Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 8 Julai 2011

Aku Mengejar Bayang

Ketika melihat gambar kenangan
terimbas kenangan semalam
ketika berjuang meletakkan diri
sama taraf dan kedudukan bersama para
pejuang
yang aku belum kecapi.

Bayaran kepada perjuangan ini
tidak tertebus dengan panggilan suara
memanggil dalam minit-minit waktu
bayaran wang belum tertunai
aku asyik mengejar bayang.

Aku lemas dalam tipu daya nafsu
mencari pemuas yang belum tentu
yang dipagari bahan-bahan teknologi
menyelongkar lubuk hati yang haus.

Masihkah ada ubatnya
tubuh ini sudah gersang
mencari cahaya dan kemanisan
jauh menusuk nafas keinsafan
di sebalik diri yang menunduk mencari cahaya.

Terdampar di wilayah asing
diranduk rasa rindu
ditegah oleh kuasa pemutus
terpaksa mematuhi surat pekeliling
itulah bayang yang dipaksa dihadapi.

Suatu ketika itu
hati ini mahu mencabar kuasa itu
akan tetapi hanya hati yang keras
memaksa diri melakukan itu dan ini
duduklah diri mengejar bayang yang belum pasti.

read more...

Petua Memupuk Cinta Sejati Suami Isteri

Cinta sejati tidak memusnahkan diri kekasih yang dicintai, malah ia menjaga supaya si dia tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri.

Untuk itu, apabila cinta memilih untuk singgah di hati seseorang, lalu akan berasa betapa bahagianya diri untuk merasai nikmat cinta anugerah Ilahi.

Siapakah yang tidak pernah dicintai? Mungkin belum ditemukan dengan orang yang selayaknya untuk dicintai, namun perasaan itu memang wujud dalam kalangan semua insan. Hanya mereka yang pernah merasai dan melalui pengalaman cinta akan merasakan keindahannya.

Namun, bagi yang belum merasakannya, masa itu akan datang juga. Malah, hanya masa dan ketentuan yang bakal meletakkan rupa, perasaan dan khayalan sebelum menemui hakikat sebenar percintaan, seterusnya disatukan di alam yang penuh keindahan.

Bagi yang merasai keindahan cinta sehingga bertemu jodoh, bersatu diri dalam mahligai yang penuh keindahan. Pun begitu, tidak kurang juga yang diuji dengan pelbagai cubaan bagi meneguhkan kembali kekuatan cinta.

Perkara berikut mungkin dapat membantu mengukuhkan lagi perasaan anda dan pasangan apabila dua jiwa menjadi satu. Bagi yang bergelar isteri atau ibu, hayatinya untuk menjadi isteri yang didambakan dalam keluarga Islam.

  • Letakkan dalam jiwa peranan besar dalam kehidupan keluarga. Tindak-tanduk, kebijaksanaan dan sifat selalu mengingati Allah boleh menjadikan rumah sebagai syurga yang diidamkan suami dan anak. Mereka berasa tenang setelah penat di luar rumah.
  • Laksanakan tanggungjawab dan peranannya yang asasi dalam mendidik anak dan memelihara mereka kerana ibu perlu lebih banyak bergaul dengan anak.

Bahkan, mereka juga sangat berhajat kepada ibu terutama pada peringkat membina keperibadian dan perkembangan diri.

Antara ibu dan bapa, hendaklah ada persefahaman dalam mendidik anak supaya kedua-duanya saling menyempurnakan antara satu sama lain dengan tidak ada percanggahan.

Kasih sayang ibu terhadap anak jika tidak kena caranya, mungkin boleh memporak-perandakan keharmonian keluarga.

  • Isteri contoh juga hendaklah mengetahui dengan teliti kewajipannya terhadap suami dan hak suami terhadap isteri yang mesti dilaksanakan sebagai beribadah kepada Allah dan mengharapkan pahala-Nya.

Hendaklah dia menjaga perasaan, bersimpati atas kesusahannya dan menjaga rakannya. Selain itu, bekerjasama dengan suami terutama dalam mendidik anak dan menjaga silaturahim.

