Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 1 Julai 2011

Rej 515 AW : Ujian sukar dalam belantara




SELEPAS sarapan dan membawa sebotol dua air mineral dalam beg masing-masing, peserta Kumpulan 2 pagi itu bagai tidak sabar dan teruja ingin memulakan misi Kembara Duga di hutan belantara Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan.

Seramai 36 peserta Perajurit Muda pasukan Askar Wataniah dari Kem Rejimen 515 Askar Wataniah begitu bersemangat apabila mengetahui bahawa kumpulan sebelum mereka berjaya menamatkan misi dengan penuh cabaran.

Kumpulan 1 itu terdiri daripada pelatih dari kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Bahagian Teknologi Persenjataan (Stride) Batu Arang dan Stride Kajang seramai 30 orang. Kumpulan itu diterajui Sarjan Sapawi Hamdan Mohd. Nor dan Sarjan Junaidi Mamat.

Ramai yang begitu teruja mahu untuk menempuhi misi berkenaan kerana rata-rata peserta termasuk penulis dan rakan dari Platun Media, kali pertama menjejakkan kaki ke taman negara tersebut.

Selesai taklimat ringkas dari Ketua Program, Mejar Mohd. Yusoff Sadri, dan kata-kata semangat daripada Staf Sarjan Mohd. Yusuff Musa, kira-kira pukul 9 pagi kesemua peserta memulakan cabaran yang dipanggil Canopy Walk dengan melalui jambatan gantung sejauh kira-kira 50 meter dan tinggi lebih kurang 25 meter.

Kemudian perjalanan merentas hutan (jungle tracking) di belantara itu benar-benar menakjubkan apatah lagi peserta dapat melihat keindahan flora dan fauna yang terpelihara untuk tatapan untuk generasi akan datang.

Kira-kira dua jam meredah hutan, tidak dinafikan fizikal dan mental peserta mula tercabar. Riuh rendah suara dan keriangan mereka mula bertukar perasaan serius, letih dan cemas ketika merentasi lebih lima bukit-bukau di Pertang.

Dalam kembara itu, pelbagai aksi peserta mencuit hati rakan sekumpulan apabila ada dalam kalangan mereka yang panik dan terkejut akibat ‘serangan’ pacat di kaki mereka.

Walau apa jua rintangan yang menanti, kesemua peserta meneruskannya atas dasar semangat berpasukan walaupun keletihan. Seorang wartawan Bernama, Nurqalbi Mohd. Reda, 28, dari Platun Media yang mengalami kecederaan pangkal buku lali juga tidak patah semangat demi menyempurnakan misi berkenaan.

“Misi ini memang mencabar fizikal dan mental, lepas turun bukit curam kita daki pula bukit yang tinggi. Biar apa pun, kita harung juga sampai tamat.

“Buddy, lepas dua jam, kita harung bukit ini memang nalla (bermakna besar mengikut dialek Utara),” kata rakan sekhemah penulis, Mohamad Naim Firdaus Abd. Aziz.

Meskipun letih, Mohamad Naim yang bertindak selaku jurugambar, yakin menyempurnakan misi berkenaan sambil tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan hutan, aksi para peserta dan juga bekas tapak kaki harimau menerusi kamera digital Canon 1D Mark V yang begitu lasak.

Riak sungai


PENGALAMAN menaiki trak tentera untuk ke Taman Negara Kuala Koh begitu mengujakan.


Apabila terdengar bunyi air sungai semakin hampir dan jelas, kesemua peserta kembali bersemangat meneruskan perjalanan untuk tiba di check point pertama berehat dan menunggu makan tengah hari di Sentri Kelah.

Sejurus selesai makan dan berehat kira-kira satu jam lebih, pengembaraan diteruskan semula. Mental dan fizikal peserta sekali lagi diuji apabila dikehendaki berpatah balik dan mendaki beberapa buah bukit untuk ke check point kedua.

