LAUNGAN-laungan patriotik dalam bulan perayaan ulang tahun kemerdekaan negara tetap membuat saya mengenang kembali pengalaman bertugas di Pulau Sebatik, Sabah, hampir empat puluh tahun dahulu. Pada masa itu Malaysia menghadapi konfrontasi dengan Indonesia.
Umur saya ketika itu baru hendak mencapai dua puluh tahun, berpangkat Leftenan Muda dan berjawatan sebagai Ketua Nombor 3 Platun, Kompeni A, Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Kami berkekuatan 25 anggota dan ditempatkan di kedudukan Sungai Melayu, salah satu daripada beberapa kedudukan pertahanan platun berdekatan sempadan antara kedua-dua negara di pulau itu. Kawasan sekeliling kedudukan kami lengang dan dipenuhi hutan kayu bakau, belukar, ladang kelapa, serta sebuah dua rumah kampung yang tertinggal.
Semua penduduk awam telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat kerana kampung halaman mereka berada dalam kawasan bahaya yang juga zon bebas tembak.
Keperitan memang sentiasa dirasakan. Kami diam di dalam kubu-kubu dalam tanah yang bukan merupakan tempat tinggal selesa atau dirasa selamat sangat. Kami sentiasa berdoa meminta jangan mana-mana kubu terkena tembakan tepat peluru meriam, kerana kubu itu akan hancur dan yang berada di dalamnya akan berkecai juga.
Kubu-kubu yang berdinding dan berbumbung tanah mampat itu hanya boleh menahan dari ditembusi serpihan besi ledakan peluru meriam, bom mortar ataupun tembakan peluru senjata dan mesingan ringan sahaja. Begitulah keadaan di kedudukan pertahanan Sungai Melayu yang sering ditembak dengan meriam dan mortar dari seberang.
Kami memang merasa cemas apabila dari semasa ke semasa segera mengambil kedudukan stand to atau siap sedia di posisi pertahanan masing-masing. Kadang-kadang kami akan stand to sepanjang malam kerana bimbang akan berlaku serangan darat waktu malam.
Dalam keadaan siap sedia ini maka perasaan takut boleh bertambah, lebih-lebih lagi apabila trip-flare yang dipasang di luar kawasan pagar meletup dan menyinar terang kawasan sekeliling. Letupan itu menandakan ada sesuatu yang telah melanggar dawai perintangnya. Ketakutan kami yang terkawal membuat kami lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Kami tiada peralatan pandang malam untuk menembusi kegelapan dan melihat apa yang sedang berlaku. Oleh itu setiap mata dan telinga akan cuba mengesan sebarang tanda atau bunyi yang mencurigakan. Apabila langkah ini tidak berhasil maka kami akan melepaskan tembakan senjata raifal dan mesingan ringan ke kawasan yang disinari cahaya.
Tembakan ini rambang sahaja dengan harapan dibalas oleh musuh langsung mendedahkan kehadiran mereka. Walau bagaimanapun langkah ini tidak pernah menimbulkan apa-apa respons dari semak samun hutan bakau yang diterangi cahaya buat seminit dua itu. Apabila api flare terpadam dan tembakan dihentikan, keadaan akan kembali gelap dan sunyi. Namun demikian, perasaan khuatir dan tidak menentu berterusan menghantui kami hingga ke siang hari.
Debar dalam dada akan ada juga semasa kami bersarapan pagi. Sarapan berupa biskut kering (yang secara sinis kami panggil biskut anjing kerana ia keras dan berperisa agak aneh) disapu jem nanas dan meminum air teh kosong bergula.
Perasaan gusar kami akan hanya hilang mulai tengah hari selepas kawasan yang ditembak pada malam sebelumnya diperiksa dan tiada apa yang ditemui. Barulah kami makan tengah hari dan seterusnya makan petang sebelum senja dan kegelapan malam menyelubungi kembali kesemuanya.
Makanan tengah hari dan petang pada kebiasaannya adalah nasi putih dengan lauk daging kari, kacang panjang kari, ikan tongkol kari, segala-galanya kari, dari catuan dalam tin dan bungkus rangsum Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Makanan ini sebenarnya sedap dan berkhasiat, tetapi selepas empat hari berturut-turut - itu sahaja yang dimakan maka kami akan terasa muak juga.
Oleh itu buat dua atau tiga hari dalam satu minggu kami akan dibekalkan dengan catuan daging, ikan dan sayur segar yang dibawa oleh anggota kuatermaster atau Q dari Tawau yang datang dengan menaiki perahu tempur batalion.
Kami gembira setiap kali menerima kedatangan kumpulan Q. Kumpulan ini turut membawa surat-surat kiriman keluarga yang ditinggalkan di Semenanjung dan juga mengambil surat-surat dari kami untuk diposkan.
