KUALA LUMPUR 26 Jun - Koperasi Tentera berhasrat untuk muncul sebagai sebuah Bank Koperasi selewat-lewatnya menjelang hujung tahun 2014, memandangkan koperasi tersebut kini memiliki aliran tunai lebih RM500 juta.
Bagi tujuan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam masa terdekat.
"Koperasi Tentera sudah melepasi tahap minimum untuk menjadi sebuah bank iaitu sekurang-kurangnya memiliki RM300 juta aliran tunai. Saya harap usaha ini akan menjadi kenyataan antara tahun 2013 hingga 2014 nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera Ke-46, di Kem Tentera Sungai Buloh, di sini hari ini.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Koperasi Tentera, Leftenan Kolonel Hamisan Mian.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa kadar bayaran dividen kepada ahli Koperasi Tentera untuk tahun depan adalah sebanyak 13.5 peratus, peningkatan 0.5 peratus berbanding bayaran dividen untuk tahun ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memberitahu, kadar elaun kehadiran ke mesyuarat agung tahunan koperasi itu juga akan ditingkatkan kepada RM100 mulai tahun depan berbanding hanya RM50 buat masa sekarang.
"Pihak pengurusan sudah bersetuju dengan cadangan saya agar kadar bayaran dividen dan elaun kehadiran ditingkatkan mulai tahun depan. Peningkatan ini sempena tahun ke-50 penubuhan koperasi dan juga demi menghargai sumbangan ahli.
"Pada masa sama juga, saya akan membantu bagi memastikan sebahagian daripada program perolehan yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut diagih kepada koperasi," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Ahmad Zahid memberitahu, Koperasi Tentera meraih pendapatan RM187.35 juta pada 2010, peningkatan RM20.5 juta berbanding RM162.3 juta bagi tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan pendapatan tahunan tersebut membolehkan Koperasi Tentera mengekalkan bayaran dividen pada kadar 13 peratus dan lima peratus keuntungan ke atas wang simpanan anggota bagi tahun ini.
0 ulasan: on "Koperasi Tentera mahu jadi Bank Koperasi hujung 2014"
Catat Ulasan