaan ini.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.

Secara amnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang dipilih menerusi Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan buah negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Setiap raja dari sembilan negeri itu mempunyai peluang untuk menjadi ketua negara dengan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Secara keseluruhan, Malaysia dipayungi Yang di-Pertuan Agong tetapi sembilan buah negeri beraja ditunjangi raja atau sultan negeri, manakala empat buah lagi negeri pula diketuai Yang di-Pertua Negeri.

Namun sistem beraja di Negeri Sembilan paling unik berbanding negeri-negeri beraja yang lain. Rajanya tidak dipanggil sultan atau raja, sebaliknya digelar Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Selain itu, sistem di negeri tersebut pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, dalam hierarki masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, raja merupakan golongan yang menduduki kedudukan teratas.


NEGERI Pahang dipayungi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.


Ketinggian darjat raja dalam masyarakat telah memberikan mereka kuasa pemerintahan utama. Malah, kedaulatan dan kuasa raja berkekalan dan terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 181 (1).

"Biar zaman semakin canggih dan moden, asalkan kita tidak lupa asal-usul dan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu. Peranan raja dan sultan masih lagi diperlukan dan relevan bagi melindungi rakyat dan negeri yang diperintah. Sebab itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menjaga kedudukan raja atau sultan sampai bila-bila," kata Ramlah.

Menjelaskan lanjut mengenai peranan raja negeri, Ramlah memberitahu, mereka berkuasa melantik seorang Menteri Besar atas budi bicara. Pada masa yang sama, Raja Negeri juga berhak menolak calon Menteri Besar sekiranya tidak menepati kriteria dan kurang yakin kredibiliti meskipun individu berkenaan merupakan ahli pada sebuah parti yang memenangi majoriti 2/3 dalam pilihan raya.

Selain itu, Raja Negeri boleh menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri, bertindak sebagai ketua agama atau berhubung dengan adat Melayu serta melantik waris atau waris-waris, isteri, pemangku raja atau jemaah pemangku raja.

Antaranya termasuklah melantik pemegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu.

read more...

Uniknya takhta Yang di-Pertuan Agong


MAJLIS Raja-Raja yang terdiri daripada raja dari sembilan buah negeri akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan kedudukan tertinggi di negara ini yang dipegang selama lima tahun oleh salah seorang daripada sembilan Raja-Raja Melayu di Malaysia.

Sistem Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen ini merupakan satu-satunya sistem giliran ketua negara di dunia yang tidak diwarisi tetapi dipilih dan ditabalkan oleh Majlis Raja-Raja mengikut beberapa syarat tersurat dan tersirat.

Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kuasa mutlak terhadap proses pemilihan ini bagi memastikan hanya salah seorang daripada anggotanya yang layak diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Uniknya sistem giliran kelayakan ini kerana ia bukannya satu sistem pilihan raya menerusi kempen mahupun lantikan jawatan awam.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut senarai giliran Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri paling kanan mengikut Sultan yang terdahulu ditabalkan di negeri baginda.

Senarai kelayakan itu kemudian ditapis mengikut negeri-negeri yang belum diberi peluang sehingga lengkap kitaran kepada sembilan negeri terbabit.

Namun, Sultan yang di bawah umur tidak layak untuk disenaraikan dalam kitaran giliran sementara Sultan yang terpilih juga berhak menolak pencalonannya.

Majlis Raja-Raja juga boleh menetapkan seseorang Sultan tidak layak untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong atas apa jua alasan dengan undi sulit sokongan lima daripada sembilan ahlinya.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong juga hanya boleh dikosongkan selepas tamat tempoh pengal lima tahun, kemangkatan atau dipecat oleh Majlis Raja-Raja.

Seperti mana kedudukan Sultan sebagai ketua negeri dan Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara di peringkat Persekutuan sementara Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.

Selaku pemegang kuasa eksekutif negara, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak berdasarkan nasihat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri, Menteri atau Kabinet.

Seri Paduka akan melantik anggota Kabinet dan pengarah di kementerian atas nasihat Perdana Menteri; penubuhan suruhanjaya dan jawatankuasa khas atas nasihat Majlis Raja-Raja; melantik Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Malaya serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak atas nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja; serta melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak atas nasihat Ketua Menteri negeri berkenaan.

Namun, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk bertindak atas keputusan sendiri dalam beberapa perkara utama tanpa memerlukan persetujuan pihak lain, termasuk dalam melantik Perdana Menteri, membubarkan (atau menolak pembubaran) Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum dan memanggil persidangan Majlis Raja-Raja.

Seri Paduka turut bertindak selaku ketua agama Islam Kerajaan Persekutuan termasuk untuk empat negeri yang tiada Sultan, tiga Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta ketua agama Islam untuk negeri baginda sendiri.

Yang di-Pertuan Agong juga merupakan Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan berkuasa melantik Ketua Angkatan Tentera serta ketua tentera bagi tiga cabang ketenteraan negara, di samping berhak memberi keampunan kesalahan selepas semua rayuan di mahkamah ditolak.

Sejarah baru negara tercatat pada 12 dan 13 Disember 2011 apabila berlangsung istiadat keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dan istiadat ketibaan Seri Paduka ke-14.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang telah dipilih dan ditabal semalam selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14 menjadi Sultan pertama diangkat selaku Seri Paduka buat kali kedua.

Baginda yang pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima antara 21 September 1970 hingga 20 September 1975 juga telah memegang kedudukan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Tuanku Abdul Halim juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan di Istana Negara yang baru bernilai RM800 juta di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir bersemayam di Istana Negara lama di Jalan Istana yang telah digunakan sejak negara merdeka.

Selepas 54 tahun, kesinambungan sistem pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini tidak boleh dipisahkan lagi daripada identiti Malaysia sebagai negara berdaulat.

Segala sejarah negara terus dipayungi Raja-Raja Melayu dan tanpa baginda Sultan sekalian, maka akan pincanglah negara bernama Malaysia ini.

read more...