Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 2 April 2011

Revolusi Ketenteraan

Revolusi dalam hal ehwal ketenteraan (revolution in military affairs -RMA) turut menukar ciri dan tugas serta tanggungjawab ATM dan ketiga-tiga perkhidmatan di bawahnya. Serangan ke atas Iraq dan Afghanistan pada awal alaf tahun 2000 dan Libya pada beberapa hari lepas memperlihatkan antara lain peri pentingnya peperangan di alaf ke 21 ini dilaksanakan secara bersama (joint operation) antara ketiga-tiga perkhidmatan angkatan tentera dan secara gabungan bersama (joint combine) antara angkatan tentera sebuah negara dengan angkatan tentera daripada sebuah atau beberapa buah negara asing.

Bermula dengan sebuah angkatan tentera yang memberi fokus kepada konsep peperangan melawan gerila (CRW)di mana setiap operasi yang dijalankan bersifat satu perkhidmatan (single service operation) dan di sokong sekurang-kurangnya oleh sebuah perkhidmatan yang lain, ATM kemudiannya beranjak kepada memberi fokus ke arah konsep peperangan konvensional (CW)dan kini kita sudah pun bergerak untuk melaksanakan konsep peperangan secara bersama.

Konsep peperangan bersama memerlukan pembabitan ke tiga-tiga perkhidmatan ATM dalam melaksanakan sesuatu misi operasi. Bagi tujuan itu, kekuatan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu TD, TLDM dan TUDM perlu dibangunkan secara seimbang. Apa yang bakal diterima oleh TD iaitu sebanyak 257 unit 8x8 AWV dalam 12 variants adalah sebahagian dari program membangunkan TD sebagai sebuah pasokan yang mampu menyumbang ke arah pelaksanaan konsep operasi bersama.

Bentuk ancaman masa kini yang akan dihadapi jauh berbeza dengan apa yang telah kita hadapi sebelum ini. Kita tidak lagi berhadapan dengan kumpulan musuh dalam bilangan yang kecil dan menyerang kita secara "hit and run". Sebaliknya, kita bakal berhadapan dengan musuh secara terbuka dalam suasana perang yang sebenar. Justeru, walaupun bakal penerimaan secara berperingkat kereta-kereta perisai tersebut untuk menggantikan kereta-kereta perisai daripada jenis Condor dan Simbas boleh dianggap sebagai sesuatu yang "long overdue", sekurang-kurangnya kita bakal memilikki sesuatu yang baru bagi berhadapan dengan bentuk ancaman masa kini dan masa hadapan. Ini kerana sebagaimana pendapat M. Ghazemy Mahmud dalam rencana beliau bertajuk "Re-equipping the Army" (Sunday Star 20 Mar 2010), "the intensity of combat on the modern battlefield requires infantry vehicles that are mobile, survivable and lethal". Pada hemat saya AWV dari jenis PARS 8x8 keluaran FNSS Turkey itu dapat memenuhi ciri-ciri yang dikehendakki.

read more...

Sabung nyawa di Mogadishu


Mohd. Halim Khalid (kanan) dan Muhammad Juraimy Aripin, dua anggota Bahagian Risik Angkatan Tentera Malaysia yang pernah berkhidmat di Somalia.
Jika menonton filem Black Hawk Down, kita pasti mendapat gambaran bagaimana tentera Amerika Syarikat (AS) menyelamatkan pasukan tentera negara asing ketika bertempur dengan kumpulan militia di kawasan Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia.

Namun di sebalik filem itu, tercatat satu kisah benar yang membabitkan pengorbanan dan perjuangan anggota tentera Malaysia yang berlaku pada 3 Oktober 1993.

Keberanian itu membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyelamatkan tentera AS daripada menjadi mangsa serangan para pengikut setia puak penentang Jeneral Farrah Aidid.

Apa yang pasti, anggota ATM berada di barisan hadapan sekali ketika operasi menyelamat di dua lokasi berasingan yang terletak kira-kira tiga kilometer antara satu sama lain.

