Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Ahad, 5 September 2010

Sejarah hitam bentuk Malaysia



KETUA Pemuda Umno, Tun Sardon Jubir (baju batik) turut menyoal siasat tentera Indonesia yang ditahan di Labis, Johor.

Sukarno tentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu hingga cetus konfrontasi

"SEMOGA konfrontasi tidak akan berulang lagi," demikian harapan Pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Talib Samat tatkala mengenangkan keadaan kucar-kacir lagi meresahkan ketika berlakunya era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia dari 1962 hingga 1966.

Beliau yang melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat ketika era konfrontasi khususnya di Felda Tenang di Labis, Segamat, Johor, pada tahun lalu, sayu ketika mendengar sendiri pengakuan penduduk betapa susah dan seksanya kehidupan pada zaman itu.

"Perintah berkurung dilaksanakan malah penduduk tidak berani keluar merayau ke mana-mana kerana khuatir ditembak askar Indonesia yang menceroboh," katanya yang merekodkan semua kajian itu dalam novel sejarahnya, 'Tenang Dalam Gelora'.

Lebih memilukan, kejadian konfrontasi yang membayangi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 itu turut mencetuskan kekacauan serta pertempuran sehingga membabitkan kehilangan ramai nyawa termasuk di kalangan tentera Malaysia.

"Kemuncak konfrontasi Malaysia dan Indonesia bermula kira-kira jam 10 pagi pada 20 Januari 1963 apabila Menteri Luar Indonesia, Dr Subandrio mengisytiharkan menerusi media negara itu mengenai pendirian mereka untuk bermusuhan dengan negara kita," katanya sebelum memulakan kisah konfrontasi yang kini sudah lebih 40 tahun berlalu.




TENTERA Indonesia ditawan selepas menceroboh Malaysia. POSTER dihasilkan sebagai perang psikologi.

Dengan berslogankan 'Ganyang Malaysia', Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno menentang keras idea penggabungan Sarawak, Sabah dan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia pada 1961 sekali gus menjadi punca konfrontasi.

Sukarno yang dipengaruhi anasir hasutan Parti Komunis Indonesia (PKI) juga lantang menyuarakan bahawa Malaysia hanyalah boneka British dan penggabungan itu akan menambahkan kekuatan British di rantau Nusantara seterusnya dikhuatiri mengancam kemerdekaan Indonesia.

Ketika British berhasrat menggabungkan Sabah ke dalam Malaysia, polemik semakin meruncing apabila Filipina turut menuntut hak penguasaan ke atas Sabah dengan alasan negeri itu pernah memiliki hubungan sejarah dengan Filipina melalui Kepulauan Sulu, suatu ketika dulu.

Hasrat penggabungan itu bukanlah semudah cadangan di atas kertas, tentangan demi tentangan diberikan tidak saja oleh Indonesia dan Filipina tetapi juga di Brunei apabila Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) memberontak pada 8 Disember 1962.

Mereka cuba menangkap Sultan Brunei, menguasai ladang minyak dan penduduk Eropah lain di negara itu. Sultan bagaimanapun berjaya lolos dan meminta pertolongan British.

Pasukan British termasuk askar Gurkha dari Singapura kemudian tiba untuk membantu dan pada 17 April 1963, pemimpin pemberontakan ditangkap dan pemberontakan di Brunei berakhir.

Perang Indonesia terhadap Malaysia secara rasminya bermula selepas pengisytiharan 'konfrontasi' oleh Dr Subandrio pada 20 Januari 1963. Pada 12 April, tentera sukarelawan Indonesia mulai menceroboh Sarawak dan Sabah untuk menyebar propaganda, mencetuskan huru-hara dan mensabotaj.

Pada 27 Julai, Sukarno dengan lantangnya memekik supaya Indonesia 'mengganyang Malaysia' menyebabkan pencerobohan terus berlaku dan pertempuran bersenjata mula menggegarkan bumi Malaysia. Tembakan saling berbalas dan darah tumpah ke bumi.

Ketika ketegangan masih memuncak, Malaysia secara rasminya dibentuk pada 16 September 1963. Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu sekali gus membentuk Malaysia tetapi Brunei menolak penggabungan itu manakala Singapura bertindak keluar dari gagasan negara itu tidak lama kemudian.

Meskipun Filipina tidak turut serta dalam peperangan, mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketegangan berterusan antara kedua-dua belah pihak yang dipisahkan Selat Melaka itu. Bangunan Kedutaan Britain di Jakarta dibakar penduduk yang merusuh. Ratusan perusuh menyerbu kedutaan Singapura di Jakarta selain rumah diplomat Singapura.

Bagaimanapun, berbanding Indonesia, Malaysia lebih mengambil sikap defensif apabila tidak menyerang balas sebaliknya hanya menahan dan mencegah kemasukan tentera Indonesia daripada terus menceroboh negara ini. Usaha tentera Malaysia itu turut dibantu tentera British dan Australia.

Di sepanjang perbatasan Kalimantan, peperangan berterusan dengan askar Indonesia terus cuba menduduki Sarawak dan Sabah tetapi dibalas dengan tembakan tanpa henti oleh tentera Malaysia.

Pada 1964, Indonesia kembali mencatur strategi. Sebilangan pasukan askar elit Indonesia diseludup masuk untuk menyerang wilayah tertentu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, 16 askar perisik Indonesia itu ditangkap di Johor pada Ogos tahun itu. Pencerobohan dan penyusupan masuk ke Semenanjung Malaysia menerusi jalan laut menyebabkan peperangan turut berlaku di kawasan perairan Selat Melaka.

Pada 17 Ogos, pasukan terjun payung Indonesia mendarat di pantai Johor dan menyusup ke dalam hutan bagi membentuk pasukan gerila. Pada 9 September 1964, sekali lagi pasukan terjun payung tentera negara asing itu didaratkan di Labis, Johor.

