KUALA LUMPUR 16 Sept. - Sambutan Hari Malaysia diharap dapat mempercepatkan proses integrasi sosial dan psikologi rakyat berbilang kaum dan wilayah di negara ini demi mencapai cita-cita menjadi sebuah negara maju yang stabil, aman dan bersatu-padu menjelang 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat yang cintakan negara tidak sepatutnya membenarkan sentimen kewilayahan membantutkan usaha meningkatkan integrasi nasional dan melonjakkan kemajuan negara.
Menurutnya, pembangunan dan kemajuan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan dan kerjasama yang dijalin sebagai warga Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan sempadan wilayah sejak sekian lama.
''Hindarilah jerat permusuhan yang sengaja dipasang oleh pihak-pihak tertentu dengan mengapi-apikan sentimen perkauman dan kewilayahan yang melampau semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.
''Dengan semangat jitu 1Malaysia, ayuh kita bina sebuah negara Malaysia yang bersatu, aman dan makmur secara bersama. Marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang bersejarah ini untuk memperbaharui tekad mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu-padu dengan mengeratkan silaturahim di antara kita,'' katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Tambah Muhyiddin, para pemimpin negara menubuhkan Malaysia 47 tahun yang lalu dengan satu hasrat dan tekad untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan wilayah serta memajukan negara secara bersama.
''Berlandaskan prinsip Negara Persekutuan, negeri-negeri yang membentuk Malaysia mendapat jaminan hak untuk mengecap nikmat pembangunan dan kemakmuran secara adil dan pada masa sama memikul tanggungjawab serta amanah untuk sentiasa memelihara keutuhan negara dan kesepaduan warganya,'' katanya.
Menurutnya, masyarakat di negara ini harus bersyukur kerana sepanjang lebih empat dekad Malaysia muncul sebagai negara membangun yang paling berjaya di dunia.
''Berkat kerjasama erat seluruh rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama dan wilayah, Malaysia telah mengorak langkah sebagai negara yang bersatu, aman dan makmur.
''Negeri-negeri yang dahulunya mundur dan terpinggir daripada arus kemajuan telah mendapat limpahan nikmat pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi yang bukan sedikit,'' jelasnya.
Beliau seterusnya mengajak rakyat merenung semula pengorbanan pemimpin terdahulu menyatukan seluruh warga Malaysia dan memajukan negara sebagai pembakar semangat untuk lebih maju ke hadapan.
''Tidak dinafikan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama telah banyak mengharumkan nama negara di serata dunia, namun banyak lagi yang boleh dilakukan untuk terus memacu kejayaan Malaysia,'' ujarnya.
0 ulasan: on "Hari Malaysia percepat proses integrasi rakyat - Muhyiddin"
Catat Ulasan