Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 7 Jun 2011

Teknologi Kereta Kebal & Sistem Persenjataan Anti-Kebal Infantri



PT-91M Pendekar

PT-91M sedang beraksi

Salah satu aset utama dalam peperangan moden hari ini adalah kereta kebal. Sejak ia diperkenalkan pada Perang Dunia Pertama, ia terus dianggap sebagai satu platform yang mampu mendominasi medan tempur. Mobiliti, kuasa tembakan dan sistem pertahanan armornya kerap menimbulkan keresahan kepada pihak infantri, apa lagi sekiranya mereka tidak mempunyai sistem persenjataan yang mampu menangani atau memusnahkan kereta kebal.


Sejarah Ringkas

Kewujudan kereta kebal sebenarnya adalah satu idea untuk menghasilkan sejenis platform khas yang bakal dapat merungkai masalah paling utama di hadapi oleh pihak British dan Perancis dalam usaha mereka untuk menewaskan tentera Jerman ketika Perang Dunia Pertama. Masalah tersebut ialah untuk merungkai kebuntuan atau ‘stalemate’ antara kedua pihak yang telah bertindak menggali perparitan dan berkubu menghadap bala tentera masing-masing. Operasi serangan dan pertahanan dilakukan oleh kedua pihak berulang-kali tanpa dapat benar-benar mengubah atau memperluaskan kawasan penguasaan mereka.

Kereta kebal yang diperkenal bertujuan untuk mempunyai ciri-ciri keupayaan kuasa tembakan artileri dan mesingan yang akan menjadi paksi kepada serbuan ke arah kawasan musuh. Pada masa sama plaform ini bakal dapat memberikan perlindungan kepada anggota atau krew yang mengoperasikan sistem persenjataan kenderaan. Objektif taktikal kereta kebal pula ialah untuk memberikan ruang pembolosan bagi infantri yang akan menawan kawasan sepanjang garis tersebut agar satu pasukan susulan yang merupakan pasukan kavalri yang bergerak pantas akan bergerak di belakang garis perparitan tentera Jerman dan seterusnya menyerang dan menghancurkan kedudukan musuh dari arah belakang.

Walaupun kereta kebal adalah sebuah kenderaan yang sinonim dengan tentera darat, namun kredit sejarah awal kewujudannya dan penciptaannya harus diberikan kepada tentera laut! Ini kerana apabila isu untuk membangunkan sebuah kenderaan kereta kebal mula diketengahkan kepada pihak tentera darat British, ia mendapat sambutan dingin. Idea awal pada tahun 1914 ialah untuk melengkapkan sebuah kenderaan berantai atau runut yang diguna pakai bagi tujuan pertanian dengan sistem persenjataan memandangkan sistem kenderaan tersebut mampu bergerak walaupun dalam keadaan permukaan bumi yang becak, tidak rata serta berlumpur – senario persekitaran yang sama didapati di medan hadapan sistem kubu perparitan perang di Eropah. Dengan gesaan Winston Churchill, pihak tentera laut Britain telah menaja beberapa ujian dan penyelidikan yang mengkategorikan sistem kenderaan tersebut sebagai sebuah kapal darat atau ‘land-ship’. Pada 1915 apabila kenderaan telah berjaya dihasilkan ia dihantar ke Perancis untuk dioperasikan di garis hadapan. Bagi mengelirukan puhak Jerman serta agensi perisikan mereka, ‘kenderaan-kenderaan’ ini di hantar dengan kapal laut dan dilabelkan sebagai tangki air yang akan dihantar ke Rusia. Sememangnya sepintas lalu, bentuk kereta kebal pertama lebih mirip kepada sebuah tangki air yang diberbuat dari besi, dengan sitem rivet yang komprehensif serta ketiadaan sistem turet atau tenggekan meriam di atasnya. Inilah juga bakal merupakan nama yang terus kekal sehingga ke hari ini dalam istilah Bahasa Inggeris untuk kereta kebal, iaitu ‘tank’ atau terjemahan langsungnya sebagai ‘tangki’. Selain itu istilah-istilah maritim atau kapal juga turut diguna pakai dalam menamakan juzuk-juzuk utama kereta kebal seperti seperti ‘hatch’ (pintu), hull (badan), bow’ dan ‘ports’ (lubang senjata) mengaitkan ia dengan program pertama penciptaan kereta-kebal oleh pihak tentera laut.

Sejak kemunculan kereta kebal di medan tempur ketika Perang Dunia Pertama di Eropah, ia terus menjadi salah satu ancaman yang paling digeruni oleh infantri. Pada awalnya infantri tidak mampu menghadapi kemaraan kereta kebal, sistem raifal dan mesingan mereka gagal menembusi armor bahagian hadapan kereta kebal yang tebal dan jitu. Memandangkan masalah yang dihadapi infantri ini, kebanyakan pihak yang terlibat mula menghantar meriam medan atau artilerinya ke garis hadapan agar ia dapat memusnahkan kereta kebal dengan tembakan secara langsung atau secara terus. Sememangnya tembakan dari meriam adalah tepat kerana sasaran boleh dilihat oleh jurumeriam. Malangnya membawa selaras meriam ke garis hadapan dalam medan tempur yang penuh berparit bukanlah sesuatu yang mudah, malah jika ia berjaya dilaksanakan, meriam dan krew tentu sahaja bakal terdedah kepada tembakan balas pihak musuh, baik secara langsung dari senjata ringan infantri atau tidak langsung seperti dari bateri artileri musuh.