  • Beri semangat kepada suami supaya dia menjalankan kewajipan terhadap agamanya seperti beramal, berjihad dan berkorban.
  • Isteri hendaklah pandai memilih kenalannya dalam kalangan wanita yang solehah. Dia juga harus berperanan mengajar dan mengingatkan adab Islam. Dirinya sendiri dijadikan contoh kepada yang lain.
  • Alangkah baik jika isteri contoh bukan saja menjaga perkara halal dalam urusan rumah tangga seperti makanan, minuman, pakaian, kelengkapan rumah serta adat, malah, dia juga dapat menjaga daripada yang haram serta syubhat.

Rumahnya pula dijadikan contoh dari segi kebersihan dan kekemasan untuk membiasakan anak dengan keadaan demikian.

  • Adab dan doa seharusnya dijadikan amalan seharian dalam perkara seperti makan, minum, tidur, memberi salam, meminta izin, melihat perempuan dan seumpamanya.
  • Isteri (dan juga suami) hendaklah mengambil berat untuk menghidupkan hari kebesaran Islam serta ditanamkan rasa kasih terhadap hari berkenaan seperti Ramadan.
read more...

Komunikasi seks ibu bapa dan anak




MUNGKIN sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita, perbincangan mengenai seks dan perhubungan intim merupakan satu topik yang cuba dielakkan daripada menjadi perbualan dalam sebuah keluarga.

Kebanyakan ibu bapa mempunyai alasan tersendiri dan antara yang popular adalah anak-anak terlalu mentah untuk mengetahui mengenai seks walaupun hakikat sebenarnya mereka (ibu bapa) tidak tahu apa harus diperkatakan.

Apa yang pasti ibu bapa menjadikan alasan ia bertentangan dengan adat dan budaya serta kurang manis untuk dibincangkan secara terbuka.

Mereka lebih suka berdiam diri dan menyerahkan kepada anak-anak mempelajarinya sendiri.

Akhirnya anak-anak akan menjadikan cerita-cerita yang dijaja oleh rakan sebagai rujukan sedangkan informasi yang diperoleh itu mungkin tidak betul.

Tahukah anda bahawa alam remaja merupakan fasa kritikal dalam hidup setiap orang yang memerlukan ibu bapa sentiasa bersama anak-anak. Ini termasuk dalam berbicara mengenai pelbagai perubahan diri yang dihadapi baik dari segi perubahan fizikal tubuh badan dan emosi?

Pada saat inilah anda selaku ibu, seseorang wanita bertanggungjawab memainkan peranan memberikan panduan yang sepatutnya.

Ya. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi, tidak salah dan ruginya untuk anda mencuba.

Malah, ada ibu bapa yang berfikiran terbuka kini pun masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila diminta berbicara mengenai seks di hadapan anak remaja mereka.

Hilangkan kekok ibu dan anak

Bagi merungkai permasalahan komunikasi terlarang itu, syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare telah mengadakan bengkel khas khusus untuk wanita sahaja bagi membantu para ibu dan anak perempuan mereka mengatasi rasa kekok berbicara mengenai seks.

Jangan salah sangka, bengkel itu bukan mengajar mengenai seks tetapi, ia membekalkan informasi dan tip mengenai bagaimana untuk memulakan dan mengawal perbincangan tentang seks serta perhubungan.


PERUBAHAN emosi dan fizikal akan dilalui oleh gadis yang menempuh alam dewasa.


Malah, ia turut menyentuh mengenai isu kesihatan wanita, kepentingan menjaga alat sulit dan kesihatan reproduktif selain pada masa yang sama menjelaskan peranan merancang kehamilan apabila menyentuh mengenai isu kehamilan tidak dirancang.

“Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa merupakan sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon yang berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

“Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran yang mengupas topik mengenai Fahami Tubuh Anda pada bengkel tersebut.

Premitha juga menegaskan bahawa pendidikan tidak terhenti dengan mengetahui mengenai kitaran haid dan reproduktif sahaja.

“Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak perempuan mereka mengharungi langkah pertama menjadi seorang wanita.

“Anak-anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi,” ujarnya.