Bagaimanapun, kebanyakan tentera Indonesia yang mendarat di perbatasan Johor-Melaka berjaya ditangkap pasukan tentera Malaysia atau terbunuh.

'Pertempuran politik' turut tercetus apabila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai protes, Sukarno mengumumkan pengeluaran Indonesia dari PBB dan cuba membentuk Persidangan Kekuatan Baru (Conference of New Emerging Forces) atau Conefo sebagai alternatif.

Selepas peperangan berterusan itu mengorbankan ramai nyawa, konfrontasi Malaysia-Indonesia berakhir selepas pemerintahan Sukarno digantikan dengan presiden baru iaitu Suharto menjelang akhir 1965.

Pada 28 Mei 1966, di sebuah persidangan di Bangkok, Thailand; Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia mengumumkan penyelesaian konflik. Kekerasan berakhir pada Jun dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos dan dirasmikan dua hari kemudian.

Serah diri selepas bersembunyi 21 hari

TIGA pesawat Hercules C130 berlepas meninggalkan Jakarta pada 9 September 1964 menuju ke daerah Labis, Segamat, Johor bersama puluhan tentera elit berpayung terjun Indonesia.

Bagaimanapun, tanpa diduga, dalam perjalanan itu, sebuah daripada tiga pesawat berkenaan menghadapi masalah dan akhirnya terjunam ke dalam perairan Selat Melaka sehingga mengorbankan nyawa anggota tentera yang bukan sedikit jumlahnya.

Dua pesawat lain bagaimanapun meneruskan penerbangan mereka bagi menjayakan operasi sulit itu. Pesawat itu mula memasuki kawasan Labis ketika malam mula menjelma. Hujan lebat pada petang menyebabkan kabus menyelubungi ruang udara Labis.

Sebaik sampai di koordinat yang diyakini selamat, 96 pasukan tentera elit Indonesia itu membuka pintu pesawat dan terjun melayang di udara. Sebaik memastikan jarak ketinggian yang sesuai, mereka menarik alat kawalan dan payung terjun di belakang terbuka. Mereka melayang dengan selamat.

Itulah sebahagian daripada episod drama konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari 1962 hingga 1966 - 96 tentera elit Indonesia digugurkan pesawat dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor bagi memulakan serangan gerila.

Itulah sebahagian daripada episod drama konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari 1962 hingga 1966 - 96 tentera elit Indonesia digugurkan pesawat dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor bagi memulakan serangan gerila.

Penulis novel sejarah, Dr Talib Samat, berkata berdasarkan kajiannya, operasi rahsia itu turut mendapat bantuan 16 rakyat Malaysia berketurunan Cina termasuk dari Parti Komunis Malaya (PKM) dan dua pelajar Melayu yang membelot untuk menjadi penunjuk arah kepada pasukan berkenaan ketika mendarat di Johor.

"Sebenarnya ada sebab tertentu mengapa Indonesia memilih untuk menggugurkan tentera payung terjunnya di kawasan Segamat dan Batu Pahat. Ini disebabkan ramai penduduk di kawasan itu adalah berketurunan Jawa yang memiliki dialek percakapan dan budaya menyerupai tentera Indonesia.

"Dengan persamaan budaya dan dialek percakapan itu, mereka berharap dapat mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyamar sebagai penduduk tempatan ketika melakukan operasi dan serangan berkenaan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, sebaik berita pendaratan pasukan askar berpayung terjun Indonesia itu tersebar, penduduk di kawasan itu berada dalam ketakutan dan perintah berkurung dilaksanakan. Kawalan dan pemantauan daripada tentera Malaysia selain pasukan sukarela juga diperketatkan.

"Penduduk hidup dalam ketakutan, mereka tidak berani keluar untuk menoreh getah kerana khuatir ditangkap atau ditembak tentera Indonesia," katanya.

Dr Talib bagaimanapun berkata, pasukan tentera Indonesia itu sebenarnya sudah ditipu Sukarno dan pemerintah Indonesia kononnya mereka perlu menyerang Malaysia bagi menghalau British yang sudah lama menganiaya penduduk Melayu di Malaysia sehingga menyebabkan saudara serumpun mereka itu hidup melarat dan miskin.

"Akan tetapi, sebaik mendarat di Johor, mereka melihat yang penduduk hidup aman dan senang menyebabkan mereka mula merasakan yang maklumat diberikan pemerintah Indonesia sebelum itu tidak tepat," katanya.

Menyoroti kejadian pencerobohan 96 tentera Indonesia di Felda Tenang, Dr Talib berkata, sebaik mendarat, kumpulan askar berkenaan mula hilang arah dan hampir kebuluran di dalam hutan.

"Mereka terpaksa bersembunyi selama 21 hari di dalam hutan dan mencuri tanaman penduduk tempatan kerana kebuluran. Selepas itu, lantaran tidak sanggup lagi kebuluran, mereka akhirnya menyerah diri.

"Ketika itu, terdapat majlis bacaan Yasin dan tahlil diadakan di sebuah rumah di Felda Tenang dan pasukan tentera itu menyerah diri kepada penduduk pada majlis berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya.

FAKTA: Konfrontasi Malaysia-Indonesia

Berlaku apabila Indonesia menentang hasrat penggabungan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.

Pertempuran antara tentera Malaysia dan Indonesia berlaku di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Perak. Antara pertempuran tragik dipercayai berlaku di Kalabakan, Sabah apabila ramai tentera Malaysia ditembak mati ketika sedang bersolat.

Konfrontasi berakhir selepas kira-kira empat tahun apabila Sukarno digantikan oleh Suharto sebagai Presiden Indonesia.
read more...

Kewujudan Malaysia dapat tentangan hebat Indonesia, Filipina

JIKA 31 Ogos diiktiraf Hari Kebangsaan, 16 September pula tarikh penubuhan Malaysia iaitu diwujudkan pada Isnin, 16 September 1963. Bermakna hari khamis minggu depan genap 47 tahun usia Malaysia, negara yang dulunya dikenali Malaya sejak Inggeris menjajah di Tanah Melayu.

