Ketika melihat gambar kenangan
terimbas kenangan semalam
ketika berjuang meletakkan diri
sama taraf dan kedudukan bersama para
pejuang
yang aku belum kecapi.
Bayaran kepada perjuangan ini
tidak tertebus dengan panggilan suara
memanggil dalam minit-minit waktu
bayaran wang belum tertunai
aku asyik mengejar bayang.
Aku lemas dalam tipu daya nafsu
mencari pemuas yang belum tentu
yang dipagari bahan-bahan teknologi
menyelongkar lubuk hati yang haus.
Masihkah ada ubatnya
tubuh ini sudah gersang
mencari cahaya dan kemanisan
jauh menusuk nafas keinsafan
di sebalik diri yang menunduk mencari cahaya.
Terdampar di wilayah asing
diranduk rasa rindu
ditegah oleh kuasa pemutus
terpaksa mematuhi surat pekeliling
itulah bayang yang dipaksa dihadapi.
Suatu ketika itu
hati ini mahu mencabar kuasa itu
akan tetapi hanya hati yang keras
memaksa diri melakukan itu dan ini
duduklah diri mengejar bayang yang belum pasti.
0 ulasan: on "Aku Mengejar Bayang"
Catat Ulasan