Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 6 Julai 2011

Bagaimana konsep raja berperlembagaan wujud di Malaysia

Konsep demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita pada hari ini adalah satu konsep yang telah digunakan sejak negara kita mencapai kemerdekaan lagi meskipun pengertian dan penggunaan konsep demokrasi itu telah lari sedikit dengan sekatan undang-undang selepas daripada Peristiwa 13 Mei 1969.

Demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan ini jika dilihat, terbahagi kepada dua bentuk pentadbiran atau pemerintahan iaitu sistem federalisme dan doktrin pengasingan kuasa. Konsep federalisme boleh dikatakan telah lama wujud. Jika dilihat dari konsep sejarah di negara kita sendiri, kita dapat melihat konsep ini telah diguna pakai sejak tahun 1896 dalam

Perjanjian Persekutuan 1895 lagi apabila konsep kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan kepada empat buah negeri yang dijajah oleh British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Sebelum ini, keempat-empat negeri ini diperintah oleh Residen masing-masing dengan menggunakan kuasa yang telah diberikan.

Pentadbiran sebelum ini tidak ada kesamaan langsung kerana kuasa Residen adalah terlalu luas. Mereka memerintah sesuka hati mereka sahaja. Lantaran itu, kemajuan dikeempat-empat negeri itu adalah berbeza-beza antara satu sama lain. Terdapat juga negeri yang berhutang terlalu banyak dengan kerajaan negeri lain iaitu kerajaan negeri Perak yang berhutang dengan kerajaan negeri Selangor.

Atas masalah-masalah ini, pihak British telah mengambil inisiatif baru dengan menggabungkan negeri-negeri ini dibawah satu pentadbiran dan dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada masa inilah kita dapat melihat bagaimana konsep federal mula-mula sekali diamalkan di negara kita dimana satu kerajaan pusat yang memerintah atau memegang kuasa tertentu dan diketuai oleh seorang Residen Jeneral dan empat negeri lain yang mana setiap negeri diketuai oleh seorang Residen dan memerintah negeri masing-masing berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan. Setelah konsep ini diperkenalkan, keadaan di setiap negeri bertambah baik dan banyak masalah dapat diatasi dengan kelahiran konsep federal ini.

Kuasa yang telah diberikan kepada kerajaan pusat dan juga kuasa yang telah diberikan kepada kerajaan negeri adalah terhad dan tidak akan ada sebarang campurtangan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam beberapa hal. Kedua-dua kerajaan ini telah bersetuju untuk bekerjasama dalam banyak bidang untuk memastikan tujuan-tujuan dan semua misi negara dapat dicapai. Namun demikian, di Malaysia pada hari ini, terdapat beberapa hal yang dikongsi bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu sendiri. Ini kerana, tidak semua perkara dapat dilakukan atau dikawal sepenuhnya oleh satu pihak sahaja. Kerjasama antara kedua-dua kerajaan ini diperlukan untuk melicinkn lagi pentadbiran yang sedia ada.

Antara contoh negara yang menjalankan dan menggunakan konsep fedaralisme ini ialah Amerika Syarikat, India dan Australia. Secara amnya, konsep fedaralisme yang dipraktikkan dalam semua negara-negara yang menggunapakai konsep ini adalah sama iaitu terdapat pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia adalah sama dengan doktrin pengasingan kuasa yang digunakan di Amerika Syarikat. Doktrin pengasingan kuasa adalah satu bentuk pemerintahan yang mana terdapat pembahagian kuasa antara tiga badan utama yang bertanggungjawab dalam banyak bidang di negara kita pada hari ini. Pengagihan kuasa ini adalah antara badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Seperti juga konsep federalisme, konsep ini adalah bertujuan untuk mengagihkan kuasa.