Malaysia merangkumi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (kini Semenanjung), Borneo Utara (Sabah) Sarawak dan Singapura dibentuk melalui pungutan suara Suruhanjaya Cobbold yang dihantar Inggeris pada 1962.

Singapura menyertai Malaysia dalam keadaan terdesak berikutan pengaruh komunis menular ke akar umbi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Bagaimanapun pada 1965, Singapura bertindak keluar dari Malaysia.

Kewujudan Malaysia menerima tentangan hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia melancarkan konfrontasi dengan kempen Ganyang Malaysia. Malaysia pernah memutuskan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara itu. Dicatatkan di sini pahit getir sebelum kewujudan Malaysia.

27 Mei 1961 - Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj buat kali pertama mencadangkan dalam satu ucapan kepada rakyat mengenai hasrat menubuhkan Malaysia. Indonesia, Filipina dan Parti Rakyat Brunei menentang cadangan itu. Kemasukan Brunei dibatalkan Persekutuan Tanah Melayu kerana bimbang menimbulkan pelbagai masalah politik lagi.

20 Januari 1963 - Konfrontasi di antara Malaysia dan Indonesia diisytiharkan Menteri Luar Indonesia, Dr Subandrio. Presiden Sukarno yang kecewa kerana gagal menubuhkan Indonesia Raya melalui gabungan Indonesia dengan Tanah Melayu melancarkan kempen Ganyang Malaysia.

22 Ogos 1963 - Satu langkah membentuk kerajaan sementara bagi tiga negara Singapura, Sabah dan Sarawak ditubuhkan di Jesselton (kini Kota Kinabalu). Pihak yang menyokong penubuhan Malaysia bimbang dengan gangguan Sukarno.

26 Ogos 1963 - Rombongan Bangsa-Bangsa Bersatu memulakan tugas di Sabah tanpa menghiraukan pemerhati Indonesia dan Filipina tiba atau tidak.

30 0gos 1963 - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail menandatangani perisytiharan menentukan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

31 Ogos 1963 - Kerajaan Australia bersetuju pasukan bersenjatanya yang terikat mempertahankan Malaya boleh digunakan melindungi Malaysia.

4 September 1963 - Tunku Abdul Rahman berkata Malaysia pasti diwujudkan pada 16 September tanpa dilengah walaupun Indonesia menentang keras.

4 September 1963 - Indonesia mengirim satu bantahan keras kepada Malaysia terhadap keputusan hendak mengisytiharkan Malaysia pada 16 September.

8 September 1963 - Tunku Abdul Rahman ramalkan malapetaka mungkin berlaku dalam persahabatan antara Malaysia dengan Singapura jika Lee Kuan Yew mengamalkan perbuatannya itu.

11 September 1963 - Presiden Macapagal (Filipina) enggan mengulas berita yang menyatakan Filipina dan Indonesia merancang satu tindakan bersama menentang pembentukan Malaysia pada 16 September.

14 September 1963 - Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant menyatakan ia akan menyelesaikan tugasnya di Borneo menjelang 14 September.

16 September 1963 - Presiden Indonesia, Sukarno berunding dengan Menteri Kanan Kabinetnya dan Ketua-Ketua Angkatan Bersenjata Indonesia untuk menentukan dasar dan masa depan mereka terhadap Malaysia.

16 September 1963 - Setiausaha Komanwel, Duncan Sandys memberi jaminan Britain akan mempertahankan Malaysia jika terjadi serangan pihak luar.

16 September 1963 - Queen Elizabeth mengucapkan tahniah di atas penubuhan negara baru Malaysia.

17 September 1963 - Maharaja Hirohito (Jepun) menghantar perutusan tahniah kepada negara baru Malaysia.

18 September 1963 - Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy menghantar wakil khasnya, Alexis Johnson untuk meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia dan Filipina mengenai sikap mereka tidak mengaku Malaysia.

19 September 1963 - Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mengumumkan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan putus hubungan diplomatik dengan Indonesia dan Filipina. Sebuah majlis Pertahanan dibentuk.

Ogos 1966 - Konfrontasi dilancarkan Indonesia sejak Januari 1963 sebagai bantahan penubuhan Malaysia berakhir sesudah berlangsung hampir tiga tahun.

Mayat tentera Indonesia yang ditembak mati

Sebahagian dari Kem Kalabakan selepas serangan tentera

Mayat tentera Indonesia yang ditembak mati
read more...

Sabtu, 4 September 2010

Media Indonesia palu gendang perang

DENGAN bersongkok hitam, berbaju batik merah terang berjalur ungu, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) kelihatan segak dan tenang ketika menyampaikan pidato menyatakan pendirian Kerajaan Indonesia dalam hubungannya dengan Malaysia.

Dalam ucapan selama 18 minit tanpa ada sekalipun nadanya bertukar tinggi atau melenting, beliau tegas dan yakin menyatakan keakraban hubungan yang terjalin dengan Malaysia – dari sudut politik, ekonomi dan diplomatik – tidak dapat dipisahkan.

Satu persatu rasional di sebalik keputusan yang dibuat pemerintah terhadap isu berbangkit antara Indonesia dan Malaysia diperjelaskan SBY. Tiada langsung perkataan ganyang, perang atau konotasi jahat terbit daripada mulut pemimpin itu, melambangkan kebijaksanaan bekas jeneral berkenaan menghadapi dan menguruskan hubungan luar.

Beliau juga meminta warga Indonesia menjauhi segala tindakan kekerasan dalam menghadapi isu hubungan Indonesia-Malaysia kerana menganggap ia akan mengusutkan lagi keadaan.