Potensi penggunaan kereta kebal pada peringkat awal penggunaannya dianggap tidak begitu berjaya. Ini disebabkan oleh beberapa isu tertentu, dua darinya ialah kekurangan tempoh penyesuaian di medan antara kenderaan baru ini dan infantri serta sikap pesimistik pegawai-pegawai tentera darat mengenai kemampuan dan penggunaan kereta kebal di garis hadapan. Memandangkan program kereta kebal ini diangggap sebagai satu rahsia, maka tidak ramai pegawai kanan tentera darat mengetahui mengenainya dan apabila ia muncul buat pertama kalinya, pegawai dan anggota-anggota infantri tidak diberikan latihan yang secukupnya mengenai bagaimana beroperasi secara bersama dalam pertempuran dalam usaha mencapai objektif yang sama. Akibatnya walaupun beroperasi di medan sama, namun kereta kebal dan infantri tidak menyokong pergerakan satu sama lain dan kesannya walaupun mencapai kejayaan memecahkan garis hadapan pertahanan musuh pada peringkat awal, pihak Jerman yang menyerang balas akhirnya mampu menghentikan kemaraan tentera British secara berasingan.

Penggunaan kereta kebal secara besar-besaran ketika pertempuran berlaku buat pertama kalinya sewaktu Perang Dunia Pertama di Cambrai, perancis pada 1917. Kira-kira 400 kereta kebal British telah mara secara berkumpulan dan berjaya menawan kawasan seluas tujuh batu lebar dan enam batu ke hadapan dari posisi asal. Malangnya kejayaan ini tidak mampu diteruskan kerana pihak infantri tidak memberikan sokongan yang diperlukan mahupun dapat mengekalkan penguasaan terhadap kawasan yang baru ditawan. Kejayaan kedua berlaku pada tahun berikutnya, iaitu 1918 apabila 600 kereta kebal menyerang kawasan Amiens yang dianggap sebagai satu malapetaka oleh pihak pemerintah tertinggi Jerman. Belajar dari kekurangan ketika pertempuran di Cambrai, pihak Jerman telah mencipta kereta kebal mereka sendiri tidak lama kemudian. Kenderaan ini dikenali sebagai A7V dan mempunyai saiz yang jauh lebih besar berbanding kereta kebal British, mempunyai berat 30 tan dan mempunyai krew seramai 18 individu. Pertempuran antara kereta kebal dengan kereta kebal yang pertama dalam sejarah pula berlaku pada April 1918 di Villers-Bretonneux, namun tidak ada pemenang atau yang kalah dalam pertempuran tersebut.


Era di antara dua perang dunia menyaksikan bagaimana kereta kebal mula mendapat perhatian yang sewajarnya sebagai satu platform peperangan darat yang amat penting. Beberapa inovasi dari sudut pembinaan kereta kebal, penggunaan sistem persenjataan dan mobiliti telah diperkenalkan. Namun demikian strategi integrasi antara infantri dan unit kereta kebal dalam satu kempen pertempuran atau peperangan masih lagi belum matang sepenuhnya dan sehingga 1939, kewujudan sebuah ketumbukan atau divisyen armor dikaitkan secara langsung sebagai sekumpulan kereta kebal dalam sebuah organisasi khusus beroperasi secara autonomi yang tidak melibatkan cawangan atau cabang-cabang lain. Kesemuanya berubah selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua apabila kesemua pihak mula melengkapkan kumpulan atau unit kereta kebal dengan unit-unit sokongan dan bantuan yang turut sama mempunyai daya mobiliti serta perlindungan yang baik. Menjelang 1943, kebanyakan tentera darat terus membangunkan unit-unit khas yang dapat mengiringi pasukan kereta kebal ke medan hadapan bagi memberikan perlindungan selain bantuan tembakan kepada unit kereta kebal. Anggota-anggota infantri yang mengiringi unit yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai mekanise, turut mempunyai kenderaan yang diberikan perlindungan armor. Selain itu pasukan sokongan unit kereta kebal turut sama dibekalkan juga dengan kenderaan-kenderaan khusus bagi membantu operasi bersama. Ini termasuklah seperti kenderaan pemusnah kereta kebal atau ‘tank destroyers’ dan juga meriam atau senjata anti-kereta kebal sepertimana yang dipraktikkan oleh tentera Jerman, Soviet Union dan juga Amerika. Perang Dunia Kedua juga memperlihatkan kematangan sistem teknologi kereta kebal dalam masa yang amat singkat. Antara peningkatan yang dimaksudkan adalah sistem pertahanan armor yang lebih tebal, sistem pendorongan yang lebih baik dan kekuatan serta kemampuan tembakan yang jitu. Ketiga-tiga peningkatan ini, iaitu daya pertahanan atau armor, daya pergerakan atau mobiliti serta daya tembakan yang jitu (protection, mobility & firepower) terus kekal menjadi sifat utama yang menjadi penilai atau penanda aras mengenai kemampuan sesebuah kereta kebal sehingga kehari ini dan masa akan datang.

