CERAMAH DAP DI BATU PAHAT
AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 4 Julai 2011 melalui ruangan Johor pula melaporkan beberapa berita berkaitan parti pembangkang.
Tajuk pertama melaporkan kenyataan Teng Chang Khim mengenai cerdik pandai Johor yang ramai lari keluar dari negeri itu.
Menurut Chang Kim, beliau kesal melihat rakyat di negeri itu bekerja di luar dan anak tempatan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain. Ada yang menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang dan ada yang menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri di Selangor.
Katanya, kelebihan pada kerajaan pembangkang di beberapa negeri yang diperintahnya adalah ketelusan yang tinggi, pengurusan kukuh dan menghormati kepentingan rakyat.
Tambahnya, kumpulan cerdik pandai yang memberi keuntungan dalam mata wang asing semuanya tinggal di luar negara. Oleh itu, rakyat di negara ini sepatutnya berani membuat perubahan, dengan itu barulah negara ini mempunyai masa depan yang cerah.
Makan malam yang diadakan di Batu Pahat itu juga memecahkan beberapa rekod termasuk 222 meja makan manakala majlis tersebut berlangsung sehingga pukul 12 tengah malam sehingga Lim Guan Eng menamatkan ceramah beliau.
Semasa Guan Eng memberi ceramah, beliau menyentuh tentang prestasi tiga tahun DAP memerintah Pulau Pinang. Katanya, Johor amat kaya dengan sumber asli dan mempunyai ramai cerdik pandai tetapi prestasi kewangan kerajaan negeri itu tewas kepada Pulau Pinang yang kedua terkecil di Malaysia.
Selain itu, beliau mengejek Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kerana tidak tahu membaca kewangan kerajaan Pulau Pinang dan kerana itu menuduh hutang kerajaan negeri itu semakin tinggi.
Batu Pahat Ramai Pemimpin DAP Berwibawa
Berita seterusnya melaporkan kenyataan Boo Cheng Hau yang mendakwa Johor mempunyai ramai pemimpin DAP berwibawa seperti Lim Kit Siang, Teng Chang Khim, Teo Nie Ching dan Tony Pua Kiam Wee yang semuanya berasal dari Batu Pahat. Namun, DAP tidak pernah menang satu kerusi pun di Batu Pahat iaitu kerusi Parlimen dan kerusi DUN di kawasan Penggaram.
Selain menyeru penduduk Batu Pahat menyokong parti itu, beliau turut mengkritik pihak kerajaan yang menggunakan kesan cap jari untuk pelancong asing kerana ia tidak memberi kesan memandangkan pihak pengganas dan pendatang asing tanpa izin tidak menggunakan laluan pintu masuk disediakan.
Katanya, gerakan seperti itu hanya dilakukan pada musim cuti sekolah kerana melibatkan keluar masuk pelancong yang ramai, menyebabkan pintu keluar masuk Singapura dan Johor Bahru sesak.
Pembangkang Ada Harapan Memerintah Kerajaan Pusat
Laporan berikutnya menyentuh dakwaan Liew Chin Tong yang menyatakan MCA sebenarnya bukan lagi harapan untuk rakyat sejak 1982. Sama ada hari ini MCA ada ataupun tidak, itu sudah tidak penting lagi.
Beliau berkata, sebelum Pilihan Raya Umum 2008, DAP tiada pengalaman memerintah tetapi di Pulau Pinang, dengan hanya peruntukan bajet RM800 juta, DAP sudah dapat mentadbir negeri itu dengan baik.
Katanya, pada 2008, sebenarnya pihak kerajaan BN hanya menang 85 kerusi Parlimen dengan kemenangan 49 peratus tiket undi di Semenanjung. Pembangkang pula menang 80 kerusi Parlimen dengan kemenangan 51 peratus tiket undi.
Di Johor, Sabah dan Sarawak, sebanyak satu pertiga tiket menyokong pembangkang dan bukanlah hanya impian lagi untuk pembangkang memerintah Kerajaan Pusat kelak.
JANGAN BUAT PERHIMPUNAN HARAM
AKHBAR China Press bertarikh 2 Julai 2011 dalam ruangan perbincangan rakyat memaparkan nukilan Liang Teck Meng mengenai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan Sabtu ini.