“Saya mengerti keprihatinan dan emosi yang saudara (rakyat) rasakan. Apa yang dilakukan pemerintah sekarang juga cermin daripada keprihatinan kita. Saya mengajak untuk menjauhi tindakan berlebihan seperti aksi kekerasan kerana ia hanya akan menambah masalah yang ada.

“Kekerasan akan memacu kekerasan yang lain. Harapan saya agar perkara ini diselesai dengan cepat dan tepat tanpa aksi kekerasan,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung ke seluruh Indonesia.

Mungkin dalam minda pemimpin utama Indonesia itu, rayuan dan gesaannya dapat diterima rakyat, namun apa yang mengejutkan ialah reaksi media cetak dan elektronik negara itu yang keesokannya menyiarkan laporan menyifatkan pidato SBY sebagai tidak tegas, mendatar dan lesu.

Akhbar dan televisyen swasta di Indonesia secara total menyelar kandungan ucapan berkenaan dan melabel pemerintah Indonesia sebagai lemah, mengikut telunjuk Malaysia serta menjatuhkan maruah bangsa dan negara. Sepanjang malam, disiarkan pula laporan dan segmen komentar penganalisis politik, pemimpin rakyat dan pakar hubungan antarabangsa yang juga menjurus ke arah menghentam SBY.

Ada penganalisis lantang menuntut Indonesia tidak lagi berlembut dengan Malaysia, sebaliknya mengambil langkah luar biasa, termasuk melancarkan perang.

Segmen disiarkan kerap mengulang tayang video menggambarkan kekuatan Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan membandingkannya dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala penganalisis melontarkan pendapat penuh unsur emosi dan mendorong supaya Malaysia diajar menghormati Indonesia dengan jalan berperang.

Majalah politik mingguan turut mengambil kesempatan membuat laporan negatif terhadap Malaysia sambil menyelitkan fakta mengelirukan dengan harapan untuk melihat hubungan kedua-dua negara terus keruh tanpa kesudahan.

Antara isu dibangkitkan ialah kenangan kempen Ganyang Malaysia dipelopori Presiden Sukarno pada 1960-an, isu Ambalat, penderaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia dan terbaru, penahanan tiga pegawai perikanan Indonesia.

Segala-gala yang boleh mencetuskan konflik antara kedua-dua negara dijaja dan dieksploitasi sepenuhnya. Pasti tujuannya amat jelas untuk memberi imej jahat kepada Malaysia, manakala Indonesia pula digambarkan sebagai mangsa kejahatan itu sehingga sanggup memalukan pemimpin utama mereka sendiri.

Secara tiba-tiba juga diterbitkan dalam surat khabar kononnya hasil kaji selidik menunjukkan kadar sokongan kepada SBY terus merosot dan kaitannya tidak lain tidak bukan kerana pendirian pemimpin itu yang dituduh lemah dalam menangani isu hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Kandungan pidato SBY turut dijadikan alasan oleh kumpulan tunjuk perasaan untuk mengadakan demonstrasi dan melakukan aksi sweeping rakyat serta segala kepentingan Malaysia di Indonesia.

Kumpulan yang selalunya berjumlah kurang 50 orang itu terus mengapi-apikan sentimen anti-Malaysia, Ganyang Malaysia dan sweeping, tetapi anehnya aksi mereka tidak begitu mendapat sambutan majoriti rakyat Indonesia, khasnya di Jakarta.

Malah, majoriti rakyat Indonesia sendiri mencemuh aksi agresif sedemikian, lantaran rapat umum atau tunjuk perasaan yang didalangi kumpulan terbabit pantas menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dalam tempoh lama, kadang-kadang berlanjutan sehingga tengah malam.

Penulis sempat mendapatkan reaksi pemandu teksi, peniaga di Mangga Dua, pelayan hotel, pengawal keselamatan, polis malah gelandangan yang semuanya percaya Indonesia dan Malaysia saling memerlukan atas dasar serumpun, berkongsi bangsa dan bahasa, malah lebih penting satu iman.

Bagi mereka, kumpulan yang mengadakan tunjuk perasaan adalah orang gila yang tidak tahu mencari kerja bagi menyara kehidupan.

“Ini semua kerja gila pak, hanya menyusahkan orang lain, merosakkan hubungan malah memalukan rakyat Indonesia. Kita negara serumpun... punya satu bahasa, bangsa dan satu iman. Perang hanya kerja gila, yang penting kita perlu meneruskan hidup dengan aman tanpa perang,” kata Jufry, pemandu teksi syarikat Bluebird.

Sejauh mana hubungan akrab ini dapat bertahan, bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin kedua-dua negara menangani konflik yang timbul serta kepintaran mereka dalam berdepan cabaran global yang ada kala dicetuskan pihak ketiga yang sengaja mahu melaga-lagakan dua negara berjiran dan mungkin beroleh keuntungan di sebalik pertelingkahan itu.
read more...

Misi BENDERA tidak hanya Ganyang Malaysia

HUBUNGAN akrab Malaysia dan Indonesia diuji lagi. Kembali kedengaran ayat Ganyang Malaysia dari seberang. Aksi agresif gerakan itu sehingga ke tahap membaling najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, kononnya Malaysia sering menghina kedaulatan Indonesia. Kempen membenci itu dimulakan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) dan dibalas oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menggantung semua hubungan antara belia kedua-dua negara. Koordinator BENDERA, Mustar Bona Ventura Manurung meluahkan pendirian mereka kepada wartawan Edisi Mingguan, Ahmad Naim Tahir.

Boleh saudara jelaskan dasar perjuangan BENDERA sebenarnya, adakah hanya fokus kepada Malaysia atau turut merangkumi hal-hal lain.

