|
|
Seramai 25 pegawai kadet telah berjaya menamatkan latihan pegawai TLDM dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM.
Sempena majlis tersebut, Pegawai Kadet Kanan (PKK) Mohamad Rizwan Ab. Hamid dianugerahkan PKK Terbaik Keseluruhan dan PKK Mohamad Abduh Jamaluddin dianugerahkan sebagai PKK Terbaik Akademik.
Istiadat perbarisan dan pengurniaan watikah kali ini dianggap amat bersejarah kepada TLDM kerana mereka yang ditauliahkan itu merupakan pengambilan terakhir bagi skim Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pegawai Kadet Pengambilan ke-59 telah memulakan Kursus Asas Pegawai Muda (KAPM) di KD SULTAN IDRIS I (KDSI I).
Mereka merupakan kumpulan ke-15 Program Diploma Pengurusan Teknologi Pengangkutan dan Pertahanan Maritim (DPT-PPM) dan merupakan kumpulan terakhir melalui program kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bermula sejak 1995.
Program tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan taraf akademik pegawai muda TLDM supaya setanding dengan pegawai tentera laut negara asing dan IPT yang lain.
Turut hadir ke majlis tersebut, Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar), Dr. Ismail Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaaafar dan Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Tan Eng Seng.
Sultan Selangor bertitah, sebagai seorang pegawai TLDM, aspek pembangunan pertahanan perlu dititik beratkan untuk menghadapi ancaman masa kini.
Menurut baginda, sesebuah negara yang maju bukan hanya terletak kepada pemimpin yang bijak, malah perlu mempunyai rakyat berdaya saing dan berusaha menghadapi sebarang kemungkinan.
"Perasaan cintakan negara perlu dipupuk, begitu juga dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja melalui sistem demokrasi raja berperlembagaan. Sistem ini telah terbukti dalam mengekalkan kedaulatan negara.
"Beta ingin berpesan, mulai saat ini saudara semua telah diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan negara hingga ke titisan darah terakhir,'' titah baginda.
Menurut baginda, pegawai kadet terlibat hendaklah berpegang teguh pada cogan kata Sedia Berkorban dan juga ikrar kesatria yang telah dilafazkan kerana ia adalah teras kepada perjuangan mereka.
"Jagalah negara ini dan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta TLDM khasnya dengan jujur dan ikhlas serta penuh semangat waja,'' titah baginda.
0 ulasan: on "Kumpulan terakhir PKK terima watikah"
Catat Ulasan