HULU SELANGOR 8 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, bahawa baginda akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan api permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di Selangor.
Baginda bertitah, selaku ketua negeri Selangor, baginda tidak akan membiarkan adanya anasir yang akan merosakkan bangsa dan agama.
“Beta sedia maklum sejak akhir- akhir ini ada pihak mahu menganjurkan demonstrasi jalanan yang akan menyusahkan rakyat, memecah-belahkan keharmonian, menjejaskan keamanan negara dan seterusnya menjatuhkan nama baik negara.
“Demonstrasi jalanan pada bila-bila masa jua pun, boleh merebak dan menjadikan keadaan tidak terkawal dan akan menyusahkan rakyat jelata,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Khusrin Munawi.
Baginda bertitah, apabila demonstrasi diadakan, premis perniagaan akan ditutup kerana takut dirosakkan, rakyat tidak dapat menjalankan aktiviti harian, sekolah dan pusat pengajian terpaksa ditutup serta keadaan keseluruhan negeri juga akan menjadi kelam-kabut.
“Jika keadaan kucar-kacir ini berlaku, ekonomi negeri akan terjejas yang mana bukan sahaja industri seperti pelancongan, malahan para pelabur asing juga akan merasa takut dan bimbang untuk berniaga.
“Dalam erti kata lain, demonstrasi jalanan akan memberikan kesan yang negatif terhadap ekonomi Selangor dan menyusahkan rakyat,” titah baginda.
Sehubungan itu baginda menasihatkan seluruh rakyat Selangor supaya jangan terlibat atau jangan mengambil bahagian atau jangan menyertai akan demonstrasi jalanan pada bila-bila masa jua pun kerana ia akan merugikan negeri Selangor.
Baginda bertitah, sekiranya ada sesuatu yang tidak memuaskan hati dan ingin meluahkan sesuatu pendapat, ia hendaklah dilakukan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tegang dan menjejaskan keamanan negara.
“Beta mempunyai keyakinan dan menyokong penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas-tugas mereka menjaga keamanan negeri dan negara serta keselamatan rakyat keseluruhannya,” titah baginda.
0 ulasan: on "Bersih : Tindakan tegas terhadap pihak cuba cetuskan api permusuhan"
Catat Ulasan