|
|
ZULKIFELI: Saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas penghijrahan ini dan penghargaan serta sembah junjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana telah merestui jawatan baru saya ini.
Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyokong pelantikan saya dan juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengesyorkan nama saya.
Pada pengamatan saya sebarang pelantikan adalah bergantung kepada rezeki seseorang itu. Faktor-faktor lain, mungkin kerana umur, penerimaan dan sama ada seseorang itu dirasakan sesuai untuk menjalankan sesuatu tugas berkenaan.
Bagaimanakah perasaan kerana terpaksa meninggalkan jawatan terdahulu sedangkan banyak perancangan belum selesai?
Saya memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat selama setahun tiga minggu dan ia adalah begitu singkat. Apa yang saya nyatakan di dalam perintah ulung saya pada 24 Mei 2010 ada yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan ada yang masih belum dilaksanakan.
Perancangan yang belum dilaksanakan berpunca kerana kekangan masa dan kewangan. Semua perancangan ini dibuat secara konsensus bersama-sama pucuk pimpinan Tentera Darat yang lain. Memandangkan timbalan saya diangkat sebagai Panglima Tentera Darat yang baru, saya mempunyai sepenuh keyakinan bahawa beliau akan meneruskan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan dan melaksanakan yang belum terlaksana lagi.
Pandangan Tan Sri terhadap Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin yang dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baru?
Saya yakin bahawa beliau akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kemantapan bagi membawa Tentera Darat ke tahap yang lebih tinggi. Walaupun hanya menjadi timbalan selama setahun, saya mendapati beliau telah menjalankan tugas dengan penuh iltizam, dedikasi dan penuh semangat. Saya yakin beliau telah bersedia sepenuhnya untuk dilantik sebagai Panglima Tentera Darat.
Adakah pengalaman Tan Sri sebagai bekas Komander Tim Pemantau Antarabangsa- Mindanao dapat membantu ketika memimpin ATM?
Ya, ia akan membantu saya. Ketika bertugas di Mindanao, Filipina saya melihat keamanan tidak dapat dicapai di wilayah berkenaan kerana tiadanya national will (sokongan rakyat) yang sepenuhnya ke arah itu. Ia juga berpunca kerana tiada kemahuan politik oleh kerajaan yang memerintah ketika itu.
Saya berharap hala tuju ATM bukan sahaja memberi tumpuan kepada latihan dan pemodenan aset semata-mata malah untuk meningkatkan sokongan rakyat bagi bersama-sama mempertahan dan membangunkan negara ini.
Sokongan rakyat amat penting. Sebagai contoh, kita lihat Amerika Syarikat kalah di Vietnam bukan kerana ia ketinggalan dari segi keupayaan ketenteraan sebaliknya kerana rakyatnya tidak lagi menyokong anggota tentera berperang di negara itu.
Apakah tumpuan utama ketika menyandang jawatan Panglima Angkatan Tentera?
Tumpuan adalah untuk melatih anggota dalam ketiga-tiga perkhidmatan di bawah ATM supaya mereka sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi peperangan. Di samping itu, berikutan perubahan di peringkat antarabangsa sekarang kita juga perlu mendefinisi semula apa yang dikatakan strategi untuk keselamatan negara. Bagi saya ia seharusnya meliputi tiga aspek iaitu pertahanan, keselamatan dan pembangunan negara.
Apakah peranan ATM sekarang dalam pembangunan negara?
Sebagai jabatan atau agensi kerajaan, ATM perlu memainkan peranan dalam pembangunan negara. Ini boleh dilakukan secara efektif kerana ATM mempunyai kekuatan yang tidak dipunyai jabatan atau agensi lain.
Untuk mencapai matlamat ini, kita menyahut baik seruan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Lautan Biru. Ini bermakna kita perlu mendekati diri dan berkhidmat kepada rakyat. Kita juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat secara berterusan dan sepanjang masa. Bukannya seperti sekarang, hanya ketika terdapat upacara tertentu atau bencana.