Operasi menyelamat dan pertempuran sengit itu mengambil masa lebih tujuh jam bermula pada sebelah malam dan hanya awal pagi keesokan harinya semua anggota ATM berjaya membawa keluar puluhan tentera AS dengan selamat.
Walaupun sebelum ini ATM dianggap tidak mempunyai pengalaman berperang di peringkat antarabangsa atau di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun peristiwa di Mogadishu itu mencatatkan kejayaan dan kehebatan sebenar tentera Malaysia pada mata dunia.

Seorang anggota ATM yang turut terbabit dalam operasi itu, Leftenan Kolonel Mohd. Halim Khalid, 44, buat pertama kalinya mendedahkan kisah sebenar yang berlaku.

Ketika itu Mohd. Halim berpangkat kapten dan bertugas sebagai Penolong Ketua Kompeni B, Batalion Malaysia di Somalia.


“Saya bersama beberapa rakan ketika itu bertugas di bilik gerakan pada pukul 4 petang apabila menerima arahan untuk menggerakkan kompeni ke Pelabuhan Mogadishu yang dikawal oleh tentera pengaman dari Pakistan.

“Kami tidak diberitahu gambaran lebih terperinci operasi itu. Ekoran itu, satu Kompeni B bersama 16 kereta perisai APC Condor dengan kira-kira 100 anggota ATM telah bergerak ke pelabuhan berkenaan,” kata Mohd. Halim memulakan ceritanya.

Semasa berada di pelabuhan berkenaan Mohd. Halim dan rakan-rakan setugas sudah dapat mendengar bunyi tembakan yang datang dari sekitar kawasan Pasar Bakara selain melihat percikan api tembakan.


Ketika itu, Ketua Kompeni, Mejar Abdul Rashid Ahmad yang sebelum itu membuat tinjauan di sebuah lokasi di Mogadishu kemudian turut serta di pelabuhan berkenaan.

Kira-kira pukul 6 petang, satu lagi pasukan dari Kompeni A ATM bersama 16 kereta perisai APC Condor bersama sejumlah anggota diketuai Mejar Aziz Abdul Latif turut tiba di pelabuhan tersebut.

“Semasa di pelabuhan itu, dapat dilihat sebuah helikopter Black Hawk AS mendarat cemas dengan seorang daripada tiga anggotanya sudah terkulai kakinya akibat kecederaan parah.

“Daripada keadaan sekitar itu, saya dan rakan-rakan mula mengumpul maklumat berhubung keadaan yang berlaku namun situasi sebenar belum diketahui,” kata Mohd. Halim.

Menurutnya, kira-kira waktu senja barulah datang sepasukan konvoi 200 tentera AS bersama beberapa trak dan ini diikuti tentera Pakistan dengan empat buah kereta kebal jenis M48.

“Pada pukul 9.30 malam, sebuah helikopter AS mendarat bersama seorang anggota berpangkat kolonel. Dengan menggunakan lampu suluh dan peta, kolonel Casper terus memberi perintah operasi menyelamatkan sejumlah tentera AS di dua lokasi di Pasar Bakara iaitu kira-kira 10 kilometer dari pelabuhan tersebut.

Pasukan ATM hanya diberitahu mereka akan dipandu arah ke dua lokasi kejadian dari udara oleh helikopter AS.


“Sebelum bergerak kira-kira pukul 10.30 malam, enam hingga tujuh anggota ATM bagi setiap kereta perisai yang berjumlah 32 buah kesemuanya diminta pulang ke kem bagi memberi tempat duduk kepada tentera AS menaiki kereta perisai tersebut.

“Ramai kalangan anggota ATM yang merayu hendak turut serta tetapi disebabkan arahan dan tiada tempat dalam kereta perisai itu, mereka hampa.

“Disebabkan itu juga, hanya tiga hingga empat anggota ATM sahaja berada dalam setiap kereta perisai bersama enam hingga tujuh anggota AS,” kata Mohd. Halim.

Pergerakan konvoi menyelamat itu didahului dua kereta kebal tentera Pakistan, diikuti Kompeni B ATM dengan 16 buah APC Condor dan bahagian belakang disertai oleh Kompeni A tentera AS bersama trak-trak. Konvoi pertama itu pula diikuti konvoi kedua yang didahului Kompeni A ATM bersama 16 buah APC Condor dan ini diikuti pula tentera AS bersama trak-trak di belakangnya.

