PADANG BESAR - Terkejut disergah Rejimen Sempadan, sekumpulan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang cuba menyelinap masuk ke negara ini terpaksa bertempiaran lari semula ke negara jiran sehingga salah seorang bapa tertinggal anaknya yang berusia 10 tahun.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, seramai 23 warga Myanmar berjaya diberkas termasuk kanak-kanak perempuan tersebut berhampiran Pos C6, sempadan Malaysia-Thailand dekat Ladang Tebu Chuping di sini semalam.
Selepas ditahan, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Thaiya Cepah tidak berhenti menangis dan terpaksa dipujuk oleh tahanan lain yang terdiri lima wanita dan 18 lelaki itu yang berusia dalam lingkungan antara 10 sehingga 35 tahun.
Menurut Thaiya, dia datang ke negara ini bersama bapanya namun ketika serbuan dilakukan Rejimen Sempadan mereka terpisah dan bapanya sempat berpatah balik ke sempadan Thailand.
"Saya ikut bapa untuk bekerja di sini selepas tidak bersekolah lagi tiga tahun lepas dan saya tiada saudara atau kawan di Malaysia manakala ibu saya masih tinggal di kampung (Myanmar)," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalian ke-5 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Abdul Rashid Shahidan berkata, PATI tersebut cuba memasuki negara ini dengan bertindak memotong pagar dawai sempadan tersebut.
0 ulasan: on "PATI - Bapa Myanmar lari tinggalkan anak"
Catat Ulasan