Menghentikan ancaman keretakebal

Sejak ia mula dijadikan sebagai platform senjata, sebuah kereta kebal adalah merupakan ancaman yang dianggap paling merbahaya kepada anggota infantri. Ini kerana ketika Perang Dunia Kedua, anggota infantri hanya dibekalkan dengan selaras raifal dan mungkin juga beberapa butir bom tangan. Dengan penggunaan besi tebal pada dinding kereta kebal, tembakan dari selaras raifal medan, malah mesingan, tidak akan dapat menembusi dinsing armor kenderaan tersebut. Lebih memburukkan keadaan ialah kenderaan tersebut mempunyai sistem meriam dan mesingannya tersendiri dan bentuk persekitaran yang lazimnya akan menyebabkan kenderan automotif lain terkandas atau rosak, tidak akan menjadi satu masalah kepada sebuah kereta kebal. Satu-satunya peluang yang ada ialah dengan menghampir kereta kebal secara nekad dan mencari sebarang tingkap atau pintu yang terbuka dan memasukkan bom tangan atau grened ke dalam kenderaan. Ia nampak mudah, terutamanya dalam siri filem atau cerita di TV, hakikatnya dalam pertempuran sebenar ia hampir mustahil dilakukan terutamanya dengan kereta kebal moden hari ini. Bagi infantri, usaha untuk mencari jalan yang paling mudah dan paling efektif untuk memusnahkan kereta kebal telah menjadi satu kewajipan yang berkekalan, selagimana platform tersebut terus digunakan oleh pasukan tentera dalam peperangan.

Istilah peperangan anti kereta kebal atau ‘anti-tank warfare’ melambangkan apa jua usaha yang dilakukan bagi menghenti atau memusnahkan ancaman dari kenderaan berarmor yang termasuklah kenderaan berperisai serta kereta kebal. Terdapat tiga jenis kerosakan am yang boleh dilakukan terhadap sebuah kereta kebal oleh seorang atau sekumpulan anggota infantri. Ianya adalah, kemusnahan daya mobiliti (mobility kill), kemusnahan daya tembak (firepower kill) dan akhir sekali kemusnahan menyeluruh (catasrophic kill). Kemusnahan daya mobiliti membawa maksud apa jua usaha yang berjaya menyebabkan sistem pendorongan kenderaan gagal berfungsi dan ia tidak lagi boleh bergerak sebelum kerja-kerja pembaikan atau penggantian dilaksanakan. Cara yang paling baik untuk melaksanakan kemusnahan daya mobiliti adalah dengan memutuskan rangkaian atau runut. Selain itu pembinaan tunggul konkrit dan penggalian sistem perparitan dalam turut memungkinkan daya mobiliti kereta kebal terganggu. Kemusnahan daya mobiliti juga bermakna bahawa hanya kemampuan kereta kebal untuk bergerak ke hadapan atau belakang atau ke kiri dan kanan sahaja yang terganggu, manakala keupayaan kuasa tembakan kekal dan sistem turet serta meriam terus kekal berupaya untuk berfungsi. Ini bermakna walaupun tidak dapat bergerak ia masih merupakan satu ancaman kepada infantri di sekitarnya kerana memiliki kemampuan untuk meneruskan pertempuran secara statik. Selain itu kemusnahan ini adalah bersifat sementara kerana krew kereta kebal serta tim logistiknya mampu mengganti atau memasang semula runut yang tercabut atau terputus. Apabila selesai diperbaiki, kereta kebal akan pulih beroperasi seperti sedia kala.

Kemusnahan kuasa tembak pula bermaksud kehilangan keupayaan sama ada keseluruhan atau sebahagian dari kemampuan kereta kebal untuk melaksanakan penembakan efektif, sama ada menggunakan sistem meriam utamanya mahupun mesingan sekunder. Ini mungkin dapat dilakukan dengan merosakkan bahagian laras meriam atau sistem penderia elektroniknya. Kemusnahan daya mobiliti juga kadangkala akan menyebabkan berlakunya juga kemusnahan sebahagian dari kemampuan kuasa tembaknya, terutamanya jika kereta kebal berada pada posisi tidak stabil dan pergerakan turetnya terhad akibat terhalang oleh objek atau bangunan. Kemusnahan menyeluruh pula ialah kemusnahan yang paling baik iaitu memusnahkan kereta kebal secara fizikal, mahupun memusnahkan bahagian dalaman atau krewnya. Ini dilakukan dengan melepaskan tembakan ke arah kereta kebal dengan sistem berkemampuan tinggi. ia mampu merobek atau menembusi armor yang digunakan dan sebahagian atau keseluruhan daya impak letupan, serpihan mahupun haba tinggi akan membunuh krew serta merosakkan kelengkapan dalaman kereta kebal dan menyebabkannya tidak lagi boleh digunakan. Kemusnahan menyeluruh juga bermakna kereta kebal tidak akan dapat di bawa ke garis belakang untuk pembaikan dan dianggap lupus.

Taktik dan teknik untuk memusnahkan kereta kebal juga kadang-kala digandingkan bagi mendapatkan objektif akhir iaitu kemusnahan menyeluruh. Umpamanya sebuah kereta kebal terlebih dahulu lumpuhkan daya mobilitinya, sama ada dengan periuk api atau jerangkap samar yang memutuskan runutnya. Sebaik ini berlaku, tim penembak tepat dengan menggunakan sistem raifal anti-material akan mula melepaskan tembakan ke arah cermin atau sistem penderia elektro-optik untuk mengurangkan keupayaan juru meriam dan komander dari mampu melepaskan tembakan dengan tepat. Jika ini berjaya, maka tim pemusnah armor akan merapati kereta kebal dan melancarkan sistem seperti pelancar roket grened atau peluru berpandu anti-armor untuk memusnahkan kereta kebal tersebut.