Bagaimanapun, dua kereta kebal Pakistan itu hanya mengiringi konvoi-konvoi itu hingga ke satu check point sahaja, iaitu di luar killing zone. Difahamkan kereta-kereta kebal itu tidak memasuki ‘killing zone’ atas alasan tidak mempunyai kelengkapan night vision.




Walaupun serba kekurangan dan hanya menggunakan kereta perisai APC Condor yang kurang ketahanannya berbanding kereta kebal, namun anggota ATM meneruskan juga operasi menyelamat tersebut.

Kereta perisai ATM menggunakan mesingan 7.62mm berbanding kereta kebal tersebut yang mempunyai persenjataan lebih besar iaitu 12.7mm.

“Saya berada dalam salah sebuah kereta perisai Kompeni B ATM - konvoi pertama dan kami kemudian meneruskan gerakan memasuki killing zone.

“Sebaik sahaja hendak memasuki killing zone, kami digempur bertubi-tubi di kiri dan kanan jalan raya termasuk daripada senjata mesingan, mortar dan sebagainya. Kami digempur termasuk dari sebuah bangunan, Hotel Olimpic.

Menurut Mohd. Halim, mereka digempur dengan hebat kira-kira tiga jam.

“Dalam keadaan gelap-gelita itu, kami turut membalas tembakan,” katanya.

“Walaupun tidak pernah bertempur, tetapi saya tak tahu bagaimana tiba-tiba semangat sanggup berjuang terpahat pada diri setiap anggota.

“Begitu juga dengan anggota-anggota yang begitu berani mengendalikan mesingan di bahagian belakang APC Condor kerana sanggup keluar mempamerkan diri mereka kepada pihak militia,” katanya.



Menurut Mohd. Halim dari persimpangan berhampiran Hotel Olimpic itu pasukannya terpaksa bergerak kira-kira satu kilometer sebelum dapat tiba ke sebuah lokasi di mana sekumpulan tentera AS sedang berlindung setelah terperangkap sejak siang hari.

“Apabila tiba di lokasi kedudukan tentera AS, kita dapat tahu 18 tentera AS telah terbunuh manakala 73 yang lain cedera.

“Mereka yang cedera dan mayat-mayat itu dibawa menaiki APC Condor ATM. Hanya kira-kira pukul 7 pagi barulah kami dapat bergerak pulang ke pangkalan,” katanya.

Sementara itu, tanpa Mohd. Halim sedar, daripada 16 kereta perisai dalam kompeninya itu, dua kereta perisai berada paling belakang sekali telah tersasar ke laluan sebelah kiri ketika berada di persimpangan berhampiran Hotel Olimpic.




Persimpangan ke sebelah kiri itu menuju ke lokasi kedua bagi menyelamat di mana terdapat sekumpulan tentera AS yang terperangkap.

Seorang anggota ATM yang turut melalui pengalaman bertempur semasa di kawasan Pasar Bakara, Mejar Muhammad Juraimy Aripin memberitahu, pasukannya ditugaskan ke lokasi kedua bagi menyelamat sekumpulan tentera AS.

Beliau yang ketika itu berpangkat leftenan muda dan tidak sampai setahun menyertai ATM berkata, beliau dan rakan-rakan telah diarah oleh Mejar Aziz Abdul Latif ke lokasi tersebut.

“Kami diserang bertubi-tubi. Seperti kereta perisai dari Kompeni B, kereta perisai kami juga hanya dinaiki oleh tiga hingga empat anggota ATM manakala tentera AS yang sebelum itu ada bersama telah turun disebabkan prosedur menetapkan apabila diserang mereka perlu mencari perlindungan di kawasan selamat,” katanya.

Sebelum itu, kata Juraimy pada masa operasi menyelamat tersebut, hanya tiga daripada empat sahaja kereta perisai yang ada dapat bergerak ke hadapan.

Ini disebabkan salah sebuah kereta perisai berkenaan telah digempur menyebabkan pemandunya tidak dapat melihat apabila alat smoke launcher ditembak musuh dan asap alat itu telah terkena pada mata pemandu kereta perisai.

“Walaupun hanya tiga kereta perisai tetapi kami tetap bergerak ke hadapan untuk operasi menyelamat seperti diarahkan,” katanya.