Jangan biar anak seorang diri

Tambah wanita itu lagi, apabila dibekalkan dengan informasi yang sepatutnya, anak-anak gadis sedikit sebanyak sudah bersedia dengan implikasi yang bakal dilalui di samping melindungi diri mereka daripada insiden yang tidak dijangka.

“Jangan sesekali malu bertanya mengenai alam dewasa kepada ibu dan bagi ibu pula, jangan mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah orang yang paling berhak untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada anak gadis anda.

“Ia melibatkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi serta keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi, ibu perlu berada di sisi anak masing-masing dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri,” jelasnya.

Selain itu, perubahan emosi juga berlaku dan ia disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula pada usia 11 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

“Jangan sesekali menjadikan budaya sebagai alasan untuk tidak berkomunikasi dengan anak-anak remaja anda mengenai topik-topik tabu yang kononnya menjadi pantang larang masyarakat Timur.


ANAK-ANAK cenderung mendapatkan maklumat mengenai seks melalui rakan sebaya.


“Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik-topik intim seperti seks, perhubungan dan kontrasepsi,” kata Perunding Psikologi Klinikal, Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

Tambahnya, komunikasi terbuka terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga.

Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

“Memberikan ruang kepada anak-anak muda kita berbicara dengan ibu mereka tentang seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks,” ujarnya.

Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada mereka untuk membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka.

“Dalam masyarakat India, apabila anak gadis mereka datang haid pertama, mereka akan meraikannya dengan meriah untuk menguar-uarkan bahawa anak mereka subur dan mampu melahirkan zuriat,” kata Paul.

Komunikasi mengenai topik-topik tabu boleh melibatkan anak lelaki kerana akan datang mereka akan menjadi suami kepada seorang wanita dan bakal ayah kepada anak-anak.

“Mulai hari ini, tanyalah apa sahaja kepada ibu anda. Sumber yang paling selamat adalah daripada ibu dan bukannya rakan kerana dikhuatiri mereka memberikan informasi yang salah.

“Tiada apa yang perlu dimalukan. Kedua-duanya perempuan jadi ia seharusnya lebih mudah,” tegasnya.

Kisah haid pertama

Berkongsi pengalamannya bersama peserta bengkel, pelakon, model dan pengacara berbakat, Julie Woon juga menghadapi masalah komunikasi yang sama.

“Saya amat rapat dengan ibu kerana dialah penyokong dan teman baik saya. Kami seringkali berborak tentang apa sahaja.

“Walaupun mengamalkan komunikasi terbuka, kami sebenarnya tidak pernah berbincang mengenai topik-topik yang dianggap tabu ketika saya menjangkau fasa awal remaja dan awal dewasa walaupun ketika itu sudah ada perasaan terhadap lelaki,” katanya yang menyifatkan ibunya sebagai konservatif dalam hal tersebut.

Menceritakan detik haid pertamanya, Julia memberitahu dia mengetahui mengenai haid melalui cerita daripada rakan-rakannya.

“Ketika itu usia saya 15 tahun dan ibu tiada di rumah. Seharian saya sakit perut dan terperuk di dalam bilik kerana kedatangan haid kali pertama.

“Apabila meminta ayah membelikan pil merah jambu yang boleh melegakan senggugut di farmasi, dia membawa pulang pil demam untuk kanak-kanak yang mempunyai warna yang sama,” ujarnya sambil ketawa.

Katanya, walaupun tidak berbicara mengenai topik larangan itu, ibunya punya cara tersendiri dengan menggunting artikel-artikel kesihatan yang berkaitan supaya dia membacanya.

read more...

Maafkan Abah, Ain..!!

Maafkan Abah, Ain..!!

Penulis Asal: Mohd Yusry Ruhaini

Perkenalan selama dua tahun dan setelah mengenal hati budi masing-masing akhirnya Zaleha dan Rahman bersetuju memeterai janji untuk hidup bersama dan membina mahligai impian, dengan harapan ikatan perkahwinan itu akan memberikan sinar dalam kehidupan mereka. Walaupun Rahman hanya bekerja sebagai pemandu bas kilang sahaja namun bagi Zaleha itu bukan halangan untuk menerima Rahman sebagai teman hidupnya, dia rela dan sanggup berkorban demi cinta sejati. Setahun usia perkahwinan mereka semuanya dianggap bahagia dan dengan penuh harapan menanti akan dikurniakan cahaya mata pertama supaya dapat mengukuhkan lagi kasih sayang mereka berdua.

