KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan bercadang untuk bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam melaksanakan program pemulihan penagih dadah di negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah ditawarkan sebuah lokasi bagi melaksanakan program itu namun hanya akan mendedahkannya kemudian.
Menurutnya, cadangan itu adalah selaras dengan perancangan kementerian dalam memperluaskan konsep kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.
"Saya pasti selepas ini Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dapat menjaga penagih dadah pula, namun ia akan lebih efektif sekiranya penagih dadah itu ditempatkan di pulau-pulau yang di bawah jagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Ia membolehkan masyarakat melihat kita adalah merupakan pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang paling berkebolehan di rantau ini," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Dataran Wisma Pertahanan di sini.
Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri perbarisan tamat latihan membabitkan 2,000 pelatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 1,000 pelatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) pada 30 Julai depan.
Katanya, pelatih-pelatih itu akan menerima penghargaan daripada Perdana Menteri sekali gus mencipta sejarah dalam kerjasama pertama kali antara ATM dan PDRM.
"Ini membuktikan bahawa ATM dan PDRM boleh bekerjasama dalam apa keadaan sekalipun dan secara tidak langsung juga telah menjimatkan perbelanjaan PDRM," katanya
0 ulasan: on "Kementerian Pertahanan pulih penagih dadah"
Catat Ulasan