Dalam zaman bila perhubungan melalui telefon sukar dan telefon bimbit belum dicipta, surat pos sungguh bermakna sekali buat semua. Q juga akan mengagihkan barangan indent atau pesanan pembelian seperti sabun mandi, ubat gigi, lobak kering dan sebagainya kepada anggota yang berkenaan.
Sasaran
Anggota platun rintis serang (assault pioneer platoon) yang mengendali perahu-perahu tempur berenjin sangkut, membawa kumpulan Q dengan penuh bersemangat. Mereka sentiasa memecut laju di dalam sungai yang sempit dan bengkang bengkok hingga sampai ke jeti kecil berdekatan kedudukan kami.
Pada mulanya saya tidak memahami tetapi mereka mengendali perahu dengan laju untuk mengelak daripada menjadi sasaran mudah jika diserang hendap oleh musuh dari tebing sungai.
Kebanyakan daripada kami hanya mandi sekali sahaja setiap hari. Air payau dari perigi yang berada di dalam kawasan pagar pertahanan diguna untuk tujuan ini. Air untuk minum kadang-kadang dibekalkan dari Tawau.
Ada juga sekali-sekala kami mandi mengguna air sungai di jeti yang berada di luar pagar. Hanya semasa mandi sahajalah yang kami akan berenggang sejauh pencapai tangan dengan `isteri' iaitu senjata persendirian kami. Dalam semua aktiviti lain termasuk semasa tidur dan di tandas, `isteri' kami ini tetap dipegang pada sebarang masa.
Sebahagian daripada kekuatan kami akan keluar dari kedudukan pertahanan untuk menjalankan tugas-tugas utama. Tugas-tugas ini ialah untuk menghalang pencerobohan dari seberang dan membendung apa sahaja ancaman terhadap kedudukan pertahanan. Ini dilakukan dengan meronda dan mengadakan serang hendap pada waktu siang dan malam agar dapat dikuasai kawasan sekeliling dan di sempadan.
Tugas-tugas ini memenatkan dan membuat anggota mengalami stres yang tinggi. Bagaimanapun kami segera pulih dan bertenaga setelah selamat kembali ke dalam kedudukan, mendapat makanan panas dan rehat yang cukup.
Ada kalanya semasa sedang dalam perjalanan pulang daripada meronda, kami akan mendengar beberapa dentuman tembakan mortar dari seberang sempadan. Bom-bom dari tembakan itu lalu berdesap-desup tinggi di atas kepala, dan kemudian dilihat meletup di hadapan kedudukan pertahanan. Kami akan berhenti daripada bergerak untuk menunggu serangan itu tamat, sambil berharap janganlah ada bom jatuh ke atas kami.
Sebelum bergerak semula, arah punca tembakan diukur dengan kompas dan lama masa terbang bom dicatat. Tembakan mengharu-biru seperti ini hanya memakan masa selama dua atau tiga minit sahaja.
Ada juga beberapa ketika di mana kami bertindak lebih agresif dan melakukan rondaan tinjau dan tempur melintasi sempadan. Dalam peperangan ini, akan dilakukan juga buat meninjau dan mengharu pihak lawan dalam wilayah mereka sendiri. Bagaimanapun rondaan-rondaan seperti ini hanya dilakukan untuk misi yang amat penting dan atas arahan pemerintahan yang tertinggi. Rondaan ini juga mudah dibatalkan seperti ketika satu rondaan terpaksa segera berundur balik ke wilayah sendiri kerana dibedil dengan tembakan meriam.
Terkena tembakan meriam adalah satu pengalaman yang ngeri. Lintang-pukang kami berlari keluar dari kawasan impak untuk menyelamatkan diri. Setelah terkeluar dan kembali ke kedudukan pertahanan, kami akan bercakap sesama sendiri akan pengalaman itu.
Percakapan yang diiringi dengan gelak ketawa juga, kerana seperti dalam kebanyakan kejadian yang sama, tetap akan ada babak-babak yang melucukan. Manusia apabila berperasaan sangat cemas dan ketakutan sering melakukan perbuatan dan menunjukkan perangai yang jarang dilihat dalam keadaan biasa.
Sebahagian daripada perbuatan dan perangai itu tetap akan menggelikan hati juga. Begitulah salah satu cara kami mententeramkan perasaan dan mengembalikan keyakinan diri sendiri selepas mengalami insiden yang menggerunkan.
Tidak ada gunanya untuk terus melayani perasaan takut, bersalah, atau malu daripada kejadian yang telah berlalu. Pengalaman yang lepas hanya berguna diingat kembali untuk dicari pengajaran buat kebaikan menjalankan tugas semasa dan yang akan datang.
Kami merasa sangat bertuah dan bangga dapat berkhidmat di Pulau Sebatik semasa konfrontasi. Kawasan tanggungjawab platun adalah kecil dan terpencil namun tetap dianggap sebagai tanah keramat yang mesti dijulang dan dipertahankan biar dengan nyawa sendiri sekali pun.