Apabila tiba di lokasi kedudukan tentera AS yang dikepung, beberapa tentera AS terus berlari mendapatkan dan berlindung dalam kereta perisai ATM berkenaan.

“Saya tak tahu berapa ramai tentera AS menaiki kereta perisai kami tetapi keadaan ketika itu macam sardin. Mereka (tentera AS) didapati lesu dan keletihan. Yang pasti, jumlah anggota tentera AS dalam setiap kereta perisai itu melebih 10 orang.

“Sebaik sahaja hendak berpatah balik, kami sekali lagi diarah bergerak ke depan semula setelah mendapat maklumat terdapat dua kereta perisai dari Kompeni B ATM yang tersasar dari laluan asal dan kini berada di hadapan sekali serta telah digempur dengan hebat.

“Memang ketika itu tiada apa yang dapat difikirkan. Demi rakan dan setia kawan dalam ATM, perasaan takut ketika itu sudah hilang. Yang ada cuma semangat untuk terus bertempur dan berjuang bermati-matian di samping dapat menyelamatkan rakan-rakan setugas.

“Begitu juga rakan dalam setiap kereta perisai lain yang sanggup keluar sebahagian badan mereka semata-mata untuk mengendalikan mesingan yang berada di bahagian belakang APC Condor,” katanya.

Operasi oleh konvoi Kompeni A itu telah berjaya menyelamatkan anggota ATM termasuk Prebet Rizal Ismail yang berada dalam konvoi di bahagian hadapan sekali.

Namun, seorang rakan setugas, Koperal Mat Aznan Awang telah terkorban setelah kereta perisai dinaiki dan berada di bahagian hadapan telah ditembak dengan senjata antikereta kebal.

Allahyarham Koperal Mat Aznan sebelum berangkat ke Somalia

Kata Juraimy, mereka akhirnya dapat keluar dari killing zone itu kira-kira pukul 6 pagi. Bagi Mohd. Halim dan Juraimy, pengalaman bertempur dan menyelamatkan tentera AS yang terperangkap di dua lokasi di Pasar Bakara merupakan satu pengalaman yang sukar dicari ganti.

Kedua-dua anggota ini yang dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1994 menganggap pengorbanan ATM di Somalia amat besar dan tidak ternilai.

Kisah benar keberanian anggota ATM di Somalia ini merupakan catatan sejarah yang tidak boleh dinafikan walaupun tiada filem seumpamanya dapat memberi gambaran seperti yang dihasilkan melalui filem Black Hawk Down.

Bagi anggota-anggota ATM ini, sejarah tetap sejarah walaupun mereka ini tidak disanjungi melalui layar perak.
read more...

Rabu, 23 Mac 2011

AS terus desak pengunduran Gaddafi


Seorang lelaki memerhatikan senjata milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang musnah selepas dibedil tentera Bersekutu di sepanjang jalan antara Benghazi dan Ajdabiyah, kelmarin. - Reuters


SANTIAGO 22 Mac - Amerika Syarikat (AS) memberi mesej bercanggah mengenai objektifnya di Libya, apabila Presiden Barack Obama berkata Muammar Gaddafi mesti berundur, tetapi berikrar tentera AS akan tetap mematuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbatas.

"Tindakan ketenteraan kita adalah untuk menyokong mandat antarabangsa daripada Majlis Keselamatan PBB yang khusus tertumpu kepada ancaman kemanusiaan yang ditimbulkan oleh Kolonel Gaddafi terhadap rakyatnya," kata Obama pada sidang media di ibu negara Chile ini semalam.

Katanya, serangan udara dan peluru berpandu yang dilancarkan pada hujung minggu lalu adalah untuk menyokong Resolusi 1973 Majlis Keselamatan yang khusus memperkatakan usaha kemanusiaan dan Washington akan memastikan tenteranya berpegang pada mandat itu.

Obama bagaimanapun menegaskan, menjadi 'dasar AS bahawa Gaddafi mesti berundur' dan beliau menuduh pemimpin veteran yang memerintah Libya selama lebih empat dekad itu membunuh penduduk awam dalam usahanya untuk mematahkan pemberontakan.

Pentadbiran AS menghadapi tekanan kerana tidak menjelaskan matlamat perangnya di Libya, meskipun Obama selaku panglima angkatan bersenjata AS memberi jaminan tiada askar AS akan dihantar ke Libya.

