HARI Isnin (4 Julai lalu) saya membaca berita mengenai telahan seorang saintis bernama Aubrey de Grey bahawa hari ini juga telah lahir seseorang yang akan mendapat tempoh hayat selama seratus lima puluh tahun.
Telahan ini disampaikannya semasa dia menyampaikan syarahan di Britain's Royal Institution Academy of Science.
De Grey tinggal berdekatan Universiti Cambridge, iaitu universiti yang menganugerahkannya ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2000. Dia sekarang adalah Ketua Saintis Yayasan SENS (Strategies for Engineered Negligible Senescence) yang berpusat di California dan ditubuhkan pada tahun 2009.
Grey menelah bahawa proses penuaan adalah hasil pengumpulan pelbagai jenis kerosakan molekular dan selular di seluruh tubuh manusia. Idea menahan proses penuaan yang boleh dipanggil pencegahan geriatrics ialah rawatan berkala terhadap kerosakan molekular dan selular sebelum ia sampai ke peringkat yang tidak lagi terkawal atau yang dipanggil pathogenic.
Diberitakan bahawa sekarang ini jangka hayat manusia bertambah pada purata 3 bulan setiap tahun dan dianggarkan pada tahun 2030 akan ada kira-kira sejuta orang di dunia yang berumur lebih seratus tahun. Di Jepun sahaja pada tahun 2010 terdapat 44,000 orang yang berumur melebihi satu abad.
Saya tertarik dengan berita ini kerana sekarang saya sedang menelaah buku Pendeta Za'ba mengenai falsafah takdir, iaitu buku yang ditulisnya sebelum Malaysia merdeka, yang mengkritik kefahaman orang Melayu mengenai takdir. Kebetulan pula semasa remaja, saya hanya menerima kuliah-kuliah agama yang mengatakan takdir usia seseorang telah ditetapkan dari awal dan hanya boleh berubah dengan ihsan Tuhan melalui jalan berdoa. Tegasnya, doa sahajalah suatu jalan yang boleh mengubah jangka usia seseorang.
Za'ba pula berpendapat takdir itu merupakan sukatan yang ditentukan terhadap manusia, mungkin seperti sukatan manusia berlari berbanding dengan kuda, sukatan jangka hayat manusia berbanding kura-kura dan sebagainya. Dalam lingkungan sukatan itu, manusia menentukan di mana kedudukannya.
Apabila membaca berita syarahan Grey itu saya teringat, saya pernah membentangkan data dalam beberapa majlis syarahan bahawa usia boleh dipanjangkan dengan doa, usia juga boleh dipanjangkan oleh kemajuan ekonomi.
Saya sering menunjukkan perbandingan jangka hayat penduduk sesebuah negara yang mempunyai korelasi dengan kedudukan ekonomi negara itu, sekurang-kurangnya dari segi pendapatan per kapita.
Jangka hayat penduduk Amerika Syarikat dan Jepun lebih panjang daripada jangka hayat penduduk Malaysia dan jangka hayat penduduk Malaysia lebih panjang berbanding negara jiran yang lebih rendah pendapatan per kapitanya.
Melalui isyarat itu Tuhan seolah-olah memberitahu bahawa apa yang dihujahkan oleh Pendeta Za'ba kira-kira tujuh puluh tahun dahulu adalah benar.
Semasa Malaysia baharu merdeka, jangka hayat penduduk kita hanyalah lebih sedikit daripada empat puluh tahun tetapi data terkini menunjukkan jangka hayat penduduk telah dipanjangkan menjadi 73 tahun untuk lelaki dan 75 tahun untuk wanita. Perubahan ini ketara berkaitan (saya belum berani mengatakan ia suatu hasil) dengan transformasi afirmatif kerajaan dalam membangunkan ekonomi dan sosial penduduk Malaysia.
Transformasi ekonomi dan sosial yang selalu diejek oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dan memperkecilkannya telah menampakkan kesan perubahan yang sangat besar hanya dalam tempoh dua puluh tahun. Dasar Ekonomi Baru telah bukan sahaja telah merubah kadar kemiskinan daripada 50 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus pada tahun 1990, sebaliknya, Malaysia sekarang telah mencapai lebih baik daripada sasaran sekadar 16 peratus itu kepada tahap di bawah 3 peratus.
