Helikopter EC 725
KUALA LUMPUR 3 Jun - Kelengkapan aset pertahanan yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak seharusnya dibandingkan dengan apa yang dimiliki oleh negara jiran.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, keutamaan pasukan itu adalah untuk melengkapkan sistem pertahanan sedia ada dengan tumpuan terhadap pemilikan tiga komponen utama iaitu Air Bus A400 M, Helikopter EC 725 dan sistem radar.
"Kita mempunyai matlamat sendiri iaitu melengkapkan sistem pertahanan sedia ada dan keperluan kita tidak perlu bersabit dengan apa yang dimiliki oleh negara luar.
"Apa yang penting, pesawat di negara kita dilengkapi dengan ciri-ciri persenjataan, sensor serta perintah dan kawalan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kedai Amal yang diusahakan oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Udara di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat, Puan Sri Asnah Din.
Rodzali mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini bahawa TUDM bakal memiliki Pesawat Amaran Awal Udara (AEW) tidak lama lagi selepas 15 tahun menanti sambil membandingkan dengan beberapa negara jiran yang sudah mempunyai pesawat jenis itu.
Sementara itu, beliau berkata, selepas operasi TUDM berpindah ke Pangkalan Subang, Kedai Amal yang diusahakan oleh Bakat juga akan berpindah ke sana kerana ia merupakan usaha amal yang harus diteruskan.
"Selain itu, ia kita mungkin diteruskan di semua pangkalan utama dan menjadikan Kedai Amal yang dibuka di sini sejak awal tahun sebagai garis panduan untuk pembukaan di tempat lain," katanya.
0 ulasan: on "Aset TUDM tidak perlu dibandingkan negara jiran"
Catat Ulasan