SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-'Adiyat.
Hubungan dengan surah al-Ma'un
Dalam surah al-Ma'un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.
Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.
Sebab turunnya surah ini
Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:
l Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.
Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).
Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.
Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.
Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.
Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.
l Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: "Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus." Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.
l Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.
Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.
Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.
Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir."
Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.
Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.
Pendapat ini ditolak oleh Sheikh Muhammad Abduh sambil menulis dalam tafsirnya pendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.
Namun demikian, Sheikh Muhammad Abduh meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.
Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.
Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.
Demikian juga Muhammad Abduh, al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.
Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:
l Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.
l Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.
l Kenabian seperti pendapat Ikrimah.
l Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata'.
l Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin 'Iyash.
Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.
Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:
i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.
ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.
iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.
Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:
i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata', Mujahid dan jumhur.
ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza'.
iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja'far Muhammad bin Ali.
iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.
v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra'.
Sayid Qutub berkata: "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."
Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:
i. Al-'As bin Wa'il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.
ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.
iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata'.
iv. Uqbah bin Abi Mu'it, sebagaimana pendapat Syamar bin 'Atiah.
v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.
Al-Maraghi berkata: "Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat."
Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.
Al-Hassan berkata: "Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian."
0 ulasan: on "Solat tanda bersyukur"
Catat Ulasan