KAMU adalah anak Pulau Bidong. Itulah hakikat yang harus diterima oleh seorang pengarah muda dari Austria dan anak bekas pelarian pasangan Vietnam suatu ketika dahulu, Nguyen Martin.
Martin dan Pulau Bidong memang tidak boleh dipisahkan. Pulau kecil yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Kuala Terengganu, Terengganu dan berada dalam perairan Laut China Selatan itu mempunyai makna yang cukup dalam kepadanya.
Di pulau sebesar 40.49 hektar itulah dia dilahirkan oleh pasangan Nguyen Van Quang dan Nguyen Thi Bay tiga dekad lalu. Tanpa kemudahan asas yang baik, Martin lahir pada 23 Mei 1980.
Dia lahir dalam kelompok masyarakat pelarian Vietnam yang pada ketika itu menjadikan Pulau Bidong sebagai negara sendiri.
"Selama tiga dekad, saya tidak pernah merasakan diri saya sebagai pelarian. Saya membesar di Austria dan saya adalah rakyat Austria," kata Martin ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati Martin, dia tidak boleh lari daripada hakikat dan fakta sejarah yang telah dicatat oleh kedua-dua ibu bapanya. Malah, Martin sentiasa mengenang nasib yang telah dilalui oleh keluarganya tiga dekad lalu.
"Kadangkala terdetik di hati saya tentang asal usul saya. Saya rasa tidak seperti orang lain dan terasa asing," ujarnya.
Mengikut sejarah, suatu ketika dulu Pulau Bidong menempatkan kem pelarian yang dibina kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) pada tahun 1978.
Ketika ditutup pada tahun 1991, kira-kira 250,000 pelarian atau lebih dikenali sebagai orang hanyut berada di kem tersebut sebelum penghijrahan besar-besaran ke Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan Perancis.
Keluarga Martin antara yang terawal mendarat di Pantai Merang, Setiu pada bulan April 1979 turut merasai keperitan bergelar pelarian sebelum ditempatkan di kem Pulau Bidong sebulan kemudian.
Mereka pernah merasai keperitan berkongsi tempat tidur, makanan dan kehidupan. Hanya semangat yang ada untuk terus hidup.
Bagaimanapun, kemuncak kepada derita yang dialami pasangan Van Quang, 51, dan Thi Bay, 51, ialah ketika melahirkan Martin. Martin lahir sebagai anak pelarian di sebuah kem pelarian di Pulau Bidong.
"Kedua-dua ibu bapa saya meninggalkan negara asal kami di selatan Vietnam akibat tekanan politik yang tidak menentu. Mereka mendarat di Pantai Merang, Setiu sebelum ditempatkan di sebuah kem pelarian," tambah Martin.
Sepanjang berada di Pulau Bidong, tidak terlintas di dalam fikiran pasangan Van Quang dan Thi Bay bahawa suatu hari nanti mereka akan menjadi warga Austria, sebuah negara yang terletak kira-kira 9,600 kilometer (km) dari Pulau Bidong.
Negara Eropah Tengah tanpa pantai dan bersempadan dengan Jerman dan Republik Czech itu menjadi penyelamat kepada keturunan pasangan petani dari Vietnam itu.
Dunia baru Martin
Sebulan selepas Martin dilahirkan iaitu sekitar Jun 1980, Van Quang dan Thi Bay membuat keputusan menyertai misi UNHCR untuk menghantar pelarian-pelarian Pulau Bidong ke negara dunia ketiga.
"Kami akur dengan keputusan ini walaupun kami tidak tahu bagaimana kehidupan di Austria.
"Kami perlu berhijrah demi masa depan dan anak kami. Kami juga perlu cekal untuk melalui kehidupan baru di Austria," kata Van Quang ketika ditemui pada misi menjejaki seorang askar Melayu bernama Ali.
Tuah terus menyebelahi keluarga Van Quang apabila kehadiran mereka di Vienna iaitu ibu kota Austria disambut baik oleh masyarakat setempat.
Malah, Van Quang juga berpeluang bertemu dengan ramai bekas-bekas pelarian Vietnam yang menetap di negara itu.