Namun demikian, konsepnya berbeza sedikit kerana pengagihan kuasa ini bukanlah antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tetapi ia adalah antara tiga badan tadi yang kami nyatakan. Konsep doktrin pengasingan kuasa ini adalah untuk memastikan satu-satu kuasa itu tidak dipegang oleh satu badan yang sama sahaja dan kuasa itu tidak juga dipegang oleh orang yang sama. Namun begitu, pada hari ini, apa yang aku nampak yang berlaku di Malaysia, konsep doktrin pengasingan kuasa ini tidaklah begitu bersih.

Secara amnya, konsep doktrin pengasingan kuasa ini mempunyai beberapa ciri-ciri umum seperti berikut:

1.Terdapat pemisahan kuasa antara tiga kelompok kuasa iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman seperti di atas.

2.Setiap cabang kuasa dianggotai dan dikuasai oleh orang atau kelompok yang berbeza

3.Mesti berlaku check and balance antara satu sama lain mengikut peranan masing-masing

4.Setiap cabang kuasa tidak boleh diganggu, campurtangan atau pengaruhi oleh cabang kuasa lain.

Dalam sistem federalisme di Malaysia, ketua negara adalah Yang di-Pertuan Agong. Baginda adalah seorang Raja Berperlembagaan. Di sini, Raja Berperlembagaan adalah raja yang memerintah secara terikat mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan. Baginda memerintah berdasarkan kuasa yang telah diberikan kepada baginda.

Ini bermakna, baginda tidak boleh untuk memerintah secara mutlak mengikut kehendak hatinya sendiri. Baginda memerintah mengikut nasihat jemaah menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Baginda mempunyai keutaman yang lebih daripada orang lain di Malaysia dan tidak boleh didakwa di dalam perbicaraan mana-mana mahkamah sekalipun. Sekarang mcm mana ek?

Sebelum ini, iaitu sebelum tahun 1957 dimana Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, terdapat sembilan orang raja-raja Melayu yang berkuasa ke atas negeri masing-masing. Setelah kemerdekaan dicapai, institusi Yang di-Pertuan Agong telah dibentuk dan dengan itu, seorang daripada mereka dipilih bagi setip lima tahun untuk memegang jawatan tersebut. Namun demikian, takhta Yang di-Pertuan Agong tidak diturunkan kepada warisnya. Takhta Yang di-Pertuan Agong diperolehi secara lantikan mengikut Jadual iii Perlembagaan Malaysia.

Baginda dipilih mengikut kekananan dalam negara. Pemilihan dilakukan oleh Majlis Raja-raja daripada sembilan orang Raja-raja Melayu yang ada di Malaysia. Para Raja Melayu akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong. Satu senarai akan dibuat dan seorang raja yang menduduki tempat terkanan sekali akan ditawarkan jawatan itu. Jika baginda menolak, raja kedua yang berada pada tempat terkanan sekali akan diplih.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong terbahagi kepada dua iaitu kuasa berdasarkan nasihat dan juga kuasa berdasarkan budi bicara baginda sendiri. Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri akan menasihatkan baginda dalam soal pemerintahan. Baginda tidak mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat dalam pemerintahan atau dalam Parlimen. Walaupun baginda adalah sebahagian daripada Parlimen, tetapi kuasa baginda adalah terbatas dan baginda sendiri tidak bersidang bersama dalam Parlimen.

Tugas yang dimaksudkan dalam kuasa berdasarkan nasihat ini adalah tugas eksekutif persekutuan.Tugas berdasarkan budi bicara baginda sendiri adalah seperti melantik Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, sebenarnya tugas melantik Perdana Menteri ini adalah dinasihatkan sendiri oleh Perdana Menteri yang akan bersara. Baginda juga mempunyai kuasa untuk membantah pembubaran Parlimen jika Parlimen hendak dibubarkan. Pengisytiharan pembubaran Parlimen hanya boleh dilakukan oleh baginda sendiri.

