KOTA KINABALU 6 Sept. - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini memiliki dua kapal selam adalah pelengkap kepada sistem pertahanan negara.
Baginda bertitah, kehadiran dua kapal selam Scorpene yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu sudah pasti meningkatkan keupayaan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawabnya menangani ancaman di perairan negara.
Bertitah pada majlis penyampaian kuih raya kepada anggota TLDM di Pangkalan TLDM Telok Sepanggar dekat sini malam tadi, baginda berharap aset ketenteraan yang sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan negara.
"Sejarah perjuangan warga TLDM seharusnya menjadi kebanggaan kita semua kerana kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini adalah turut disumbangkan oleh angkatan itu,” titah baginda yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah.
Pada majlis itu baginda menyampaikan kuih raya kepada Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan untuk diagih kepada anggota yang berkhidmat pada Hari Raya Aidil Fitri ini. - Bernama
0 ulasan: on "TLDM pelengkap sistem pertahanan negara"
Catat Ulasan