Penghijrahan keluarga Martin ke Austria ternyata membawa perubahan besar kepada kehidupannya.
"Pada peringkat awal, ayah hanya bekerja sebagai petani dan itulah satu-satunya pekerjaan yang sesuai untuk keluarga pelarian seperti kami.
|
|
"Bagaimanapun, Austria merupakan sebuah negara yang hebat untuk dihuni dan mempunyai taraf hidup yang cukup tinggi. Di negara inilah saya menemui kehidupan baru," cerita Martin yang mempunyai seorang adik lelaki dan seorang perempuan.
Belajar dan membesar dalam dunia baru, Martin tidak kekok menyesuaikan dirinya dengan persekitaran di Austria.
Seperti kanak-kanak lain, Martin menerima pendidikan yang baik sehingga dia berjaya menggenggam segulung sarjana dalam bidang Sains Komunikasi dari Universiti Vieena, Austria.
Minatnya dalam bidang komunikasi dan penyiaran dikembangkan menerusi penglibatannya dalam pengarahan filem pada tahun 2002, iaitu dua tahun selepas Martin menamatkan pengajian peringkat sarjana muda.
Sejak 2002, lapan tahun yang lalu, Martin terlibat dalam sembilan pengarahan filem di Austria. Kebanyakannya lebih bercorak dokumentari dan kisah hidup.
"Saya bangga dengan cara hidup saya dan saya begitu menghormati sejarah yang dilalui oleh keluarga saya. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk mengarahkan sebuah filem dokumentari mengenai kisah hidup kedua-dua ibu bapa saya," tambah Martin.
Filem yang bertajuk Tomorrow You Will Leave itu diterbitkan oleh Golden Girls Film Production. Filem tersebut mengisahkan perjalanan hidup kedua-dua ibu bapa Martin ketika mula-mula bergelar pelarian di Pulau Bidong pada tahun 1979.
Filem dokumentari itu mendapat sentuhan daripada beberapa pakar terkemuka seperti jurukamera Birgit Gudjonsdottir, jurubunyi Atanas Tcholakov dan Peter Janecek selaku penerbit. Dokumentari itu mengisahkan bagaimana kedua-dua ibu bapa Martin menjejaki seorang askar Melayu di Kuala Terengganu.
Usaha jejak Ali
"Ibu bapa saya kembali ke Terengganu selepas 32 tahun semata-mata untuk mencari seorang askar Melayu bernama Ali. Ali merupakan individu yang pernah menolong mereka ketika mula-mula mendarat di Pantai Merang, Setiu.
"Untuk dokumentari ini, saya dan kru akan merakam setiap usaha untuk menjejak Ali termasuk mencari dari rumah ke rumah dan berjumpa dengan wartawan Malaysia," kata Martin yang banyak mendapat bantuan daripada bekas petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Rosli Mohamad untuk menjejaki Ali.
Menurut Martin, Tomorrow You Will Leave yang merupakan lagu tema bagi pelarian-pelarian Vietnam di Pulau Bidong bakal disiarkan di Austria tahun depan.
Sekalipun tidak layak menuntut hak sebagai anak Malaysia, Martin bangga kerana menjadi sebahagian daripada negara ini.
Menurut Martin, walau di mana juga dia berada faktanya ialah dia adalah anak kelahiran Pulau Bidong. Malah, Martin mengakui sampai bila-bila pun nama Pulau Bidong akan tercatat dalam surat kelahirannya.
"Saya tahu saya bukan warganegara Malaysia, tetapi saya telah melalui satu pengalaman yang cukup indah bersama masyarakat di sini. Saya dan keluarga telah mendapat layanan terbaik sejak saya lahir di sini tiga dekad lalu," luah Martin.
Dia juga sentiasa bersyukur kerana masyarakat Malaysia sentiasa menerima kehadirannya sama ada sebagai pelarian ataupun orang luar.
"Sejauh mana pun kami pergi, semua orang sudi bercakap dengan kami dan menjemput kami ke rumah mereka. Itulah perkara yang akan saya kenang sampai bila-bila sebagai anak pelarian," katanya.
0 ulasan: on "Kisah anak Pulau Bidong"
Catat Ulasan