Pemerhati berasa bimbang kesudahan campur tangan tentera Barat itu tidak dinyatakan dengan jelas dan tentera AS yang sudah pun terbeban dengan kempen perang di Iraq dan Afghanistan, tidak memiliki keupayaan untuk menangani satu lagi konflik berlarutan.

Komander AS yang mengetuai operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, fokus tentera bersekutu adalah untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi penduduk awam, dan Gaddafi tidak menjadi sasaran dan tidak juga diketahui di mana beliau berada.

"Kami tidak mempunyai misi untuk menyokong tentera pemberontak sekiranya mereka melancarkan operasi serangan," kata Ham di Pentagon. - AFP

read more...

Serangan di Libya diperhebat


Penduduk Libya berkumpul untuk melihat bangkai pesawat F-15 milik Amerika Syarikat (AS) yang terhempas selepas mengalami kegagalan mekanikal di Ghot Sultan, tenggara Benghazi, semalam. Ketika kejadian pesawat itu dalam misi menyerang pertahanan udara pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. - AFP


ZWITINA, Libya 22 Mac - Tentera Bersekutu membedil Libya untuk tiga malam berturut-turut malam tadi, dengan menyasarkan sistem pertahanan udara dan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi serta kompleks kediamannya di Tripoli.

Serangan sejak Sabtu lalu itu berjaya menyekat kemaraan askar Gaddafi dan mengembalikan sedikit momentum kepada pemberontak yang berada di ambang kekalahan pada minggu lepas.

Namun unit-unit tentera pemberontak yang tidak tersusun belum memanfaatkan kempen bedilan kuasa Barat itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik di negara ini boleh membawa kepada kebuntuan berlarutan.

AS menolak tindakan khusus untuk menggulingkan Gaddafi, meskipun Perancis semalam berkata, Paris berharap kerajaan Libya akan runtuh dari dalam.

Dalam pada itu, komander tentera AS dalam operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, tentera bersekutu mungkin mengurangkan serangannya.

"Saya merasakan kita mungkin melihat kekerapan serangan berkurangan kecuali berlaku sesuatu yang luar biasa atau di luar jangkaan," kata Ham.

Presiden AS, Barack Obama berkata, Washington akan menyerahkan kuasa pemerintahan ke atas operasi Libya dalam masa beberapa hari lagi.

Beliau tidak menyatakan negara atau pertubuhan mana yang akan mengambil alih kuasa itu, tetapi Britain dan Perancis telah memainkan peranan utama dalam menuntut campur tangan ketenteraan di Libya.

Serangan peluru berpandu dan pengeboman itu cukup meluas sehingga memusnahkan sebahagian besar sistem pertahanan udara Libya.

Sementara itu, sebuah jet pejuang F-15 milik AS terhempas hari ini selepas mengalami kegagalan mekanikal di tenggara Benghazi, bagaimanapun juruterbangnya berjaya keluar dari pesawat sebelum ia terhempas. - AP/AFP

read more...

Pemberontak tidak mahu negara Islam

TERNYATA Amerika Syarikat (AS) bertindak 'lebih sudu daripada kuah'. Mereka mahu membunuh Muammar Gaddafi. Sebaliknya, apa yang dimahukan pemberontak ialah 'menghalau Muammar Gaddafi' atau dengan kata lain mengguling beliau, bukan membunuhnya.

Namun serangan yang dilakukan Tentera Bersekutu ternyata berhasrat membunuh Gaddafi. Ternyata dendam kesumat Barat terhadap Gaddafi masih kuat dan kegagalan lampau AS untuk membunuh Gaddafi dan sekutunya semakin menyemarakkan kemarahan mereka terhadap Gaddafi.

Penulis berpengalaman ke Libya, khususnya Tripoli beberapa kali ketika Libya dikenakan sekatan sejak 1991 oleh AS dan sekutunya.

Ternyata rakyat Libya berdiri teguh di belakang Gaddafi kerana serangan berkenaan. Malah perasaan anti-AS kerana serangan yang menyebabkan kematian anak Gaddafi sukar dilupakan rakyat Libya.