Namun harapan tinggal harapan cahaya mata yang ditunggu-tunggu masih tidak menampakkan kemunculannya, perkahwinan yang dibina atas dasar kasih sayang mula bergoncang setelah 3 tahun hidup bersama semuanya berpunca dari ketiadaan anak.Rahman mula menuduh isterinya mandul tidak boleh memberikannya seorang anak dan mula bermain 'kayu tiga', saban hari kehidupan rumahtangga mereka dipenuhi dengan pergaduhan semuanya ingin menunjukkan ego masing-masing hingga pada satu tahap rumahtangga mereka seperti tidak boleh diselamatkan lagi. Namun Allah Maha Kaya ketika mereka hampir bercerai-berai cahaya mata yang menjadi punca segalanya akhirnya mula menampakkan tanda, kehidupan rumahtangga mereka yang semakin kelam mula menunjukkan sinarnya.

Rahman seperti tidak percaya bila dia mengetahui Zaleha telah mengandung 2 bulan, seperti 'bulan jatuh ke riba' bila dia mendengar khabar dari isterinya, hilang semua perasaan benci terhadap isterinya selama mereka 'berkonfrentasi' . Setelah menanti penuh debar selama 9 bulan 10 hari akhirnya cahaya mata yang dinanti selamat dilahirkan, alangkah gembiranya dia bila diberitahu oleh nurse yang dia mendapat anak perempuan, kini dia puas cita-citanya untuk menjadi seorang ayah termakbul jua akhirnya, anak yang comel itu dinamakan Nurul Ain.Â
>
> Dia berjanji dalam dirinya untuk menjadi seorang ayah yang penyayang dan bertanggungjawab dan ingin membuang segala tabiat buruknya selama ini dan membina semula keluarganya yang hampir runtuh dahulu. Anak yang lahir ini ditatang bagaikan minyak yang penuh, segala keperluannya disediakan dan sejak kelahiran Nurul Ain dia sudah banyak berubah, sudah tidak pulang lewat lagi, tidak suka berfoya-foya di luar dan paling mengembirakan Zaleha suaminya sudah mula mengingati SuruhanNya yang selama ini sudah lama ditinggalkan.

Namun 'harapkan panas hingga ke petang tapi hujan di tengahari' itulah nasib yang menimpa keluarga kecil ini, Tuhan seperti hendak menduga keutuhan iman seseorang itu dengan menurunkan dugaanNya, 15 hari sebelum genap umur Ain setahun anak kecil ini telah di serang demam panas yang teruk, kesan dari ini otak Ain telah mengalami kerosakkan dan Doktor mengesahkan kemungkinan besar Ain akan mengalami terencat akal seumur hidup...... Berita ini bagai panahan petir bagi Rahman, seperti baru semalam dia menyambut kelahiran cahaya matanya yang comel kini semuanya seperti sudah berakhir baginya.Rahman bagaikan tidak dapat menerima hakikat keadaan anaknya itu dan sering menyalahkan dirinya sendiri ekoran apa yang terjadi pada anaknya.

Sering juga dia mengatakan pada kawannya mengapa mesti anaknya menerima nasib begitu kenapa tidak anak orang lain, dia seperti tidak dapat menerima ketentuan dari Yang Maha Esa. Dalam situasi begini anak-anak istimewa seperti Ain sepatutnya memerlukan perhatian yang lebih dari Ibu bapanya namun tidak bagi Rahman, jika dulu anak itulah yang sering ditimang, dicium, dibawa kemana-mana dia pergi dan dengan bangga memperkenalkannya kepada kawan-kawannya, namun kini dia seperti malu mahu menerima Ain sebagai anak kandungnya sendiri.Â

Tiada lagi kucupan mesra, senda gurau dan belaian mesra dari seorang bapa pada anaknya, Rahman seperti menjauhkan diri dari anaknya baginya tiada faedahnya melayan anak yang sudah terencat akal hanya membuang masa saja.Kekusutan fikirannya menyebabkan Rahman kembali pada hobi lamanya berfoya-foya di kelab dangdut hingga ke subuh, tinggallah Zaleha seorang diri melayan karenah anak 'istimewa'nya itu dan demi memberi tumpuan sepenuh hati pada anaknya Zaleha sanggup melepaskan jawatannya sebagai guru sekolah semuanya dilakukan untuk anaknya itu.

