|
|
Pegawai Memerintah 21 RAMD, Leftenan Kolonel Marzuki Mokhtar berkata, program sehari yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-33 batalion berkenaan penting bagi merapatkan lagi hubungan antara tentera dan masyarakat di samping memupuk kesedaran bahawa kewajipan mempertahankan negara terletak atas bahu semua pihak.
"Kita tidak mahu wujud jurang antara orang awam dan tentera kerana tugas mempertahankan keamanan negara adalah tanggungjawab bersama.
"Tidak kira orang awam atau tentera, kita semua wajib mempertahankan keamanan yang dinikmati sekarang kerana hanya masyarakat yang aman berupaya membangunkan negara," katanya ketika ditemui pada program tersebut Ahad lalu.
Pada program itu, lebih 100 warga 21 RAMD telah menderma darah kepada tabung darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Turut diadakan adalah aktiviti meraikan kira-kira 30 anak-anak istimewa oleh Badan Kebajikan Isteri Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) cawangan 21 RAMD di bawah pimpinan Pengerusinya, Roziah Abdullah.
Marzuki berkata, masyarakat dapat melihat dengan lebih dekat kekuatan, kemahiran serta bakat seni warga 21 RAMD yang bukan sahaja gagah semasa operasi di perbatasan tetapi sentiasa memberi khidmat bakti mereka melalui program seperti gotong royong, derma darah dan sebagainya.
"Selain pameran tentera, kita amat berterima kasih dengan kerjasama daripada pihak polis, bomba dan syarikat swasta yang membuka gerai pameran sempena program ini," katanya.
1 ulasan: on "Hari terbuka Batalion Ke-21 RAMD meriah"
Tahniah 21RAMD..semoga nama 21RAMD juga sentiasa dalam jiwa saya sebagai bekas anggota dari unit ini semasa ditubuhkan dulu di Bentong Pahang.
Catat Ulasan