APA pun yang dijeritkan oleh penunjuk perasaan Bendera di Jakarta, hubungan dua hala bersejarah ini tidak boleh dirosakkan.
Ikatan Malaysia-Indonesia atau disebut sebagai Malindo cukup istimewa. Selain rumpun yang dibentuk ratusan tahun, ia juga mempunyai jaringan yang amat strategik.
Sebenarnya ada pihak yang cukup cemburu dengan hubungan dua hala kita. Mereka beranggapan selagi hubungan itu akrab, selagi itulah kedudukan mereka tidak stabil dan sempurna.
Awang beranggapan hanya mereka yang takut dengan bayang-bayang sahaja yang mempunyai tanggapan sebegitu.
Sebenarnya Indonesia tidak patut merasa inferior dengan negara-negara jiran. Sebagai sebuah demokrasi terbesar di rantau ini, ia bertuah mempunyai kapasiti yang tidak terhad. Sumber manusianya yang rajin, kuat kerja dan kental merupakan aset yang sungguh berharga untuk negara itu. Di Malaysia, sumber manusianya mencecah dua juta dan banyak membantu kepada pembangunan negara ini.
Malaysia tidak pernah menafikan sumbangan rakyat Indonesia - yang kami anggap anda sebagai saudara kerana menganut agama yang sama dan bertutur bahasa yang sama.
Sehubungan itu Awang berdoa agar isu dua hala yang merupakan agenda mesyuarat empat mata menteri luar kedua-dua negara di Kota Kinabalu hari ini akan dijalankan dalam semangat tersebut.
Kita tiada pilihan selain sama-sama membantu mengukuhkan hubungan ekonomi kedua-dua negara. Awang percaya hubungan keruh membabitkan rakyat ini hanya akan selesai sekiranya iklim perdagangan dan perekonomian kedua-dua negara dapat dipertingkat dan disejahterakan.
Selamat bersidang bapak-bapak sekelian.
Awang - Media yang waras.
0 ulasan: on "Ikatan Malindo"
Catat Ulasan