Sepuluh tahun sudah berlalu, Ain membesar seperti anak-anak normal yang lain, Zaleha bersyukur kepada Allah walaupun anaknya berkeadaan begitu anggota tubuhnya seperti anak-anak yang lain tiada cacat celanya, Ain boleh berjalan, berlari dan bermain cuma fikirannya saja seperti bayi dan hanya boleh bercakap sepatah dua perkataan.Pengalama n Zaleha sebagai guru digunakan sepenuhnya untuk mengajar anak perkataa-perkataan ringkas, walaupun kadang kala dia begitu kecewa dengan sikap suaminya Rahman yang seperti lepas tangan dan tidak pernah mengambil tahu mengenai hal anaknya itu, jauh sekali mahu memandikan dan memberikan makan untuk Ain semuanya dilakukan sendiri oleh Zaleha .Â

Sikap kurang ajar dan panas baran Rahman terhadap Ain anak kandungnya semakin ketara, saban hari ada saja benda yang menimbulkan kemarahannya terhadap Ain jika dia sudah marah maka hingaplah tangan dan kakinya di badan anak kecil ini, jika tidak kerana Zaleha mungkin lebih teruk Ain di'kerja'kan bapanya sendiri. Memanglah sikap anak istimewa seperti Ain kadang kala menimbulkan masalah seperti kencing dan berak di merata tempat dan adakalanya merosakkan barang perhiasan, namun budak seperti itu apa yang dia tahu...... Puas sudah Zaleha menasihati suaminya supaya mengubah sikapnya dan jangan sampai menyesal di kemudian hari namun maki hamun yang dilemparkan kepadanya, bukan isterinya saja yang cuba mengubah sikapnya, kawan baiknya Sahak juga pernah menasihatinya namun 'penampar jepun' yang hinggap di muka dengan amaran jangan mencampuri urusan rumahtangganya.

Zaleha hanya mampu menangis melihat keadaan tubuh Ain yang lembab-lembab setiap kali Rahman membelasah anaknya pernah sekali kerana tidak tahan melihat perangai suaminya mendera Ain dia meluru ke dapur mengambil pisau dan menyerahkanya pada Rahman supaya bunuh saja Ain kalau betul dia bencikan sangat anaknya sendiri jangan lagi di sakitinya lagi, zaleha seperti tidak mampu lagi menanggung derita setiap kali anaknya didera.Jiran sebelah menyebelah hanya mampu melihat saja untuk masuk campur takut parang panjang menunggu di depan pintu dan pernah sekali jiran sebelahnya melihat Ain di lempar keluar oleh Rahman melalui tingkap rumahnya namun dia hanya mampu melihat saja untuk menolong jauh sekali takut dengan sikap panas baran Rahman.Ada juga jiran yang mahu melaporkan kepada polis hal ini namnu bila mengenangkan kebaikkan Zaleha pada mereka tidak sampai hati untuk mereka melaporkannya.
Namun Tuhan Maha Kaya dosa yang kita lakukan di dunia adalakanya dibayar 'cash' didunia juga........ . Malam itu hujan turun dengan lebat dan setelah balik dari menghantar pekerja pukul 12 malam Rahman pulang dengan kepenatan namun bila sampai saja di muka pintu kakinya terpijak najis di depan pintu, dia tahu kalau tak 'si terencat akal' ini tiada orang lain yang buat, dengan hati yang panas Rahman meluru ke bilik anaknya dan menariknya keluar dengan paksa dan terus dicampaknya keluar rumah " Tidur kau di luar situ" teriak Rahman sambil mengunci pintu.