Sistem pemusnah anti-armor

Sewaktu Perang Dunia Pertama, infantri dibekalkan dengan sistem raifal anti-kereta kebal bagi tujuan memusnahkan kenderaan tersebut. Sistem raifal anti-kereta kebal yang perlu dibawa oleh infantri mempunyai sifat yang unik berbanding raifal biasa, iaitu dari segi saiz dan kaliber. Tentunya untuk merobek armor kereta kebal dari jarak jauh bakal memerlukan sejenis peluru berkuasa tinggi dan berkaliber besar. Larasnya juga adalah lebih panjang dan tendangan ke belakang yang dihasilkan setelah setiap tembakan dilepaskan memerlukan pengendali yang bertubuh sasa. Kejadian anggota patah tulang selangka sewaktu membuat penembakan dengan raifal anti-kereta kebal bukanlah satu fenomena yang mengejutkan dan menjadikan senjata tersebut tidak disenangi oleh anggota infantri yang diarah menggunakannya. Selain itu pengendali juga harus berada hampir dengan kereta kebal untuk mendapatkan tenangan dan tembakan yang baik untuk menembusi armor. Sasaran utama lazimnya adalah kompartmen pemandu, iaitu pada dinding bahagian belakang lubang pandangan pemandu. Membunuh pemandu akan menjadikan kenderaan hilang kawalan dan terbabas yang mungkin juga menyebabkan krew terbunuh atau cedera.

Ketika awal Perang Dunia Kedua, sistem raifal anti-kereta kebal terus digunakan dengan efektif tetapi ia tidak kekal lama apabila kesemua pihak yang bertelagah mula mempertingkatkan ketebalan armor, terutama di bahagian hadapan kenderaan. Antara sistem raifal anti-kereta kebal yang diguna pakai adalah Lahti L-39 (Finland), M-35 (Poland), Panzerbuchse 38 dan 39 (Poland), PTRD dan PTRS 41 (Rusia), BOYS (Britain) dan Type-97 (Jepun). Taktik peperangan kereta kebal dan armor yang mula melalui evolusi yang pantas ketika peperangan berlaku, turut mempercepatkan jangkahayat raifal anti-kereta kebal sebagai tidak lagi dianggap sebagai senjata yang benar-benar berkesan. Kereta kebal pihak Jerman umpamanya melalui tiga proses peningkatan keupayaan dalam tempoh jangkama singkat. Pada awal peperangan meraka menggunakan kenderaan Pamzerkampfwagen atau Panzer I dan II yang merupakan kereta kebal kategori ringan seperti mana yang banyak digunakan oleh pihak British dan Soviet Union. Selepas kempen peperangan di Perancis, batalion kereta kebal Jerman sebahagian besarnya mula dilengkapkan dengan jenis Panzer II dan IV yang mempunyai sistem armor lebih jitu. Pada 1941 apabila mereka menghadapi kereta kebal berat dari jenis T-34 dan KV-1 yang digunakan oleh pihak Soviet Union, maka Jerman turut sekali lagi mempertingkatkan kemampuan kereta kebalnya dengan menghasilkan kereta kebal Panther (Panzer V) dan Tiger (Panzer VI).

Satu lagi jenis sistem persenjataan adalah bom tangan atau grened anti kereta kebal. Pada awalnya sistem grened ini hanyalah merupakan sebuah bekas atau objek yang diisikan dengan bahan letupan yang akan dibaling ke arah kereta kebal. Tidak lama kemudian sistem bahan letupan berbentuk atau ‘shaped charge’ digunakan. Untuk mendapatkan sudut paling optima bilamana mekanisma robekan armor yang paling baik dapat dicapai, sudut antara grened dan dinding kereta kebal mestilah bersudut tepat. Oleh yang demikian beberapa jenis grened mempunyaisistem ‘pelekat’ yang mungkin dalam bentuk magnet atau gam khas yang akan melekat pada kereta kebal sebaik bom terkena dindingnya. Walaupun nampak mudah, namun membaling bom menggunakan kuderat tangan semata-mata tentunya memerlukan pengendali bom berada pada jarak yang amat dekat dengan kereta kebal tersebut dan merupakan tugas yang amat merbahaya. Tambahan pula jika kereta kebal di iringi oleh pasukan infantri dari jarak dekat. Taktik serangan dari jarak dekat sebegini dilihat lebih sesuai digunakan sewaktu serangan hendap di kawasan penempatan bilamana kehadiran pembaling bom sukar dikesan atau berada pada kedudukan yang sukar dimusnahkan, contohnya dari bangunan bertingkat.

Tidak lama kemudian sistem grened yang mempunyai sistem peledak bahan letupan berbentuk dan diluncurkan dari laras raifal dicipta oleh pihak British iaitu sistem grened No.86 AT. Jerman turut membekalkan anggota payung terjunnya dengan sistem GR.38 HI/A. Namun ia kurang berkesan kerana jarak efektif serta jumlah bahan peledak yang mampu diisikan dalam sistem sedemikian adalah amat terhad. Rentetan dari itu beberapa sistem pelancar yang lebih berkemampuan dicipta, antaranya adalah pelancar PIAT (British), Bazooka (Amerika Syarikat), Panzerschreck (Jerman) dan Panzerfaust (Jerman). Sistem anti-kereta kebal PIAT meluncurkan pelurunya dengan menggunakan cas belerang letupan dan juga spring, sistem Bazooka dan Panzerschreck pula menggunakan sistem roket, manakala sistem Panzerfaust mengaplikasikan sistem tanpa anjalan. Apa yang menyebabkan sistem letupan bahan berbentuk lebih popular ialah kerana mekanisma perobekan armornya tidak bergantung kepada kederasan anak peluru, sebaliknya lebih kepada jumlah bahan letupan serta bagaimana impak anak peluru terhadap sasaran. Pihak Jerman juga adalah negara pertama yang memperkenalkan peluru meriam yang menggunakan sistem letupan berbentuk pada 1940, iaitu sistem peluru 7.5cm Gr.38 yang digunakan oleh kereta kebal Panzer IV serta artileri bergerak Stug-III.

