KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Warga angkatan tentera Malaysia (ATM) kini boleh memiliki komputer riba lengkap dengan perisian dengan hanya membayar RM39 sebulan menerusi kempen 'Satu Rumah ATM, Satu Komputer'.
Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata pada tahun ini, Perwira Niaga Malaysia (Pernama) memperuntukkan 500 unit komputer riba untuk warga ATM melalui skim bayaran balik mudah.
"Kempen ini yang juga lebih sinonim dikenali sebagai program 'Itik Gembo-Gembo' (IGG) telah memasuki tahun kelapan dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak dilancarkan.
"Sebanyak 500 buah komputer riba diperuntukkan di mana anggota yang layak dipertimbangkan boleh mendapatkannya dengan membayar ansuran RM39 sebulan selama lima tahun" katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program IGG 8 di Wisma Pertahanan di sini Rabu.
Beliau berkata keprihatinan Pernama terhadap anggota ATM dan ahli keluarga mereka untuk celik serta mahir komputer dan tidak ketinggalan dalam arus kepesatan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat harus diberi pujian.
"Setiap tahun Pernama mengagihkan sejumlah dana hasil daripada keuntungan jualannya untuk menaja beberapa keperluan dan aktiviti kebajikan sosial ATM bukan sahaja menawarkan harga barangan yang murah malah menganjurkan pelbagai program untuk warga ATM," kata beliau.
Pengurus Besar Pernama Datuk Ab Wahab Khalil berkata 500 unit komputer riba tersebut adalah dari jenama HP 42-1006E dengan perisian yang lebih baik dari tahun-tahun lalu dan jumlah diperuntukkan untuk kempen itu bernilai RM250,000.
Pernama yang dimiliki sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ditubuhkan pada 1983 untuk menjalankan aktiviti perniagaan peruncitan bagi manfaat anggota ATM dan keluarga mereka, bekas anggota ATM dan anggota sukarela ATM di dalam kem-Kem angkatan tentera seluruh Malaysia.
0 ulasan: on "Program 'Satu Rumah ATM, Satu Komputer' Untuk Warga Angkatan Tentera"
Catat Ulasan