|
|
KOTA KINABALU 16 Sept. – Rakyat digesa menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai wadah untuk mengukuh dan meningkatkan rasa cinta kepada negara bertuah ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bukan sahaja akan menjamin kesatuan dan penyatuan sedia ada di negara ini, tetapi membolehkan kejayaan yang dibina sejak 47 tahun lalu dipertahankan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Dengan ini kita akan dapat memastikan apa yang bersambung tidak akan putus dan tidak akan membiarkan fahaman ekstremis dan fanatik untuk merungkai segala yang telah dikecapi hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Malaysia 2010 di Padang Merdeka di sini malam ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun .
Perdana Menteri berkata, Hari Malaysia yang disambut hari ini tidak seharusnya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat apabila negara ini mempunyai dua tarikh keramat.
Beliau menjelaskan, kedua-dua tarikh keramat itu iaitu pada 31 Ogos dan 16 September membawa makna yang amat besar, mendalam dan amat signifikan kepada negara ini.
“Jika 31 Ogos tarikh merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan kita untuk menjadi sebuah negara lebih besar,” katanya.
Najib berkata, sejak disatukan di bawah Malaysia, Sabah, Sarawak dan Semenanjung telah melalui pelbagai cabaran getir termasuk tuntutan Filipina terhadap Sabah dan Ganyang Malaysia yang dilancarkan Indonesia.
Katanya, semua cabaran itu berjaya dilalui dan pada hari ini kerajaan sedang berusaha untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak mengecapi nikmat pembangunan seperti di Semenanjung.
Beliau menjelaskan, kerajaan serius dalam menjayakan agenda itu seperti disaksikan dalam pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menyaksikan Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.1 bilion sehingga 2012 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
‘‘Agenda itu akan jadi kenyataan tidak lama lagi jika rakyat Sabah dan Sarawak terus memilih Kerajaan Pusat dan negeri yang komited kepada membela nasib rakyat,” katanya.
0 ulasan: on "PM: Hari Malaysia wadah penyatuan"
Catat Ulasan