Perjuangan kami tidak tertumpu kepada Ganyang Malaysia semata-mata, sebaliknya turut memperjuangkan banyak lagi isu. Kalau di Indonesia, kami mahukan pembaharuan yang mendahulukan kepentingan rakyat, adil kepada masyarakat. Contohnya, isu berkaitan petani, rampasan tanah dan perdagangan. Malah, kami bukan badan aktivis yang baru muncul... sudah lama sebenarnya. Saya sendiri pernah terbabit dalam gerakan reformasi pada 1998. Matlamat utama kami ialah untuk mencapai reformasi total di Indonesia. Dalam konteks isu berbangkit membabitkan hubungan Indonesia-Malaysia juga, sehingga kini kami belum melihat ada sebarang perkembangan baru. Kami tidak melihat wujudnya satu konsep penyelesaian konkrit, semuanya retorik... hanya harapan dan angan-angan.

Berhubung protes dan tunjuk perasaan dilancarkan terhadap Malaysia. Adakah saudara berasakan hanya itu saja caranya untuk mencapai matlamat perjuangan saudara.

Kami ingin mencuba dulu... kita boleh mencuba benda yang baru walaupun pilihan yang kami buat itu tidaklah baru. Kami ingin mencuba gagasan baru itu, jadi jangan diperdebatkan cara itu... lihat saja dulu. Selama ini, apa yang kita lihat setiap kali timbul isu di antara kedua-dua negara ialah Presiden SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) bertemu PM (Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak), kemudian hantar wakil pula untuk hadiri satu lagi pertemuan dan selepas itu akan ada lagi beberapa siri pertemuan lain pula. Tetapi kalau SBY mahu berdialog saja (dengan Malaysia), silakan... mungkin pemerintah masih percaya dan menganggap hanya itu pilihannya. Bagi kami, SBY sedang memperjudikan martabat bangsa dan negara Indonesia dengan ringgit. Memperjudikan martabat atas nama pelaburan, perdagangan, hubungan saling menguntungkan kononnya. Bagi kami, itu sikap oportunis, bukan sikap seorang ketua negara... SBY sebenarnya sedang berbisnes.

Boleh saudara jelaskan mengenai dakwaan bahawa BENDERA diupah atau dibayar pihak tertentu untuk melancarkan rusuhan ini.

Saya ingin membuat penjelasan... apa yang diperkatakan itu tidak benar. Saya melihat ada dua kemungkinan timbulnya dakwaan itu. Pertama ia mungkin dicipta oleh pemerintah Malaysia atau Indonesia dan kedua, ia digembar-gemburkan oleh pihak perisikan kerana cara yang paling berkesan untuk meredakan ketegangan ialah dengan menggunakan wang. Bagi kami, isu diupah ini sudah basi, isu murahan... kenapa? Kerana kami tak mungkin boleh dibeli dengan harga 30,000 rupiah (RM10)... buat malu saja. Kami bergerak kerana ada kesedaran, kerana cintakan bangsa. Walaupun BENDERA belum diisytiharkan secara rasmi, kami sudah mampu mengumpul lebih 10,000 ahli. Berapa juta atau berapa bilion rupiah yang mahu dibayar kepada kami kerana gerakan ini turut disertai orang kebanyakan, bukan ahli BENDERA saja.

Tidakkah BENDERA berasakan ‘perang’ yang dilancarkan terhadap Malaysia boleh menjejaskan rakyat Indonesia yang begitu ramai mencari rezeki di Malaysia.

Kami bergerak, kami memprotes bukan tanpa dasar, bukan tanpa tujuan. Kami sudah pertimbangkan dua juta rakyat Indonesia di Malaysia, semuanya sudah difikirkan. Ini saatnya kami sudahkan momentum yang dimulakan, bahawa ia juga untuk kebaikan dan kepentingan rakyat Indonesia di Malaysia. Jika mahu mencari rezeki, apa kata dicuba dulu sendiri dan tidak bergantung kepada negara lain... itu baru dinamakan negara merdeka, semua boleh membangun. Kita bawa dua juta pekerja itu pulang, kita paksa pemerintah membuka peluang pekerjaan di Indonesia. Masih boleh (wujudkan peluang pekerjaan) kerana Indonesia adalah bumi bertuah, hasil buminya melimpah, apa saja yang dilempar ke bumi akan tumbuh... jadi, kenapa tak percaya kepada diri sendiri. Kalau ada masalah pekerjaan, pemerintah punya kewajipan untuk membuka peluang pekerjaan. Dua juta yang ada di Malaysia itu pulang saja, bekerja di sini kerana di Malaysia pun kerja mereka hanya sebagai buruh kontrak, menjaga kebun, menjadi amah... di Indonesia pun boleh jadi buruh, jaga kebun dan amah.

Beberapa hari lalu, SBY sudah memohon supaya rakyat Indonesia tidak terlalu emosional dalam isu berkaitan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta. Apa pendapat saudara.

Kami akan teruskan (rusuhan)... tak akan berhenti. Kami akan tetap lanjutkan perjuangan kerana dari awal lagi kami sudah maklumkan diplomasi tidak akan selesaikan masalah. Perlukan cara begini (agresif), mahu dicuba apa (cara) lagi. Isu seperti ini sudah berulang kali, sudah bertahun, tetapi belum ada penyelesaian konkrit baik dari sebelah Indonesia atau Malaysia, semua yang diperkatakan hanyalah untuk kepentingan politik... sampai bila ini akan berterusan? Jadi, kami akan meneruskan cara ini... tak akan berubah
read more...

Rakyat kita bukan bangsa mudah melenting tak tentu fasal

MBM disifatkan badan bukan kerajaan (NGO) paling berani apabila menggantung hubungan dengan pertubuhan belia Indonesia? Apakah yang mendorong MBM berbuat demikian?