Tentulah dengan menurunnya kemiskinan bererti Malaysia telah dapat memberikan kemewahan hidup relatif kepada penduduknya. Saya katakan begini kerana lawan kepada perkataan kemiskinan lazimnya tentulah kemewahan. Dalam hal ini kemewahan seperti mempunyai hubungan dengan kelebihan jangka hayat manusia.
Kemewahan telah dapat mengurangkan penyakit yang membawa maut, kemewahan dapat memberikan laluan hidup harian yang sihat dan kemewahan dapat memberi peluang hijrah penduduk yang hidup di pinggir hutan dan sering diserang malaria kepada kehidupan yang sedikit bebas daripada keperluan bertempur dengan keganasan alam.
Meskipun isyarat Tuhan bahawa usia boleh dipanjangkan dengan kemajuan ekonomi namun saya juga mengamati bahawa saya tidak dapat menolak yang jangka hayat juga boleh dipendekkan atau dipanjangkan melalui doa. Saya katakan begini kerana saya percaya Tuhan amat mendengar dan faham maksud doa hambanya.
Apakah maksud doa? Kepada saya doa ialah apa yang dihajatkan oleh seseorang melalui hatinya, melalui pertuturannya dan melalui perbuatannya atau salah satu daripadanya secara berterusan dan setiap hari.
Bosnia misalnya, pernah mewah. Sebagai tandanya Bosnia pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim sejuk. Bukan calang-calang untuk sebuah negara itu boleh menjadi tuan rumah sukan sedemikian selain faktor iklimnya. Tetapi, Bosnia kemudiannya hancur dan perlu dibantu oleh negara yang suatu masa dulu lebih ke belakang ekonominya seperti Malaysia.
Beberapa negara jiran Malaysia juga suatu ketika dahulu lebih mewah daripada Malaysia tetapi sekarang menerima secebis dua ihsan daripada Malaysia. Mungkinkah ini berkaitan dengan apa yang diniatkan, dituturkan dan tingkah laku penduduknya yang berdoa?
Malaysia telah mencapai kemewahan yang berpatutan mengambil kira tempoh masa hanya kira-kira 40 tahun selepas transformasi ekonomi dan sosial melalui dasar afirmatif. Usia semakin panjang, kesihatan bertambah baik, pergerakan semakin pantas, percakapan lebih bebas dan terbuka tetapi terdapat segolongan penduduk yang seperti terus menerus berdoa supaya semua ini dilenyapkan dan diganti dengan yang lain seperti cerita suatu bangsa yang begitu menarik dibaca dalam keseluruhan surah al-Baqarah dalam kitab suci al-Quran. Bangsa itu tidak pernah puas hati dengan nikmat yang diperoleh. Niat mereka, pertuturan mereka dan perbuatan mereka seluruhnya menggambarkan mereka menolak nikmat yang diterima.
Sambil-sambil saya melayari pelbagai blog dan Facebook saya, saya terfikir adakah gerakan Bersih boleh saya lihat dalam konteks takdir dan doa? Apakah niat, pertuturan riuh-rendah, dan gerak laku sekumpulan rakan senegara saya ini menggambarkan doa mereka untuk menolak nikmat yang ada dan menggantikannya dengan yang lain yang belum pasti.
Mitos kebebasan yang lebih baik, pentadbiran yang lebih bersih dan telus, kehidupan yang tidak dipermainkan oleh pihak berkuasa yang semuanya itu kekal tidak pasti dijadikan seperti pasti.
Nampaknya rakan-rakan saya lebih selesa menjadi sebilangan sasterawan yang berminat untuk bermain dengan mitos berbanding dengan permainan sains yang lebih relatif pasti. Sains melihat semalam telah berlalu, esok setakat boleh diramal dan hari ini dan sekarang adalah data yang pasti.
Ada rakan-rakan saya seperti menolak hari ini dan sekarang, yang pasti kerana melayan peristiwa semalam dan esok yang belum menjanjikan apa-apa tetapi menyeronokkan untuk diramal. Jika sesuatu berlaku nanti adakah rakan-rakan saya akan mengatakan 'apakan daya ini takdir kita' atau berani berdiri mengaku 'bencana ini adalah hasil doa kami!'
0 ulasan: on "Gagasan Bersih dan falsafah takdir"
Catat Ulasan