MEMBACA kisah orang, pastinya tidak sama dengan empunya badan yang mengalaminya. Walaupun kisahnya mungkin hampir sama, tetapi situasinya pasti berlainan.
Kisah DCCK minggu lalu mengenai “Diserang ibu kekasih suami” membuatkan saya terpanggil untuk mencoretkan sesuatu.
Saya mungkin seorang suami, mungkin juga seorang isteri, seorang anak, seorang ibu atau mungkin wanita luar yang sedang memburu cinta seperti watak-watak yang terdapat di dalam kisah tersebut.
Coretan ini hanya sekadar pendapat atau pandangan peribadi saya dan bukan menuding jari meletakkan kesalahan pada orang tertentu. Seandainya ada yang terguris, ampun maaf dipinta.
Kisah Mariaelena dan suami adalah secebis daripada asam garam berumah tangga. Sentiasa ada pasang dan surutnya. Dan sebagai pengemudi (suami dan isteri), kitalah yang menentukan hala tujunya.
Sebagai isteri, saya harap beliau tabah melalui detik yang sukar ini. Jika anda mampu bertahan hingga kini (mempunyai tiga anak) bermakna anda sememangnya seorang yang kuat. Jangan cepat melatah dan menghukum diri hanya kerana perbuatan suami yang curang.
Sentiasa positif dengan hidup. Perlu diingat, kehidupan wanita hari ini bukan sahaja tertumpu kepada rumah tangga. Banyak lagi perkara yang boleh membahagiakan kita (berlandaskan syariat Allah) di luar sana. Anak-anak adalah keutamaan. Jangan sampai anak menjadi mangsa masalah kita dengan suami. Dan jangan lupa, muhasabah juga diri sendiri manalah tahu ada kekurangan yang menyebabkan suami mula bermain kayu tiga.
Sebagai suami pula, sememangnya berada di alam percintaan itu indah. Kerana itu apabila ada cinta baru yang datang, kita sukar menolak. Namun alangkah baiknya jika kita menyuburkan kembali cinta kepada isteri. Dan yang paling utama, cinta kepada Allah SWT.
Kenangkan kembali pengorbanan seorang isteri yang telah mempertaruhkan nyawa memberi zuriat kepada kita.
Memang poligami itu tidak salah, jika mampu dengan cara yang elok pasti tiada halangan. Saya pernah melihat kehidupan lelaki yang mengamalkan poligami dan hidup bahagia. Dan saya juga pernah melihat lelaki berpoligami yang kecundang dalam mengemudikan dua (atau lebih keluarga). Akhirnya bukan sahaja isteri dan anak-anak menderita, malah diri sendiri juga huru-hara!
Sebagai wanita yang sedang memburu cinta, tidak salah menjadi isteri kedua jika kena caranya (tetapi, bukankah ramai lelaki bujang di luar sana?). Namun pastikan kita bersedia dari semua segi terlebih dahulu. Dan jangan lupa, kita sendiri yang mahu berkongsi dengan orang lain. Maka, keutamaan bukanlah pada kita.
Sebagai ibu pula, tentunya kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Didik dan bimbinglah mereka sewajarnya. Walaupun kita inginkan mereka bahagia, jangan sampai menjejaskan kebahagiaan orang.
Ingatlah, hidup ini ibarat roda. Atas dan bawah, semuanya pasti akan dirasa. Jika hari ini kita bahagia, esok lusa belum tentu kesudahannya.
0 ulasan: on "Sukar tolak cinta baru"
Catat Ulasan