Kejayaan mencapai maksud memberi rasa kepuasan yang tinggi kepada diri kami dan merupakan ganjaran yang cukup besar buat kami. Bahaya dan keperitan yang dihadapi hanyalah asam garam hidup dan perkhidmatan sebagai anggota tentera yang profesional. Tidak ada timbul perasaan cemburu atau iri hati terhadap mereka yang hidup di dalam keadaan yang lebih selamat, selesa atau yang tidak dapat bersama kami.
Ceroboh
Ibu bapa dan sanak saudara pun tidak pernah mendapat cerita kami ini. Kepada mereka, persuratan kami akan memberitahu bahawa anakanda atau kekanda sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat, selamat dan tiada apa yang harus mereka khuatiri.
Rasa muak terhadap makanan pun tidak diberitahu, takut membuat mereka bertambah pilu. Kami sedar bahawa orang lain juga banyak berkorban dan tidak mahu menambah kepada beban yang ditanggung oleh mereka.
Kami, yang pada masa itu adalah askar-askar muda, mendapat banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna terutamanya untuk meneruskan kehidupan dan kerjaya ketenteraan masing-masing.
Pengalaman pertama dalam situasi konflik ketenteraan banyak membentuk sikap dan semangat supaya sentiasa menjulang kepentingan negara, sentiasa bijak berjuang dan jangan mudah mengaku kalah.
Kami juga tertanam sikap untuk selalu berwaspada, fokus kepada tugas, memandang penting setiap perkara dan insan, serta bertimbang rasa dan adil terhadap semua.
Oleh kerana itu, terasa hiba juga di hati apabila melihat tanah, kehijauan, gunung dan sungai yang dahulunya begitu dipertahan dan dilindung dengan nyawa sendiri daripada dipijak sekali pun, kini hancur kerana diceroboh, dimusnah dan diracuni. Malah persekitaran kawasan kediaman sendiri pun menyerupai tempat pembuangan sampah.
Begitu juga keadaan rakyat yang keselamatan mereka dahulu menjadi matlamat utama kami, kini tidak diambil peduli dan terdedah kepada lebih banyak ancaman dan bahaya lagi. Ramai yang mati dengan berbagai-bagai cara yang amat ngeri.
Dahulu kita bersatu melawani konfrontasi dan pelbagai musuh yang lain. Kini kita berpecah dan banyak berperang dan menzalimi sesama sendiri.
Kesal sangat dirasakan memerhati begitu ramai yang gigih mengejar kedudukan, mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan tetapi hanya untuk diri sendiri sahaja. Sedikit sangat golongan ini memberi kepada mereka yang memerlukan.
Ramai di antara mereka juga berpangkat tinggi dan berjawatan besar tetapi pencapaian dan perolehan daripada kepimpinan mereka kecil dan tidak ada banyak erti. Ada pula segelintir yang jelas korup, tidak amanah malahan terus terang mencuri.
Kecewa juga dirasakan apabila melihat anak-anak muda yang takut untuk berperit dan enggan berkerja lebih kuat untuk kebaikan diri dan bangsa sendiri. Mereka bukan perlu merasa cemas, mengalami peristiwa ngeri, atau berhadapan dengan kemungkinan jasad berkecai serta nyawa melayang.
Sayang sekali mereka tidak mengetahui bahawa sebenarnya mereka dilahirkan untuk menjadi unggul dan berjaya tanpa ada apa had. Musuh yang menghalang adalah diri mereka sendiri.
Ramai di antara kami kini sudah tiada lagi. Buat yang masih hidup sedang dikejar usia. Wajah dan bentuk badan tidak setampan seperti dahulu lagi. Ada yang tidak lengkap bergigi dan ada pula yang penglihatan waktu siang pun sudah kabur. Ramai yang rosak pendengaran akibat banyak melepaskan tembakan semasa berkhidmat dahulu.
Ada yang apabila berjalan pun sudah ditertawakan sesama sendiri. Tetapi anggota tentera itu tetap tentera hingga ke akhir hayat. Semangat kami masih tetap tinggi. Semangat yang bersama sikap dan kebijaksanaan yang telah diperlihatkan boleh mengatasi segala cabaran dan rintangan untuk menunai janji perwira dan mengisi kemerdekaan negara yang bertuah ini.
Kami mengajak semua yang tidak berkesempatan dahulu untuk kini berfikir, bertindak dan berjuang untuk memperoleh kemenangan bersama kami. Merdeka!
- LT. JENERAL (B) DATUK SERI PANGLIMA ZAINI MOHD. SAID ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat.

0 ulasan: on "Semangat perwira pertahan kemerdekaan"
Catat Ulasan