|
|
BERTEMU dengan bekas anggota keselamatan yang pernah berkhidmat suatu masa dahulu sama ada di zaman Jepun mahupun British bukanlah mudah.
Ada yang telah menemui Illahi kerana usia dan tidak kurang juga sedang sakit tua atau gagal dijejaki.
Kalau ada pun, mereka yang merupakan pejuang negara itu, kini lemah daya ingatan, pertuturan kurang jelas, juga disebabkan kerana faktor usia.
Namun pertemuan dengan Tok Wan di Kampung Boyan, Taiping, Perak, kira-kira dua minggu lalu, benar-benar mencatat kenangan tersendiri penulis.
Tidak tergambar bagaimana lelaki berusia 82 tahun itu masih kuat dan segak berbaju Melayu menyambut kedatangan kami serta rombongan pejabat perhubungan awam (PRO) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Bukan sahaja masih sihat dengan mampu berdiri dan berjalan, warga emas itu turut memiliki daya ingatan yang tajam.
Malah boleh mengingati hampir setiap detik penting dan sejarah negara yang pernah dilaluinya.
Mengungkap kembali latar belakang Tok Wan atau nama sebenarnya, Mohd. Sobri Ariffin, beliau dilahirkan di Matang, Perak, pada tahun 1928.
Atas desakan hidup, beliau memasuki alam pekerjaan ketika berusia belasan tahun sebagai peon di zaman pemerintahan Jepun.
Antara tugasnya adalah mengambil makanan untuk kakitangan. Pernah beliau dirotan sehingga terkencing kerana lambat menghantar makanan.
Selepas negara matahari terbit itu menyerah kalah dalam perang, Tok Wan bekerja sebagai kerani sebelum memasuki pasukan keselamatan pada Jun 1950.
Beliau memasuki pasukan keselamatan sebagai konstabel tambahan dengan memakai nombor badan 432.
"Kalau dibandingkan dengan latihan polis sekarang, 10 kali ganda lebih teruk di zaman Tok Wan. Iya lah kami menjalani latihan di tanah merah, makan pula nasi dan ikan bilis sahaja.
"Gaji pula rendah iaitu kira-kira RM50 sebulan," ujar Tok Wan dalam loghat utaranya yang pekat.
Selepas tamat menjalani latihan selama lapan bulan, Tok Wan diarah berkhidmat di Balai Polis Bridge Street, Pulau Pinang pada 1951, selama enam tahun.
Sepanjang berkhidmat lebih 30 tahun, Tok Wan melalui banyak pengalaman tidak dapat dilupakan semasa bertugas.
Ucapan tahniah
Di Pulau Pinang, contohnya, beliau menempuh banyak insiden rusuhan kaum yang berlaku dari semasa ke semasa. Pernah beliau terpaksa tidur di kandang babi.
Semasa di Perak, antara kenangan tidak dapat dilupakan apabila beliau menyaman seorang gadis yang tidak diketahuinya adalah anak ketua polis negeri.
"Tok Wan dipanggil pegawai untuk mengadap ketua polis negeri, namun mengejutkan apabila Tok Wan mendapat ucapan tahniah pula kerana tindakan itu," ujar beliau.
Pada 1972, Tok Wan menembak mati seorang komunis yang menyerang hendap pasukannya sejurus mereka sampai di tepi sebuah pantai.
Ketika itu, mereka mendapat maklumat berhubung kehadiran komunis di kawasan tersebut.
"Baru hendak menambat bot pada pukul 11.30 pagi, seorang rakan bernama Shamsuri ditembak oleh komunis itu. Tok Wan yang melihat komunis itu terus mencapai senjata dan menembak matinya.
"Syukurlah dalam kejadian itu, rakan Tok Wan hanya cedera," ujarnya yang mendapat surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Mohd. Salleh Ismail atas keberaniannya itu.
Pada 1983, atas sumber maklumat, Tok Wan berjaya menahan seorang lelaki yang memiliki sebanyak 580 ketul ganja di Pokok Asam, Taiping.
Atas kejayaan itu juga Tok Wan menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar.
Tok Wan juga mengalami pengalaman tidak dapat dilupakan apabila melihat mayat seorang lelaki disembelih dalam satu upacara pemujaan di Perak.
"Seorang pegawai telah memanggil Tok Wan untuk melihat mayat itu. Keadaan mangsa yang mati dalam keadaan ngeri menyebabkan Tok Wan masih ingat sampai sekarang," ujarnya.
Ditanya nasihatnya kepada warga polis, Tok Wan meminta mereka supaya ikhlas dalam melakukan setiap kerja diberi dan tidak menipu orang lain.
"Tok Wan percaya prinsip ini... Ingatlah Allah tahu apa yang baik untuk hambanya, lihatlah walaupun bergaji kecil, syukur semua anak-anak Tok Wan berjaya," ujarnya sebak.
Anak pertamanya, Zahariah mengusahakan sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang; kedua, Noorsiah sebagai Pengarah Kementerian Kesenian dan Warisan (KeKKWa), ketiga, Puan Sri Suriati dan bongsu, Zorinah sebagai peguam.
0 ulasan: on "Pengalaman berharga"
Catat Ulasan