Pandangan Tan Sri berhubung kepentingan Askar Wataniah?
Saya pernah menjadi Asisten Panglima di Bahagian Perkhidmatan Simpanan (BPS). Askar sukarela atau Askar Wataniah ini adalah jambatan antara ATM dengan orang awam bagi merapatkan lagi kita dengan rakyat jelata. Sudah tentu ia juga mempunyai fungsi ketika berlaku konflik apabila pasukan ini akan digerakkan atau diserapkan ke dalam pasukan tetap untuk membantu kita.
Anggota pasukan ini juga diatur gerak di sesuatu kawasan bencana seperti ketika banjir. Mereka yang merupakan penduduk tempatan di sesuatu kawasan itu mempunyai pengetahuan tentang persekitaran setempat dan bertindak sebagai penunjuk arah kepada anggota tetap.
Adakah sebarang cadangan untuk meningkat bilangan anggota sukarela?
Sekarang ini nisbahnya ialah seorang anggota tetap bagi seorang askar sukarela. Kita menetapkan dalam tempoh akan datang sehingga 2020 nisbah ini akan ditingkatkan kepada seorang anggota tetap bagi dua askar sukarela.
Alhamdulillah, berikutan keterampilan ATM sekarang dan kerana kita telah mendekati rakyat, mereka akan datang kepada kita untuk berkhidmat sebagai Askar Wataniah sama ada darat, laut atau udara.
Langkah meningkatkan bilangan askar sukarela ini juga selaras dengan sasaran kita untuk mewujudkan satu kompeni Askar Wataniah di setiap 222 kawasan Parlimen seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Apakah aset-aset baru yang dicadang untuk diperolehi oleh ATM?
Saya tidak boleh menyenaraikan. Kita mesti ingat bahawa pembangunan ATM adalah berdasarkan kepada keupayaan yang diperlukan dan bukan kerana ancaman atau sebagainya. Apabila disebut tentang keupayaan, ia mempunyai beberapa faktor penyumbang termasuk berapa banyak sumber manusia yang kita ada dan berapa kosnya yang kita mampu.
Betulkah pandangan bahawa generasi muda tidak berminat menyertai ATM?
Sebenarnya itu adalah tanggapan yang tidak begitu betul. Kita sebenarnya menerima respons yang menggalakkan daripada generasi muda. Misalnya, ketika Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya ramai yang melawat ruang pameran ATM dan mereka juga banyak bertanya.
Ketika membuat pengambilan rekrut baru, walaupun jumlah yang ingin diambil lebih 2,000 orang sahaja tetapi yang memohon berjumlah berpuluh ribu orang. Semua yang memohon adalah layak. Berikutan itu, kita tiada pilihan kecuali memilih yang terbaik.
Ada individu apabila gagal dalam temu duga di sesuatu daerah akan pergi pula ke pusat pemilihan rekrut yang dibuka di daerah lain. Jika masih tidak berjaya mereka akan mencuba sekali lagi pada tahun akan datang. Kita mempunyai rekod dalam komputer mengenai siapakah individu ini. Kerana semangat itu, kita ambil juga mereka.
Adakah faktor gaji yang lebih baik menjadi punca sambutan menggalakkan ini?
Sudah tentu faktor gaji yang lebih baik adalah antara sebabnya. Ini hasil daya usaha Datuk Seri Najib yang ketika menjadi Menteri Pertahanan telah melakukan banyak penambahbaikan terhadap ATM.
Sebagai contoh, ketika saya menjadi pegawai muda pada sekitar 1980-an seorang sarjan ada menyatakan kepada saya bahawa dia tidak akan membenarkan anaknya masuk tentera. Orang yang sama setelah bersara, menelefon saya menyatakan harapan anaknya dapat memasuki ATM.
Faktor-faktor lain yang menjadi daya tarikan untuk generasi muda menyertai ATM adalah kerana mereka dapat bertugas di luar negara di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
0 ulasan: on "ATM perlu dekati rakyat"
Catat Ulasan