HEAT

Akronim HEAT adalah kependekan kepada ‘High Explosive Anti Tank’ ataupun ‘letupan tinggi anti-kereta kebal’. Ia adalah merupakan akronim kepada sistem peluru yang digunakan untuk merobek dinding armor kereta kebal mahupun kenderaan berperisai. Konsep bagaimana peluru HEAT mampu menembusi besi waja yang tebal kerap disalah tafsir. Memandangkan akronim HEAT yang juga bermaksud haba, banyak pihak menganggap bahawa kemampuan perobekan besi waja adalah akibat dari semburan jet logam cair yang mempunyai suhu amat tinggi sebaik letupan berlaku yang di tolak ke hadapan kearah sasaran. Selain itu beberapa jenis bahan letupan khas turut diperkenalkan yang mempunyai konsep letupan berbentuk bagi menangani tugas-tugas khas. Pihak komando Jerman telah menggunakan cas yang sedemikian apabila menyerang dan memusnahkan kubu meriam di garisan kubu Eben-Emael yang dianggap amat kukuh.

Mekanisma asas kepada peluru HEAT adalah mudah. Ia berbentuk seakan sebutir peluru biasa dengan menirus di hadapan. Walaupun begitu, berbeza dengan peluru biasa, bahagian hadapan peluru adalah kosong. Bahan letupan pula berada di bahagian belakang anak peluru dengan satu kepingan logam, berbentuk kon berada di antara bahan letupan serta ruang kosong. Mekanisma peletup pula akan berada di belakang bahan letupan dan akan diaktifkan, sama ada secara mekanikal, mahupun elektrik. Apabila peletup diaktifkan ketika bahagian muncung anak peluru mengenai sasaran, Letupan kuat akan menghasilkan tenaga kinetik tinggi akan mencairkan kon logam dan sifat dinamik letupan yang bermula di belakang akan mewujudkan satu daya tolakan yang amat kuat terhadap kon yang berubah bentuk dari pepejal kepada cecair. Daya penolakan ini akan tertumpu pada satu titik di hujung anak peluru dengan cairan logam mencapai sifat yang dipanggil ‘superplasticity’, berubah bentuk menjadi seakan bentuk panah kecil bersuhu tinggi dan bergerak pada kelajuan melampau sehingga 1,500 ke 2,000 meter sesaat dan menghancurkan apa saja yang berada melintang di hadapannya.. Aplikasi ini dipanggil sebagai ‘kesan Newman’. Kesan tenaga ini walau bagaimanapun mempunyai syarat dan sifatnya tersendiri yang akan memberikan kesan terhadap kemampuannya untuk merobek armor besi waja dengan optima. Ini termasuklah jarak tertentu antara kubah logam dan permukaan sasaran ketika letupan berlaku, cairan panah logam yang bergerak laju tidak tertepis atau di tolak ke sudut selain dari 90 darjah oleh mekanisma-mekanisma khusus serta cairan tersebut juga tidak berputar sewaktu bergerak mengenai sasaran. Selain itu kederasan dan kemampuan robekan peluru HEAT juga berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Kesemua faktor tersaebut mempunyai kesan sampingan terhadap keberkesanan kuasa robekan pada armor sasaran.

Pasca Perang Dunia Kedua

Pengalaman Perang Dunia Kedua telah memberikan satu pengajaran kepada kesemua kuasa ketenteraan global bahawa tidak seperti Perang Dunia Pertama, sebuah kereta kebal kini mampu dimusnahkan oleh hanya seorang infantri. Malah jika beliau memiliki kepakaran pengendalian sistem yang berkemampuan, seorang anggota mampu memusnahkan beberapa buah kereta kebal dalam jangkamasa singkat. Bagi mengatasi masalah ini unit-unit kereta kebal mula bergerak bersama infantri atau unit mekanise dalam apa yang dipanggil ‘combined arms’ atau pasukan bersepadu yang menggabungkan unit kereta kebal bersama unit-unit infantri yang bermobiliti tinggi. Dalam keadaan begini tim anti-kereta kebal musuh mungkin berkemampuan untuk melancar atau melepaskan hanya satu tembakan terhadap sekumpulan kereta kebal sebelum posisi mereka dikenal pasti dan di serang oleh pihak infantri sama ada secara tembakan senjata kecil atau senjata bantuan, selain dari diserang secara fizikal oleh unit-unit pemburu dan pemusnah atau peninjau yang dikhususkan tugasnya untuk mencari dan memusnah tim-tim infantri anti-kereta kebal. Taktik ini selain dari mampu memusnahkan, akan turut memaksa tim anti-kereta kebal untuk berrpecah dan berundur secepat mungkin selepas melepaskan tembakan, menjadikan mereka tidak begitu efektif sebagai satu kumpulan bagi mencapai objektif yang mahu dicapai.

