Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 27 Jun 2011

Pilihan raya bersih, adil hak rakyat

KOTA BHARU - Sistem pilihan raya di negara ini mesti dibersihkan daripada amalan yang korup kerana ia adalah hak semua rakyat Malaysia, demikian tegas pengerusi jawatankuasa forum Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0, Dr Abdul Halim Yusof bersempena jerayawara (roadshow) gabungan itu ke Kelantan semalam.

Yang berikut adalah kenyataan penuh BERSIH 2.0 yang dibacakan oleh beliau kepada wakil-wakil media:

"BERSIH ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil yang pada asalnya digerakkan oleh pemimpin parti politik dan aktivis badan bukan kerajaan, dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006 di lobi bangunan Parlimen Malaysia.

Pada 10 November 2010, BERSIH dilancarkan semula menjadi BERSIH 2.0 untuk dianggotai hanya pendukung-pendukung dan aktivis-aktivis organisasi masyarakat sivil (CSO) yang bebas daripada pengaruh parti politik. BERSIH 2.0 kini dipengerusikan oleh YBhg Dato’ Ambiga Sreenevasan.

BERSIH 2.0 adalah gerakan rakyat biasa bermatlamat merobah dan mewujudkan sistem pilihan raya yang bebas, menyatakan hak semua rakyat untuk membersihkan pilihan raya daripada amalan yang korup dan memastikan pemilihan yang adil sebagaimana yang dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan negara.

BERSIH 2.0 menganggap pilihan raya sebagai satu proses demokrasi yang mengiktiraf hak mengundi rakyat untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di Parlimen, menjadi penggubal undang- undang dan seterusnya eksekutif yang mengetuai kementerian-kementerian.

Oleh kerana pilihan raya adalah instrumen rakyat untuk memilih wakil mereka bagi tujuan mentadbir negara, segala sistem dan proses dalam pilihan raya termasuk peraturan dan undang-undang mestilah bersesuaian dengan matlamat tersebut dan mestilah sentiasa ditambah baik supaya rakyat bebas untuk mengundi secara adil.

Menyedari hakikat ini, BERSIH 2.0 menganjurkan Forum Sempena Roadshow BERSIH 2.0 ke Kelantan pada 21 Januari 2011 (Jumaat), di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu bermula jam 8.45 malam. Panelis forum terdiri daripada Dr Toh Kin Woon (AJK Pusat BERSIH 2.0), Profesor Dr Abdul Aziz Bari (UIAM) dan YB Datuk Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan). Moderator forum ialah Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (UM).

Objektif khusus forum adalah:

1. Memberi kesedaran kepada orang ramai tentang hak rakyat untuk memperoleh sistem dan proses pilihan raya yang bebas, telus dan adil dan menuntut pihak berkuasa menjayakannya demi kepentingan negara.

2. Menarik perhatian orang ramai akan keadaan-keadaan kekurangan atau kesalahan yang ada dalam sistem dan proses pilihan raya yang tidak telus dan tidak adil.

3. Memperjelas kepada rakyat usaha yang perlu dibuat secara bersama-sama bagi merobah dan menuntut pilihan raya supaya bebas, bersih dan adil.

Orang ramai adalah dijemput hadir ke forum ini dan juga di forum-forum seumpama ini yang akan dibuat secara 'roadshow' oleh BERSIH 2.0 di negeri-negeri lain.

BERSIH 2.0 juga ingin menyatakan isu-isu dan tuntutan-tuntutan utama yang telah/akan terus dikemukakan kepada pihak berkuasa bagi menjayakan matlamat pilihan raya yang bersih dan adil. Antaranya:

1. Pembersihan dan penyemakan semula daftar pemilih yang menyeluruh bagi memastikan kekurangan dan kesalahan yang ada dapat dihapuskan dan daftar pemilih mencapai integriti yang tinggi.

2. Penggunaan dakwat kekal (seperti yang dijalankan di Indonesia dan India) bagi menghalang pengundian berganda.

3. Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara

4. Akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya supaya semua parti politik yang bertanding mempunyai peluang menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia terutama melalui media milik kerajaan.

5. Tempoh kempen yang minimum iaitu 21 hari yang bermakna.

6. Amalan-amalan yang adil dan profesional dalam persempadanan kawasan pilihan raya supaya mengurangkan pembahagian yang tidak adil ('malaportionment, gerrymandering) yang menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang.

7. Pendaftaran automatik untuk semua pengundi yang layak

8. Perubahan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

9. Reformasi dalam urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan dan membendung politik wang atau mengehadkan pilihan raya hanya untuk mereka yang kaya.

10. Pentadbiran dan keputusan yang tidak berat sebelah bagi kerajaan 'caretaker' sama ada persekutuan atau negeri sebelum, selepas dan semasa pilihan raya terutama dalam hal pengumuman keadaan dharurat, pembubaran atau pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya.

11. Hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas bagi mengambil bahagian dalam politik di dalam dan di luar kampus.

BERSIH 2.0 percaya menerusi pilihan raya yang bersih dan adil sahaja warganegara mampu mengenalpasti hala tuju mereka dan negara. BERSIH 2.0 berharap pihak yang dipertanggungjawabkan melaksanakan pilihan raya dapat bertindak dengan telus dan berkesan.

Walaupun reformasi dalam pilihan raya mempunyai banyak cabaran dan ranjau namun kepentingannya amat ketara dan menjadi syarat kepada proses demokrasi bagi mencapai kedaulatan undang-undang, pelindungan terhadap hak asasi rakyat, urus tadbir yang baik dan pelastarian dalam pembangunan negara.

Sebagai warganegara, kita semua boleh bersama-sama menjadikan impian ini satu kenyataan."

DR ABDUL HALIM YUSOF
PENGERUSI
JAWATANKUASA FORUM BERSIH 2.0
SEMPENA ROADSHOW BERSIH 2.0 KE KELANTAN

17 Januari 2011


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Pilihan raya bersih, adil hak rakyat"

Catat Ulasan