Dengan serangan terbaru ini, Gaddafi mungkin sekali lagi akan mendapat simpati daripada rakyatnya termasuk pihak yang sebelum ini mahu beliau digulingkan. Kekejaman Barat dan niat membunuh Gaddafi itu akan menjadikan sokongan kepada beliau berkekalan, selain hasrat menggulingkan beliau mungkin tidak akan tercapai.

Persoalan asas ialah kenapa mahu menggulingkan beliau? Bagi yang tidak menjejak kaki ke Libya beberapa kali dan mendekati Libya dengan dekat, mereka tidak mengetahui dengan jelas apa yang dilakukan Gaddafi melalui 'Buku Hijau'nya.

Pembangunan Libya melalui pertanian, perumahan dan pendidikan begitu menyerlah, walaupun hakikatnya ada tuduhan Gaddafi menggunakan kekayaan untuk kepentingan keluarganya.

Pembinaan 'Sungai Buatan Manusia' di tengah padang pasir untuk pertanian umpamanya adalah antara projek besar Gaddafi untuk membolehkan Libya mengeksport sayur dan buah-buahan ke Mesir dan Tunisia, selain negara-negara lain.

Penyatuan Libya sekian lama di bawah Gaddafi dan hasil minyak dan gas yang ada di perut bumi dan lautan Libya turut dimanfaatkan oleh Eropah khususnya Itali, termasuk Malaysia sendiri.

Amat nyata, apa yang dimahukan oleh pemberontak Libya untuk mengguling dan melihat beliau ke muka pengadilan tidak akan tercapai jika beliau mati akibat serangan Tentera Bersekutu.

Zeidan, wakil Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (LTNC) berkata serangan udara yang dilakukan kuasa sekutu - Perancis, Britain dan Amerika Syarikat memang membantu pemberontak.

Namun penentang Gaddafi mahukan senjata yang lebih canggih dan banyak untuk menentang askar yang setia kepada pemimpin Libya itu. Hakikatnya, pemberontak mahukan 'jalan keluar yang aman' untuk Gaddafi yang pemerintahan autokratik selama 42 tahun itu dicemari dengan pertempuran berdarah antara askar yang setia kepadanya dengan pemberontak sejak beberapa minggu lalu.

Ziedan menegaskan: "Kamu lihat, kami memang mampu untuk menyasarkan beliau (Gaddafi) dan jika perlu mahukan beliau hidup-hidup untuk membawanya ke muka pengadilan sama ada mahkamah antarabangsa atau Libya. Kami tidak mahu membunuh sesiapa termasuk Gaddafi sendiri".

Pemimpin Barat sudah menyatakan serangan peluru berpandu dari udara dan laut pada Sabtu lalu bertujuan menghalang askar Gadaffi daripada mencederakan orang awam melalui ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selain melemahkan kekuatan bala tentera udara Gaddafi.

Bagaimanapun, agak pelik apabila Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi Tentera Bersekutu cuba membunuh Gaddafi dalam serangan ke atas Libya. Malah menurutnya, gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Gates menyifatkan campur tangan di Libya itu disokong oleh 'pakatan yang amat berbeza-beza' dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan. Malah, lebih pelik lagi apabila beliau memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.

Gates mengakui masalah politik di Libya perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. Beliau berkata: "Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam."

Bagi pemberontak, mereka tidak mahu tentera antarabangsa asing menakluki Libya dan seperti kata Zeidan: "Kami mampu untuk berdepan dan menguruskan askar Gaddafi" selagi mereka berdepan dengan pertempuran biasa.

Malah, jika pun pertempuran berterusan, pemberontak mengatakan mereka mampu untuk mempertahankan diri, selain berharap ketetapan Majlis Keselamatan PBB dapat membantu mereka mengadakan gencatan senjata. "Kami akan menghormatinya dan jika askar Gaddafi cuba menembak kami, terpaksalah kami mempertahankan diri".

Menurut pemberontak, "tidak mungkin kami akan 'memeluk dan mencium' askar Gaddafi, jika mereka mula menembak kami".

Kerana itu pemberontak mahu Tentera Bersekutu menghentikan tindakan serangan itu segera supaya mereka boleh ke jalan raya semula untuk menuntut hak mereka secara aman iaitu bagi menukar kerajaan atau pemerintah di Libya.