Namun, pengisytiharan ini juga dinasihatkan oleh Perdana Manteri sendiri. Begitu juga dengan pengisytiharan darurat. Baginda mempunyai kuasa untuk mengisyitiharkan darurat jika baginda sendiri telah berpendapat bahawa keadaan memang benar-benar memerlukan pengisytiharan darurat dibuat. Namun demikian, seperti juga penyataan tadi, pengisytiharan ini hendaklah atas nasihat Perdana Menteri.

Baginda juga boleh memanggil raja-raja lain untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja. Baginda juga boleh membuat segala keputusan dalam mesyuarat itu.Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Oleh yang demikian, apabila seorang Yang di-Pertuan Agong bertukar, maka secara automatiknya, Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera juga akan bertukar.

Baginda juga selain itu berkuasa dalam memperkenankan rang undang-undang sebelum ia menjadi undang-undang. Namun demikian, jika baginda tidak memperkenankan rang undang-undang itu dalam tempoh lima belas hari daripada rang undang-undang itu dipersembahkan kepada baginda, rang undang-undang itu tetap akan diluluskan dengan menganggap rang undang-undang itu telah dipersetujui oleh baginda. Ini kerana, rang undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen dimana seperti yang kita ketahui, Parlimen terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, apabila rang undang-undang telah diluluskan oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka rang undang-undang itu dikatakan sebenarnya telah sah dan hanya memerlukan cop mohor daripada baginda atas nasihat Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, bagi undang-undang yang menyentuh hak, kemuliaan, kedudukan, keistimewaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, ia perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu terlebih dahulu jika hendak diluluskan. Baginda juga bertindak sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia dan juga negeri-negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Di peringkat negeri pula, ketua kerajaan adalah Sultan-sultan Melayu, Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri. Mereka menjalankan tugas dengan nasihat daripada Menteri Besar atau pun Ketua Menteri. Mereka seperti juga Yang di-Pertuan Agong, tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negeri masing-masing. Mereka juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing kecuali bagi empat negeri yang mana ketuanya adalah Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa ke atas mana-mana negeri lain dan begitu juga sebaliknya. Setiap Ketua Negeri juga tidak mempunyai kuasa ke atas negeri-negeri yang lain. Negeri-negeri yang mempunyai sultan atau raja, takhta kerajaan adalah berdasarkan konsep pewarisan takhta daripada sultan yang sedang memerintah kepada putera mahkota. Apabila baginda sultan mangkat, putera mahkota akan menaiki takhta kerajaan negeri.

Bagi negeri-negeri yang tidak beraja pula, perlantikan Yang di-Pertua Negeri adalah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka dilantik daripada kalangan orang awam yang biasanya mempunyai jasa yang besar kepada negeri masing-masing. Keempat-empat Yang di-Pertua Negeri boleh turut sama dalam mesyuarat Majlis Raja-raja dan mereka seperti juga Sultan-sultan dan Raja Melayu akan disertai oleh Ketua Menteri masing-masing sebagaimana Menteri Besar menyertai Ketua Negeri mereka dalam mesyuarat itu. Namun demikian, dalam persidangan yang menyentuh perkara perlantikan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya dan juga apabila Majlis membincangkan keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau yang berkaitan dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.

Mereka hanya akan turut besidang dalam Majlis apabila Majlis membincangkan perkara yang berkaitan dengan dasar negara dan juga bagi perkara-perkara untuk meluluskan rang undang-undang atau mana-mana lantikan selain lantikan Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya yang jika dilihat dalam Perlembagaan, ia memerlukan persetujuan daripada Majlis Raja-raja ini. Setiap Ketua Negeri juga bertanggungjawab dalam melantik Menteri Besar, tidak mempersetujui permintaan membubar Dewan Negeri, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja seperti kuasa Yang di-Pertuan Agong, berkuasa dalam istana dalam hal membuat peraturan, memberi darjah-darjah kebesaran dan pangkat negeri atas nasihat menteri besar dan melantik warisnya, permaisuri dan pemangkunya.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Bagaimana konsep raja berperlembagaan wujud di Malaysia"

Catat Ulasan