JAKARTA 5 Sept. - Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berharap negaranya akan bersikap tegas pada pertemuan dengan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah, esok.
"Ya, selesaikan dengan baik, tetapi kita juga harus tegas dengan pendirian kita," katanya di Silang Monas, di sini hari ini.
Jusuf turut menyatakan persetujuannya dengan tindakan pemimpin Indonesia memilih jalan diplomasi untuk menyelesaikan masalah dengan Malaysia termasuk isu rundingan sempadan maritim.
Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, rundingan antara kedua-dua negara tersebut mungkin mengambil masa yang lama.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dijadual bertemu Menteri Luar Indonesia, Dr. Marty Natalegawa yang melakukan lawatan kerja dua hari bagi membincangkan pelbagai isu dua hala.
Antara isu utama yang akan disentuh adalah soal sempadan maritim dua negara yang melibatkan Selat Melaka, Selat Singapura, Selat Sulawesi dan Laut China Selatan.
Marty semalam meminta rakyat Indonesia bersabar menanti hasil rundingan itu kerana ia bukan mudah untuk dilakukan dan tidak akan dapat diselesaikan dalam masa sehari.
"Rundingan adalah satu proses, ia tidak akan selesai pada pertemuan kali pertama.
"Contohnya, rundingan sempadan Indonesia dan Vietnam yang memakan masa 32 tahun, sementara rundingan terakhir dengan Singapura hanya selesai selepas lima tahun. Semua ini memerlukan masa," katanya. - Agensi
0 ulasan: on "Jusuf Kalla sokong diplomasi"
Catat Ulasan