Awal pagi Isnin lalu, Henri Guaino, penasihat tertinggi kepada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata campur tangan tentera asing dijangka akan 'berakhir' walaupun mandat PBB untuk melindungi rakyat awam Libya belum tercapai 'sepenuhnya'.

Perancis adalah negara pertama memberikan pengiktirafan diplomatik kepada pembangkang Libya dan Sarkozy beria-ia menyokong zon larangan terbang yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB. Menghalau Gaddafi adalah matlamat utama Perancis dan pemberontak.

Bagi Ziedan dan pemberontak "Gaddafi perlu digulingkan. Dia wajar dihalau secepat mungkin. Kami mahu tubuh kerajaan atau negara baru berasaskan demokrasi...,kami tidak mahu kerajaan Islam".

read more...

Tidak wajar bincang rahsia ATM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Mac - Keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak wajar dibincang dan dijadikan polemik meskipun di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan soal pertahanan serta keselamatan negara.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak sama ada penyokong kerajaan mahupun pembangkang supaya sama-sama bertanggungjawab mempertahankan kerahsiaan negara dan bukannya melemparkan fitnah seperti dilakukan oleh Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

Beliau berkata, tiada jaminan rahsia ketenteraan negara ini tidak boleh dijual kepada negara asing sekiranya ia diperbincangkan secara terbuka atau melalui satu jawatankuasa pilihan khas seperti yang dicadangkan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh).

''Inilah pendirian yang sepatutnya ada pada semua Ahli Parlimen, tidak kira daripada pihak pembangkang atau kerajaan. Kerahsiaan negara harus dipertahankan sekiranya kita setia pada negara. Kita boleh berbeza pendapat tapi dalam soal keupayaan dan kesiapsiagaan jangan dibincangkan.

''Walaupun kita mempunyai imuniti dan mempunyai kekebalan dalam Dewan yang mulia ini, isu yang melibatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM tidak boleh dikompromi kerana ia berkaitan mengenai tahap pertahanan negara," katanya ketika menggulungkan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Tony Pua menuduh Kementerian Pertahanan membeli enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang 870 peratus lebih mahal daripada harga asal dan ekoran itu Wakil Rakyat DAP itu dibidas oleh pelbagai pihak.

Ahmad Zahid juga berkata, pihak kementerian juga tidak teragak-agak membawa Tony Pua ke mahkamah ekoran fitnah yang dilemparkan olehnya terhadap ATM berhubung pembelian LCS.
Beliau turut mempersoalkan kewibawaan Tony Pua yang sehingga hari ini gagal mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tuduhan itu
Sementara itu menjawab lebih lanjut terhadap cadangan Teresa, Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak memerlukan sebuah jawatankuasa khas pilihan untuk membincangkan perolehan pihak ATM seperti yang dijalankan di negara luar.

''Kita ada beberapa badan yang telah dibentuk iaitu daripada pihak Perbendaharaan sehingga ke peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU). Kita juga ada jawatankuasa di peringkat kementerian dan di peringkat penilai," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sejak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memulakan latihan 2004 sehingga Disember 2010 membabitkan 560,000 pelatih, hanya 27 kematian direkodkan.

''Daripada 27 kematian pelatih, 15 pelatih meninggal dunia semasa latihan, sembilan meninggal dunia semasa cuti dan tiga selepas tamat latihan. Oleh itu tidak adil Jabatan Latihan Khidmat Negara dituduh tidak mengambil berat soal kesihatan pelatih," katanya.
read more...

Kuala Lumpur 'diserang' Tentera Darat


SEORANG pengunjung, Nur Ezzah Yahuda, 15, mencuba penembak pesawat udara Misile FN-6 sambil diterangkan oleh Koperal Mazlan Manan daripada Rejimen Askar Melayu Diraja Ke-5 (RAMD) pada Hari Terbuka Tentera Darat di Dataran Merdeka.


IBU kota Kuala Lumpur baru-baru ini bertukar menjadi 'medan perang' apabila bandar metropolitan itu 'diserang bertubi-tubi' oleh kereta kebal, kereta perisai, pelancar roket berganda ASTROSS, helikopter peninjau (LOH) dan pelbagai aset tempur Tentera Darat.