Sebelum MBM menyatakan pendirian tegas ini, kami sudah menghantar surat kepada pihak Kedutaan Besar Indonesia untuk menyatakan rasa dukacita serta bantahan terhadap peristiwa penghinaan ini. Surat bantahan sama turut dihantar ahli badan gabungan MBM sebanyak 40 pertubuhan di peringkat kebangsaan serta negeri. Maknanya, seluruh rakyat Malaysia sudah menyatakan bantahan serta rasa dukacita terhadap insiden ini. Namun, tindakan kami bersifat diplomatik, mengikut saluran yang betul dan adab serumpun etika perhubungan antara dua negara berdaulat seolah-olah tidak diambil peduli. Keadaan menjadi semakin runcing dan menyakitkan. Tidak cukup Jalur Gemilang dibakar dan dipijak, ia dilumur najis manusia. Sebagai orang Timur, kita amat memahami erti najis yang menjadi simbol penghinaan paling dahsyat. Rasa terhina ini dirasai setiap rakyat Malaysia apatah lagi kita sedang menyambut kemerdekaan ke-53. Apa semua ini? Adakah ini yang dijadikan pegangan lebih 200 juta penduduk negara yang selama ini dikatakan memegang jati diri terpuji, apatah lagi majoritinya adalah umat Islam yang seharusnya memahami pengertian Ramadan; iaitu bulan paling mulia yang seharusnya diisi dengan perbuatan baik dan diharamkan atas orang Islam menumpahkan darah atau melakukan peperangan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dan provokasi agresif ini juga diiringi oleh penyertaan meluas media negara yang membandingkan kekuatan ketenteraan. Ini tidak termasuk laman blog serta media sosial yang menghamburkan penghinaan. Sebagai gelombang ketiga masyarakat, kami mahu semua pihak memahami isu ini bukan boleh dibuat main-main. Justeru itu dalam konteks hubungan dua negara ini, MBM melihat tanggungjawab ini perlu dimainkan kerajaan Indonesia serta dibantu NGO di sana. MBM berharap rakan kepemimpinan di Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) dapat membantu serta mengambil tanggungjawab meredakan keadaan ini.

Bagaimana reaksi rakan belia di sana, termasuk pendirian mereka berhubung kempen anti-Malaysia ini? Apakah mereka berpendirian sama seperti kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA)

Saya menerima beberapa e-mel rakan penggerak belia Indonesia yang menyatakan rasa kesal akan kejadian ini. Namun ia bukanlah suara rasmi yang mampu menzahirkan ketegasan untuk menangani masalah ini. Saya tidak pernah sekali-kali menyatakan bahawa rakan di KNPI bersekongkol dengan kumpulan BENDERA kerana kami cukup mengenali KNPI sebagai rakan NGO yang begitu diplomatik serta prihatin berkaitan masalah bersama. Ini terbukti apabila dalam sesi Dialog MALINDO yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu kami dapat mencapai kata sepakat berkaitan beberapa isu besar yang melingkungi kedua-dua negara. Saya sekali lagi ingin menyatakan bahawa sebenarnya rakan NGO Belia di sana seperti KNPI amat mampu mengubah situasi ini. KNPI dianggotai gabungan NGO hebat seperti Pemuda Muhammadiyah, Persatuan Pemuda Tani, Persatuan Pemuda Masjid malah pertubuhan-pertubuhan belia di setiap wilayah yang membabitkan bilangan ahli yang ramai. Misalnya, Pertubuhan Pemuda Tani saja ada keahlian melebihi 10 juta orang. Mereka ada tenaga amat kuat bagi mempengaruhi kumpulan BENDERA ini.

Setiap kali isu ini tercetus, Malaysia yang menjadi mangsa hanya terpaksa bersabar dengan tindak-tanduk provokasi mereka. Apakah wajar kita harus bersikap berdiam diri dan memerhatikan perkembangan itu berlaku di depan mata?

Inilah ujian kematangan bagi rakyat Malaysia. Saya bersyukur dan menyanjung tinggi akhlak rakyat Malaysia yang begitu tenang menghadapi situasi ini. Tanpa mengira latar belakang dan ideologi, kita sama-sama menyerahkan mandat ini kepada barisan kepemimpinan negara diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menanganinya secara diplomasi. Keadaan lebih buruk jika kerajaan diberi tekanan dan isu ini dijadikan modal pihak tertentu bagi mendapatkan publisiti atau sokongan. Soal hubungan dua hala Malaysia-Indonesia saling memerlukan dan mempunyai sejarah yang amat kuat ini bukan boleh diselesaikan secara mudah. Biarpun yakin dengan kebijaksanaan pemimpin dua negara ini, penyelesaiannya ada di tangan saudara kita di Indonesia. Kita rakyat Malaysia bukan bangsa yang mudah melenting tak tentu fasal walaupun sampai dianggap pengecut oleh segelintir rakyat Indonesia. Kita bukan bangsa pembalas dendam. Malah kalau kita mahu, kita boleh menjadikan isu seorang bayi yang mati di tangan seorang pembantu rumah di Selangor dua hari lalu sebagai bahan untuk membalas tindakan mereka tetapi inilah kehebatan rakyat Malaysia. Kita berpandangan jauh dan tidak mudah dibuai oleh emosi.

Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu dicaci dan Jalur Gemilang dipijak setiap kali mereka berasa tidak puas hati?

Ini hanya mampu dijawab oleh rakyat Indonesia. Sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mempraktikkan istilah yang sering dilaungkan ‘silaturahim atas nama serumpun,’ maka saya menuntut agar ia dizahirkan dengan penuh wibawa. Janganlah Malaysia dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali wujud masalah dalaman di negara itu. Menuding pihak lain memang mudah tetapi ia adalah satu tindakan tidak bijak dan penuh hina. Apatah lagi ia mampu memecah belahkan rakyat dan penghinaan kepada negara lain yang berdaulat. Perlu difahami bahawa peperangan besar dunia termasuk peperangan di antara beberapa negara sejak dulu banyak disebabkan konflik di antara negara tetangga. Ia bermula dengan isu kecil diperbesarkan sehingga menjadi konflik di antara dua negara. Lebih buruk, ia mengundang pembabitan pihak ketiga atas nama mempertahankan kepentingan ekonomi dan keselamatan. Dalam konteks Malaysia-Indonesia saya yakin semua pihak memahaminya betapa kita amat penting untuk kestabilan rantau ASEAN. Malah kita berkongsi ruang maritim yang paling sibuk di dunia memiliki impak ekonomi yang penting iaitu Selat Melaka.

