Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 8 Julai 2011

Khutbah Jumaat : Perosak keamanan musuh agama

Rakyat jangan terpengaruh cubaan huru-harakan negara

KITA bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Perpaduan kunci kejayaan dan dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi pelbagai tugas hidup.
Sebaliknya, tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan luar biasa. Sebab itu apabila ada umat yang bersatu padu, maka kejayaan cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku dalam kalangan umat, maka buruklah akibatnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, melainkan di kampung yang berbenteng kukuh atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (Surah al-Hasyr, ayat 14)

Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi serta merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat.

Kita dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah kesan rapuhnya perpaduan dan perpecahan yang berlaku. Malah apa yang paling malang, jika perpecahan dan perbalahan terjadi di kalangan umat Islam seperti berlaku di beberapa negara Islam di Asia barat.

Negara kaya-raya dan aman suatu ketika dulu tapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya negara itu runtuh serta ekonominya hancur.

Mimbar ingin menarik perhatian jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh tahun lamanya.

Kita semua maklum agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah mewujudkan perpaduan antara penganut Islam. Umat Islam diikat erat melalui konsep tauhid, kiblat, kitab dan pemimpin yang satu.

Dalam pada itu Baginda dan sahabat juga sentiasa diterjah pelbagai ancaman musuh Islam yang didalangi Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan persaudaraan Islam. Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah.

Antaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan seperti menghasut supaya dibina masjid bagi menyaingi masjid Kuba’ yang sangat berjaya diimarahkan. Musuh Islam juga menggunakan taktik menunjuk perasaan seperti berlaku dalam peperangan Uhud.

Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera daripada menyertai angkatan bersenjata Islam. Namun Rasulullah SAW dan sahabat dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.

Hari ini sekali lagi pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara. Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini?

Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah. Pelbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah. Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan pelbagai cara.

Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

Mimbar ingin menegaskan sesiapa yang terbabit dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara.

Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru supaya tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka.

Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air kita daripada dicerobohi musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan.

Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama mereka yang benar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.” (Surah Ali-Imran, ayat 160)

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Khutbah Jumaat : Perosak keamanan musuh agama"

Catat Ulasan