Keadaan itu mengejutkan ramai warga kota kerana selama ini, mereka begitu asing dengan deruan helikopter yang terbang rendah, 'serbuan' puluhan kereta kebal PT-91M selain bingit bunyi letupan dan tembakan daripada Unit Anti Keganasan, Grup Gerak Khas (GGK).

'Serbuan' tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi hanya berakhir tiga jam kemudian apabila GGK berjaya 'mematahkan' tindakan pihak pengganas menawan sekumpulan rakyat Malaysia di dalam sebuah bas bagi tujuan 'mengugut' kerajaan yang dipilih secara sah.

GGK yang dibantu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dengan menggunakan helikopter Agusta A-109 LOH hanya mengambil masa tidak sampai dua minit bagi membebaskan kesemua tebusan dan pada masa yang sama, menembak mati kesemua penyangak yang cuba menggugat keamanan negara.

Drama mencemaskan itu merupakan sebahagian daripada demonstrasi kecekapan, ketangkasan serta kesiapsiagaan Tentera Darat sebagai cabang utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi sebarang kemungkinan peperangan pada masa hadapan.

Demonstrasi yang julung-julung kalinya memaparkan kesemua aset tempur Tentera Darat itu dilakukan sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-78 di Dataran Merdeka baru-baru ini bagi meyakinkan rakyat bahawa keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Hakikat tentang keupayaan unit bersenjata negara itu diakui sendiri oleh 30,000 rakyat Malaysia yang memenuhi Dataran Merdeka sejak awal pagi, sebaik sahaja mereka melihat dengan sendiri kesemua aset tempur Tentera Darat yang selama ini diklasifikasikan sebagai sulit.

Lebih membanggakan, kemampuan Tentera Darat turut dikagumi oleh puluhan Atase Pertahanan negara asing yang dijemput sebagai tetamu VIP apabila mereka secara serentak berdiri bagi memberi tepukan sebaik sahaja GGK memperlihatkan aksinya.

Acara itu dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zain.

Menurut Ahmad Zahid, kesemua demonstrasi yang pertontonkan sama ada yang bersifat statik mahu pun tempur adalah bertujuan merakyatkan Tentera Darat iaitu mendekatkan perkhidmatan tersebut dengan masyarakat dan bukan bertujuan menakutkan rakyat.

"Aset yang dipertontonkan, digunakan Tentera Darat dalam apa juga keadaan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Saya harap rakyat jangan salah tafsir sambutan hari terbuka yang kali pertama diadakan ini.

"Tujuannya hanya untuk memperlihatkan semua aset Tentera Darat kepada orang ramai dan ia satu petanda tentera akan terus mempertahankan negara dalam apa juga keadaan," katanya.



Timbalan Panglima TD, Panglima TD dan Panglima Medan TD


PTD bermesra dengan pengunjung


10 Briged Para Bersedia untuk melakukan tarian perang


Perarakan Masuk Perbarisan yang dimulai oleh Pancaragam TD


Perarakan Bendera


Anggota Infantri TD


Perarakan Anggota daripada RGK


Perarakan Anggota daripada 10 Briged PARA


Perarakan Anggota daripada Pranita TD


Perbarisan Anggota TD yang berkhidmat dengan UN


Perbarisan Anjing Perang TD


Kenderaan Istiadat Unit Berkuda Kor Armor Diraja


Unit Berkuda Istiadat Kor Armor Diraja


Kenderaan Kor Polis Tentera Diraja


Motosikal Tempur RGK


Kenderaan SOV RGK


Tempat Masak Medan


Tandas dan Shower Medan


KOD Dobi Medan

RAD = Rejimen Artileri Diraja @ Royal Artillery Regiment

Oto Melara Howitzer 105mm


Denel G5 Howitzer 155mm 45 Caliber


Avibrás ASTROS II (Artillery SaTuration ROcket System) MRLS


Djigit SA-18 Igla missile launcher


STRIDE 155mm Taming Sari Peluru Pintar


Targeting pod untuk Taming Sari

Kenderaan Infantri dan Kor Armor


VAMTAC 4x4 with HMG 12.7mm


FNSS Adnan ACV 300 with 25 mm Bustmaster


MIFV with 12.7mm


Alvis Scorpion 90


PT-91M "Pendekar"




read more...