Zaleha cuba meminta simpati dari suaminya supaya anaknya dibenarkan masuk namun tak diendahkan oleh Rahman....menangisl ah anak kecil itu di luar rumah sambil mengetuk pintu dengan keadaan hujan yang lebat, apa yang mampu dilakukan oleh anak kecl ini hanya menangis saja........ ......Zaleha tidak mampu berkata apa-apa lagi hanya pilu mendengar tangisan anaknya di luar dan tinggallah anak kecil itu keseorangan di luar...... Seperti biasa Rahman akan keluar seawal pukul 6 pagi untuk mengambil pekerja ke kilang dan ketika keluar dari rumah matanya melilau sekeliling untuk melihat dimana anaknya berada namun dia tak menjumpainya, biarkanlah saja tahulah dia masuk ke rumah pagi nanti fikirnya.

Ketika bas yang dipandunya mula bergerak dia merasakan seperti tayar belakang bas melanggar sesuatu, dia memberhentikan bas dan turun untuk memeriksanya sambil menyumpah baru pagi semalam dia mencuci basnya. Bila dia menyuluh di bawah bas alangkah terperanjatnya dia bila melihat sekujur tubuh kecil berlumuran darah terbaring di celah tayar belakang basnya. Dia seperti sudah dapat mengagak tubuh kecil itu milik anak yang sangat dibencinya lain dan tak bukan...Ain. Tubuhnya mula mengigil perasaan bersalah, takut dan cemas mula menular dalam fikirannya, dia cuba memerhatikan kembali...Ya Allah anakku!!!..dengan pantas dia menarik tubuh kecil itu keluar dari bawah bas...Rahman meraung bila melihat tubuh anaknya berlumuran darah, dia cuba mengerakkan tubuh anaknya dengan harapan anaknya masih bernyawa...namun semuanya sudah terlambat anaknya sudah kembali rahmatullah. .

Di subuh yang hening itu dapat dilihat oleh alam terlerainya ego seorang ayah, sambil memeluk sekujur tubuh yang selama ini menjadi bahan 'santapanya' terpancar kembali dosa-dosa yang pernah dilakukan terhadap anaknya, timbul perasaan kesal yang amat mendalam dalam sanubarinya. .namun semuanya sudah terlambat, tubuh kecil yang tidak bernyawa itu di peluk erat sambil teresak-esak. ...Suara raungan dan tangisan Rahman memecah kesunyian subuh itu membangkitkan Zaleha dari lena, bila dia melihat saja keadaan suaminya memeluk anaknya di tengah jalan dia sudah tahu apa yang telah terjadi pada anak kesayangannya itu, bagaikan halilintar menyambar tubuhnya bila dia melihat tubuh anaknya berlumuran darah, lemah terus tubuhnya hanya air mata mengalir deras dari kelopak mata....

Pagi itu gempar seluruh penduduk kawasan itu bila mendengar berita Rahman melanggar anaknya sendiri, jiran-jiran mula mengerumuni di tempat kejadian melihat bagaimana keadaan kekesalan seorang lelaki bernama ayah enggan menyerahkan tubuh anaknya untuk diuruskan pengkebumiannya. Sudah lebih 3 jam jiran-jiran memujuk dan menasihati Rahman supaya dia tabah menghadapi dugaan Allah dan melepaskan dakapannya namun semuanya sia-sia belaka, Rahman seperti tidak mahu berpisah dengan anak yang selama ini menjadikannya lupa tanggungjawabnya sebagai seorang ayah, dibelai dan dicium tubuh kecil yang semakin kebiruan itu, namun setelah dipujuk oleh ibu dan ayahnya akhirnya Rahman melepaskan dakapan erat terhadap tubuh anaknya.Â

Akhirnya jenazah Nurul Ain sempat dikebumikan petang itu juga dan berakhirlah penderitaan seorang anak istimewa yang tidak mengerti apa yang telah dilakukan oleh ayahnyanya sendiri. Dari perbualan jiran-jiran setelah 'dicampakkan' oleh ayahnya di luar dan mungkin kerana keadaan hujan lebat pada masa itu dan kerana kesejukkan Ain telah berlindung di bawah bas dan mungkin kerana kesejukkan dan kepenatan Ain tidak sedar dari tidur bila Rahman mula mengerakkan basnya pada pagi itu dan terjadilah peritiswa yang menyedihkan. itu,mayat anak kecil itu remuk di bahagian dada dan kakinya kerana digilis tayar bas yang dipandu ayahnya. Setelah kejadian ini sikap dan perangai Rahman mula berubah dia hanya mengasing diri dan sering termenung sendirian hingga pada satu tahap dia seperti tidak dapat mengawal perasaannya menangis dan bercakap seorang diri sambil memeluk bantal milik arwah anaknya.