Apakah tindakan diplomasi atau lemah lembut kerajaan Malaysia ini berbaloi dengan penghinaan yang kita terima? Apakah tindakan sewajarnya yang perlu diambil?

Tindakan kerajaan Malaysia adalah berasaskan kebijaksanaan untuk jangka panjang. Tidak ada dalam sejarah negara moden di mana peperangan dan tindakan fizikal atau kekerasan yang membawa manfaat kepada sesuatu negara. Membalas tindakan yang sama oleh kumpulan BENDERA hanya membawa kepada situasi ‘menang jadi arang, kalah jadi abu.’ MBM masih percaya kepada saluran diplomatik dan peruntukan undang-undang antarabangsa. MBM sentiasa membuka pintu rundingan, namun syaratnya hentikan dulu tindakan penghinaan serta ancaman kepada rakyat Malaysia
read more...

Indonesia negara bodoh - Dide


DIDE (hadapan) meminta agar pemerintah negaranya bersikap lebih tegas.


KONFLIK antara Indonesia dan Malaysia dipandang berat oleh pemuzik Indonesia. Salah seorang daripadanya ialah Dide, vokalis grup Hijau Daun yang menyatakan Indonesia tidak bersalah dalam situasi ini tetapi negara kelahirannya itu terlalu lemah untuk mengatasi masalah tersebut

"Indonesia tidak salah, tapi kita yang terlalu lemah. Kita cintakan kedamaian tapi terlalu memberi kelonggaran kepada negara tetangga," ujarnya kepada laman web kapanlagi.com.

Dide mengungkapkan kekesalannya seraya meminta pemerintah bersikap tegas dalam mengambil keputusan.

"Saya mahu pemerintah lebih tegas kerana kita sudah banyak kehilangan pulau. Kita tidur di tanah yang kaya tetapi masyarakatnya mencari pekerjaan di negara lain. Akhirnya kita harus lihat rakyat kita diperlecehkan tetapi negara diam sahaja.

"Itu kebodohan negara sendiri," ujarnya yang pernah datang dua kali ke Malaysia dengan Hijau Daun.

Sewaktu ditanya adakah dia akan membuat persembahan di Malaysia lagi, ujarnya: "Saya mahu agar muzik itu membawa perdamaian dan jika diundang saya setuju. Sebenarnya kita jauh lebih berkembang daripada Malaysia terutama dari segi muzik."

read more...

Tentera Jepun kena 'dera'




TENTERA Jepun memang kejam. Mereka memancung kepala, menyuruh minum air sabun, menikam dengan bayonet, mengerah menjadi buruh paksa dan membakar hidup-hidup sesuka hati.

Itu sudah biasa kita dengar kala berbicara tentang keganasan tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu lebih enam dekad lalu. Sehinggakan frasa 'penampar Jepun' pun masih melekat hingga hari ini.

Namun, sekejam-kejam tentera Jepun, ada juga dalam kalangan mereka yang pengsan apabila giliran mereka pula 'didera'.

Cerita sejarahwan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, apabila Jepun mengaku kalah dan tentera British kembali ke Tanah Melayu, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa membersihkan kawasan bandar dan ada juga yang dihukum berlari.

Di Teluk Intan, Perak misalnya, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa oleh tentera British untuk mengutip sampah di bandar itu dan diarah berlari sejauh 42 kilometer dari Teluk Intan ke Bidor.

"Masa itu umur saya lapan tahun. Tentera Jepun sudah mengaku kalah dan akan berundur.

"Sementara menunggu detik untuk dibawa pulang ke tanah air mereka, tentera British telah 'mengenakan' mereka.

"Saya nampak puluhan tentera Jepun dipaksa kutip sampah dan berlari begitu jauh. Sampai ada yang pengsan.

"Mereka yang pengsan kemudian dicampak ke dalam lori," kata Kay Kim, 73, kepada Jurnal saat diminta mengimbas peristiwa Jepun mengaku kalah pada 1945.

September ini, genap 65 tahun berakhirnya derita penduduk Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun dan tamatnya polemik militari global, Perang Dunia Kedua amnya.


UPACARA serah kuasa Jepun kepada British yang berlangsung di Victoria Institution, Kuala Lumpur 65 tahun lalu.


Kapal Amerika Syarikat, USS Missouri menjadi saksi usainya perang itu apabila Jepun memeterai dokumen mengaku kalah di atas kapal itu pada 2 September 1945.

Victoria Institution

Gugurnya bom atom yang meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki beberapa minggu sebelum itu memberi tekanan kepada Negara Matahari Terbit itu dan mendorong kepada kekalahannya.

Di Tanah Melayu, Jepun mengaku kalah secara rasminya pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Upacara yang sama turut berlangsung di Singapura.

Sambung Kay Kim, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu kebanyakannya kanak-kanak berkumpul di jalanan untuk melihat tentera Jepun membersihkan bandar.

Tentera-tentera British pula yang kebanyakannya dari India mengagih-ngagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak.

"Seluruh Tanah Melayu menyambut berita kekalahan Jepun dan kembalinya British dengan jiwa yang gembira.

"Ini kerana, selain menderita hidup dijajah Jepun, hakikat bahawa Jepun tidak melakukan apa-apa untuk kemajuan Tanah Melayu cukup mengecewakan.


BANDAR Hiroshima yang musnah dibom oleh tentera Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945.


"Ekonomi negara ini sangat teruk semasa Jepun menjajah sehingga harga barang terlampau mahal.

"Duit Jepun iaitu 'duit pisang' juga seperti tidak ada nilai kerana ia dicetak sesuka hati," katanya. Kay Kim dilahirkan di Kampar dan dibesarkan di Teluk Intan.

