KUALA LUMPUR 26 Jun - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) memberi amaran kepada penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya membatalkan hasratnya itu jika tidak mahu 'berperang' dengan pengamal seni silat di negara ini.
Mahagurunya, Tan Sri Omardin Mauju berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengamal seni silat untuk mempertahankan negara sejak zaman pemerintahan kerajaan Melaka lagi dan mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras ke atas golongan yang cuba menimbulkan kekacauan serta huru-hara.
"PSSLM yang mempunyai ratusan ribu ahli juga akan turun pada 9 Julai itu sekiranya Datuk S. Ambiga masih mahu meneruskan perhimpunan haram tersebut. Kami tidak akan biarkan perkara itu berlaku kerana jelas sekali ia perbuatan yang menghina negara.
"Kami sebagai golongan pengamal silat merupakan pelindung kepada negara dan sultan sejak beratus tahun dahulu tidak akan berdiam diri. Sekiranya kami tidak mengambil apa-apa tindakan, kami akan dianggap dayus.
"Saya sendiri akan mengetuai persatuan silat ini walaupun saya berkerusi roda, saya akan turun dan berada di barisan paling hadapan. Kami tidak sanggup lagi melihat keamanan negara dipermainkan untuk tujuan politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Omardin, PSSLM telah lama berdiam diri dan bersabar dengan tindak-tanduk segelintir golongan seperti Ambiga yang cuba menganggu gugat keamanan di negara ini.
Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.
"Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut.
"Banyak lagi kaedah lain boleh dilakukan daripada berarak di jalan raya dan menyusahkan banyak pihak seperti polis, peniaga dan rakyat. Perkara ini boleh diselesaikan melalui cara meja bulat, jadi gunakanlah saluran yang betul," jelasnya.
0 ulasan: on "Batalkan jika tidak mahu 'perang' - Omardin"
Catat Ulasan