Perjalanan kali ini benar-benar menguji kekentalan semangat para peserta selepas sejam lebih berjalan. Ada beberapa peserta hampir putus asa untuk meneruskan perjalanan berikutan mengalami keletihan dan kesakitan di pangkal buku lali.

Bukan sekali dua kaki peserta terpelecok malah ada yang beberapa kali tersadung tunggul-tunggul kecil. Saat berjalan terhoyong-hayang dan kesakitan di kaki, ketika itu kelibat Medic, Koperal Mohd. Saifuddin Mohamed, Koperal Razal Aziz dan Prebet Noriyana Md. Shah memainkan peranan membantu peserta yang memerlukan rawatan.

Rasa penat bukan kepalang berbanding perjalanan pagi membuatkan pakaian peserta habis lencun dek peluh. Hanya mental dan gerak berpasukan menjadi tonik terbaik bagi meneruskan langkah.

Jeram Sinar

Tanpa beralah pada kepenatan dan kesakitan, kesemua peserta akhirnya berjaya dan selamat tiba di check point kedua di Jeram Sinar. Perasaan puas dan bangga segera dirasai kerana itulah laluan yang mencabar sebelum meneruskan aktiviti terakhir iaitu Rubber Floating sejauh dua kilometer (km).

Rubber Floating adalah aktiviti air yang memerlukan peserta berbaring di atas tiub pelampung besar dan menyusuri Sungai Kuala Koh hingga di check point terakhir.

“Inilah saat yang ditunggu kerana kita tidak perlu berjalan. Cuma relaks dalam pelampung ini. Walaupun nampak mudah, aspek keselamatan tetap diutamakan.

“Pengalaman merasai Rubber Floating ini memang menyeronokkan setelah penat mengharungi halangan hutan belantara,” ujar seorang peserta yang juga pensyarah muzik, Yasmin Malik.


BERGAMBAR kenang-kenangan selepas menamatkan Program Kembara Duga Askar Wataniah.
Gambar Sebelah kiri duduk Koperal Razal Aziz, Gambar tengah duduk (baju gelap) Sarjan Sapawi dari Rej 515 AW.


Akhirnya, kesemua peserta tiba di check point terakhir kira-kira pukul 4.15 petang selepas tujuh jam mengharungi misi berkenaan. Tatkala berjaya menamatkannya semua peserta sekali lagi bersorak kegembiraan sebagai tanda berjaya menamtkan misi tanpa ada seorang pun ahli kumpulan terkecuali.

Aktiviti hari ketiga Kembara Duga itu dianggap paling mencabar selepas hari sebelumnya kumpulan penulis melakukan aktiviti merentas hutan ke Bumbun dan Pertang.

Pengalaman bermakna

Selain aktiviti berkenaan, peserta juga berpeluang melakukan aksi terbang keluang (flying fox), menikmati makan malam barbeku dan mengunjungi perkampungan Orang Asli di sekitar taman negara tersebut.

Salah salah seorang peserta, Ahmad Syah Ejaz Ismail, 23, berkata, penyertaannya bersama rakan-rakan dalam program berkenaan memberi pengalaman yang bermakna dari aspek mental dan fizikal.

“Ia sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama rakan kumpulan dalam membentuk kerja berpasukan dan membina semangat yang kental,” katanya.

Seorang lagi peserta, Zuhaira Zainuddin, 34, berkata, dia berasa bangga dapat mengikuti program yang diatur untuk pasukan Wataniah.

“Walaupun bukan seorang tentera tetap, saya berasa amat teruja dan amat berminat sekiranya diberi peluang sebegini pada masa akan datang,” katanya.

Kehadiran kesemua peserta menerusi perjalanan sejauh lebih 500km dan mengambil masa kira-kira tujuh jam dari Kuala Lumpur ke taman negara itu pada 2 hingga 5 Jun lalu merupakan aktiviti yang dirancang oleh pihak kementerian di bawah Program Kembara Duga Askar Wataniah, Kementerian Pertahanan.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Rej 515 AW : Ujian sukar dalam belantara"

Catat Ulasan