Bercerita tentang tentera Jepun, Kay Kim mengakui kekejaman mereka. Beliau dan keluarga bahkan pernah melarikan ke dalam hutan untuk menghindari tentera Jepun.

Beliau juga menyifatkan tentera Jepun kuat, menggunakan peralatan senjata setanding Barat, berstrategi rapi dan setia kepada maharaja.

Pedang

"Mereka mungkin kejam dan kasar kerana mereka tentera. Orang Jepun yang datang ke negara kita bukan orang awam.

"Mereka kasar dan ganas kerana mereka memang dilatih sebagai tentera.

"Mereka juga kuat. Kalau mereka tak kuat macam mana mereka boleh tenggelamkan dua kapal perang British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse? Mereka menakluk negara kita hanya dalam masa dua bulan.

"Apabila Jepun kalah dan maharaja Jepun arahkan mereka serah kalah, mereka mengaku kalah atau bunuh diri dengan melakukan harakiri iaitu menikam perut sendiri dengan pedang samurai mereka," kata Kay Kim.

Beliau turut menjelaskan penjajahan Jepun ke Asia Tenggara juga adalah berikutan tindakan Barat menyekat bekalan minyak ke Jepun yang telah bergelar negara industri sejak akhir abad ke-19 lagi.

Ditanya apakah impak yang dapat dilihatnya selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, Kay Kim berkata:

"Dulu, bila saya hendak main bola sepak, padang-padang tiada pacat. Lepas Jepun datang, padang-padang sudah berpacat.

"Mungkin sebab banyak tanaman ubi kayu ditanam di padang-padang pada masa Jepun memerintah.

"Masa Jepun berkuasa, penduduk Tanah Melayu susah nak jumpa nasi, banyak makan ubi kayu sebab beras terlalu mahal," tambahnya.

Pelawak veteran berasal dari Klang, Selangor, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman turut berkongsi kisah peristiwa Jepun menyerah kalah itu.


BASIKAL yang digunakan oleh tentera Jepun.


Seingatnya, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Tak silap saya, ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri. Penduduk Tanah Melayu menyambut berita gembira pengunduran Jepun dalam suasana kesyukuran merayakan Aidilfitri.

"Pada masa itu, tiba-tiba saya lihat tentera Jepun sudah lesap. Selalunya nampak mereka berkawal di jalan-jalan.

"Apabila tentera British kembali, mereka disambut oleh orang ramai dengan berkumpul di tepi-tepi kedai dan jalan.

"Saya lihat tentera British yang mendarat dari Pelabuhan Klang berjalan kaki di pekan Klang sambil disambut gembira penduduk tempatan pelbagai kaum," kata Hamid, 78.

Berdasarkan akhbar lama, suasana yang sama juga dapat dilihat di Seremban, Negeri Sembilan. Bahkan, satu sambutan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negeri itu telah berlangsung bagi meraikan kekalahan Jepun dan mengalu-alukan kedatangan British.

Pengumuman

"Penduduk Tanah Melayu gembira kerana mereka membayangkan kehidupan yang lebih baik bersama British.

"Zaman Jepun, hendak makan pun susah. Belacan zaman British dulu, harga 5 sen sekati, zaman Jepun RM250 sekati!" dakwanya.

Berkongsi cerita tentang keperitan hidup semasa penjajahan Jepun yang pernah dilaluinya, Hamid berkata, sekolahnya telah dibom dalam serangan udara Jepun.

Beliau juga pernah ditempeleng oleh tentera Jepun gara-gara tidak tunduk hormat kepadanya.

"Kanak-kanak pun kena bagi tunduk hormat kalau jumpa tentera Jepun.

"Masa itu saya manalah tahu kena tunduk hormat kat dia. Kalau orang dewasa tak tunduk hormat, mereka kena hukum junjung batu tengah panas," ujarnya.

Jurnal turut menemui sepucuk surat lama pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu yang bertulisan jawi di Arkib Negara Malaysia yang antara lain menyatakan: Tentera-tentera Jepun di serata tempat telah mengaku kalah. Tenteranya telah dihapuskan oleh tentera British yang ke-14 di Burma. Tenteranya yang lain yang mempertahankan tanah airnya dari Ayujima dan Okinawa telah dikalahkan jua oleh tentera Amerika.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Majid Ismail, 89, juga mempunyai kisah tersendiri berkenaan peristiwa pengunduran Jepun dan kedatangan British.

Beliaulah antara yang membuat pengumuman memberitahu British kembali di stesen radio Kuala Lumpur pada masa itu.

Sebagai individu berpendidikan yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau diserap menjadi pegawai penerangan oleh Pentadbiran Militari British.


SURAT pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu.


Selain membuat pengumuman di radio, Abdul Majid juga pergi membuat pengumuman di kampung-kampung sekitar Kuala Lumpur sehingga Melaka.

Memandangkan cara hebahan maklumat pada zaman dahulu tidak secanggih sekarang, maklumat terpaksa disebarkan dengan cara begitu selain melalui surat.

"Saya buat pengumuman dari kampung ke kampung dengan menaiki jip. Selama tiga bulan diperlukan untuk melunaskan tugas itu.

"Dalam jip itu siap ada askar untuk keselamatan dan tukang masak! Saya membuat pengumuman termasuk tentang maklumat cari kerja kepada orang awam," katanya.

Saat diminta berkongsi apa yang dilaluinya semasa penjajahan Jepun, Abdul Majid yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur pantas berkata: "Saya tidak mahu mengingatinya."

Mungkin peristiwa Jepun yang mengebom dan menyerang kolejnya sehingga 14 rakan sekelasnya terkorban cukup berbekas dalam ingatannya.

Pada masa itu, beliau sedang menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Lebih menyedihkan apabila mayat-mayat yang sedang diuruskan jenazah mereka turut diserang dengan bom.

read more...