Keadaan ini memaksa penciptaan sejenis senjata yang mampu melepaskan tembakan peluru anti-kereta kebal dari jarak yang jauh namun masih berkemampuan dibawa oleh sekumpulan kecil atau seorang anggota infantri. Ini bermakna sistem artileri atau meriam tradisional tidak begitu sesuai kerana saiz, berat serta komponen utamanya memerlukan satu unit khusus mengendalikannya, iaitu unit artileri. Amerika Syarikat dan Soviet Union mempelopori penggunaan sistem meriam tanpa anjalan atau ‘recoilless gun’ yang mempunyai banyak persamaan dengan sistem Panzerfaust yang digunakan oleh Jerman ketika Perang Dunia kedua. Perbezaannya ialah sistem meriam tanpa anjalan adalah lebih besar dan berkemampuan tinggi dalam kaliber 75, 73, 82, 90, 106 dan 110mm. Meriam tanpa anjalan yang melebihi 106mm lazimnya akan dipasangkan pada tenggekan khusus di atas kenderaan ringan atau kenderaan berperisai. Apa yang menjadikan meriam tanpa anjalan lebih mudah dioperasikan ialah kerana ianya lebih ringan kerana ia tidak mempunyai sistem serap hentak atau laras tebal yang wujud pada meriam atau howitzer tradisional. Ini juga membuatkan jarak jangkauan efektif pelurunya juga adalah lebih dekat, namun memadai bagi tujuan operasi anti-kereta kebal moden. Tahap penggunaan sistem merian tanpa anjalan yang mungkin dianggap paling ekstrim ialah sistem meriam 120mm WOMBAT yang digunakan oleh pihak tentera darat British pada tahun 1950an.

Pada penghujung tahun 50an dan awal 60an, peningkatan dalam teknologi telah menghasilkan sistem peluru berpandu kawalan jauh menggunakan wayar. Sistem ini dikatakan adalah lebih efektif memandangkan jarak jangkauannya adalah lebih jauh dari mana-mana sistem lain yang mampu dibawa oleh anggota infantri ketika beroperasi secara berjalan kaki. Antara sistem yang paling awal adalah sistem peluru berpandu Malkara yang merupakan sistem dihasilkan bersama oleh pihak British dan Australia pada 1958. Menjelang tahun 1960an, negara-negara kuasa utama ketenteraan global, khususnya di Eropah Barat dan Timur berlumba-lumba menghasilkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal. Pihak Soviet Union umpamanya telah mempamerkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal pertamanya, iaitu sistem 9K 11 Malyutka pada 1963, manakala Amerika Syarikat pula memperkenalkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal pertamanya iaitu TOW pada 1970.

Evolusi peluru berpandu anti-kereta kebal

Kejayaan menghasilkan sistem peluru berpandu adalah satu evolusi yang dianggap amat penting dalam sejarah peperangan kereta kebal. Ini kerana jika menggunakan meriam tanpa anjalan dan pelancar grened, pengendali tidak akan mempunyai kemampuan untuk mengubah arah hala tuju peluru yang telah dilepaskan pada kereta kebal yang sedang bergerak, dengan sistem persenjataan baru ini, ia mampu dilaksanakan. Selain itu kemampuan kawalan juga bermakna sistem peluru yang dilancarkan akan bergerak dengan lebih perlahan jika dibandingkan dengan peluru meriam dan ini turut memberikan kelebihan kepada penggunaan sistem peluru HEAT terhadap sasaran.

Proses evolusi peluru berpandu anti kereta kebal kini dianggap telah mengalami tiga proses kritikal yang dikaitkan dengan sistem panduannya dengan setiap perubahan memberikan kelebihan kepada pengendali. Peluru berpandu paling awal seperti sistem Malyutka dianggap sebagai peluru berpandu generasi pertama dan mempunyai sistem arahan dan kawalan dengan akronimnya MCLOS (Manually Command Line Of Sight) atau bermaksud pengawalan insani mengikut garis pandangan terus. Pada sistem sebegini sebaik dilancarkan, peluru berpandu memerlukan agar pengendali yang dibekalkan dengan sistem kawalan, lazimnya sistem tuas kawalan yang berupa seperti ‘joystick’ untuk ‘memandu’ peluru ke sasaran. Isyarat panduan ini dihantar dari tuas kawalan kepada peluru dengan sistem wayar. Walaupun tepat, kelemahan sistem ini ialah pandangan pengendali tuas kawalan mestilah sentiasa dapat melihat kereta kebal sasarannya selama mana peluru berpandu berada di udara untuk memacunya. Ini bermakna kedudukan beliau juga adalah terserlah. Selain itu beliau juga mesti berada dalam keadaan statik dan benar-benar mahir dalam pengendalian tuas kawalan, sebarang pergerakan mengejut (mungkin akibat letupan berhampiran atau berlindung dari tembakan raifal musuh) pada bahagian tangan atau jari pengendali dan peluru mungkin akan terbabas dari kawalannya.