Sudah puas Zaleha dan bapa dan ibu mertuanya mencari bomoh untuk cuba mengubatinya penyakit suaminya namun masih gagal, walaupun suaminya berkeadaan begitu Zaleha masih tetap setia pada suaminya tidak terlintas dalam fikirannya untuk meminta cerai. Sudah dua sejak kematian Nurul Ain namun Rahman masih tidak berubah malah semakin bertambah teruk seperti sudah hilang ingatan malahan makan, mandi dan membuang najis juga perlu diuruskan oleh ibunya sikap dan perangainya tidak ubah seperti arwah anaknya dulu....

Kerana mengalami tekanan dan desakkan dari kedua ibu bapa serta mertuanya akhirnya Zaleha merelakan perpisahan dengan suami tercinta dan kini berbahagia bersama suami barunya, sedangkan Rahman akan melalui hari-hari suramnya bersama kenangan yang tidak akan dilupakanya. .... Maaf jika cerita ini terlalu panjang dan biarlah cerita ini menjadi iktibar dan pedoman kepada semua insan yang bergelar Ayah/Bapa/Abah supaya menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. kepada mereka yang menpunyai anak-anak istimewa tahniah diucapkan jika anda menpunyai bersikap sabar, punya rasa tanggungjawab dan sanggup berkorban ketika menjaga anak-anak ini. Mereka juga manusia biasa yang memerlukan belai mesra dan kasih sayang dari kedua Ibu bapa........ Fikir-fikirkanlah
read more...

TLDM : Reka bentuk LCS siap hujung bulan ini

KUALA LUMPUR 7 Julai - Reka bentuk akhir Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bakal dibangunkan untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap hujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ciri-ciri halimunan menjadi penekanan utama dalam reka bentuk LCS bagi memastikan aset tempur itu sukar dikesan.

"Reka bentuk serta sistem pertahanan kapal ini bakal menjadikan ia sebagai aset tempur canggih dan mampu mengawal perairan negara secara berkesan selama 40 tahun dari sekarang.

"Ia dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh TLDM dan penekanan utama diberi kepada aspek halimunan bagi memastikan LCS sukar dikesan," katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, kapal tersebut akan dilengkapi dengan peluru berpandu Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) yang mampu menembak pesawat sehingga jarak 50 kilometer (km).

Untuk sistem antikapal pula, LCS dijangka dilengkapi dengan peluru berpandu jarak jauh (185km) buatan Norway, Naval Strike Missile (NSM) selain turut dipasang torpedo.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean sempena lawatan tiga hari beliau bermula Isnin lalu, ke negara ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Chee Hean, beliau berkata, beberapa perkara membabitkan kerjasama ketenteraan telah dibincangkan khususnya isu berkaitan Selat Melaka.

"Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam soal rondaan bersama di Selat Melaka kerana hasilnya cukup positif dalam membanteras kegiatan lanun.

"Sehingga Julai tahun ini, tiada kes membabitkan lanun di perairan Selat Melaka. Ini memberi keyakinan kepada syarikat pengendali kapal dan manfaatnya dapat dinikmati bersama," katanya.

Ditanya sama ada isu pencerobohan ruang udara negara turut dibincangkan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak disentuh kerana Malaysia sudah membuat bantahan melalui Wisma Putra.

read more...

Bekas tentera, polis desak batalkan Bersih


SEBAHAGIAN ahli PVTM bersama gabungan 50 NGO sepakat membantah perhimpunan Bersih, di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN


KUALA LUMPUR 7 Julai - Bekas tentera dan polis menggesa agar perhimpunan Bersih dibatalkan tidak kira sama ada ia dilakukan di jalanan mahupun di stadium.