Katanya, semasa beliau berjalan kaki menuju ke sebuah hotel untuk menghadiri majlis makan malam di Kuala Lumpur pada Isnin (27 Jun 2011) tiba-tiba melintas di hadapannya beberapa buah motosikal sebelum lebih 100 buah motosikal lain mengekori di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (sambil mengibarkan bendera dan membunyikan hon kenderaan), kemudiannya dengan laju menghilangkan diri.
Dalam kumpulan itu, ada yang memakai topi keledar, ada tidak dan ada yang menunggang motor melawan arus tanpa mengikut peraturan jalan raya.
Keesokannya, beliau mendapat tahu melalui akhbar bahawa kumpulan itu adalah daripada ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat tunjuk perasaan. Ini disebabkan Pemuda UMNO mahu melancarkan tunjuk perasaan berkaitan perhimpunan Bersih, maka PKR memulakan gerakan itu terlebih dahulu. Perkasa pula tidak mahu mengalah, mereka juga secara agresif mengumpulkan pengikut mereka.
Tambahnya, semasa menonton berita NHK, kerajaan Jepun dilaporkan mengeluarkan amaran di hujung laporannya dengan menasihatkan rakyatnya jangan pergi ke negara yang sedang bergolak demi keselamatan diri.
Apa yang sering dipaparkan oleh negara itu adalah negara-negara Afrika dan Asia Barat yang sedang bergolak. Namun, sejak perhimpunan Bersih dilaporkan akan diadakan secara besar-besaran, beliau bimbang siaran TV Jepun NHK akan membuat laporan serupa dan menasihatkan rakyat mereka supaya jangan datang ke Malaysia untuk sementara waktu.
Katanya, dunia maklumat kini sangat canggih, sesuatu berita dalam beberapa saat boleh disebarkan kepada jutaan manusia. Jika Malaysia berlaku sedikit huru-hara, seluruh dunia boleh melihatnya.
Tambahnya, dikhabarkan golongan yang tidak berpuas hati terhadap hak asasi manusia itu adalah satu daripada pendekatan demokrasi. Ada orang mengambil contoh di Amerika: “Anda tidak ada kawasan lapangan seperti White House di Amerika yang selalu ada orang yang membawa sepanduk?
Pernahkah anda lihat mereka ditangkap oleh polis? Kita hanya mahu perhimpunan secara aman, tidak membawa sebarang senjata, semua orang perlu mendisiplinkan diri”.
Katanya, tunjuk perasaan di White House hanya ratusan orang sahaja, tetapi perhimpunan Bersih dijangkakan puluhan ribu orang.
Sama ada 10,000 orang mahupun 100,000 orang yang berhimpun di jalanan, ia tidak boleh dikawal dengan mudah. Apa yang polis bimbangkan adalah anasir luar yang akan mengambil kesempatan merusuh dalam perhimpunan itu ataupun akan berlaku pergaduhan antara kaum.
Setiap negara mempunyai budaya sendiri termasuk di Amerika. Setiap negeri di Amerika juga mempunyai undang-undang. Contoh yang nyata adalah isu hubungan sejenis yang sah dari segi undang-undang di Amerika. Ramai juga orang Eropah yang berkunjung ke sana suka berbogel di tepi laut untuk berjemur di tengah panas matahari.
Jika mahu gunakan sistem demokrasi seperti di Amerika, adakah ia melambangkan demokrasi dan negara kita mengizinkan orang berbogel di tengah panas matahari seperti itu? Sudah tentu jawapannya tidak, kerana budaya kita tidak sama dengan mereka.
Tambahnya, menjaga keselamatan dan keamanan adalah tanggungjawab polis dan setiap warganegara. Beliau sangat kagum kerana negara ini adalah negara kedua paling aman dalam penilaian antarabangsa di rantau Asia, hanya selangkah di belakang Jepun.
Pada masa sama, ramai pelancong dan pelabur asing berkunjung ke Malaysia. Oleh itu, katanya, tolonglah jangan sertai mana-mana perhimpunan haram.
0 ulasan: on "Bersih ; Isu-Isu Akhbar Cina"
Catat Ulasan