Peluru berpandu generasi kedua pula adalah sistem SACLOS (Semi-Automatic Command Line Of Sight) atau sistem panduan mengikut garis pandangan separa-automatik. Sistem ini adalah kini sistem yang paling meluas penggunaannya dalam angkatan tentera global. Setelah dilancarkan oleh pengendali beliau hanya perlu melihat melalui sistem penderia optiknya dan mempastikan bahawa titik atau garis tenangan sentiasa berada tepat di atas kereta kebal yang mahu dimusnahkan. Apa yang berlaku ialah isyarat pengawalan pacuan peluru berpandu yang berada di udara akan dihantar melalui wayar atau isyarat radio atau sistem pancaran laser mahupun kamera TV secara automatik. Sistem ini dianggap lebih mudah dan efektif kerana pengendali tidak lagi memerlukan kemahiran yang tinggi untuk memacu peluru ke arah sasaran, sebaliknya ia dilakukan oleh sistem penderia elektro-optik yang menjadikan titik tenangan pengendali sebagai panduan arah halatujunya. Namun demikian seperti juga sistem pertama, pengendali perlu berada dalam keadaan statik dan terserlah untuk mengekalkan titik tenangan pada sasaran. Antara sistem yang mengaplikaiskan sistem sedemikian adalah sistem TOW, Milan, Bakhtar Shikan dan 9K 111 Fagot.

Sistem generasi ketiga adalah sistem yang paling terkini yang mempunyai sistem panduan yang bergantung sepenuhnya kepada sama ada sistem laser, imej elektro-optik mahupun sistem pencarian berasaskan sistem radar di bahagian muncung peluru berpandu. Sistem ini mengaplikaskan apa yang dipanggil sebagai sistem ‘fire and forget’ atau ‘tembak dan lupakan’. Ia membawa maksud pengendali hanya perlu melihat dan mengenalpasti sasarannya. Sebaik sasaran positif adalah kereta kebal musuh umpamanya, pengendali hanya perlu melancarkan peluru ke sasaran dan tugas arahan serta kawalan akan dilaksanakan secara autonomi oleh peluru berpandu sendiri tanpa apa-apa input dari pengendali yang bebas bergerak atau mencari posisi dan sasaran baru. Sistem ini amat mudah untuk dikendalikan dan anggota juga tidak terdedah kepada risiko tembakan balas musuh. Kelemahan sistem ini berbanding sistem MACLOS dan SACLOS ialah, ia lebih mudah di umpan atau isyarat elektroniknya di ganggu ketika dalam penerbangannya ke sasaran. Jenis-jenis sistem peluru berpandu ‘Fire-and-Forget’ adalah seperti Javelin dan Spike.

Walaupun telah wujud sejak dari awal tahun 1960an lagi, keupayaan sebenar sistem peluru berpandu anti-kereta kebal atau akronimnya ATGW (Anti Tank Guided Weapon – peluru berpandu anti-kereta kebal) benar-benar membuktikan kemampuannya pada peperangan Oktober atau Yom Kippur pada 1973. Dalam pertempuran tersebut, tim-tim infantri khas tentera Mesir yang dilengkapkan dengan sistem Malyutka telah memusnahkan kemaraan pasukan kereta kebal Israel yang dalam peperangan sebelumnya kerap dianggap sebagai mustahil untuk dihentikan. Ramai menganggap bahawa peperangan tersebut telah membuktikan kematangan teknologi peluru berpandu berbanding sistem-sistem lain seperti meriam, pelancar grened dan meriam tanpa anjalan dalam usaha infantri mahu memusnahkan ancaman kereta kebal.

Apa yang berlaku selepas Yom Kippur hanyalah merupakan peningkatan dan percambahan teknologi seterusnya dalam pelbagai aspek. Ini termasuklah sistem kuasa pendorongan, sistem tenangan dan elektro-optik serta sistem kawalan dan sistem kepala peledak. Beberapa ketika selepas peperangan tersebut bukan sedikit pihak yang mula percaya bahawa era keagungan kereta kebal sebagai raja di garis hadapan telah tiba di penghujungnya.

Keupayaan kereta kebal

Dengan masa hadapan kereta kebal yang dilihat semakin pudar, beberapa pihak mula melaksanakan penyelidikan dan pembangunan sistem kereta kebal yang mampu menghadapi cabaran penyebaran sistem-sistem peluru berpandu anti-kereta kebal yang dilihat semakin meluas. Dua perkara yang paling asas dilakukan ialah dengan membina sistem kereta kebal yang bersaiz lebih besar serta menukar jenis lapisan armor yang digunakan pada kereta kebal itu sendiri untuk cuba mengatasai ancaman dari pihak infantri. Dengan membina kereta kebal yang lebih besar dan mempunyai keupayaan armor yang lebih baik, ia memaksa penggunaan sistem meriam atau peluru berpandu yang mempunyai bahan peledak yang juga lebih besar. Ini menjadikan anggota infantri tidak lagi mampu untuk membawa sistem pelancar atau meriam tanpa anjalan kerana ia juga mempunyai saiz atau kaliber besar dan berat bahan peledak yang harus dibawa juga bertambah. Malahan sistem meriam seperti 106 dan 120mm terpaksa dipasangkan pada kenderaan berasingan dan tidak lagi dipikul oleh infantri.