Ia disuarakan menerusi kenyataan bersama oleh Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta 50 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada sidang akhbar di sini semalam.

Penasihat PVTM, Leftenan Jeneral (B) Zaini Mohd. Said berkata, kesemua gabungan NGO tersebut sepakat bahawa perhimpunan itu hanya mengganggu keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Malah tegasnya, mereka berdiri teguh di belakang kerajaan dan akan menggembleng tenaga dan pengetahuan untuk membantu kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat dikekalkan.

"Justeru, kita menyeru penganjur agar membatalkan sahaja perhimpunan tersebut dan meminta orang ramai tidak menyertai perhimpunan tersebut walau di mana ia diadakan.

"Kita khuatir mereka akan menimbulkan kekacauan dan kekeliruan bagi mendapatkan impak kerana dengan itu baru ia mendapat perhatian dunia," katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah tokoh pejuang negara, bekas Pegawai Waran 1, Kanang anak Langkau.

Zaini berkata, tindakan Bersih mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka juga amat dikesali kerana ia sebuah lokasi yang amat bersejarah yang melambangkan kemerdekaan, kemajuan dan kebanggaan negara.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan penemuan beberapa senjata berbahaya oleh pihak berkuasa yang dipercayai akan digunakan semasa perhimpunan tersebut di samping beberapa barangan seperti kemeja-T yang tertera gambar pemimpin komunis serta dokumen dan risalah mengenai komunis.

"Kita berasa amat marah dan kecewa kerana mereka ini cuba menghidupkan kembali komunisme dan pergerakan bawah tanah sedangkan selama 40 tahun kita menentang gerakan komunis di negara ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri berkata, penganjur Bersih sepatutnya tidak meneruskan niat tersebut apabila matlamat mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong diperkenankan kelmarin.

Justeru kata beliau, tindakan Bersih mahu meneruskan perhimpunan tersebut pada Sabtu ini amat diragukan dan dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi.

read more...

Khutbah Jumaat : Perosak keamanan musuh agama

Rakyat jangan terpengaruh cubaan huru-harakan negara

KITA bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perpaduan kunci kejayaan dan dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi pelbagai tugas hidup.
Sebaliknya, tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan luar biasa. Sebab itu apabila ada umat yang bersatu padu, maka kejayaan cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku dalam kalangan umat, maka buruklah akibatnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, melainkan di kampung yang berbenteng kukuh atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (Surah al-Hasyr, ayat 14)

Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi serta merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat.

Kita dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah kesan rapuhnya perpaduan dan perpecahan yang berlaku. Malah apa yang paling malang, jika perpecahan dan perbalahan terjadi di kalangan umat Islam seperti berlaku di beberapa negara Islam di Asia barat.

Negara kaya-raya dan aman suatu ketika dulu tapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya negara itu runtuh serta ekonominya hancur.

Mimbar ingin menarik perhatian jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh tahun lamanya.

Kita semua maklum agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah mewujudkan perpaduan antara penganut Islam. Umat Islam diikat erat melalui konsep tauhid, kiblat, kitab dan pemimpin yang satu.

Dalam pada itu Baginda dan sahabat juga sentiasa diterjah pelbagai ancaman musuh Islam yang didalangi Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan persaudaraan Islam. Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah.

Antaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan seperti menghasut supaya dibina masjid bagi menyaingi masjid Kuba’ yang sangat berjaya diimarahkan. Musuh Islam juga menggunakan taktik menunjuk perasaan seperti berlaku dalam peperangan Uhud.

Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera daripada menyertai angkatan bersenjata Islam. Namun Rasulullah SAW dan sahabat dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.

Hari ini sekali lagi pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara. Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini?

Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah. Pelbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah. Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan pelbagai cara.

Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

Mimbar ingin menegaskan sesiapa yang terbabit dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara.

Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru supaya tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka.

Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air kita daripada dicerobohi musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan.

Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama mereka yang benar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.” (Surah Ali-Imran, ayat 160)

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
read more...