Jenis lapisan armor yang baru turut dipasangkan pada kereta kebal yang mempunyai kesan untuk meminimakan kuasa perobekan ‘panah logam cair’ terhadap dinding kenderaan. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, cairan logam bersuhu dan berkelajuan melampau ini mempunyai daya robekan yang baik sekiranya bahan logam yang menjadi sasaran adalah berbentuk pepejal sepenuhnya. Untuk mendapatkan kuasa robekan oprtima dengan jumlah bahan letupan yang diisikan dalam peluru, jarak antara kon logam dan dinding armor mestilah pada jarak tertentu mengikut perkiraan khas. Sekiranya jarak tersebut berjaya di ubah, umpamanya untuk peluru meletup lebih awal sebelum kon berada pada jarak yang sepatutnya, maka prestasi cairan kon logam akan terganggu dan berkemungkinan besar tidak akan dapat menembusi dinding kereta kebal. Contoh bagaimana ini dapat dilakukan ialah dengan memasang beberapa halangan yang berupa jaring logam atau besi yang mempunyai petak jaringan lebih kecil dari diameter peluru berpandu atau roket yang dipercayai diguna pakai oleh pihak musuh. Apabila roket atau peluru berpandu HEAT dilancarkan kearah kenderaan yang mempunyai sistem jaring keselamatan, sebelum muncung peluru impak pada dinding kenderaan, ia bakal tersangkut pada jaring terdahulu dan letupan akan berlaku sebelum jarak optima dicapai. Kadang-kala roket atau peluru berpandu akan pecah akibat hentakan pada jaring tanpa mengaktifkan letupan secara yang sepatutnya apabila mengenai dinding turet atau badan kereta kebal.

Satu lagi alternatif ialah dengan mempelbagaikan kompoisi armor pada kereta kebal dan tidak hanya bergantung kepada besi waja semata-mata sebagai bahan dinding kenderaan. Contohnya armor yang diperbuat dari campuran bahan seramik dan komposit mampu menyebabkan pergerakan logam cair terganggu dan berubah bentuk yang secara langsung akan mengurangkan daya robekannya pada armor. Selain itu sistem armor khas yang mempunyai ruang di antaranya juga dikatakan dapat mengurangkan keberkesanan pergerakan logam cair sistem HEAT mahupun sistem anak peluru biasa memandangkan letupan berlaku di bahagian luar armor penampan dan menembusinya, namun selepas itu ia melalui ruang kosong yang akan mengurangkan kesan ‘neumann’ atau cairan logam, bersuhu dan berkelajuan tinggi sebelum impak terhadap dinding kereta kebal yang sebenar. Impak kedua ini walaubagaimanapun tidak akan menjadi begitu efektif lagi dan gagal menembusi armor sepertimana yang sepatutnya. Sistem ini telahpun diguna pakai sejak dari Perang Dunia Kedua lagi dalam bentuk satu lapisan atau plat logam yang di pasang di hadapan atau di sekeliling turet.

Dua lagi sistem yang dilihat mampu mencorak keupayaan kereta kebal untuk mengatasi sistem persenjataan pemusnah armor ialah sistem armor reaktif dan juga sistem pintasan aktif. Sistem armor reaktif adalah merupakan blok-blok khas yang dipasangkan secara rivet atau skru pada badan kereta kebal menutupi bahagian-bahagian utama atau kritikal badan kereta kebal yang terdedah kepada ancaman senjata anti-kereta kebal. Blok-blok ini mengandungi sejenis bahan peletup yang peka kepada suhu amat tinggi dan akan hanya meledek apabila terdedah kepada suhu yang sedemikian. Ia tidak sensitif kepada projektil atas anak peluru dari raifal mahupun meriam ringan. Apabila sistem peluru HEAT mengenai blok, sistem bahan peledak akan meletup dan mempunyai ciri letupan yang dihalakan kekuatannya ke arah luar atau bertentangan dengan dinding kenderaan. Gelombang letupan yang bersifat sedemikian akan bertemu dengan cairan logan HEAT yang sedang cuba bergerak ke hadapan untuk menembusi dinding armor. Pergerakan dua gelombang dan cairan dari dua arah yang bertentangan ini akan memperlahankan dan memesongkan pergerakan cairan logam agar tidak lagi berada pada sudut 90 darjah seterusnya menjadikannya sebagai kurang berkesan. Walupun teknologi ini telahpun dicipta dan dikaji sejak dari akhir tahun 1940an, hanya pada tahun 80an barulah ia diguna pakai secara praktikal, iaitu oleh pihak Rusia dan juga Israel pada kereta kebal masing-masing.

Sistem pintasan aktif pula adalah sistem yang paling terkini dengan membekalkan sistem kereta kebal dengan sejenis sistem penderia yang dapat mengenal pasti bahawa musuh mungkin sedang mengesan, memantau atau telahpun melancarkan sistem peluru berpandu mahupun roket terhadap kenderaan. Sistem penderia ini bakal menentukan arah atau sudut ancaman dan pada jarak tertentu ia akan mengaktifkan pula sistem pertahanannya yang mungkin berupa sistem halangan penglihatan bagi sistem penderia ataupun sistem penembakan projektil yang akan memusnahkan peluru berpandu sewaktu ia sedang terbang di udara mendekati sasaran. Kedua-dua sistem ini dianggap sebagai paling terkini, namun ianya perlu diguna dengan mengambil kira keadaan persekitaran. Umpamanya apabila berhadapan dengan tembakan dari musuh, kereta kebal haruslah bergerak di kawasan yang bebas dari infanti pasukan sahabat pada jarak tertentu. Ini kerana letupan dari blok reaktif atau penembakan sistem pertahanan aktif bakal menghasilkan haba dan serpihan ke arah kawasan di sekeliling kereta kebal (bergantung kepada dari arah mana datangnya ancaman). Ini boleh mencedera atau membunuh anggota infantri atau tim anti-kereta kebal yang bergerak seiring dengan kenderaan.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Teknologi Kereta Kebal & Sistem Persenjataan Anti-Kebal Infantri"

Catat Ulasan